10 September 2011

PR Cadang Tujuh Jawatankuasa Khas Bahas Belanjawan

by Dr. Dzul
Ditulis oleh Sharifah Azmawati Syed Abd Aziz


PETALING JAYA 9 Sept : Pakatan Rakyat mencadangkan sekurang-kurangnya tujuh jawatankuasa untuk

membahaskan secara terperinci belanjawan yang akan dibentangkan awal bulan depan, sama seperti amalan yang dilakukan oleh negara berparlimen yang lain.
Jawatankuasa itu nanti bakal membariskan semua ahli parlimen Pakatan Rakyat, kerajaan dan menteri-menteri mengikut kepakaran masing-masing.

Cadangan itu dinyatakan secara bersama oleh Sekretariat Pakatan Rakyat yang terdiri daripada ahli parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad, ahli parlimen Bukit Bendera Liew Chin Tong dan ahli parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar.

“Kami cuba rasionalisasikan dengan tujuh jawatankuasa ini supaya ianya dapat dipertahankan bersama-sama YB dan kumpulan pakar dan pihak yang boleh kita manfaatkan dari akademik, industri, di mana kelompok yang kami rasakan dapat membantu negara dan akhirnya dapat melihat pada unjuran ekonomi akan datang sekali gus kita mempunyai kepakaran untuk negara.

“Dengan setiap ahli jawatankuasa nanti, kita akan mampu untuk memiliki tenaga pakar dan pengalaman untuk jangka masa panjang, “ jelas Dr Dzul.

Menurut Jawatankuasa Belanjawan pakatan Rakyat, cadangan untuk mewujudkan jwatankuasa khas ini berikutan kaedah yang diguna pakai sekarang kurang berkesan.

Oleh itu, penubuhan tujuh jawatankuasa yang dipecahkan kepada Hal-Ehwal Kebangsaan dan Antarabangsa, Jawatankuasa Ekonomi dan Kewangan, Jawatankuasa Keselamatan, Jawatankuasa Pendidikan, Bakat dan Pekerjaan, Jawatankuasa Pembangunan Pertanian dan Serantau, Jawatankuasa Infrastruktur, Pengurusan Sumber, dan Alam Sekitar, dan Jawatankuasa Kebajikan Masayarakat wajar dipertimbangkan.

Manakala semua 25 kementerian sedia ada akan ditempatkan di bawah jawatankuasa-jawatankuasa yang sepatutnya.

Dalam pada itu, Dr Dzul juga memberitahu, Sekretariat Pakatan Rakyat juga turut mencadangkan agar setiap ahli parlimen diberi peruntukan RM10,000 sebulan untuk melantik seorang penyelidik dan seorang pembantu untuk meningkatkan keupayaan ahli-ahli parlimen dalam tugas menggubal undang-undang.

“Dan apa yang lebih penting daripada itu, kami mengharapkan supaya dalam peruntukan nanti ada peruntukan untuk setiap ahli yang berhormat atau parlimen diberikan peruntukan sebanyak RM10, 000 sebulan untuk pegawai dan pembantu penyelidikan supaya dapat meningkatkan keupayaan mereka dan membuat persiapan dalam perbahasan serta debat dalam rang-rang undang khususnya bajet,” katanya.

Belanjawan pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk 2012 dilihat penting dalam carta ekonomi negara ketika kebimbangan kemelesetan ekonomi global disebabkan oleh krisis hutang di Amerika Syarikat dan Eropah.

Pertumbuhan ekonomi Malaysia juga telah hilang momentum selepas pulih kepada 7.2 peratus tahun lepas menurun kepada 4.9 dan 4 peratus dalam tempoh dua suku pertama tahun 2011 masing-masing.

Sementara itu, naib presiden PKR, Nurul Izzah Anwar Ibrahim berkata, memandangkan iklim ekonomi dan keperluan untuk mengurangkan defisit, penggubal undang-undang juga perlu menyokong panggilan untuk pemantauan yang lebih ketat bagi peruntukan menteri.

“Kami zahirkan keprihatinan atas hal ini terutamanya bagaimana peruntukan bajet itu dibelanjakan, jadi secara teliti saya katakan semua pihak harus sedar hal ini dan daripada sibuk dengan hal politik pemimpin hari ini, kita perlu memberi fokus kepada apa yang anggaran penting yang diberi rintangan ekonomi negara sedang menghadapi,” katanya dengan tegas.

PR akan membentangkan bajetnya sendiri pada 4 Oktober ini untuk memberikan masa kepada media untuk mengulas.

Dalam tempoh 48 jam selepas itu pula, rakyat Malaysia akan pula mendengar dan membandingkan bajet 2012 yang akan dibentangkan pada 7 Oktober ini oleh Najib Razak yang juga merupakan Menteri Kewangan.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...