Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengambil peluang hari ini untuk menjelaskan barisan kepemimpinan barunya dan persediaan yang perlu diambil parti itu dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang.
Katanya, ada pihak yang mendakwa bahawa parti itu kini telah diambil alih oleh golongan pemimpin Erdogan, namun dakwaan itu nyata meleset.
"Ini bukan Erdogan, ini parti PAS. Ini Abdul Hadi dan Nik Abdul Aziz," tegasnya dalam ucapan penangguhannya di muktamar ke-57 parti itu petang ini.
Abdul Hadi juga menjelaskan bahawa parti itu berbeza daripada Parti AK yang diketuai Recep Erdogan di Turki - pemimpin yang dikaitkan dengan barisan pemimpin profesional PAS.
"Ini Parti Islam Se-Malaysia. Ini bukan Turki, ini Malaysia. Turki haramkan parti Islam. AK bukan parti Islam, mereka isytihar parti mereka bukan parti Islam.
"Mereka ikut agenda barat seperti dilaporkan laman web RAND Corporation," kata Abdul Hadi lagi yang kelihatan bertenaga ketika menyampaikan ucapan tersebut.
Ulama masih main peranan
Secara berjenaka, beliau turut menyebut mengenai barisan pemimpin baru ini tetap mempunyai lapan orang yang berkelulusan agama, termasuk dua orang doktor, dua orang jurutera dan seorang peguam.
"Di samping yang dipilih ini, pelembagaan peruntukkan boleh lantik enam orang ahli jawatankuasa pusat, empat orang lagi anggota dewan harian dan 14 orang pesuruhjaya.
"Oleh itu walau pihak luar anggap (ulama) yang tak dipilih ini tercorot, mereka tetap main peranan dalam parti," katanya lagi yang berpendapat bahawa perwakilan telah membuat pemilihan dengan "sangat bijak."
Namun, di sebalik pujiannya kepada para perwakilan itu, Abdul Hadi turut menghantar mereka pulang dengan tugas berat untuk menghadapi pilihan raya akan datang.
"Kalau undi pemimpin tapi balik tak buat kerja, ini tak bertanggungjawab. Cawangan kena bergerak... bilik gerakan perlu dibuka dari sekarang, culaan perlu dibuat.
"Ada tak tahu (ahli) berapa banyak (dalam kawasan). Kawasan baru macam Sabah kita maafkan sebab baru, tapi negeri lama (bagaimana).
"Ada yang kalau tanya, hanya tahu culaan 2008 saja, menunjukkan tak buat kerja," katanya lagi.
Salhan K Ahmad -MK
Tiada ulasan:
Catat Ulasan