08 Februari 2011

Pendakwan terpilih terhadap ADUN Sri Muda?

Shuhaimi dituduh menghasut - Kenapa Dr Mahathir, Anwar Ibrahim, Sanusi Joned. Najib dan yang lain tidak dituduh?

Ahli Dewan Undanga negeri Sri Muda Shuhaimi Shafiei hari ini dihadapkan ke mahkamah kerana tuduhan ‘seditious’ terhadap ke Bawah Duli Tuanku Selangor melalui halaman blognya semasa Selangor menghadapi krisis perlantikan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor baru-baru ini.

Beliau dituduh dibawah seksyen 41(1)(c) yang membolehkan beliau dipenjara tidak kurang dari 3 tahun dan denda tidak melebihi RM5000. Shuhaimi setakat yang saya ingat merupakan ahli Legislatif yang pertama berhadapan dengan tuduhan seperti ini.

Bagi saya jika benar Shuhaimi melakukan kesalahan itu maka beliau wajar menerima apa-apa hukuman setimpal jika beliau didapati bersalah mengikut lunas-lunas undang-undang. Itulah gunanya undang-undang diwujudkan untuk melindungi pihak-pihak yang wajar dilindungi dan memberikan hukuman kepada sesiapa yang menyalahi undang-undang yang digubal oleh mana-mana Dewan Legislatif di negara ini.

Tetapi apa yang memusykilkan saya ialah kenapa undang-undang itu dikuat kuasakan hanya kepada Shuhaimi dan hanya sekarang sahaja baru pihak yang berwajib begitu tangkas dan cepat menghadapkan Ahli Dewan Undangan negeri itu ke muka pengadilan?

Saya bertanya soalan ini kerana semasa krisis perlembagaan yang paling hebat pada 1993 dahulu banyak lapuran polis telah dibuat terhadap ramai pemimpin UMNO termasuk Dr Mahathir, Abdul Ghaffar Baba (Allahyarham), Hanafiah Man dari Alor Setar, Anwar Ibrahim, Najib Tun Razak, Nazri Aziz, Sanusi Joned, Utusan Melayu, Berita Harian dan ramai lagi individu-individu yang telah menghina Raja-Raja Melayu masih belum diambil tindakan?

Utusan Melayu telah menyiarkan berita yang Ke Bawah Duli Yang DiPertuan Besar NS Almarhum Tuanku Jaafar telah menyewakan tanah Baginda untuk membela babi di Lukut yang merupakan fitnah yang tegar dan menghina kedaulatan seorang Raja Melayu?

Semasa itu pemimpin-pemimpin UMNO kesemuanya telah membuat kenyataan-kenyataan ‘seditious’ dan disiarkan didada-dada akhbar dan dibaca oleh semua rakyat di negara ini. Kalau nak dikira, hampir keseluruhan Ahli Majlis Tertinggi UMNO dan Menteri-Menteri UMNO sepatutnya dihadapkan ke mahkamah untuk diadili.

Dalam krisis itu Raja-Raja Melayu dihina dan dinesta oleh pemimpin Melayu dari UMNO sendiri. Tidak pula kedapatan kenyataan-kenyataan yang ‘seditious’ dari pemimpin-pemimpin bukan Melayu dari DAP dan MIC. PAS juga tidak membuat sebarang kenyataan yang menghina Raja-Raja Melayu kerana PAS tidak menyokong pindaan untuk mengurangkan kuasa Raja yang telah diperuntukkan oleh perlembagaan negara.

Jika dibandingkan kenyataan Suhaimi dengan kenyataan menghentam Raja-Raja Melayu dahulu ianya ibarat langit dan bumi. Saya ingin menekankan supaya Dr Mahathir, Anwar Ibrahim dan kalau boleh Sanusi Joned juga dihadapkan ke mahkamah kerana mengetuai UMNO yang telah membuat kenyataan-kenyataan yang sangat ‘seditious’ ketika itu.

Kenyataan mereka itu membayangkan seolah-olah Raja-Raja Melayu itu tidak ada langsung gunanya kepada rakyat dan negara. Pihak yang berwajib tidak boleh melakukan ‘selective prosecution’ kerana itu merupakan tindakan yang tidak adil.

Kenapa ada pihak yang terselamat dari tindakan undang-undang sedangkan ada pihak lain yang begitu cepat diambil tindakan walaupun kenyataannya tidak sepedas apa yang diluahkan oleh pemimpin-pemimpin kita semasa krisis perlembagaan yang dicetuskan oleh UMNO itu.

Kepada sesiapa yang sudah lupa atau pun terlalu muda untuk mengingati isu ini pada tahun 1993 dahulu silalah cari akhbar-akhbar perdana sekitar tahun 1993 dahulu.

Banyak lapuran polis telah dibuat terhadap mereka tetapi sampai kehari ini belum lagi diambil tindakan walaupun sudah hampir 20 tahun. Kenapa ahli-ahli politik yang berkuasa begitu kebal dari tindakan undang-undang sedangkan Raja-Raja Melayu dihilangkan kekebalannya.

Kita mesti ingat kepada nasihat Dr Mahathir; Melayu jangan mudah lupa.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...