17 Disember 2014

PERWAJA STEEL AKAN DITUTUP, HANYA RM500 WANG EHSAN PADA PEKERJA

Bantuan wang ehsan RM500 kepada pekerja Perwaja


Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman mahu bantuan segera di hulurkan kepada pekerja Perwaja yang sebanyak 1,500 orang.

Menteri Besar Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman mengumumkan pemberian wang ehsan sebanyak RM500 kepada pekerja Perwaja Steel Sdn Bhd (Perwaja) yang diberhentikan berikutan syarikat kilang besi keluli nasional itu dijangka menamatkan operasi hujung tahun ini.

Beliau berkata jawatankuasa khas telah ditubuhkan dan dipengerusikan Pegawai Kewangan Negeri Datuk Osman Muda untuk mengenal pasti jumlah sebenar pekerja terlibat yang maklumat awal menyebut kira-kira 1,500 pekerja.

"Ini sebagai bantuan segera yang diberikan kepada mereka dan jawatankuasa itu turut mendapat kerjasama Unit Perancang Ekonomi Negeri dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Bahagian Pengurusan) untuk memastikannya berjalan lancar.

"Proses ini akan disegerakan agar pembayaran boleh dibuat sebelum 31 Disember ini," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di sini hari ini.

Perwaja yang ditubuhkan di bawah Dasar Perindustrian Berat Negara pada tahun 1982 telah beberapa kali bertukar pemilikan dengan dilanda pelbagai masalah termasuk masalah kewangan sehingga operasinya terpaksa ditutup.

Sebelum ini Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian dan Perdagangan Terengganu, Datuk Tengku Putera Tengku Awang menegaskan kerajaan negeri telah meminta syarikat kilang besi keluli dari China, Eastern Steel Sdn Bhd (Eastern Steel) agar mengutamakan pengambilan pekerja Perwaja untuk bekerja di kilang mereka.

Secara umum, kerajaan negeri telah berunding dengan Eastern Steel di mana pekerja Perwaja yang berkemahiran akan diambil untuk bekerja dengan tiada kuota ditentukan.

Eastern Steel merupakan kilang besi keluli terbesar di Malaysia yang dibangunkan dengan pelaburan RM1.8 bilion di Teluk Kalong, Kemaman di atas tapak seluas kira-kira 500 hektar.

Proses pemberhentian pekerja Perwaja diketahui kira-kira setahun lalu, namun fasa awal pemberhentian kerja bermula awal September lalu.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...