24 Februari 2012

PENEROKA TETAP HALANG PENYENARAIAN- PVGH

Senarai FGVH: ANAK tak putus asa, timbang tindakan lanjut

Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaaan (ANAK) tidak akan berputus asa walaupun FELDA bertekad untuk meneruskan proses penyenaraian Felda Global Venture Holding (FGVH) walaupun tanpa penglibatan Koperasi Permodalan Felda Berhad (KPF).

Ekoran itu, ANAK sedang mengkaji tindakan lanjut untuk menghalang 360,000 hektar tanah FELDA dipajak kepada FGVH bagi tujuan penyenaraian FGVH.

Presiden ANAK, Mazlan Aliman berkata panel peguamnya sedang mengkaji sama ada peneroka Felda mempunyai 'locus standi' terhadap tanah tersebut.

Katanya, usaha itu dibuat bagi menghalang tanah itu dipajak kepada Felda Global Venture Holding (FGVH) Berhad yang akan disenaraikan di Bursa Malaysia.

Mazlan berkata, jika mereka mempunyak 'locus standi', pihaknya tidak memfailkan saman bagi menghalang tanah itu dipajak kepada FGVH.

"Kalau tanah kita sekat, apa FGV nak buat. Kalau tanah tidak boleh disenaraikan, FGV tidak ada kekuatan... Kita sekat tanah daripada dipajak kepada FGV," katanya ketika dihubungi Malaysiakini petang ini.

Beliau yang juga ahli jawatankuasa PAS pusat berkata usaha itu adalah satu "cadangan popular dan bukan diambil dari tepi jalan", tetapi sebaliknya merupakan pandangan dari pakar ekonomi.

Mazlan diminta mengulas kenyataan Pengerusi FELDA, Tan Sri Isa Samad semalam bahawa proses penyenaraian FGVH akan diteruskan tanpa penglibatan Koperasi Permodalan Felda (KPF) dalam penyenaraian tersebut.

Isa dilaporkan berkata, FELDA bercadang menubuhkan syarikat tujuan khas (SPV) untuk menjaga kepentingan peneroka Felda yang berjumlah 112,635 orang.

Mengulas lanjut, Mazlan membidas kenyataan Isa yang juga bekas menteri besar Negeri Sembilan itu yang mahu meneruskan penyenaraian FGVH, meskipun tindakan itu didakwanya "tidak popular" di kalangan peneroka.

Mazlan berkata berdasarkan maklum balas yang diterimanya, jumlah yang menentang penyenaraian itu cukup besar, tetapi "tidak agresif" walaupun mereka tidak gemar dengan pendekatan yang dicadangkan oleh Isa yang juga bekas naib presiden Umno.

"Beliau perlu memahami sebagai ahli politik, beliau perlu faham bahawa ini isyarat dari rakyat. Kalau diteruskan juga, ia adalah satu kesilapan dan akan menjejaskan kerajaan yang dipimpin perdana menteri," katanya.

Sehubungan itu, Mazlan yang juga timbalan pesuruhjaya PAS Johor mengulangi desakan supaya cadangan penyenaraian itu dibatalkan dan mengajak kerajaan berbincang untuk menambahbaik urustadbir FELDA dan anak-anak syarikatnya termasuk meminimakan ketirisan yang berlaku.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...