12 Jun 2011

Tiada tradisi intelek sebenar di Malaysia

KUALA LUMPUR, 12 JUN – Di Malaysia, hampir sudah tidak ada dialog dan wacana yang bernas dan munasabah, kecuali jerit-menjerit dan maki-hamun dalam menangani isu-isu semasa.

Ia adalah hasil proses amalan Mahathirisme selama lebih dua dekad yang menjangkiti pemikiran rakyat sehingga semua dialog dianggap propaganda sahaja, kata budayawan Eddin Khoo.

“Kesan Mahathirisme telah membuatkan rakyat menganggap dialog dan wacana sebagai propaganda. Dan propaganda dalam erti sebenarnya untuk mempengaruhi pemikiran orang ramai telah ditukar menjadi sesuatu yang buruk dan ditolak oleh rakyat.

“Sehinggakan dialog pada masa kini hanya menjadi medan untuk marah dan maki hamun tanpa mempunyai isi yang bernas. Berbza dengan negara-negara yang matang budaya intelek mereka, kita di Malaysia tidak ada tradisi intelek yang sebenar,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program bedah buku Malaysia Milik Kita Bersama: Perjuangan 45 Tahun Parti Tindakan Demokratik (DAP) tulisan Wan Hamidi Hamid anjuran Roketkini di sini, semalam.

Menurut Eddin, dialog-dialog politik era bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohammad telah terberkas dalam jiwa kebanyakan rakyat sehingga muncul dialog-dialog yang tak punya makna dan tak masuk akal sampai ke hari ini.

Dengan itu, katanya, kehadiran buku Malaysia Milik Kita Bersama sangat berfaedah kepada orang ramai kerana ia memberikan pengenalan ringkas dan padat kepada sejarah politik DAP.

“Buku ini menjawab tuduhan dan tohmahan pihak tertentu terhadap parti ini, yang kononnya dikait dengan komunis, menacabar kedudukan Melayu dan sebagainya,” katanya.

Eddin menjelaskan buku itu yang berbentuk saranan adalah jawapan kepada lanskap politik semasa.

“Buku-buku saranan seperti ini mempunyai tempatnya sendiri, bukannya dilihat sebagai sesuatu yang negatif sahaja,” katanya.

Menurutnya, rakyat sebenarnya telah dipermainkan oleh ‘hantu-hantu politik’ yang menyebabkan sehingga sekarang masyarakat masih lagi ‘bertinju dengan bayang-bayang.’

“Politik yang dimainkan sekarang ialah politik yang sangat menekan dan gundah. Teruk sekali tohmahan terhadap DAP kerana memang ianya sangat buruk dan langsung tak memberi sedikit suntikan intelek.

“Dalam lanskap politik hari ini, yang dipenuhi dengan pendapat yang tak konkrit dan tak mendalam, adalah penting buku seperti ini diketengahkan idea-idea yang ditawarkan kepada orang ramai,” katanya.

Sesi dialog itu berjalan lancar dengan perbahasan dan perkongsian pendapat bersama hadirin yang datang dari pelbagai latar belakang pemikiran politik. – Roketkini.com

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...