11 April 2011

Penyatuan 2R (Rahim Ismail dan Rahim Thamby Chik)


LIDAH RAHIM, SUARA LDP?

Oleh: ABDULLAHSANI HAJI ABDUL SALLEH

KELANCANGAN dan kelantangan Adun Pantai Manis, Datuk Abdul Rahim Ismail yang baru dilantik sebagai Pengerusi Risda Holdings (11 GLC) mengkritik Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Tan Sri Joseph Pairin Kitingan beralaskan buku ‘A Doctor In The House’ karya Tun Dr Mahathir Mohammad disifatkan bagai ‘Kaduk Naik Junjung’ atau ‘Half Man- Half Horse’.

Kritikan terbuka Rahim terhadap Pairin disifatkan umum sebagai melampiaskan dendam kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman yang telah menjenamakan Rahim sebagai ‘Kuda Patah Kaki’ kerana menjadi tunggangan ‘Panglima Hilang Gelanggang’ (Datuk Seri Mohd Shafie Apdal) untuk melancarkan ‘Kudita’ (Coup-de-taat) terhadap Kerajaan BN Sabah yang dipimpin Musa Aman dan disokong kuat Pairin dan parti komponen lain.

Penyatuan 2R (Rahim Ismail dan Rahim Thamby Chik) semakin menyerlah dengan penglibatan RISDA secara langsung dan tidak langsung dalam Skandal Video Lucah yang dikatakan melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan izin dan perkenan Shafie Apdal melalui komplot bapa mertua Shafie, Dato’ Shuib Lazim; secara tidak langsung menunjukkan perancangan yang rapi untuk meletakkan Shafie kembali di dalam hati Najib kerana selama ini gelaran ‘Blue Eye Boy’ masih menjadi nostalgia bagi penyokong Shafie.

Memandangkan Pairin enggan menyokong pelan rampasan kuasa Shafie 2008 sehingga menyebabkan Musa Aman masih kekal sehingga ke hari ini, malah semakin kuat sekalipun menghadapi pelbagai rintangan dari dalam dan luar; namun 90 peratus pemimpin UMNO Sabah ‘do or die’ bersama Musa Aman; melainkan Shafie dan Rahim Ismail.

Perlantikan Rahim sebagai Pengerusi Risda Holding pada April Fool atau 1 April sengaja dibuat bagi mempersenda Kabinet Negeri Sabah yang ditubuhkan pada 1 April juga sehingga Presiden Kelab Penulis Buku Politik, Syed Hussien Al-Alttas atau Pak Habib menggelarkan Kabinet Musa Aman sebagai Kabinet April Fool.

Walaupun kata Rahim Thamby Chik, perlantikan Rahim Ismail berdasarkan pengalaman luas dan prestasi cemerlang beliau sepanjang berkhidmat dengan kerajaan, namun ramai pemimpin Sabah melihat Rahim sebagai ‘Kera Sumbang’ dan tidak mampu berbuat apa-apa sekalipun pernah memegang beberapa penting sewaktu dalam Kabinet Negeri Sabah.

Rahim yang berkelulusan Ijazah Sarjana Perhutanan dari Universiti Amerika Syarikat gagal menyerlah sebagai Menteri Kabinet Sabah, Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan kini akan meneruskan prestasi buruk dalam Risda Holding; namun tugas sebenar Rahim yang tidak kelihatan dengan mata kasar ialah merobohkan benteng politik Musa Aman.

Mampukah ‘Orang Hutan’ ini membantu Shafie mencapai impiannya menjadi Ketua Menteri Sabah sedangkan selama ini gagal membantu nelayan dan kini mencuba nasib menjual ‘getah skrab’ sedangkan UMNO Papar dan Rakyat Pantai Manis semakin terbiar?

Kata pepatah China, dendam adalah racun yang berbisa di dalam jiwa kerana Shafie kini cuba melampiaskan dendam terhadap Musa Aman dengan menggunakan ‘Orang Hutan’; tetapi ibarat orang makan ikan masin tetapi enggan meminum air; maka Shafie tidak mungkin berjaya menumpaskan politik Musa Aman kerana Perdana Menteri dan seluruh Menteri Kabinet Malaysia memuji keberanian dan kehebatan Musa Aman membangunkan Sabah dengan Dana Persekutuan tanpa menyentuh rizab kerajaan negeri Sabah yang bernilai berbilion ringgit.

