03 Julai 2011

Husam: Saya malu Najib diberi info silap isu stesen teksi Pasir Puteh

Husam: Saya malu Najib diberi info silap isu stesen teksi Pasir Puteh

KUALA LUMPUR, 2 Julai – Exco Kerajaan Negeri Kelantan Datuk Husam Musa menegaskan Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) tidak pernah menjual tapak perhentian teksi di bandar Pasir Puteh, bahkan disediakan percuma untuk perkhidmatan teksi di bandar berkenaan.

Walaupun sebelum ini, PKINK mengenakan sedikit bayaran ke atas persatuan pemandu teksi Pasir Puteh, tetapi kini, bagi tujuan kebajikan ahli persatuan tersebut, PKINK tidak mengenakan sebarang bayaran.

Kata beliau, perdana menteri atau sesiapa sahaja boleh menunjukkan bukti atas dakwaan mereka.

“Sudah tentu perdana menteri tidak mampu berbuat demikian kerana isu ini adalah modal atas angin semata-mata,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Selaku rakyat Malaysia, kata Husam, beliau merasa malu atas salah maklumat yang disampaikan kepada pemimpin terpenting negara ini sehingga Najib menyebut sesuatu yang tidak berasas dalam ucapannya.

“Saya menggesa agar perdana menteri menyemak pihak yang telah memberikan maklumat tidak bertapis seperti itu bagi mengelakkan kenyataan yang sama berulang, yang boleh menjejaskan kredibiliti beliau,” katanya lagi.

Dalam ucapan pagi tadi di Pasir Putih, Najib yang mengadakan lawatan kerja ke Kelantan berjanji akan menyediakan pejabat baru kepada Persatuan Pemandu Teksi Jajahan Pasir Puteh setelah kerajaan PAS Kelantan merampas tapak perhentian teksi di bandar Pasir Puteh itu dan menjualnya kepada sebuah syarikat swasta.

Beliau berkata kerajaan pusat akan mencari lokasi baru yang sesuai untuk dijadikan tapak perhentian teksi di dalam bandar Pasir Puteh.

Beliau juga meluahkan rasa kesal terhadap tindakan kerajaan negeri melalui PKINK yang memutuskan untuk menjual tapak perhentian teksi di Pasar Lama Pasir Puteh setelah lebih 20 tahun perhentian itu beroperasi.

“Insya-Allah kita akan bantu dirikan pejabat baru,” katanya.

Selain itu, kata Husam, perkembangan pagi tadi juga menunjukkan Barisan Nasional tidak mempunyai isu besar yang boleh dibangkitkan sehingga maklumat tidak berasas pun terpaksa dijadikan modal.

“Saya yakin, jika perdana menteri sanggup menggunakan maklumat atas angin seperti itu, tentulah dalam isu yang lain juga beliau mudah membeli maklumat bakul sampah, termasuk dalam isu himpunan menuntut pilihan raya yang bersih dan adil pada 9 julai ini.

“Isu yang lebih besar seperti rampasan wang royalti minyak Kelantan tidak pula disebut. Isu-isu janji pilihan raya Pengkalan Pasir, Manek Urai dan Galas yang belum selesai juga tidak disebutkan,” katanya lagi.

Husam yang juga Naib Presiden PAS berkata, beliau yakin kerajaan negeri bersedia memberikan tapak berkenaan untuk dimajukan dengan kemudahan yang lebih baik jika kerajaan pusat serius untuk memajukannya.

Katanya, apa yang berlaku ialah ada pihak tertentu pernah memohon untuk membeli tapak berkenaan bagi kemudiannya diserahkan kepada pihak lain untuk dimajukan tetapi permohonan tersebut telah ditolak oleh PKINK bagi mengekalkan kedudukan tapak teksi tersebut.

“Saya selaku anggota Kerajaan Negeri terkejut dengan dakwaan perdana menteri bahawa tapak stesyen teksi Pasir Puteh yang beroperasi sekarang telah dijual oleh PKINK. Selain itu, kenyataan beliau juga menyebut tapak itu telah dirampas oleh Kerajaan Negeri melalui PKINK,” katanya lagi sambil menambah, kenyataan Najib tidak berasas sama sekali.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...