08 Jun 2011

SAMA SAMA KITA RAYAKAN

NEGARA KEBAJIKAN – KEMENAGAN MAT SABU

Bila saya melihat dan membaca keputusan pemilihan Pas yang baru maka saya yakin satu ledakan politik telah berlaku. Kemenangan Mat Sabu dan pucuk pimpian baru mengambarkan satu perubahan dasar telah juga berlaku. Mat Sabu dan pasokan yang baru ini hanyalah tanda dan makna manifestasi ledakan ini.

Kemudian, saya membaca laporan Hadi Awang yang mengajukan Negara Kebajikan sebagai garis perjuangan Pas. Bila saya terbaca ini maka jelas telah berlaku satu anjakan dasar yang maha besar. Anjakan ini akan membawa makna politik yang dalam bukan sahaja di Malaysia malah di Asia Tenggara.

Sebelum ‘ledakan’ ini berlalu kita selalu terbaca dan terdengar tentang Pas ke hulu ke hilir menjajakan apa yang mereka panggil Negara Islam sebagai agenda politik. Pelik tetapi benar – ajenda politik Negara Islam ini amat-amat dicintai dan disayangi juga oleh United Malays National Organisation.

Tetapi cinta dan kaseh sayang United Malays National Organsiation terhadap Negara Islam bukan bermakna parti ini akan mengimplementasikan apa-apa dasar yang bersangkutan dengan Islam. Parti ini hanya mendorongkan Pas agar mengambil ajenda Negara Islam ini sebagai garis perjuangan. United Malays National Organsiation akan berjoget dan bertandak – berkenduri dan berkendara - jika Pas terus menerus berlabon dan bergebang tentang Negara Islam. Ini kerana ajenda Negara Islam ini adalah ajenda jalan mati.

Justeru apabila keputusan pemilihan yang terbaru ini diumumkan – saya terbahak-bahak ketawa. Saya ketawa apabila melihat tangisan United Malays National Organisation yang terus merayu-rayu agar Pas tidak meninggalkan ajenda Negara Islam. United Malays National Organisation bermati-matian berusha mendorongkan Pas untuk terus mengambil jalan mati ini.

United Malays National Organisation ini telah lupa bahawa telah berlaku satu kesedaran di kalangan ahli-ahli Pas. Mereka telah sedar bahawa ajenda Negara Islam yang diwar warkan selama ini tidak akan membawa mereka ke gedung kuasa. Mereka juga sedar selama ini mereka sengaja di perangkap dalam kejumudan fikrah yang mengajukan ajenda Negara Islam.

Didalam sejarah politik moden bukan sesuatu yang mutahil untuk menubuhkan satu parti politk yang berasaskan agama. Di Pakistan dan India terdapat parti politik yang berasakan agama – ada yang berasaskan Islam dan ada yang berasaskan Hindu. Di Eropah juga kita akan bertemu dengan parti yang berasaskan agama Kristian.

Memang bukan satu jenayah di Malaysia ini untuk mengajukan Negara Islam sebagai agenda politik. Juga bukan satu jenayah untuk mencadangkan agar Bahasa Melayu akan di gunakan oleh Nasa ketika Nasa menghantar roket ke Bintang Marikh pada tahun hadapan. Dalam konteks ini mengajukan sesuatu bukan salah. Yang dipersoalkan apakah pekara yang diajukan itu masuk akal atau tidak. Diterima umum atau ditolak oleh orang ramai.

Hakiktnya : Islam ialah agama. Kristian ialah agama. Hindu ialah agama. Agama ialah kepercayaan. Agama bukan sistem ekonomi. Agama mengajukan dasar-dasar induk dan prinsip-prinsip besar agar umat dan penganutnya membuat kebajikan dan menegak keadilan. Maka , terpulangkan kepada si penganut untuk berfikir dan merencana satu sistem ekonomi yang terbaik untuk melahirkan masyarakat seperti yang dituntut oleh ajaran agama.

Menghantuk-hantukkan kepala sambil menjeritkan ‘ aku nak tubuh Negara Islam’ atau tunggang terbalik menjerit-jerit untuk menubuhkan Negara Kristian terbukti bukan satu langkah politik yang bijak.

Politik ialah tentang kuasa. Perebutan politik ialah perebuatan kuasa. Kuasa di rebut kerana ekonomi. Yang kaya ingin membolot semua punca-punca ekonomi. Yang miskin mahu berjuang agar agihan ekonomi dilakukan dengan lebih adil. Inilah hakikat politik. Justeru politik dan ekonomi mustahil dapat dipisah-pisahkan. Justeru mana-mana parti politik yang tidak mengajukan dasar ekonomi yang jelas pasti akan terkubur.

