03 Disember 2011

AKTA PEKERJA WAJAR DITENTANG


“Jika ia diluluskan di Dewan Negara maka MTUC akan mengisytiharkan perang ke atas mereka (kerajaan). Tiada ruang untuk berkompromi,”

Kata dua gabungan MTUC, batal pindaan Akta Kerja atau sedia hilang undi PRU

SH
AH ALAM, 2 Dis ― Kesatuan gabungan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) petang ini memberi kata dua kepada Putrajaya agar menarik balik Rang Undang-undang Kerja 2011, yang dijadual dibahas di Dewan Negara minggu depan, jika tidak bersedia menghadapi kesan ketika pilihan raya umum ke-13.

Presiden Kesatuan Pekerja-pekerja Junior Tenaga Nasional Berhad Mohd Roszeli Majid berkata, jika kerajaan enggan mendengar suara pekerja agar tidak meneruskan peruntukan berkenaan sistem kontraktor tenaga kerja menerusi pindaan ke atas Akta Kerja, para pekerja akan menentukan nasib kerajaan Barisan Nasional dalam pilihan raya umum nanti.

“Tengok apa terjadi ke atas Rang Undang-undang Perhimpunan Aman baru-baru ini, yang diteruskan pembentangan tanpa mempedulikan bantahan, saya pasti pindaan Akta Kerja juga akan mengalami nasib yang sama.

“Macam kata Majlis Peguam, peti undi ketika pilihan raya akan menjawab bantahan kesatuan sekerja,” kata beliau yang juga Naib Presiden MTUC pada perhimpunan berkenaan protes ke atas Rang Undang-undang Kerja 2011 di sini petang ini.Hujung minggu lalu, Setiausaha Kewangan MTUC Alias Awang Ibrahim ketika berucap pada Kongres Nasional PKR mengisytiharkan perang ke atas kerajaan Barisan Nasional jika enggan memenuhi tuntutan MTUC agar ia ditarik balik.

Hari ini, Alias Awang ketika ditanya The Malaysian Insider berkata beliau akan membawa usul berkenaan ke mesyuarat majlis am MTUC yang dijadual diadakan dalam waktu terdekat.

“Saya akan bawa ke mesyuarat nanti,” katanya sambil menambah, “apa yang saya sebutkan sudah ada dalam resolusi.”

Perhimpunan hari ini meluluskan menentang Rang Undang-undang Kerja kerana mewujudkan pihak syarikat dengan sewenang-wenangnya akan menggunakan pekerja-pekerja kontrak secara berleluasa, menafikan hak rakyat tempatan untuk mendapatkan pekerjaan tetap di syarikat-syarikat, melupuskan hak pekerja untuk mendapatkan faedah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan Perkeso, rawatan perubatan, pekerja juga boleh ditamatkan perkhidmatannya pada bila-bila masa tanpa mendapat apa-apa faedah daripada syarikat, peluang tawar-menawar kesatuan akan lemah dan generasi rakyat Malaysia akan datang bakal dinafikan pekerjaan tetap.

Lebih 1,000 orang menghadiri perhimpunan hari ini - pertemuan ketiga sejak 3 Oktober lalu.

MTUC mengadakan piket 3 Oktober di pekarangan bangunan Parlimen dan disusuli dengan piket peringkat nasional pada 3 November lalu.

Dalam pada itu, bekas presiden MTUC Syed Shahir Syed Mohamud dalam ucapannya berkata, pindaan Akta Kerja perlu ditentang demi pekerja-pekerja masa depan.

Malah kata beliau, pindaan ini jika diterima bukan sahaja akan memberi kesan ke atas pekerja, malah akan menjejaskan masa depan kesatuan sekerja.-tmi

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...