26 Ogos 2011

Bimbang Melayu KL 'hilang', PAS anjur konvensyen

Bimbang Melayu KL 'hilang', PAS anjur konvensyen

PAS akan menganjurkan konvensyen membincangkan isu tanah dan perumahan Kuala Lumpur ekoran kebimbangan golongan Melayu diasak pembangunan hingga terpaksa berhijrah keluar.

Pengerusi lajnah tanah dan pembangunan Wilayah PAS Mazlan Aliman (bawah, berbaju hijau) berkata, program itu dirancang atas kesedaran orang Melayu mahu kedudukan mereka terpelihara di samping pembangunan berterusan.
"Di kampung-kampung tradisi besar seperti Kampung Baru dan Padang Balang (di Gombak), pemaju berlumba-lumba untuk dapatkannya.

"Menteri juga dihimpit keuntungan dan komisyen. Jadi, kita bimbang saki-baki orang Melayu yang ada di Kuala Lumpur tidak akan dapat diteruskan," kata Mazlan.

Program anjuran bersama lajnah itu dan PAS Wilayah Persekutuan itu akan diadakan pada 22 Oktober melibatkan sekurang-kurangnya 500 peserta pelbagai latar. Tempatnya masih belum ditentukan.

Hadir sama dalam majlis itu Pesuruhjaya PAS Wilayah Mohamad Noor Mohamad dan pengarah konvensyen Nasaie Ismail.

Sementara itu Mohamad Noor berkata sudah sampai masanya masalah orang Melayu melibatkan isu Kampung Baru, perobohan setinggan serta itu pembinaan rumah mewah dan bukan mampu milik diketengah dan didedah.

"Jika kita lihat dalam pelan struktur Kuala Lumpur, tak nampak pada usaha untuk mengelamatkan (Tanah Melayu) tetapi usaha menghilangkan," katanya.

Sementara Nasaie berkata empat masalah utama yang akan dibincangkan dalam konvensyen itu ialah:

Pengambilan sebahagian besar daripada 20 Kampung tradisi (rezab Melayu) di Kuala Lumpur untuk pembangunan projek mewah.
Jaminan orang Melayu menjadi pemilik mutlak aset Kampung Baru yang terdiri daripada beberapa kampung kecil di tengah bandar raya.
Perobohan setinggan dan pemindahan penduduk ke rumah PPR secara sewaan dan dengan kemudahaan asas sangat bermasalah.
Kekurangan rumah mampu milik di ibu negara menyebabkan 70 peratus generasi kedua Kuala Lumpur berhijrah keluar, terutamanya selepas berkahwin. -sumber MK

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...