23 Ogos 2012

Panas! Tengku Ibrahim Tegur Pusat Isu Royalti Minyak

Pusat perlu akur Akta Petroleum: Mampat

Isu Royalti Minyak


KUALA TERENGGANU – Majlis Permuafakatan Rakyat Terengganu (Mampat) mempersoalkan sikap Kerajaan Persekutuan yang tidak mahu akur terhadap Akta Kemajuan Petroleum 1974.

Penaung Mampat, Tengku Sri Paduka Raja, Tengku Ibrahim Sultan Ismail Nasiruddin Shah berkata, perkara itu terbukti melalui tindakan pihak terlibat yang enggan membayar wang royalti secara terus kepada Kerajaan Terengganu dan Kelantan sehingga sekarang.

Beliau berkata, perkara itu tidak berlaku di Sabah dan Sarawak, sebaliknya berlaku di negeri yang dihuni kira-kira 96 peratus kaum Melayu dan beragama Islam.

“Apa sebab wang bayaran petroleum lima peratus bagi Sabah dan Sarawak dibayar atas nama wang royalti dan tidak wang ihsan? Saya pasti rakyat Terengganu dan Kelantan berhak tahu ‘double standard’ ini,”
katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian, di sini.

Menyentuh perkara sama, beliau berkata, perkembangan berhubung pemberian royalti minyak Kelantan juga terus berlanjutan apabila kerajaan mahu menubuhkan Jawatankuasa Khas Bayaran Royalti Negeri-Negeri Pantai Timur bagi mengkaji bayaran tunai hasil petroleum sebagaimana diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini.

Beliau berkata, Kerajaan Persekutuan tidak sepatutnya mengamalkan diskriminasi terhadap kedua negeri di Pantai Timur itu seolah-olah ada agenda tersendiri melalui penubuhan jawatankuasa tersebut.

“Pengasas utama Akta Kemajuan Petroleum 1974 iaitu Tengku Razaleigh Hamzah dan Tun Salleh Abas telah berkali-kali mengesahkan bahawa wang ‘tribute’ lima peratus adalah wang bayaran tunai atau royalti dan bukan wang ihsan.

“Apa lagi yang hendak dipertikaikan melainkan ada muslihat sulit yang tersirat dan tersurat di belakang tindak tanduk Kerajaan Persekutuan masa kini,” katanya.

Sementara itu, Tengku Ibrahim menegaskan bahawa Kerajaan Negeri berhak memberitahu kepada umum mengenai penyelesaian yang dicapai selepas menarik balik saman royalti petroleum di mahkamah.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri tidak sepatutnya menyembunyikan perkara tersebut dan dengan menyifatkan sebagai sulit, sebagaimana jawapan pihak tersebut dalam Sidang Dewan Undangan Negeri sebelum ini.

“Saya berpendapat rakyat Terengganu berhak tahu apakah bentuk penyelesaian ‘sulit’ itu

sedangkan minyak petroleum di dasar lautan negeri Terengganu adalah kurniaan ALLAH SWT kepada rakyat negeri bertuah ini,” katanya.

Semasa pemerintahan Pas di Terengganu, Kerajaan Pas telah menyaman Petronas dan Kerajaan Pusat berhubung isu royalti minyak, bagaimanapun Kerajaan Negeri Barisan Nasional (BN) di bawah pentadbiran Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said menarik balik saman tersebut tanpa penyelesaian direkodkan antara pihak tersebut dan Petronas baru-baru ini.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...