13 April 2011

Deepak dakwa bayar RPK tarik balik tulisan

Deepak dakwa bayar RPK tarik balik tulisan
Salhan K Ahmad

Usahawan Deepak Jaikishan muncul lagi dengan satu dakwaan terbaru – beliau pernah membayar wang kepada penulis blog popular Raja Petra Kamaruddin untuk menarik balik satu tulisan daripada laman Malaysia Today.

Deepak berkata, beliau telah membayar RM50,000 dan turut memberi satu komputer riba kepada Raja Petra sebagai dorongan untuk menarik balik tulisan berkenaan.
"Saya boleh buktikannya," kata Deepak yang menjelaskan, beliau membayar wang itu secara tunai kepada Raja Petra dalam satu pertemuan dengan penulis blog itu di Subang Jaya kira-kira tiga tahun lalu.

Tulisan berkenaan yang antara lainnya mengaitkan beliau dengan isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor telah dikeluarkan sehari selepas pertemuan tersebut, kata Deepak lagi.

Katanya lagi, beliau "terkejut" apabila mendapat tahu mengenai penyiaran tulisan berkenaan dan membuat keputusan untuk bertemu Raja Petra bagi meminta penulis blog itu mengeluarkan artikel tersebut.

Tambahnya lagi, beliau bertindak demikian kerana tidak mahu perkara mengenai dirinya disiarkan dalam blog Raja Petra yang disifatkannya sebagai "pelacur web."
Beliau juga tidak mahu "serangan peribadi" oleh Raja Petra ke atasnya itu menjejaskan reputasi diri dan perniagaannya, katanya dalam satu sidang media semalam.
Deepak berkata, tindakan Raja Petra itu tidak lebih daripada satu pemerasan untuk mendapatkan wang daripada individu yang dinamakan dalam laman blog tersebut.
"RPK telah berubah daripada seorang penulis blog nasionalis menjadi seorang pemeras ugut yang menggunakan Internet bagi mengutip wang dan komputer riba daripada orang yang takut kepadanya.

"Saya juga salah seorang daripada mangsa (Raja Petra)," katanya dan menambah, beliau juga mengetahui bahawa dua lagi individu telah membayar wang kepada Raja Petra supaya tulisan berkaitan mereka dikeluarkan daripada Malaysia Today.
Deepak berkata, seorang daripada individu berkenaan merupakan menantu kepada seorang bekas perdana menteri yang didakwa telah membayar sejumlah wang yang besar kepada Raja Petra.

Seorang lagi yang disebut oleh Deepak ialah seorang lelaki yang merupakan kawan baiknya. Keluarga lelaki tersebut juga telah membayar wang kepada Raja Petra, kata Deepak lagi.

Tambahnya, beliau juga bercadang untuk membuat laporan polis terhadap Raja Petra dan mengambil tindakan undang-undang ke atas penulis blog tersebut atas dakwaan fitnah yang dilemparkan ke atasnya.
Tindakan undang-undang itu mungkin difailkan di London atau di Australia memandangkan penulis blog itu tidak berada di dalam negara.
"Saya sedang berbincang dengan peguam. Kalau saya tidak dapat bankrapkan dia, nama saya bukan Deepak.

"Jika saya salah, dia boleh saman saya," tambah Deepak.
Sementara itu, dalam satu kenyataan balas hari ini, Raja Petra berkata beliau menafikan kesemua dakwaan yang dinyatakan Deepak.
Raja Petra juga berkata, individu lain yang dinyatakan oleh Deepak itu juga perlu mengesahkan atau menafikan dakwaan berkenaan memandangkan Usahawan berkenaan telah mengheret mereka ke dalam kemelut ini.


"Sekiranya mereka tidak dapat (menafikan atau mengesahkan) dan Deepak terus mengambil tindakan (saman) ke atas saya, maka dia berbuat demikian atas risiko sendiri," kata Raja Petra. -MK

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...