11 Disember 2011

Import Brazil sarung jersi skuad Kenari


ALOR SETAR - Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) semalam mengumumkan barisan baru pemainnya termasuk dua pemain import dari Brazil sebagai pertaruhan musim baru Liga Malaysia 2012.

Danilo Rafael Dos Santos Vivaldo, 24, bekas pemain kelab Bangladesh, Brothers Union FC dan Daniel Baroni Soares Neves, 31, bekas pemain Cruzeiro E. Clube Brazil dipilih secara rasmi menyarung jersi skuad Kenari itu bersama-sama tujuh lagi muka baru dari Perlis dan Pulau Pinang.

Difahamkan Danilo yang memiliki ketinggian 1.89 meter merupakan pemain kedua terbaik kelab dari Bangladesh itu sebelum disambar KFA walaupun baru setahun terikat dengan kelab.

Sementara Daniel Baroni pula walaupun agak berusia, namun banyak pengalaman.

Danilo Vivaldo diletakkan sebagai pemain pertahanan dan Daniel Barini pula sebagai pemain tengah.

Setiausaha Kehormat KFA, Datuk Dr. Hamdan Mohamed Khalib ketika mengumumkan keputusan memberitahu skuad itu turut mengekalkan beberapa bintang pasukan tersebut termasuk pemain berharga mereka, Baddrol Bakhtiar yang mengetuai Harimau Muda menjuarai Sukan SEA XXVI Indonesia.

Lainnya terdiri penyerang Mohd. Khyril Muhymeen Zambri, Mohd. Faizal Abu Bakar, Amar Rohidan dan V. Thirumurugan.

Sementara pertahanan pula, Mohd. Sabree Mat Abu, Mohd. Fauzie Nan dan Khairul Helmi Johari serta tiga penjaga gol, Mohd. Helmi Eliza Elias, Abdul Hadi Abdul Hamid dan Mohamad Muhaimin Mohamad.

Tujuh muka baru ialah dua bekas pemain Perlis, Azmizi Azmi dan Mohd. Sany Mat Isa, selain Mohd. Bashahrul Abu Bakar yang kesemuanya merupakan pemain pertahanan.

Tiga muka baru lain yang merupakan pemain tengah ialah See Kok Luen (Kuala Lumpur), Mohd. Kamal Azira Abdul Manah (Universiti Sains Malaysia) dan Ahmad Basri Abdul Wahid selain bekas penyerang Pulau Pinang, Abdul Latiff Suhaimi.

Menurut Dr. Hamdan, KFA percaya gabungan dua pemain import berpengalaman itu bersama muka baru dan pemain lama yang berbakat mampu melonjak prestasi skuad tersebut kelak.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...