29 November 2011

RIBUAN BERHIMPUN BANTAH BIL PERHIMPUNAN AMAN


Peguam-peguam di seluruh negara yang berada di bawah naungan Majlis Peguam Malaysia sedang berhimpun di Kelab Taman Perdana Diraja, Kuala Lumpur bagi meluahkan bantahan terhadap penggubalan Akta Perhimpunan Aman 2011.

Rang undang-undang yang akan dibahaskan di Dewan Rakyat hari ini untuk bacaan kali kedua dijangka akan diundi pada malam ini.

Sambil menyifatkan rang undang-undang itu akan merampas hak rakyat yang dijamin oleh perlembagaan, presiden Majlis Peguam, Lim Chee Wee berkata peguam di seluruh negara tidak sepatutnya hanya menyaksikan kebebasan rakyat disekat tanpa membuat sebarang tindakan.

Justeru, Majlis Peguam Malaysia telah mengerahkan anggotanya supaya berkumpul di Kelab Taman Perdana Diraja dan akan berjalan kaki menuju ke Parlimen sebagai menunjukkan bantahan mereka meskipun bersetuju membuat beberapa pindaan kecil.

Perarakan yang dinamakan ‘Walk for Freedom’, akan menyaksikan peguam-peguam berjalan sejauh kira-kira dua kilometer menuju ke bangunan Parlimen bermula jam 11.30 pagi ini.

Sebuah lagi kumpulan pendesak 'Occupy' juga dilapor akan berhimpun selama tiga hari berturut-turut di hadapan bangunan Parlimen bagi menunjukkan bantahan yang sama.-mk


Perhimpunan aman: Majlis Peguam gubal RUU alternatif ‘mesra’, notis lima hari

KUALA LUMPUR, 29 Nov — Majlis Peguam merangka Rang Undang-undang Perhimpunan Aman 2011 alternatif kepada rang undang-undang kontroversial dibawa pentadbiran Najib, beberapa jam sebelum ia hendak dibahaskan di Dewan Rakyat hari ini.
Rang undang-undang disediakan Majlis Peguam ini akan dikemukakan kepada kerajaan pada kempen Walk For Freedom ke bangunan Parlimen, pukul 11.30 pagi ini.

Semalam, Presiden Majlis Peguam Lim Chee Wee (gambar) menulis surat terbuka kepada kesemua Ahli Parlimen agar menolak Rang Undang-undang Perhimpunan Aman, sebaliknya meminta mereka selaku wakil rakyat terpilih mempertimbangkan syor mereka dan merujuk kepada jawatankuasa pilihan khas Parlimen.

Sebelum ini banyak pihak termasuk pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan dan pembangkang mendakwa Rang Undang-undang Perhimpunan Aman 2011 pentadbiran Najib dibuat secara tergesa-gesa dengan mengekang kebebasan rakyat.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak membawa undang-undang itu sebagai pengganti kepada pemansuhan Seksyen 27 Akta Polis.

Di bawah rang undang-undang alternatif itu, Majlis Peguam mengesyorkan penganjur hanya perlu memberi notis lima hari berbanding 30 hari yang diperuntukkan oleh pentadbiran Najib sebelum ini.

Ekoran kritikan dan kecaman ramai, pentadbiran Najib bersetuju agar ia dikurangkan kepada 10 hari. Kabinet memutuskan tujuh pindaan dalam mesyuarat mingguannya Jumaat lalu.

Semalam, Najib mendakwa banyak pihak salah tafsir kandungan rang undang-undang dibawa beliau.

“Apabila satu perhimpunan hendak diadakan, penganjur perlu memaklumkan OCPD dalam bentuk tulisan sekurang-kurangnya lima hari sebelum perhimpunan,” kata RUU Perhimpunan Aman disediakan oleh Majlis Peguam, yang diedarkan kepada media.

Selain itu katanya, notis tidak perlu diberi kepada perhimpunan-perhimpunan aman yang tidak munasabah atau tidak praktikal untuk dilakukan, antaranya kempen pilihan raya.