Walaupun pepatah Inggeris mengatakan kita harus berwaspada dengan lelaki yang tingginya kurang daripada lima kaki, namun Shafie tidak berbahaya kerana ‘Otak Putu’ nya belum mampu menewaskan ‘Think-Thank’ Musa Aman sekalipun kedudukan Shafie sebagai Naib Presiden UMNO yang dihalau keluar daripada Kedah dan sesat di rimba politik ketika mencari jalan pulang ke Sabah.

Shafie telah gagal dalam beberapa percubaannya sebelum ini, sekalipun menggunakan Timbalan Presiden LDP, Chin Shui Phin untuk merodok pengaruh politik Musa Aman dan kini membakar semangat LDP setelah Datuk Peter Pang dilucutkan jawatan Timbalan Ketua Menteri Sabah kerana berputih mata setelah Datuk Yee Moh Chai dilantik menggantikan Pang.

Kini Shafie menggunakan ‘Kuda Patah Kaki’ yang diikat dengan getah skrab daripada Risda untuk menyerang Musa Aman daripada pelbagai penjuru menggunakan suara LDP yang dipercayai masih didalangi seteru politik Musa Aman, Tan Sri Chong Kah Kiat kerana Rahim tidak pandai berbahasa basi seperti yang digunakannya untuk menyerang Pairin.

Majoriti rakyat Sabah kenal siapa ‘Orang Hutan’ yang dilantik menjaga lembu dan ikan, tetapi kepetahan bersilat lidah hanya ada pada pemimpin Ulung LDP, Tan Sri Chong Kah Kiat yang menggunakan Ma Tzu sebagai modal politik LDP untuk meraih simpati masyarakat Cina; tanpa beliau sedar bahawa seorang Paderi Ulung Kristian yang pertama sekali menentang patung Ma Tzunya dan bukannya pemimpin UMNO yang tidak pun tahu bahawa Ma Tzu menghadap ‘Kiblat’ yang sama dengan Masjid Asy-Syakirin!

Sekalipun Presiden LDP, Datuk VK Liew dalam nada terkilan turut membuat kenyataan terbuka bahawa pembentukan kerajaan negeri Sabah bukan lagi berasas pada ‘single’ parti sepertimana pemerintahan PBS ataupun Berjaya kerana pemerintahan BN pada masa ini berasas kepada komponen-komponen parti; atas sebab itu sebarang pembentukan kabinet atau perlantikan ke jawatan-jawatan GLC perlu juga mempertimbangkan pandangan komponen parti; namun tidak sampai mengoyak persahabatannya dengan Musa Aman dan Ahli Kabinet Sabah.

Kejayaan Shafie memperkuda Chin Shui Phin dan Rahim bagi mencapai cita-cita politiknya masih jauh daripada titik akhir kerana bala demi bala menimpa Shafie terutama penglibatan bapa mertuanya dan Pengerusi Risda dalam Skandal Video Seks serta potfolio Nilai Keberhasilan Utama Negara (NKRA) kini dipindahkan daripada KKLW ke pejabat Timbalan Perdana Menteri.

Mampukah Shafie bersilat lidah dengan Najib untuk mendapatkan kuasa dan dana yang kini dipegang Muhyiddin sedangkan misi Skandal Video Lucahnya gagal menumpaskan Anwar dan pengaruh politik BN di Sarawak semakin parah sekalipun BN kembali memegang tampuk pemeritahan Sarawak pada 16 April 2011; sekalipun dengan majoriti yang bertambah atau melalui penipuan dan rasuah.

Sampai bilakah Rahim akan menjadi ‘Kuda Patah Kaki’ yang diikat getah skrab Risda sedangkan ramai mengintai peluang untuk menggantikan Rahim sebagai Ketua UMNO Papar dan Adun Pantai Manis kerana tidak mungkin Musa akan mencalonkan Rahim kembali; apatah lagi ketika LDP kini sedang memikirkan untung nasib mereka di dalam BN kerana luka lama belum sembuh kini kembali bernanah akibat pengaruh LDP yang semakin merosot dengan percambahan bibit politik Gerakan di Sabah.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...