12 Disember 2011

FELDA: ISA MASUK PINTU BELAKANG

Anak kaji fail injunksi halang EGM koperasi Felda 5 Jan


KUALA LUMPUR, 12 Dis ― Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) sedang mempertimbangkan langkah mengambil tindakan injunksi mahkamah bagi menghalang mesyuarat agung luar biasa Koperasi Permodalan Felda (KPF) yang akan diadakan awal bulan depan.

Pengerusi Anak Mazlan Aliman berkata, pihaknya sedang meneliti aspek perundangan bagi menghalang mesyuarat khas itu yang antara lain akan membincangkan beberapa pindaan ke atas peraturan kecil termasuk dipercayai soal keahlian dan pelantikan pengerusinya.

Pelantikan pengerusi KPF baru-baru ini menjadi kontroversi. Anak mendakwa Pengerusi Felda Tan Sri Isa Samad tidak layak memegang jawatan pengerusi KPF.

Pelantikan itu kemudian dikaitkan dengan proses penyenaraian Felda Global Ventures di Bursa Malaysia tahun depan.

Siri kontroversi itu ditambah dengan surat arahan bercuti sehingga Ogos 2012 dikeluarkan ke atas Pengarah Besar Felda Datuk Dzulkifli Abd Wahab, pegawai kanan yang dikatakan layak memegang jawatan berkenaan.

The Malaysian Insider difahamkan Dzulkifli sudah berlepas ke London semalam.

“Anak sudah meminta peguam kami mengkaji tindakan injunksi ini, peguam sedang mengkaji aspek perundangan dan dokumen-dokumen berkenaan,” kata beliau ketika ditemui The Malaysian Insider di sini.

Mesyuarat itu akan berlangsung pada 5 Januari ini.

“Tindakan injunksi akan difailkan dalam dua minggu sebelum mesyuarat khas, bermakna dalam seminggu lalu... kami akan memaklumkan apabila ia dibawa ke mahkamah,” kata Mazlan, yang juga ahli jawatankuasa kerja PAS pusat.

Malah kata beliau, tindakan mereka itu juga berkaitan dengan aduan yang telah dibuat kepada Suruhanjaya Koperasi Malaysia berkenaan pelantikan Isa sebagai pengerusi KPF.

Sebelum ini persatuan itu mendakwa mempunyai bukti pelantikan Isa sebagai pengerusi KPF lalu dibuat secara tidak sah dan ‘ikut pintu belakang’.

Mazlan mendakwa beliau mempunyai maklumat satu surat melalui setiausaha sulit kanan Perdana Menteri telah dihantar kepada Isa sebagai mengesahkan pelantikan tersebut.

Menurut Mazlan lagi, Isa sebenarnya tidak layak menjadi ahli koperasi kerana beliau bukan seorang peneroka dan bukan kakitangan Felda, apatah lagi untuk menjadi pengerusi KPF.

Pada 25 Oktober lalu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan dalam satu kenyataan di Dewan Rakyat memberitahu, Isa secara rasmi masih belum dilantik sebagai pengerusi KPF.

Ahmad berkata pelantikan Isa sebagai pengerusi KPF akan diputuskan oleh Lembaga Pengarah Felda mengikut undang-undang yang diperuntukkan dalam Akta Koperasi 1993 dan undang-undang kecil KPF.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...