10 Mei 2014

RATUSAN PEKERJA KTM BERDEMO...APA PUNCANYA ?



Walaupun hujan lebat dan dentuman guruh, kira-kira 700 anggota Kesatuan Pekerja-Pekerja Keretapi Tanah Melayu Berhad (KPPKTMB) tidak berganjak dari bangunan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) berhimpun untuk mendesak Datuk Elias Kadir melepaskan jawatan sebagai presiden KTMB.


Presiden KPPKTMB Abdul Razak Md Hassan yang mengetuai kumpulan itu mendakwa Elias Kadir tidak menunjukkan prestasi yang cemerlang sepanjang perkhidmatan beliau selama dua tahun ini.

"Demonstrasi hari ini menyampaikan rasa tak puas hati dengan Datuk Elias Kadir yang telah menjawat jawatan presiden selama 2 tahun, beliau tidak melaksanakan tugas dengan berkesan.

"Tanggungjawab Elias Kadir cari cara naikkan pendapatan (KTMB), kalau dia gagal tambah pendapatan dia boleh berambus!


"Cukup dua tahun cukup lama. Kita kecewa kerana dia tak mampu cetuskan idea," katanya ketika perhimpunan berlangsung petang tadi.

Ketika ditanya media mengenai tindakan selanjutnya sekiranya demonstrasi ini tidak berjaya, Abdul Razak berkata pihaknya merancang untuk mengadakan satu lagi perhimpunan di Kementerian Kewangan di Putrajaya.

Demonstrasi bermula jam 5 petang tadi berlangsung apabila semua penyokong dari sepuluh cawangan kesatuan seluruh negeri berhimpun di Hotel Heritage sebelum berarak ke depan bangunan KTMB - berdekatan Masjid Negara.

Penyokong yang hadir melaungkan Hidup! Hidup! Hidup! Tolak Elias Kadir!. Ada juga yang meniupkan wisel berselang-seli dengan laungan tersebut.

Ditambah pula paluan gendang dan drum bagi menaikkan semangat semua penyokong dan kelihatan ketika itu mereka turut menyanyikan lagu tema KPPTMB dan "Inilah barisan kita".

Manakala kenderaan yang lalu di jalan itu turut membunyikan hon sebagai tanda sokongan kepada kesatuan pekerja yang berhimpun.

Turut kelihatan polis mengawal lalu lintas dan kawasan perkarangan KTMB bagi menjaga keselamatan sepanjang perhimpunan berlangsung.


tepat jam5.20 petang hujan turun dengan lebat dan petir sabung menyabung namun penyokong masih tidak meninggalkan kawasan hadapan KTMB itu.

Sebaliknya penyokong kelihatan masih bersemangat serta melaung-laungkan kata semangat sambil menari dalam hujan yang semakin lebat mengikut paluan gendang sehingga perhimpunan berakhir jam 7.00 malam.



KPPKTMB gelar Elias ‘non performing president’


Dalam tempoh dua tahun tiada apa-apa perubahan yang dibawa oleh beliau.


 Kesatuan Pekerja-pekerja Keretapi Tanah Melayu Berhad (KPPKTMB) menggelarkan Presiden Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Datuk Elias Kadir (gambar) sebagai ‘non performing president’.

Menurut Presiden KPPKTMB, Abdul Razak Md Hassan, kerugian yang dialami oleh KTMB kini, adalah berpunca daripada Elias yang setelah dua tahun dilantik sejak 2 Mei 2011 hingga kini, tiada apa-apa perubahan yang dilakukan.

“Dalam tempoh dua tahun tiada apa-apa perubahan yang dibawa oleh beliau, dan sejak dua tahun itu, kerugian yang dialami oleh KTMB semakin buruk.

“Kerugian tersebut memberikan implikasi kepada pekerja yang rata-ratanya berpendapatan gaji di bawah pasaran,” katanya sewaktu dihubungi oleh FMT.

Selain itu, sejak Elias dilantik juga, laluan-laluan keretapi dan gerabak keretapi tidak pernah di servis.

“Selain mengancam keselamatan penumpang keretapi, ia juga turut mengancam keselamatan para pekerja KTMB,” katanya.

Dalam pada masa yang sama, Abdul Razak tidak menafikan bahawa sejak kehadiran Elias, KTMB sudah mengalami kerugian namun sejak kehadirannya, kerugiannya semakin teruk.

“Kalau dulu kerugian yang dialami oleh KTMB adalah teruk, tetapi sekarang ini lagi teruk,” katanya.

Ujar Razak lagi, sebagai Presiden KTMB, beliau sepatutnya berusaha dan mencari pelabur-pelabur serta memberi idea untuk memajukan KTMB.

‘Orang yang bertanggungjawab’

“Dia adalah orang yang bertanggungjawab untuk mencari dana bagi memajukan KTMB semula,” katanya.

Malahan ujar Razak lagi, sepatutnya pihak-pihak luar diberikan ruang dan peluang untuk berniaga di, tetapi perkara sebaliknya berlaku.

“Kadar keuntungan KTMB selama setahun adalah sebanyak RM380 juta, tetapi kadar perbelanjaan KTMB pula adalah sebanyak RM700 juta setahun,” ujarnya.

Jelas Razak lagi, masa yang diambil untuk sebuah gerabak keretapi kira-kira satu jam untuk tiba ke stesen keretapi.

“Kenapa perlu satu jam untuk satu gerabak keretapi, sedangkan kita boleh buat lima minit.

“Kalau boleh buat kekuatan penuh kita boleh adakan 200 perjalanan keretapi dalam tempoh
24 jam,” ujarnya.

Dalam pada masa yang sama, KPPKTMB turut mendesak Kementerian Kewangan agar segera menamatkan perkhidmatan Elias sebagai presiden KTMB.

“Kenapa kita perlu simpan presiden yang tidak membawa apa-apa perubahan kepada KTMB. Takkan nak biarkan KTMB terus rugi lagi,” katanya.

Petang ini, pada jam 4.30 petang, akan diadakan satu piket di perkarangan ibu pejabat KTMB, tujuan piket tersebut diadakan adalah untuk menamatkan perkhidmatan presiden KTMB.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...