15 Disember 2011

Akta Kerja: Gabungan MTUC tuntut suruhanjaya diraja, piket nasional

Ahli-ahli MTUC sewaktu perhimpunan peringkat Selangor-Wilayah Persekutuan, 2 Disember 2011.


KUALA LUMPUR, 14 Dis — Desakan daripada gabungan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) berterusan, dengan yang terbaru menggesa kerajaan mengadakan satu suruhanjaya diraja bagi menyiasat motif Rang Undang-undang Kerja (Pindaan 2011, yang mendapat bantahan keras badan induk pekerja itu.
MTUC bahagian Selangor-Wilayah Persekutuan menegaskan, selain diadakan satu suruhanjaya diraja, kepimpinan kongres itu juga perlu mengadakan piket nasional kedua bagi terus mengenakan tekanan ke atas kerajaan berhubung Rang Undang-undang Kerja.

“Kesatuan-kesatuan sekerja yang menggesa agar diadakan suruhanjaya diraja juga mahu piket peringkat kebangsaan diadakan untuk memperlihatkan kekecewaan pekerja terhadap sikap antipekerja dan antikesatuan diperlihatkan oleh kerajaan Malaysia,” kata Pengerusi MTUC Selangor-Wilayah Persekutuan N Gopal Kishnam dalam satu kenyataan hari ini.

Kata beliau, meskipun adanya bantahan daripada MTUC, Kementerian Sumber Manusia meneruskan pindaan ke atas Akta Kerja yang antara lain membolehkan penggunaan sistem kontraktor bagi tenaga kerja secara sah.

Sehubungan itu kata beliau, kementerian tersebut kelihatan memihak kepada pihak-pihak tertentu dengan sanggup menjadikan para pekerja sebagai hamba dengan terus membenarkan sistem kontraktor bagi tenaga kerja.

“Majlis am MTUC telah mengambil satu keputusan untuk menentang pindaan (Akta Kerja) dan tindakan-tindakan untuk menentang pindaan seharusnya diteruskan sehingga kerajaan memutuskan bagi menarik balik pindaan.

“Masih belum terlewat bagi kerajaan mendengar suara pekerja negara ini,” kata beliau sambil menambah, majlis am merupakan badan tertinggi MTUC dan oleh itu, mana-mana individu tidak boleh mengatasi keputusan diambil oleh badan tersebut.

Pendirian ini dilahirkan ketika beberapa kesatuan gabungan MTUC mendakwa badan induk pekerja itu kelihatan seolah-olah tidak proaktif dalam isu pindaan Akta Kerja 1955 sementara Dewan Negara dijadual membahaskannya minggu ini.

Presiden Kesatuan Pekerja-pekerja KTM Berhad Abdul Razak Md Hassan berkata, pihaknya terkilan apabila pertubuhan bukan kerajaan sudah mula mendahului MTUC dengan sanggup mengadakan demonstrasi di pekarangan bangunan Parlimen pada 15 Disember ini.

“Kesatuan Pekerja-pekerja KTM Berhad terpanggil untuk menyampaikan rasa terkilan dengan tindakan MTUC yang bergerak terlalu perlahan mengenai pindaan Akta Kerja,” kata Razak kepada The Malaysian Insider awal minggu ini.

Malah, menurut Razak, pihaknya juga rasa hairan kerajan pertubuhan bukan kerajaan Jerit seolah-olah mengambil peranan MTUC dengan mengadakan demostrasi di kawasan Parlimen Khamis ini.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...