31 Oktober 2013

8 WARGA ASING TANPA DOKUMEN PENGENALAN DIRI DITAHAN MENYAMUN 15 PEJANA KUASA TNB

15 penjana kuasa elektrik TNB gagal dibawa lari

Suspek yang ditahan ketika sedang meleraikan komponen penjana kuasa elektrik yang dicuri di sebuah gudang di Pulau Meranti, Puchong, semalam.

SHAH ALAM - Polis merampas semula 15 unit penjana kuasa elektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB) termasuk dua buah treler bernilai kira-kira RM600,000 yang dilarikan 16 lelaki dari sebuah gudang di, Teluk Gong, Pandamaran, Klang, semalam.

Turut ditahan bersama 16 suspek terbabit seorang pekerja gudang itu dalam tempoh kurang 12 jam selepas kejadian berlaku.

Ketua Polis Selangor, Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata, lima lelaki bersenjatakan parang memanjat masuk ke dalam premis dan mengikat empat pengawal keselamatan yang bertugas dalam kejadian jam 4.45 pagi itu.

Beliau berkata, kumpulan suspek itu kemudiannya melarikan dua buah treler bermuatan 15 unit penjana kuasa elektrik TNB seberat 45 tan.

Menurutnya, empat pengawal yang diikat bagaimanapun berjaya melepaskan ikatan mereka, sebelum memaklumkan kejadian kepada pihak peronda pengawal keselamatan.

Katanya, laporan dibuat kira-kira jam 6.30 pagi dan siasatan awal berjaya menahan seorang lelaki yang merupakan pemandu di premis terbabit.

“Hasil soal siasat ke atas suspek membawa kepada serbuan di sebuah lagi gudang di Pulau Meranti, Puchong pada jam 6 petang hari sama.

“Ketika diserbu, seramai 16 suspek lelaki sedang sibuk meleraikan komponen penjana kuasa elektrik yang baru dicuri,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, semalam.

Mohd Shukri berkata, 16 suspek ditahan terdiri daripada tujuh lelaki tempatan, lima lelaki warga Sri Lanka, tiga lelaki warga India dan seorang lelaki warga Pakistan.

“Lebih mengejutkan dua buah treler yang dilarikan dicat semula, selain nombor chasis enjin turut diubahsuai dipercayai bagi mengelak dikesan pihak berkuasa,” katanya.

Beliau berkata, penjana kuasa elektrik itu dileraikan bagi mendapatkan komponen besi yang disadur perak serta minyak untuk dijual di pasaran.

Menurutnya, semakan mendapati tiga daripada suspek tempatan yang ditahan dikenalpasti mempunyai sembilan rekod jenayah lampau termasuk satu berkaitan dadah.

Katanya, semua suspek warga asing ditahan juga tidak mempunyai dokumen pengenalan diri.

Semua suspek berusia antara 18 hingga 57 tahun, direman seminggu sehingga Selasa depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan iaitu samun berkawan tanpa senjata api.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...