Usaha ADUN Subang Jaya, Hannah Yeoh untuk mendaftarkan bangsa anak perempuannya sebagai 'Anak Malaysia' bukan sahaja mencetuskan perdebatan hangat tetapi membuka mata kepada satu lagi golongan yang tidak berpuas hati dengan sistem pendaftaran negara.
Bagi kaum pribumi di Semenanjung Malaysia yang berjumlah 150,000 atau dikenali sebagai Orang Asli yang kini dikategorikan sebagai 'lain-lain' dalam semua dokumen dan borang rasmi, istilah itu satu penghinaan kepada mereka.
Menurut perwakilan masyarakat Orang Asli, mereka dibenar mendaftarkan bangsa anak mereka pada sijil kelahiran sebagai 'Orang Asli' dan pengiktirafan itu berhenti setakat itu sahaja.
Ruang atau kolum 'bangsa' dalam semua borang dan dokumen rasmi kerajaan yang lain termasuk kad pengenalan hanya membenarkan mereka memilih 'lain-lain' sahaja.
"Ini satu penghinaan. Ia seolah-olah Orang Asli tak wujud,” kata Juli Blat dari Persatuan Orang Asli Semenanjung Malaysia, ketika dihubungi semalam.
"Nampaknya status kami sebagai penduduk asal di Malaysia tidak diiktiraf. Isu ini menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan kebanyakan aktivis Orang Asli.”
Aktivis Orang Asli dari Pahang Bob Manolan berkata amalan sekarang ini langsung tidak mencerminkan konsep 1Malaysia yang dicanangkan oleh Perdana Menteri.
"Siapa ini 'lain-lain'? Jika kerajaan ingin mengkategorikan kami sebagai 'lain-lain', mereka seharusnya membuang bangsa lain seperti Melayu, Cina dan India - letak sahaja kewarganegaraan kami dan hapuskan sahaja bangsa.
"Kalau mereka mahu letak bangsa, pilihan juga mesti diberikan kepada bangsa-bangsa lain,” katanya.
Mengongsi pandangan yang sama adalah penyelaras Rangkaian Perkampungan Orang Asli Semenanjung Malaysia Tijah Yok Chopil yang berkata hak untuk menyatakan sesuatu bangsa tidak sepatutnya dihadkan kepada kaum tertentu sahaja.
"Kami adalah orang asal di bumi ini tetapi apabila timbul soal bangsa, kami dikategorikan sebagai 'lain-lain', ini tidak adil,” kata aktivis dari Perak itu.
"Kerajaan patut hapuskannya saja. Cuma letak kami sebagai warga Malaysia,” katanya
-mk
Tiada ulasan:
Catat Ulasan