23 Februari 2011

Kenapa Najib bertahan di S'ngor dan implikasi Tenang

Oleh AHMAD LUTFI OTHMAN

Inikah bentuk transformasi politik Najib Razak? Apa ertinya jika sekadar menggantikan tiga pengerusi perhubungan Umno negeri dengan timbalan mereka? Ekoran itu, apa sebenarnya perubahan yang bakal dinikmati rakyat? Apa kena-mengena pergolakan dalaman Umno dengan impian warga Malaysia yang mahukan kehidupan lebih makmur, adil dan Islami?

Tuntutan agar sistem politik yang lebih berintegriti, bertanggungjawab, terbuka, telus, demokratik, menggalakkan partisipasi rakyat, tidak meminggirkan suara minoriti, perubahan menyeluruh proses pilihan raya, kebebasan bersuara, dan seterusnya senarai panjang yang perlukan reformasi segera, langsung tidak disentuh Najib. Pengumuman Tengku Adnan Tengku Mansor itu hanya merupakan sebahagian persiapan Umno mempertahankan sisa-sisa kuasa, dan tiada hubungan dengan transformasi politik negara.

Di kala semua negeri-negeri lain diketuai anak tempatan, bagaimana pula dengan tindakan mengekalkan Najib di Selangor dan pelantikan Isa Abd Samad sebagai Pengerusi Felda? Awal-awal lagi Isa menjelaskan misi utamanya sarat dan tebal dengan motif politik, bagi mengekang pengaruh pembangkang. Tunggulah karenah bekas menteri yang pernah disabitkan dengan amalan rasuah politik dalam pemilihan Umno itu, yang kini mendapat kepercayaan Najib bagi mempertahan kubu terakhir Umno di kawasan Felda.

Ketiga-tiga naib presiden Umno diminta melepaskan jawatan penting di Kedah, Pulau Pinang dan Terengganu, namun Najib sebagai pengerusi Umno di Selangor masih mempertahankan kedudukannya. Apakah ia bermaksud negeri termaju itu merupakan sasaran utama Umno-BN, yang tidak dapat tidak mesti ditawan semula dalam PRU13, walau dengan apa cara sekali pun? Ataupun timbalan pengerusi, Noh Omar belum cukup bersedia memikul tanggungjawab besar, selain dibimbangi tindak-balas pengikut Dr Khir Toyo jika Najib menyerahkan posisi strategik kepada Menteri Pertanian itu?

Apa pun, keputusan mempertahankan Najib di Selangor menunjukkan dengan jelas keseriusan Umno untuk menebus semula kekalahan BN yang memalukan pada Mac 2008. Selangor adalah lubuk emas yang tidak boleh dibiarkan lama berada di bawah seteru politik BN. Laluan ke Putrajaya tambah meyakinkan jika negeri-negeri maju dan kaya seperti Selangor kekal dikuasai Pakatan Rakyat. Justeru, usah terkejut dengan "permainan paling kotor" yang bakal dipersembahkan Najib di Lembah Klang.

Kontroversi perlantikan Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Selangor yang baru, Mohd Khusrin Munawi, membayangkan "komplot" terancang BN itu. Pandangan Menteri Besar, Abd Khalid Ibrahim langsung tidak dipedulikan, malah tidak dimaklumkan pun.

Rombakan kepemimpinan Umno di Perlis lebih melucukan, sekali gus menonjolkan pertelingkahan serius. Bekas menteri besar, Shahidan Kassim yang dilantik timbalan Dr Md Isa Sabu awal-awal lagi menegaskan: "Jika tanya pasal gandingan, bagi saya itu suatu yang mustahil terutama untuk bekerjasama dengan individu yang saya lihat sebagai 'menyamun' jawatan saya sebelum ini."

Meskipun Ahmad Bashah Md Hanipah diberi kepercayaan mengetuai misi merebut Kedah daripada Pakatan Rakyat, yang jelas pengaruh bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad dalam pentadbiran Najib nampak menyerlah apabila Mukhriz Mahathir menjadi orang no. 2 di sana. Mukhriz tidak mempunyai apa-apa jawatan penting di peringkat Umno bahagian, tetapi dijangka akan ditonjolkan sebagai pesaing Menteri Besar, Ustaz Azizan Abd Razak. Serentak dengan itu, dipercayai beberapa pemimpin Umno negeri yang dikaitkan dengan Abdullah Ahmad Badawi bakal melalui laluan sukar.

Ahmad Said di Terengganu mungkin lega seketika namun pengikut Idris Jusoh dipercayai tidak semudah itu untuk menyerah kalah. Terengganu merupakan negeri yang sentiasa menyaksikan pertarungan sengit PAS-Umno sejak merdeka. Konflik dalaman mana-mana parti berkenaan boleh menjadi faktor besar dalam menentukan siapa menerajui kerajaan negeri.

