14 April 2011

Anwar: Mainan akaun 1MDB untuk menipu rakyat

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, April 14: Laporan kewangan terbaru 1Malaysia Development Bhd (1MDB) membongkar kerakusan Barisan Nasional (BN) terhadap duit rakyat dan salah tadbir yang ngeri, kata Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mengingatkan kembali kepada pembongkaran pada 2009 dimana 1MDB diberikan wang permulaan RM5 billion ketika itu melalui bond kerajaan, Anwar telah menimbulkan kesangsian terhadap keuntungan RM425 juta yang diwar-warkan 1MDB pada tahun pertama pengoperasiannya.

“Keuntungan yang diisytihar hanyalah permainan akaun untuk menutup satu skandal untuk menyalurkan duit kepada BN.

“Lima bulan selepas membayar RM3.5 billion untuk pelaburan projek usaha sama dengan PetroSaudi, 1MDB menjual semula pelaburan itu kepada pemilik PetroSaudi dengan harga RM4.1 billion,” kata Anwar, sambil menambah bahawa perkara itu disengajakan untuk IMDB kelihatan seperti memberi keuntungan yang menakjubkan.

Pada mata kasar, kata Anwar ia kelihatan seperti keuntungan yang menakjubkan, namun, PetroSaudi yang menerima wang tunai sewaktu 1MDB membeli pelaburan tersebut kini membayar pembelian semula itu melalui skim pinjaman selama 11 tahun yang akan hanya selesai pada 31 Mac 2021.

“Sekarang, hampir 70 peratus modal asal 1MDB adalah dalam bentuk pinjaman, yang tiada jaminan lagi akan dibayar semula sepenuhnya. Mengapakah murah hati sangat aturan kewangan ini?” kata Anwar.

Berkenaan urusniaga dengan PetroSaudi, Anwar berkata perkara tersebut tidak telus kerana syarikat tersebut didaftarkan di Cayman Islands and British Virgin Islands, di mana kedua-dua tempat itu merupakan kawasan bebas cukai.

“Disebabkan itu, tidak akan ada ketelusan dalam transaksi antara 1MDB dan PetroSaudi dan pihak berkepentingan akan dirahsia,” beliau menambah.

Malahan lebih menghairankan lagi, Anwar berkata urusniaga tersebut dilakukan pada hari terakhir tahun kewangan 1MDB, 31 Mac 2010.

“Silap mata perakaunan ini dilakukan untuk menunjukkan keuntungan meragukan yang diisytiharkan Najib,” kata Anwar.

Perkara paling mengejutkan, kata Anwar, adalah bagaimana Ketua Menteri Sarawak, Taib Mahmud terlibat bersama dengan 1MDB melalui urusniaga yang meragukan.

“Pada tahun lalu juga, PetroSaudi membayar RM1.5 billion untuk mengambil alih UBG Berhad, instrumen pelaburan milik empayar keluarga Taib Mahmud yang menghadapi masalah kewangan,” kata Anwar.

Anwar juga mengisarkan segala activiti kewangan ini sebagai satu muslihat "financial merry-go-round" untuk menyelamat dan memkayakan kroni-kroni BN.

Justeru satu audit khas perlu ditubuhkan untuk menyiasat samada urusniaga yang melibatkan 1MDB, PetroSaudi dan UBG menggunakan wang rakyat dan digunakan untuk tujuan politik yang tertentu, tuntut Anwar.

Anwar juga menuntut penghalangan terhadap sebarang usaha 1MDB meraih dana daripada bank sehingga audit itu selesai. Sebarang usaha untuk memindahkan harta kerajaan seperti cadangan menganugerahkan sebidang tanah di Jalan Cochrane juga perlu dihentikan, kata Anwar.

Anwar juga menuntut satu pendedahan siapa sebenarnya di belakang 1MDB dilakukan

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...