09 Februari 2011

Pajudin dakwa ‘nasib’ PKR Sabah PRU 2008 berulang

Oleh Clara Chooi

KUALA LUMPUR, 9 Feb — Krisis kepimpinan PKR Sabah yang berlarutan dilihat akan menghalang rancangan parti itu menembusi kubu kuat Barisan Nasional (BN) di negeri itu dan komponen Pakatan Rakyat (PR) ini kemungkinan sekali lagi tidak akan memenangi sebarang kerusi pada pilihan raya umum.

Pelantikan lima pemimpin sejak 2006 termasuk yang terakhir Pajudin Nordin, yang bertindak keluar PKR untuk menyertai Umno Sabtu lalu, dilihat petanda masalah di peringkat negeri berterusan.

Pajudin memberitahu The Malaysian Insider bahawa beliau “yakin” PKR akan mengulangi prestasi pilihan raya 2008 di mana ia tidak memperoleh sebarang kerusi di kedua-dua peringkat negeri dan Parlimen pada pilihan raya umum ke-12.“DAP ada peluang. Tetapi PKR tidak. Ia tidak akan memperoleh sebarang kerusi.

“Saya yakin PKR tidak boleh menang sebarang kerusi di Sabah,” kata beliau semasa dihubungi.Pajudin menyalahkan keengganan kepimpinan pusat untuk mendengar pemimpin-pemimpin Sabah dan sikap terus “mencampuri” hal ehwal negeri itu.

Malah katanya, majlis presiden yang diwujudkan oleh presiden Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berada dalam keadaan kucar-kacir.“Untuk maklumat anda, mereka sudah pun menyenaraikan anggota majlis tetapi tidak diumumkan kepada media memandangkan ramai ketua cabang tidak gembira dengan barisan keanggotaan,” katanya.

“Jadi ambil kata-kata saya hari ini, mereka mahukan majlis itu mengetuai Sabah, esok mereka akan memutuskan untuk melantik seorang ketua Sabah yang baru dan kemudian krisis akan berterusan,” katanya lagi.

Dr Wan Azizah mengumumkan pembentukan majlis presiden 11 anggota Ahad lalu dalam usaha menangani krisis di Sabah. Ia diumumkan pada pertemuan yang diadakan dengan ketua-ketua cabang sehari selepas Pajudin keluar.Pajudin keluar PKR sehari sebelum Dr Wan Azizah dijadual untul menemui ketua-ketua cabang Sabah.

Pajudin berkata walaupun ada bantahan daripada ketua-ketua cabang berhubung pelantikannya pucuk kepimpinan seharusnya kekal dengan keputusan melantik beliau, bukannya memutuskan untuk menggugurkan dan mengambil alih kepimpinan negeri.

Langkah itu kata beliau, berat sebelah dan bias memandangkan ketua-ketua negeri lain yang dilantik oleh pucuk kepimpinan juga tidak memperoleh sokongan majoriti daripada ketua-ketua cabang masing-masing.Sebagai contoh masalah seumpama itu wujud di Perak dan Johor, kata Pajudin.

Di Johor, kata beliau, pengerusinya Chua Jui Meng hanya memperoleh sokongan daripada dua ketua cabang sedangkan negeri itu mempunyai 26 cabang manakala di Perak, Dr Muhd Nur Manuty hanya menerima 10 daripada 24 cabang.“Tetapi masih, presiden melantik mereka sebagai ketua negeri dan tidak campur tangan dalam urusan mereka,” katanya.

“Sekarang mereka mahu campur tangan di Sabah... mereka menggunakan Sabah sebagai lokasi untuk menguji agar mereka boleh membentuk majlis di setiap negeri pada masa depan,” katanya lagi.Pajudin menambah, kepimpinan tidak konsisten dalam membuat keputusan sepanjang beberapa tahun lalu, sebaliknya tindakan itu memburukkan lagi keadaan sekali gus menjejaskan rancangan menghadapi pilihan raya umum ke-13.

“Melihat pada keadaan sekarang, pilihan raya umum semakin dekat. Kemungkinan Jun atau Julai. Tetapi dalam keadaan semasa, mereka tidak boleh menghadapi pilihan raya.
“Mereka tidak bersedia di Sabah memandangkan mereka sibuk bergaduh,” katanya lagi.

Pajudin mendedahkan PKR negeri tiada jentera untuk menghadapi pilihan raya atau sebarang idea siapa harus menjadi calon.“Saya sudah berada di parti ini selama 12 tahun, jadi saya tahu apa yang berlaku di sini,” katanya lagi.

Sabtu lalu, Pajudin, 42, yang belumpun sebulan memegang jawatan tersebut, membuat pengumuman keluar PKR atas alasan kecewa dengan kepimpinan pusat iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Dr Wan Azizah.

“Saya kesal kerana Datuk Seri Anwar selama ini mengatakan bahawa beliau menghormati hak-hak negeri Sabah, tetapi tingkah lakunya jelas menunjukkan bahawa beliau mengamalkan ‘cakap tidak serupa bikin’.“Maka saya menganggap PKR di Sabah ini sudah tidak relevan untuk kita jadikan sebagai satu parti masa hadapan atau parti yang dikatakan akan menuju ke Putrajaya ... Maka saya mengisytiharkan diri keluar dari PKR dan melepaskan semua jawatan saya di dalam parti.

Sebelum ini perlantikan Pajudin sebagai ketua PKR Sabah pada 10 Jan lalu, merupakan satu kejutan kerana ini pertama kalinya pemimpin bagi negeri Sabah dilantik dari bukan kalangan ketua-ketua cabang dalam parti itu. Pajudin merupakan naib ketua cabang PKR Tuaran.Bulan lalu, 18 daripada 24 ketua cabang PKR Sabah telah membuat bantahan terhadap perlantikan Pajudin yang lebih mesra dikenali sebagai ‘ustaz’

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...