Agenda lama – Negara Islam – yang diajukan oleh Pas itu bukan agenda ekonomi. Saya selalu berhadapan dengan sosok-sosok agamawan bukan hanya di Malaysia malah di luar negara pun sama. Mereka ini akan meloncat mengambur untuk mengatakan bahawa Islam itu lengkap. Negara Islam itu negara lengkap. Sosok-sosok ini akan melaungkan kepada umum bahawa Islam itu ada ajenda ekonominya. Jika ditekan lagi dan ditanya apakah agenda ekonominya maka akan terpancut perkataan : zakat. Kalau hanya zakat ekonomi Islam maka umatnya pasti dalam terus hidup dalam kegelapan.

Justeru apabila Pas mengalihkan dasar Negara Islam kepada Negara Kebajikan maka jelas kepada saya bahawa parti Pas ini sudah mendewasa. Parti ini telah lama dibakar dan ditempa. Telah rebah terbarai dan telah bangun berkumpul. Parti ini telah mengumpulkan pengalaman. Pada hemat saya, sesudah pemilihan akhir ini saya rasakan Pas telah bersedia untuk mengambil alih pentabiran negara ini dari United Malays National Organisation.

Untuk gerombolan United Malay National Organisation yang merasa sedih lagi kecewa kerana Pas telah meninggalkan jalan mati - Negara Islam – biar saya hiburkan disini. Memang tepat dan benar Pas hari ini tidak akan heboh heboh lagi dengan Negara Islam. Negara Islam adalah agenda passé – agenda semalam yang telah basi.

Sedarlah wahai United National Organisation bahawa agenda Negara Kebajikan ini sebenarnya adalah intipati dari ajaran kitab suci Al- Quran. Banyak ayat-ayat didalam kitab suci yang jelas mengajukan agar umat Islam diatas dunia membuat kebajikan dan menentang kezaliman. Kesah-kesah Nabi yang terdapat didalam kitab Al-Quran semuanya menjurus kepada perjuangan menentang kebatilan dan kezaliman untuk menegakkan keadilan. Justeru Negara Kebajikan ini adalah agenda yang lebih Islamik dari Negara Islam yang lompong dan retorikal.

Negara Kebajikan ini adalah agenda politik yang merangkumi ekonomi. Kebajikan yang dimaksudkan ini wajiblah kebajikan untuk anak semua bangsa. Kebajikan ini adalah kebajikan yang akan melintasi garis agama dan bangsa. Kebajikan ini pastilah kabajikkan untuk majoriti warga. Bukan kebajikan untuk kaum kerabat dan kroni.

Untuk memahami konsep Negara Kebajikan ini maka kita wajib kembali kepada asas pemahaman kita tentang politik dan parti politik. Parti politik ialah satu perhimpuan /perkumpulan orang ramai yang bercita-cita untuk mengambil alih kuasa. Pas secara terbuka telah menyatakan bahawa mereka mahu mengambil alih kuasa. Ini bukan satu yang salah.

Pasukan Pas yang baru dipilih ini juga merasa bahawa mereka lebih layak untuk mentabir punca-punaca ekonomi negara ini dari United Malays National Organisation. Mereka merasa mereka akan berlaku adil untuk menegakkan agenda Negara Kebajikan mereka.

Jika agenda Negara Kebajikan Pas ini dilihat meyakinkan anak semua bangsa maka tidak dapat tidak politik lanskap Malaysia akan berunah. Malah pasokan Pas yang baru ini, jika mereka dapat merealisasikan Negara Kebajikan maka lanskap politik Asia Tenggara juga akan berubah. Mata Asia dan mata dunia akan melihat kedewasaan dan keyakinan penganut Islam untuk membawa satu rencana ekonomi yang bukan hanya dijawab dengan satu perkataan : zakat.

Agenda Negara Kebajikan Hadi dan Mat Sabu ini pasti akan diduga. Dugaan yang akan datang ini akan melintasi niat , prinsip dan falsafah. Real politik akan sampai bilamana Hadi , Mat Sabu dan pasukan ini akan diduga apabila sebuah kawasan setinggan dirobohkan. Apakah Pas akan berdiri di pihak setinggan atau di pihak pemaju. Apakah Pas akan berdiri di pihak rakyat yang tanah telah dirampas atau di pihak pemaju.

Jika keadaan ini dihadapkan kepada pucuk pimpinan baru Pas ini , maka saya cadangan para pembaca mudek kembali ke asas politik. Seperti yang telah saya tulis minggu lalu – politik ialah perjuangan. Perjuangan politik ialah perjuangan kelas. Di kelas mana nanti Hadi dan Sabu akan berdiri. Apakah dikelas yang tertindas atau di kelas yang menindas. Saya masih lagi sanggup menunggu untuk melihat.(TT)

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...