29 Mei 2011

Hina Islam : Pemuda PAS Desak Menteri Muda Sarawak Minta Maaf

SHAH ALAM 29 MEI : Tindakan Majlis Islam Sarawak yang didakwa mahu mengawal pergerakan guru agama dari Semenanjung disifatkan sebagai “satu diskriminasi” dan secara tidak langsung memberi impak ke atas kemasukan golongan tersebut ke negeri Bumi Kenyalang, kata Dewan Pemuda PAS Sarawak.

Ketua Pemudanya, Arifiriazul Paijo dalam kenyataan medianya berkata, pihaknya kesal dengan kenyataan Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri-Hal Ehwal Islam, Datuk Daud Abdul Rahman yang seolah-olah menganggap guru dari Semenanjung sebagai “ekstrem” dan mahu beliau meminta maaf.

“Sepatutnya beliau (menteri muda) sendiri patut berterima kasih kerana mereka telah mengimarahkan surau-surau dan masjid.

“Beliau sepatutnya mengambil contoh kesungguhan mereka dalam merencana program dan aktiviti yang bermanfaat untuk diimarahkan di masjid-masjid seluruh negeri dan bukan mempolitikkan urusan agama ini,” katanya.

Semalam Daud Abdul Rahman dilaporkan berkata Majlis Islam Sarawak akan mengawal pergerakan guru agama dari Semenanjung.

Daud dipetik berkata demikian dalam laporan akhbar Borneo Post

Menurut Arifiriazul, kenyataan Daud itu disifatkan mengecam dan amat memilukan umat Islam Sarawak kerana mereka yang dimaksudkan selama inilah antara orang-orang yang sanggup berkorban untuk membantu menyampaikan dakwah Islam di Sarawak.

Selain itu katanya, Dewan Pemuda PAS Sarawak juga mahu Daud meminta maaf secara terbuka kepada semua guru agama yang berkhidmat di Sarawak.-tvs

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...