Mahkamah benarkan hukuman penjara terhadap blogger ditangguh
KUALA LUMPUR: Blogger Amizudin Mamat yang diperintah menjalani hukuman penjara tiga bulan kerana menghina mahkamah hari ini berjaya mendapatkan penggantungan sementara sehingga 28 Ogos ini.
Amizudin sebelum ini didapati bersalah melanggar perintah mahkamah yang melarangnya daripada terus menerbitkan artikel memfitnah Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim dalam laman blognya.
Beliau memfailkan permohonan penggantungan pada hari yang sama dijatuhi hukuman iaitu pada 10 Ogos lalu.
Hakim Datin Zabariah Mohd Yusof membuat keputusan permohonan tersebut di dalam kamar dengan dihadiri peguam R. Sivarasa dan Latheefa Koya yang mewakili Amizudin serta peguam Datuk Seri Shafee Abdullah bagi pihak Rais.
Latheefa memberitahu pemberita bahawa pihaknya memohon penggantungan sementara memandangkan hari raya semakin hampir dan Hakim Zabariah membenarkan permohonan itu sehingga pendengaran penuh pada 28 Ogos.
Amizudin didapati bersalah menghina mahkamah apabila menerbitkan 11 lagi artikel memfitnah Rais iaitu selepas Rais memenangi saman beliau terhadap blogger itu pada 19 Julai tahun lalu.
Mahkamah Tinggi memerintahkan Azimudin membayar RM300,000 sebagai ganti rugi dan RM100,000 sebagai kos kepada menteri itu.
Rais memfailkan saman itu pada 31 Jan 2011, terhadap Amizudin, 42, yang merupakan anggota Jawatankuasa Pemuda Parti Keadilan Rakyat (PKR), bagi memfitnah berhubung artikel yang diterbitkan dalam laman blog blogger itu, sharpshooterblogger.blogspot.com, pada atau sekitar 28 Disember 2010. - BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan