20 Februari 2011

Dewan Bahasa Pustaka menuju KEHANCURAN?

Siapa peduli apa pun berlaku pada DBP?

Kata Hasni, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mengalami kerugian setiap tahun sejak diswastakan kepada Dawama pada tahun 2002, sebanyak kira-kira RM20 juta hingga RM40 juta setahun.

Orang lain buat penswastaan untuk untung. DBP buat penswastaan untuk rugi? Apa tidaknya? Lihat sajalah perjanjiannya. Hasil jualan buku, kalau buku teks sekolah DBP dapat 30 peratus, Dawama dapat 70 peratus. Kalau buku yang bukan buku teks sekolah, DBP dapat 20 peratus sahaja. Sedangkan kerja-kerja editing semuanya dibuat oleh DBP. Bahkan royalti juga dibayar oleh DBP.

Kata Hasni, setiap buku yang diterbitkan, DBP pasti rugi. Lagi banyak dicetak atau diterbitkan, lagi banyak DBP menanggung ruginya.

Dan bukan itu sahaja. Sejak diswastajkan lima bahagian iaitu Bahagian Perniagaan, Bahagian Percetakan, Bahagian Pracetak, Bahagian Reka Bentuk dan Bahagian Stor, kepada Dawama; beberapa syarikat penerbit, pencetak dan pengedar yang selama ini bernaung atau berpayung di bawah DBP, telah banyak yang gulung tikar, disebabkan tidak lagi mendapat kerja daripada DBP atau Dawama.

Kata Hasni, "DBP menjadi hancur kerana permainan dan perancangan Datuk Johan Jaaffar, mantan Pengerusi Lembaga Pengelola, bermula sejak tahun 2005 hingga sekarang."

Paling menyedihkan, kata Hasni, Bahagian Agama, Falsafah dan Tamadun Islam (AFTI) telah ditutup atau dikecilkan menjadi satu unit kecil sahaja. Manakala majalah Dewan Falsafah dan Tamadun Islam telah diberhentikan penerbitannya.

Jabatan Bahasa dan Jabatan Sastera yang dulu wujud berasingan kini dijadikan satu jabatan sahaja, manakala satu bahagian baru yang dianggap Hasni sebagai bertentangan dengan fungsi DBP telah ditubuhkan, iaitu Bahagian Pengembangan Bahasa Pelbagai Kaum.

Dan paling mengecewakan, Ketua Pengarah DBP yang dilantik sejak 1 Februari 2009 ialah seorang yang bukan sahaja tidak daripada golongan bahasa atau sastera atau budaya, tetapi umurnya juga sudah umur bersara, iaitu 64 tahun 2 bulan, sewaktu mula bertugas. Sekarang sudah lebih 66 tahun.

Apakah tidak ada orang lain yang lebih layak daripada dia untuk mengetuai institusi bahasa dan sastera Melayu itu? Atau apakah faktor sebenarnya maka dia yang dilantik?

Sebagai Presiden Kesatuan Pekerja-pekerja DBP waktu itu, Hasni selain daripada mengetuai piket memprotes suatu tindakan Pengerusi Lembaga Pengelola DBP yang dianggap menyalahi peraturan; juga telah menulis surat menceritakan perkara ini kepada hampir semua Ahli Parlimen yang mewakili Pakatan Rakyat. Tetapi amatlah mendukacitakan, hanya seorang dua sahaja yang memberi respons kepada suratnya, dan respons pula tidaklah menggalakkan.

Demikianlah cerita dan fakta yang diluahkan oleh Hasni Abas, mantan Presiden Kesatuan Pekerja-pekerja DBP, dalam suatu pertemuan khas anjuran Teras Pengupayaan Melayu (Teras), di Kuala Lumpur Rabu lalu, bagi membincangkan "Pengurusan, Integriti dan Prospek Masa Depan DBP dalam Memartabatkan Bahasa".

Beberapa badan bukan kerajaan (NGO) selain Teras, yang hadir dalam perbincangan tersebut, antaranya ialah Persatuan Ulamak Malaysia (PUM), Persatuan Penulis Kuala Lumpur (KALAM), Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP), Kesatuan Pekerja-pekerja DBP, Seniman Paksi Rakyat Malaysia (PAKSI), Budayawan Bertrindak dan beberapa lagi yang saya pun tak ingat lagi nama-namanya. Perbincangan dipengerusikan oleh Cikgu Azmi Abdul Hamid, Presiden Teras.

Sewaktu mendengar Hasni dan beberapa orang lagi kakitangan DBP (yang hadir dalam pertemuan itu) menceritakan perihal yang berlaku dalam institusi yang suatu waktu dulu menjadi kebanggaan orang Melayu, tetapi kini sedang menuju kehancuran itu, saya berasa seperti sedang mendengar cerita mengenai sikap orang Melayu hari ini terhadap seni-budaya pada keseluruhannya.

Begitulah keadaannya, kata saya (dalam pertemuan itu). Bukan sahaja DBP, tetapi kebudayaan Melayu seluruhnya memang begitulah keadaannya. Para pemimpin Melayu hari ini sudah tidak mempedulikannya lagi. Mereka samada terlalu asyik dan sibuk dengan urusan ekonomi, perniagaan dan kerja-kerja membuat duit, atau terlalu sibuk dan asyik dengan hal-hal politik.

Hal kebudayaan atau seni-budaya, seperti DBP, hanya dipedulikan aspek-aspek yang boleh membuat duit sahaja. Aspek-aspek kesenian dan budayanya tidak dipedulikan lagi. Aduh, memang beginikah keadaannya bangsa kita hari ini?

Ya, memang begitulah, sikap para pemimpin dan masyarakat kelas menengah kita hari ini. Dewan Bahasa dan Pustaka adalah manifestasi dari keadaan ini. Tetapi hal ini tidak semestinya diterima dan dipersetujui oleh masyarakat umum dan rakyat yang ramai. Peristiwa himpunan 100 ribu rakyat membantah PPSMI pada 7 Mac 2009 adalah buktinya.

Maksudnya, rakyat umum atau rakyat terbanyak di negara kita masih lagi menghargai seni-budayanya. Yang tidak menghargainya adalah sebahagian kecil mereka yang kebetulan sedang memegang kuasa atau menduduki tempat-tempat penting dan berpengaruh dalam masyarakat sahaja. Baik mereka yang di kalangan Umno-BN, mahupun mereka yang di kalangan PAS dan KeAdilan.

Maka apakah isu DBP ini boleh mengulangi apa yang pernah berlaku dengan isu PPSMI (Pengajaran dan Pembelajaran Sains-Matematik dalam bahasa Inggeris) dua tahun lalu?

Hasni yang pernah menjadi salah seorang penggerak utama dalam isu PPSMI itu semestinya berkeyakinan bahawa isu DBP ini juga boleh mencapai tahap perjuangan yang mendapat sambutan rakyat sedemikian hebat. Tetapi bagaimana pula dengan okoh-tokoh lain dalam perjuangan PPSMI - Sasterawan Negara A Samad Said, Datuk Hassan Ahmad, Prof Shaharir Mohd Zain dan Prof Abdullah Hassan – di manakah mereka dalam perjuangan isu DBP ini?

Pertemuan Rabu lalu hanyalah suatu langkah awal. Langkah seterusnya akan ditentukan oleh Cikgu Azmi Abdul Hamid. Sama-samalah kita tunggu.

Dan sementara itu, jangan lupa Rabu ini, 23 Februari, Bicara Buku "Kumpulan Esei Budayawan Bertindak ..." dan kumpulan cerpen "Ranum", di Perpustakaan Negeri Selangor, Sham Alam, mulai 8.30 pagi, bermula dengan sarapan yang disediakan oleh pihak Perpustakaan. -Oleh DINSMAN

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...