31 Mei 2014

MAYAT SUSPEK PENGGAL KEPALA KANAK2 DITEMUI....


Mayat suspek bunuh kanak-kanak ditemui tersangkut pada tiang jambatan


Mayat suspek bagi kes pembunuhan kejam kanak-kanak perempuan berusia dua tahun ditemui mati lemas oleh anggota Bomba dan Penyelamat Selangor di Sungai Klang berhampiran Plaza Tol Lebuh Raya Kesas dekat sini petang tadi.

Sepasukan 10 anggota bomba menjumpai mayat berkenaan kira-kira pukul 4 petang dipercayai lemas.

Suspek sebelum ini disyaki terjun ke Sungai Klang selepas membunuh kejam seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun di tebing sungai yang sama pada Khamis lalu.

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Azizan Ismail ketika dihubungi MalaysiaGazette berkata, pihaknya telah memulakan operasi selepas menerima laporan suspek kes bunuh itu terjun ke dalam sungai pada hari kejadian.

"Kami memulakan pencarian suspek yang dikatakan lemas bermula dari kawasan Sungai Klang berhampiran stesen minyak Petronas Brickfields menghala ke selatan sehingga ke Puchong .

"Usaha mencari bermula kira-kira pukul 10.50 pagi dengan dibantu tujuh anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur dan Unit Skuba atau unit penyelamat dalam air serta tiga buah kayak turut digunakan dalam operasi pencarian hingga ke dalam kawasan negeri Selangor dengan bantuan pasukan bomba Selangor sehingga ke Puchong jika perlu.

"Akhirnya mayat dipercayai suspek kes bunuh kanak-kanak itu ditemui orang awam kawasan itu sebelum anggota kami bergegas ke lokasi dan menemui mayat di sungai itu dalam keadaan tersangkut pada tiang sebuah jambatan berdekatan Tol Lebuhraya Kesas, Subang," katanya.

Dalam pada itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Gan Kok Meng berkata, mayat sedang disiasat bagi mengenal pasti identiti bagi mengesahkan dia adalah suspek yang sedang diburu dalam kes pembunuhan kanak-kanak Khamis lalu.

Polis dijangka akan mengeluarkan kenyataan akhbar berhubung penemuan mayat dipercayai merupakan suspek kes bunuh kanak-kanak Khamis lalu lewat petang ini.

Media sebelum ini melaporkan saksi melihat seorang lelaki merebahkan kanak-kanak tersebut di tepi sungai sebelum menghempaskan sesuatu ke kepalanya dan melakukan sesuatu pada leher mangsa dipercayai mengerat sehingga kepala terputus.

Mayat kanak-kanak tersebut ditemui dalam keadaan kepalanya terpisah daripada badan berhampiran stesen Keretapi Tanah Melayu, Jalan Tun Sambanthan kira-kira pukul 9 malam.

Polis kemudian turut menemui serpihan seramik yang dipercayai digunakan untuk mencederakan mangsa di tempat kejadian.

Kanak-kanak itu dikatakan dilarikan suspek setelah ditinggalkan ibunya yang berusia 32 tahun sebelum dia ke tandas di sebuah pusat beli-belah.-



Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...