Peruntukan lain disyorkan termasuklah:

- OCPD, selepas menerima notis, akan mengadakan perbincangan dengan penganjur dengan niat mahu memudahkan penganjuran perhimpunan aman

- OCPD perlu memaklumkan penganjur jika apa-apa syarat hendak dikenakan dalam tempoh 48 jam selepas menerima notis

- Pembentukan Lembaga Perhimpunan Aman dengan 25 anggota, antara lain untuk mendengar sebarang permohonan daripada OCPD atau penganjur, mewujudkan kefahaman mendalam di kalangan orang ramai mengenai isu-isu berkaitan perhimpunan awam yang aman

- Tugas anggota di tempat perhimpunan aman

- Tiada anggota polis harus berada di kawasan perhimpunan persendirian

- Peranan pihak media

- Hukuman denda ke atas penganjur yang melanggar undang-undang ini tidak melebihi RM5,000

- Anggota polis yang melanggar akta ini, yang disabitkan kesalahan boleh didenda RM5,000

Di bahagian nota penjelasan dalam RUU Perhimpunan Aman alternatifnya, Majlis Peguam berkata, pendekatan kerajaan dalam menyediakan hak untuk berhimpun adalah terlalu terhad dan terbatas selain tidak selari dengan norma-norma antarabangsa ataupun kemajuan dalam hak asasi manusia yang turut diapirasikan oleh rakyat Malaysia.

“Majlis Peguam merangka rang undang-undang ini dengan hasrat mahu menggalak dan memudahkan kebebasan untuk mengadakan perhimpunan aman,” kata nota keterangan itu lagi.

Ia juga menyebut bahawa tindakan kerajaan mengharamkan protes jalanan menunjukkan tiada bidang kuasa progresif melakukan sedemikian.

Malah, Majlis Peguam juga berkata rang undang-undang dibawa kerajaan meletakkan kuasa dan kawalan keterlaluan ke atas bahu polis yang sudah pun memikul beban besar dalam tugas dan tanggungjawab seharian.

Sehubungan itu katanya, peruntukan tersebut tidak boleh diterima sebab polis menjadi “hakim dan juri sendiri dalam perkara berkaitan dengan kebebasan berhimpun.”

Satu lagi perkara ditekankan dalam RUU Perhimpunan Aman Majlis Peguam ialah definisi mengenai perhimpunan awam, di mana ia menggariskannya sebagai satu pertemuan melibatkan lebih daripada 50 orang, yang diadakan di kawasan awam sama ada di kawasan tertentu atau yang bergerak, dan ini termasuklah kempen pilihan raya-TMI


CADANGAN PINDAAN RUU PA AKAN DIBENTANG DAN OLEH KERAJAAN HARI INI

RUU Perhimpunan Aman: Enam pindaan, 48 jam penganjur kena rayu


KUALA LUMPUR, 29 Nov — Pindaan ke atas Rang Undang-undang Perhimpunan Aman 2011 hanya memberi penganjur perhimpunan tempoh selama 48 jam berbanding empat hari sebelum ini untuk membuat rayuan berhubung sekatan dan syarat dikenakan polis.
Notis mengenai enam pindaan itu yang dikemukakan kepada ahli-ahli Parlimen hari ini menyebut bahawa langkah berkenaan diambil selari dengan pengurangan tempoh notis yang penganjur perlu beri kepada polis.

Sabtu lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz (gambar) berkata tujuh pindaan akan dibawa di peringkat jawatankuasa perbahasan hari ini dan keputusan itu dibuat oleh Kabinet Jumaat lalu.

Klausa 15 rang undang-undang itu membolehkan polis mengenakan sekatan ke atas pelbagai aspek perhimpunan termasuk masa dan tempat demi keselamatan atau ketenteraman awam bagi melindungi hak dan kebebasan orang lain.

Klausa 16 pula berkata mana-mana penganjur yang tidak puas hati dengan sekatan dan syarat-syarat dikenakan boleh merayu kepada Menteri Dalam Negeri dalam tempoh empat hari.

Pindaan yang dibawa juga mewajibkan menteri bertanggungjawab membalas rayuan dalam tempoh 48 jam berbanding enam hari sebelum ini.

Enam pindaan dibawa ekoran kritikan dan kecaman pelbagai pihak rang undang-undang itu dibentangkan awal minggu lalu.

Rang Undang-undang Perhimpunan Aman mengehendaki penganjur mengemukakan notis mengadakan perhimpunan dalam tempoh 30 hari.

Kini, pindaan itu hanya memerlukan notis dikemukakan dalam tempoh 10 hari.

“Pindaan kepada Klausa 12, 14 dan 16 selari dengan pindaan ke atas Klausa 9,” kata nota keterangan itu.

Pindaan ke atas rang undang-undang ini juga memerlukan polis memaklumkan pelbagai pihak yang berkepentingan tentang butiran perhimpunan dalam tempoh 24 jam berbanding 48 jam sebelum ini selepas dimaklumkan oleh penganjur.

Pihak-pihak berkepentingan akan diberi dua hari, berbanding lima hari sebelum ini, untuk melahirkan kebimbangan atau bantahan kepada polis.

Polis juga dikehendaki memberi respons kepada penganjur dalam tempoh lima hari berbanding 12 hari sebelum ini dari tarikh dimaklumkan oleh penganjur bersama butiran syarat atau sekatan dikenakan.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...