II.Sesi permukiman Harakah berjalan lancar Sabtu dan Ahad lalu. Penalis yang diundang bersikap terbuka dan terus-terang. Tanpa selindung, mereka melontarkan pandangan kritis dan teguran keras menusuk. Sememangnya harapan buat Harakah cukup tinggi terutama apabila menyedari akhbar di negara ini sentiasa dikongkong oleh akta yang menekan dan kepentingan politik elit penguasa.

Cabaran PRU13 menuntut bukan saja kesungguhan luar biasa petugas Harakah, tetapi juga kesediaan mereka untuk berubah dan memperbaiki kesilapan. Perkembangan pantas dunia maklumat akan meninggalkan mereka yang lembab, jauh di belakang. Kesempatan terbaik tidak selalu datang, dan sekiranya ia gagal dimanfaatkan dengan cepat dan cekap, Harakah akan dihukum sejarah.

Akhbar tanpa wibawa, dan yang dipertikai kredibilitinya, tentu gagal berperanan dengan berkesan, meskipun angka jualannya tinggi. Perang media kini semakin sengit dan kompleks. Usaha mempengaruhi pembaca, terutama kecenderungan mengundi, merupakan tugas cukup sukar. Sudut pandangan kita tidak mudah ditelan lagi, walaupun oleh ahli parti dan pembaca setia, sebaliknya terpaksa melalui proses saringan ketat.

Kesalahan yang dilakukan berulang-kali, termasuk dalam hal-hal yang dianggap kecil, seperti kesilapan ejaan dan susunan ayat berterabur, mempunyai pengaruh besar dalam melunturkan keghairahan pembaca. Kami amat menyedari hakikat persaingan dunia siber dan kematangan pembaca untuk memilih hanya yang terbaik.

Saya turut menerima pandangan pembaca melalui emel. Ternyata ramai yang mahukan Harakah bingkas menerajui gerakerja reformasi. Banyak kekeliruan yang gagal dijelaskan dengan baik. Isu-isu penting sering berlalu dan hilang begitu sahaja. "Kami mahukan liputan Harakah yang mudah untuk menangkis fitnah media BN, dengan dibantu fakta dan hiasan menarik," kata seorang peminat.

"Buat jadual bagi memudahkan pemahaman pembaca. Utamakan isu rakyat, jangan sendatkan dengan aktiviti Pakatan sahaja. Gambar biar jelas dan ada hubungan dengan berita, jangan tangkap muat. Banyak tajuk Harakah lembik tak bermaya, belajar daripada media Indonesia. Akhbar perlukan perancangan teliti, usah ambik mudah," seorang pembaca lain berkomentar panjang.

III.

Buku 'Islam dalam Perlembagaan Malaysia', tulisan Prof Dr Abdul Aziz Bari, cukup lama tersimpan di rak tanpa sentuhan. Karya terbitan Intel Multimedia and Publication (2005) itu seperti tidak dipedulikan sehinggalah saya mengulas tentang ucapan Karpal Singh di Konvensyen Kedua Pakatan Rakyat tempoh hari. Apabila Pengerusi DAP itu menyentuh hal Negara Islam, saya segera teringatkan idea Aziz bahawa Islam masih boleh dilaksanakan di negara ini melalui kerangka Perlembagaan. Satu idea yang cukup menarik dalam konteks realiti politik Malaysia.

Buku setebal 160 halaman ini mempunyai kekuatan tersendiri untuk memaku pembacaan saya. Huraiannya terhadap beberapa peruntukan Perlembagaan mengenai Islam, seperti Perkara 3, berbeda dengan pandangan yang biasa kita dengar. Beliau turut tidak bersetuju Malaysia dilabelkan sebuah negara sekular biarpun ia belum memenuhi ciri Negara Islam.

Ungkapan "Islam ialah agama bagi Persekutuan ..." seolah-olah mengisyaratkan negara ini mempunyai agama atau anutan tertentu seperti seorang manusia. Aziz turut mencatatkan: "Perlembagaan tidak menyebut bahawa undang-undang syariah tidak boleh dilaksanakan." Ditegaskan bahawa Perlembagaan yang ada tidak perlu dibuang hanya untuk melaksankan Islam. Ini kerana perlembagaan mempunyai mekanisme penyesuaian.

Pihak berkuasa negeri, katanya, boleh melaksanakan undang-undang jenayah Islam tetapi ia memerlukan pindaan Perlembagaan bagi (a) meminda Perlembagaan dan mengecualikan jenayah di bawah undang-undang Islam daripada bidang kuasa Persekutuan dan (b) menaikkan atau mengubahsuai undang-undang yang membataskan bidang kuasa mahkamah syariah tadi. Huraian beliau seterusnya segar dan tersusun.

