26 Februari 2014

PANAS! AKHIRNYA PUTRAJAYA DAN SYABAS TUNDUK KEPADA KERAJAAN PR SELANGOR...!!!



Punah harapan Umno. Musnah impian Noh dan Najib Razak. Selamat jalan Syabas dan selamat tinggal Umno. Amacam?

Akhirnya Kerajaan Negeri Selangor akan mengambil alih industri air di negeri ini. MOU ditandatangani tgh hari tadi di antara MB Selangor dan Menteri KETHA. Selamat tinggal Syabas....

Selangor tandatangan MoU dengan Putrajaya, isu air selesai

MoU yang ditandatangani Khalid membolehkan kerajaan negeri mengambil alih 4 syarikat konsesi air di negeri itu serta suntikan dana RM2 billion oleh kerajaan pusat, selain daripada memberikan pampasan RM9.65 billion kepada syarikat tersebut. – Gambar Pejabat Menteri Besar Selangor, 

Pertelingkahan berhubung isu air di Selangor dijangka dapat diselesaikan dalam masa terdekat apabila Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) dengan Menteri Menteri Tenaga, Teknologi Hijau Dan Air, Datuk Seri Maximus Ongkili sambil disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.

Khalid menandatangani MoU berkenaan bagi membolehkan kerajaan negeri mengambil alih empat syarikat konsesi air di negeri berkenaan dengan suntikan dana RM2 bilion oleh kerajaan pusat bagi pengambil alihan saham-saham syarikat konsesi.

Antara isi kandungan perjanjian tersebut termasuklah kerajaan negeri yang dipimpin Pakatan Rakyat (PR) akan membenarkan Putrajaya meneruskan Loji Rawatan Air Langat 2.

Selain itu, kerajaan negeri juga akan memberikan pampasan bernilai RM9.65 bilion kepada empat syarikat konsesi air di Selangor.

Ekoran pengambilalihan tersebut, satu konsortium air untuk menguruskan industri air di Selangor akan dibentuk di bawah seliaan Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB).

Kerajaan negeri Selangor menjangkakan pengambil alihan syarikat konsesi tersebut akan selesai dalam tempoh tiga bulan.

Maklumat yang diperoleh dari Pejabat Menteri Besar Selangor itu turut menyatakan, melalui pengambil alihan ini, ia diharap mampu menyelesaikan masalah air kerana kerajaan negeri memiliki kemampuan kewangan dan tenaga kerja berpengalaman di samping pengurusan air yang lebih cekap dan mantap.

Berdasarkan kenyataan bersama yang dikeluarkan kerajaan negeri Selangor dan kementerian berkenaan petang tadi, Loji Langat 2 akan diteruskan pembinaannya dalam tempoh 30 hari selepas MoU berkenaan ditandatangani.

"Kerajaan Persekutuan juga bersetuju menjadi pemudah cara bagi kerajaan negeri Selangor melaksanakan penstrukturan semula industri melalui Akta Perkhidmatan Industri Air (WSIA) 2006 dan mana undang-undang terpakai.

"Sebagai balasan, kerajaan negeri pula akan mengeluarkan kebenaran merancang untuk Loji Rawatan Air Langat 2 dan Sistem Agihannya berkuatkuasa hari ini.

"Dan kita akan memastikan semua kelulusan dan kebenaran yang berkait pembangunan projek Langat 2 diluluskan dalam masa 30 hari dari tarikh memorandum ini ditandangani," kata kenyataan tersebut.

Kerajaan negeri sebelum ini mengambil keputusan membenarkan KDEB membuat tawaran bernilai RM9.65 bilion bagi memulakan proses pengambilalihan syarikat-syarikat konsesi air.

Bagaimanapun, menurut kenyataan kepada Bursa Malaysia, mereka menolak tawaran itu.

Surat tawaran kepada Syabas, Puncak Niaga, Konsortium Abass Sdn Bhd dan Syarikat Pengeluar Air Selangor Holding (Splash) juga sudah dikeluarkan KDEB.

Khalid sebelum ini dilaporkan berkata, kerajaan pusat yang ditadbir Barisan Nasional (BN) melalui Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) juga bersetuju menggunakan Akta Industri Perkhidmatan Air (WSIA) 2006 bagi mengambil alih konsortium air di negeri berkenaan.

"Kementerian melalui surat bertarikh 9 September 2013 menyatakan hasrat mengambilalih hal ehwal dan pengurusan air mengguna pakai Seksyen 114 WSIA sekiranya tiada penyelesaian berhubung rancangan pengambil alihan konsesi air oleh kerajaan negeri dengan syarikat konsesi pada 31 Disember 2013," katanya.

Kerajaan Negeri Selangor juga meletakkan syarat agar Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Span) melantik dua pentadbir syarikat konsesi berkenaan iaitu Presiden Kumpulan Darul Ehsan Suhaimi Kamaralzaman dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar (MBI) Faekah Husin.

Rancangan pengambilalihan berkenaan dilakukan ekoran rungutan dan kekhuatiran masyarakat terhadap masalah bekalan air yang melanda Selangor.

Pertikaian berhubung isu air di Selangor mula mendapat perhatian apabila pembinaan Loji Langat 2 dihentikan kerajaan PR selepas Pilihan Raya Umum 2008 apabila pakatan pembangkang berkenaan menewaskan BN di Selangor.

Ekoran kekerapan berlakunya gangguan bekalan air, kedua-dua pihak, kerajaan negeri dan Syabas sering bertelagah menyalahkan satu sama lain.

BN sering kali menggesa kerajaan PR Selangor untuk membenarkan pembinaan Loji Langat 2 bagi mengatasi masalah kekurangan takungan air bersih di negeri tersebut, dan mereka turut menjadikannya sebagai isu bagi kempen Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Khalid turut dilaporkan sebelum ini berkata masalah air di negeri Selangor hanya boleh diselesaikan jika PR berjaya menawan Putrajaya.

1 ulasan:

Mr.Daily Net berkata...

kalau benar kerajaan pusat kecewa dengan perjanjian terbaru ini, xkan kerjaan puasat bersetuju membantu kerajaan negeri sehingga bagi suntikan dana RM2 billion?sepatutnya urusan air mutlak hak kerajaan negeri.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...