22 Ogos 2012

Puncak Niaga Rugi RM75.2 juta tapi Pengarah dibayar RM17.2j setahun

Proham gesa k'jaan siasat Puncak Niaga



Kumpulan hak asasi Proham menuntut kerajaan supaya menyiasat syarikat bekalan air Puncak Niaga ekoran laporan yang menyebut bahawa pengarah konsortium itu dibayar RM17.2 juta setahun walau syarikat itu mencatat kerugian sebelum cukai sebanyak RM75.2 juta.

"Proham menuntut kerajaan persekutuan supaya menyiasat dan bertindak segera ke atas penyalahgunaan melampau – jika ada – dalam kes Puncak Niaga untuk membetulkan kesilapan demi kepentingan pengguna,"
kata setiausaha agungnya Datuk Denison Jayasooria dan anggotanya Tan Sri Ramon Navaratnam dalam satu kenyataan bersama hari ini.

Puncak Niaga merupakan syarikat yang mendapat faedah hasil kepada langkah penswastaan bekalan air Selangor pada 2004 melalui anak syarikatnya Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS).

Proham juga menuntut supaya semua syarikat utiliti dikaji semula supaya syarikat yang mendapat faedah daripada projek penswastaan itu benar-benar memberi keuntungan kepada pengguna.

Dalam kenyataan itu, Proham menyatakan bahawa langkah penswastaan itu disasarkan untuk meningkatkan persaingan, kecekapan dan produktiviti dalam perkhidmatan air, namun usaha tersebut terus dihantui masalah di peringkat pelaksanaan dan penyampaian.

Dengan memetik kajian oleh ahli ekonomi KS Jomo dan Jeff Tan, Proham menyatakan bahawa langkah penswastaan tidak banyak meningkatkan persaingan dan kos kepada pengguna juga meningkat dengan tidak seimbang.

Proham juga menyebut bahawa langkah penswastaan kurang ketelusan dan kebertanggungjawaban sehingga membolehkan golongan yang mempunyai kepentingan politik dan hubungan yang baik akan meningkatkan kekayaan peribadi mereka.

"Proham mengakui bahawa penswastaan boleh berjaya sekiranya ia memenuhi hak asasi manusia dan kepentingan awam dan bukannya untuk ketamakan sendiri,
" kenyataan itu dipetik.

Ia menjelaskan bahawa air perlu dianggap sebagai keperluan hak asasi rakyat dan bukannya satu komoditi untuk mendapatk keuntungan.

"Dalam konteks ini, Proham menyeru kerajaan persekutuan untuk mengkaji semula semua syarikat utiliti awam yang diswastakan dan membekal keperluan asas seperti air, elektrik, pengangkutan, dan perumahan untuk memastikan syarikat yang diswastakan ini memenuhi objektif asas dalam Garis Panduan Penswastaan Unit Perancang Ekonomi."

Majalah Malaysian Business sebelum ini meletakkan Puncak Niaga di tangga ke-16 dalam senarai 50 pengarah yang menerima bayaran tertinggi, dengan memetik satu laporan tahunan yang menunjukkan salah seorang pengarah itu dibayar antara RM8.35 juta dan RM8.4 juta tahun lalu.

Identiti pengarah Puncak Niaga yang menerima bayaran tertinggi itu tidak dinyatakan dalam laporan tersebut.

Komen: Ini kes kroni umno/bn yang tak reti berniaga, industri air hanya dimanapoli oleh satu syarikat tiada persaingan macamana boleh rugi....

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...