08 Julai 2011

Bersih 2.0 : 30 Jalan Di KL Ditutup Sabtu Ini,Juga Hentian Puduraya

KUALA LUMPUR 8 JULAI : Menjelang tiga perhimpunan yang akan dianjurkan oleh Bersih 2.0, Perkasa dan Pemuda Umno pada Sabtu ini, polis sudah mula mengenal pasti hampir 30 jalan utama di ibu negara untuk ditutup kepada trafik.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh mendakwa pihaknya menerima laporan bahawa beberapa kumpulan merancang untuk berkumpul di beberapa lokasi kawasan panas di sekitar ibu negara.

Malah, beliau turut menasihatkan orang ramai supaya menjauhkan diri dari Kuala Lumpur pada hari Sabtu jika tiada urusan di bandar raya.

Bagaimanapun katanya, mereka yang bekerja dan tinggal di kawasan terbabit akan dikecualikan.

Antara jalan utama yang akan ditutup kepada trafik pada Sabtu ini ialah seperti berikut :

Jalan Syed Putram Jalan Istana, Jalan Bukit Petaling, Jalan Bellamy dan kawasan sekitar Istana Negara.

Jalan Sultan Hishammuddin, Jalan Lembah Perdana, Jalan Chenderasari dan kawasan sekitar Masjid Negara.

Kawasan sekitar Dataran Merdeka, Pasar Seni, Masjid Jamek, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Kompleks Sogo, Maju Junction, Masjid Kampung Baru, Jalan Kinabalu, Jalan Kuching, Jalan Sultan Ismail, Jalan Raja Laut, Jalan Sri Amar, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Jalan Haji Taib, Jalan Raja Muda Musa, Jalan Raja Bot, Jalan Raja Abdullah, Jalan Dang Wangi, Jalan Munshi Abdullah, Jalan Gereja, Jalan Raja Chulan, Jalan Tun Perak, Jalan Tun Tan Cheng Loke, Jalan Sultan Mahmud dan semua kawasan berhampiran


KUALA LUMPUR 8 JULAI : Kurang 36 jam menjelang perhimpunan Bersih 2.0 Sabtu ini, pihak berkuasa mula memperketatkan tindakan penguatkuasaan dengan mengarahkan supaya operasi Hentian Puduraya, yang terletak di pusat bandar raya Kuala Lumpur ditutup buat sementara waktu mulai tengah malam ini dan dipindahkan ke lokasi lain.

Hentian Puduraya, merupakan salah satu hentian utama di ibu negara yang mengendalikan 300 perjalanan setiap hari.

Pusat perhentian itu terletak kira-kira dua kilometer dari Stadium Merdeka dimana Bersih 2.0 merancang untuk mengadakan perhimpunan Sabtu ini sebelum membatalkan perhimpunan jalanan.

Pengerusi UDA Holdings Datuk Nur Jazlan Mohamed yang dihubungi turut mengesahkan bahawa operasi Hentian Puduraya itu akan dihentikan buat sementara mulai tengah malam ini dan pada hari Sabtu.

“Saya dimaklumkan operasi bas di Hentian Puduraya akan dihentikan mulai tengah malam esok, dan juga sepanjang hari Sabtu,” kata beliau.

“Mungkin langkah ini diambil selaras dengan keputusan SPAD, dan tindakan polis,” kata beliau kepada The Malaysian Insider .

Semalam, Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) Tan Sri Syed Hamid Albar memaklumkan pihaknya tidak akan mengeluarkan lesen sementara kepada bas kilang dan sekolah ke Kuala Lumpur.

Justeru itu, bas-bas ke utara dan timur akan beroperasi di perhentian Jalan Duta manakala bas-bas ke selatan pula akan bergerak dari Terminal Bas Bersepadu di Bandar Tasik Selatan.

Selain Hentian Puduraya, warga Kuala Lumpur boleh menggunakan perkhidmatan bas di Hentian Jalan Duta, Terminal Bas Bersepadu di Bandar Tasik Selatan dan Hentian Pekeliling.

Dalam pada itu, Pengarah Urusan Syarikat Prasarana Negara Berhad (SPNB) menafikan khabar angin bahawa perkhidmatan tren transit aliran ringan di beberapa stesen akan mengalami gangguan pada Sabtu ini.

“Tidak, tidak,” kata beliau ketika ditanya sama ada pihaknya ada sebarang rancangan atau telah menerima sebarang arahan daripada pihak berkuasa agar menghentikan operasi perkhidmatan tren aliran ringan pada Sabtu ini.

SPNB memiliki tren aliran ringan laluan KL-Ampang dan Gombak-Kelana Jaya.

Bagaimanapun menurut SPAD, ia masih bergantung pada tindakan dan arahan susulan daripada kerajaan.

“Operasi kami adalah normal, tetapi kami akur kepada sebarang keputusan dibuat oleh pihak berkuasa yang relevan,” kata seorang jurucakap SPAD ketika dihubungi.

Jurucakap SPAD itu juga mengesahkan bahawa Kabinet belum lagi mengeluarkan sebarang arahan mengenai perkara itu.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...