03 April 2012

Ucap terima kasih, bukan selar pegawai dedah isu AG


KUALA LUMPUR- Kerajaan sepatutnya berterima kasih dan bukannya menyelar pegawai yang mendedahkan Peguam Negara (AG) tidak melakukan pendakwaan ke atas kes yang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), kata Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar.

"Menyelar (Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk) Mohd Shukri (Abdull) yang mendedahkan Peguam Negara tidak melakukan pendakwaan ke atas kes yang disiasat adalah tindakan anti ketelusan yang tidak bertanggungjawab.

"Mengapa (Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri) Nazri (Abdul Aziz) marah sangat dengan ketelusan penjelasan Shukri itu sehingga menuduh beliau mempunyai watak yang lemah? Adakah banyak perkara yang disembunyikan sedang hendak terburai?" beliau mempersoalkan.

Menurut Mahfuz, dengan pendedahan Shukri, sudah tiga orang pegawai tinggi badan penguatkuasa

membuat pendedahan mengenai Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail.

"Sebelum pegawai tinggi SPRM itu, bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Datuk Ramli Yusuff dan bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Mat Zain Ibrahim telah membuat pelbagai pendedahan mengenai kelakuan Abdul Gani.

"Itu pegawai yang berani membuat pendedahan dan pengaduan tentang Abdul Gani. Bagaimana yang takut hendak bersuara?" kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.

Mahfuz berkata, kerajaan yang mempunyai sifat bertanggungjawab sudah lama menubuhkan tribunal menyiasat Peguam Negara.

"Tetapi masalahnya, Malaysia mempunyai kerajaan yang dilihat mempunyai kepentingan dengan tindak-tanduk Abdul Gani yang dianggap meragukan," katanya.


Kerajaan Umno yang berkuasa hari ini, kata Mahfuz, bukan sahaja enggan menyiasat pendedahan-pendedahan dan pengaduan-pengaduan mengenai kelakuan Abdul Gani, malah membunuh ketelusan apabila pegawai yang berani bersuara dicela dan diselar.

"Selepas ini, adalah dijangkakan rakyat boleh menyaksikan lebih banyak lagi gelagat dan perangai buruk kerajaan (Perdana Menteri, Datuk Seri) Najib (Tun Razak) berikutan apa yang disuarakan oleh Shukri itu," katanya.

Di Dewan Rakyat semalam, Ahli Parlimen Puchong Gobind Singh Deo mengkritik celaan Nazri terhadap Shukri itu.

"Inikah sikap Jabatan Perdana Menteri kita? Apabila dibuat pengaduan, anda mengugut mereka," katanya.

Malaysiakini melaporkan, Nazri menyelar Shukri yang merungut tentang kes-kes rasuah yang telah ditolak oleh pejabat Peguam Negara.

Nazri dipetik oleh akhbar berbahasa Cina, Sin Chew Daily di Kuala Kangsar Sabtu lalu, sebagai menyifatkan Shukri mempunyai watak yang lemah dan tidak sepatutnya merungut secara terbuka.

Malah, katanya, Shukri tidak perlu membuat sebarang penjelasan kepada umum kerana ia merupakan tugas Pejabat Peguam Negara untuk mendakwa seseorang individu.

Nazri juga mahu Shukri berhenti membuat kenyataan sedemikian pada masa depan.

Beliau mengkritik kenyataan Shukri di sebuah forum Khamis lalu yang menjelaskan bahawa SPRM menyiasat semua tuduhan rasuah yang diserahkan kepadanya, tetapi pejabat Peguam Negara yang enggan memfailkan kes-kes tersebut di mahkamah atas alasan bukti tidak mencukupi.

"Banyak kes yang disiasat tetapi tidak didakwa... Tak bermaksud tiada kes. Ada kes. Tapi bila (hendak) bawa ke mahkamah, mereka (pejabat peguam negara) kata tak cukup bukti," Shukri dipetik sebagai berkata oleh Malaysiakini.-

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...