Di antara tajuk-tajuk dalam buku ini ialah Islam di dalam Kerangka Perlembagaan Malaysia; Peranan Islam Melalui Kerangka Perlembagaan dan Perundangan Malaysia: Potensidan Masalahnya; Halangan Pelaksanaan Hukum Jenayah Islam di dalam Perlembagaan; Murtad dalam Konteks Kebebasan Beragama di Malaysia.

Aziz juga menjelaskan bahawa hujah-hujah yang mendakwa sifat sekular Perlembagaan itu sebenarnya tidak muktamad. Banyak undang-undang yang telah diluluskan bagi pelaksanaan Islam termasuk Akta Bank Islam 1983. Perhatikan analoginya: "Kalau Perlembagaan -- sebagaimana yang disebut Suruhanjaya Reid -- yang hendak mendaulatkan demokrasi boleh menerima undang-undang yang antidemokrasi, mengapa Perlembagaan tidak boleh menerima Islam tidak boleh menerima Islam, yang tidak ditentangnya secara jelas?"

Buku berharga RM20 ini memang memerlukan penelitian agak serius, namun penjelasannya mudah diikuti. Ia mungkin dapat menjawab beberapa persoalan yang sering dibangkitkan dalam polemik kaedah pelaksanaan Negara Islam di Malaysia. Sama ada memang benar Perlembagaan itu menjadi halangan utama atau ia sedia diubahsuai sekiranya ada keazaman politik yang tinggi?

Seperti diakui Aziz: "Meskipun ruang yang ada agak terhad kepada pelaksanaan undang-undang Islam, ia masih belum dimanfaatkan sepenuhnya." Tulisan pakar perlembagaan ini elok untuk dibahaskan dengan lebih lanjut.

IV.

Pilihan raya kecil Tenang mempunyai keunikan tersendiri. Ia diadakan di negeri yang dahulunya dikenali sebagai kubu terkuat Umno. Kini PAS sudah ada dua wakil dalam Dun Johor. Konstituensi campuran di kawasan desa ini bakal menyaksikan, apakah kemenangan BN di Hulu Selangor, Batu Sapi dan Galas adalah trend yang menakutkan Pakatan Rakyat atau akan terhenti di Labis?

(Peratusan komposisi pengundi di Tenang itu, jika diaplikasikan kepada situasi di Lembah Klang ataupun suasana di Perak atau Kedah, ia pasti memihak Pakatan Rakyat).

Melalui siri PRK, PAS mempertahankan Bukit Gantang, merampas Kuala Terengganu, melepaskan Galas dan kekal kalah di Bagan Pinang. Di kala setiap parti giat melakukan persiapan, Tenang bakal membawa implikasi menarik menjelang PRU13. PAS memikul amanah dan panji-panji Pakatan. Misi ke Putrajaya terbuka kepada tafsiran yang begitu luas selepas 30 Januari nanti.

Di Semenanjung, hanya Johor tetap dianggap negeri selamat buat BN. Walaupun Melaka belum mempunyai Adun pembangkang Melayu, namun sekiranya Negeri Sembilan dapat "dilanggar" Pakatan (selepas majoriti dua pertiga BN dinafikan dalam sidang Dunnya dalam PRU12), Ali Rustam mungkin terpaksa mengangkat bendera putih, apatah lagi pengaruh DAP di kalangan masyarakat Tionghua Melaka begitu kental.

Tenang juga mempunyai hubungan sentimental yang cukup signifikan dengan MCA. Bekas presidennya, Ling Liong Sik selama empat penggal menjadi Ahli Parlimen Labis. Kini Presiden MCA, Chua Soi Lek, yang terpaksa menyerahkan kerusi itu kepada anaknya pada 2008, berdepan cabaran getir. MCA yang tewas teruk dalam PRU12 sama sekali tidak boleh mengizinkan Tenang mencalarkan lagi imejnya, apatah lagi di tangan PAS.

Soi Lek pasti sudah siap dengan perencanaan rapinya dalam pertarungan paling kritikal ini. Walaupun calon BN adalah daripada Umno, tetapi yang paling terkesan dengan keputusan nanti adalah MCA.

Pengundi Melayu yang berpusat di kawasan Felda turut diuji. Percubaan pertama Isa Samad dinantikan. Beliau pasti mahu menunjukkan kejaguhannya kepada Najib. Namun, siapa menduga peneroka Felda Melayu di Johor akan membuat kejutan di Tenang? Ya, cukup banyak sudut menarik yang boleh diulas nanti. Jumlah pengundinya tidak ramai, sekitar 15,000 tetapi undian mereka boleh merubah lanskap politik negara, atau ... ia sekadar rutin biasa sahaja?

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...