29 Mac 2011

PR Sarawak: MAFREL diberi peluang kedua

Pelantikan badan ini untuk memantau pilihan raya akan ditarik balik jika gagal mematuhi syarat ditetapkan SPR

KUCHING: Pelantikan Badan Pemantau Pilihan Raya Malaysia (MAFREL) sebagai pemantau pilihan raya akan ditarik balik sekiranya mereka gagal mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata MAFREL dilantik pada beberapa pilihan raya yang lalu bagi membantu memantau situasi sepanjang tempoh rasmi kempen pilihan raya di peringkat kecil, negeri dan umum.

Justeru katanya, MAFREL perlu mematuhi dan meme-nuhi 18 syarat yang ditetapkan oleh SPR sekiranya ingin terus membantu dalam pilihan raya negeri Sarawak April depan.

“Berdasarkan kepada peng-alaman lepas, kami mendapati MAFREL gagal memenuhi syarat yang ditetapkan oleh SPR iaitu menghantar laporan bertulis kepada SPR selepas berakhirnya tempoh pilihan raya.

“Bagaimanapun selepas dipertimbangkan, SPR sedia memberi peluang kedua kepada MAFREL untuk membantu semula memantau sehingga selesainya Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri Sarawak April depan.

“Tetapi, jika mereka gagal menghantar laporan bertulis selepas berakhirnya pilihan raya kali ini SPR tidak teragak-agak untuk menarik balik pelantikan mereka,” tegasnya.

Beliau berkata demikian kepada media sebelum menghadiri sesi Taklimat Penguatkuasaan Pilihan Raya bagi Zon Kuching di salah sebuah hotel terkemuka di sini semalam.

Jelas beliau lagi, sebagai pemantau bebas, MAFREL tidak boleh terlibat dalam pilihan raya dan dilarang sama sekali mengeluarkan sebarang kenyataan media.

Jika mereka didapati berbuat demikian, pihak SPR akan menghentikan serta-merta peranan mereka badan pemantau pilihan raya.

Dalam perkembangan lain, beliau memberitahu bahawa satu perjumpaan akan diadakan antara SPR dan MAFREL pada 29 Mac ini bagi membincangkan perkara ini.

“Kami telah menghentikan peranan MAFREL setelah mereka gagal memenuhi syarat yang telah ditetapkan namun mereka telah mengemukakan permohonan untuk membantu semula.

“Oleh itu, pihak SPR telah membenarkan MAFREL membantu semula memantau sehingga berakhirnya pilihan raya negeri kali ini,” katanya.

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai sudah ada pihak tertentu yang berkempen secara senyap, beliau memberitahu itu adalah bidang kuasa polis.

“Kuasa SPR hanya bermula apabila pencalonan diumumkan oleh pegawai pengurusan sehingga calon menang di-umumkan.

“Sebarang aktiviti kempen yang dijalankan secara senyap pada ketika ini adalah di luar bidang kuasa SPR dan menjadi tanggungjawab pihak polis untuk mengambil sebarang tindakan,” katanya.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...