21 Februari 2011

GLC UNTUK DIJUAL

Khazanah Akan Mulakan Proses Tender Terhad Bagi Jualan Kepentingan Pos Malaysia

KUALA LUMPUR, 20 Feb (Bernama) -- Khazanah Nasional Bhd telah memasuki peringkat kedua proses pelupusan kepentingan 32.21 peratusnya di Pos Malaysia Bhd, yang bermula dengan proses tender terhad bagi pembida.

Katanya pembidaan akan dilakukan secara sama rata di mana penekanan akan diberikan terhadap para pembida yang berupaya memperkenalkan strategi dan pelan rancangan mampan untuk membawa entiti pos ke tahap pertumbuhan lebih jauh.

Semasa membuat pengumuman itu, Khazanah turut menolak spekulasi baru-baru ini di dalam media mengenai pihak-pihak tertentu dijangka mendapat urus niaga itu, sambil menyatakan bahawa "belum ada pembida yang mendahului atau ketinggalan di dalam proses pembidaan pada masa ini."

Katanya "penilaian akan turut termasuk keupayaan pembida memastikan Pos Malaysia terus melaksana Tanggung Jawab Perkhidmatan Sejagatnya (USO) serta komitmen untuk mengekalkan warga kerjanya.

"Pelupusan itu akan menjalani proses adil dan telus. Proses ini akan menyediakan tahap persaingan sama rata, dengan memberikan kesemua cadangan yang dikemukakan oleh para pembida peluang yang sama," kata cabang pelaburan kerajaan itu.

Ia turut menyatakan bahawa proses peringkat kedua ini akan dilaksanakan serentak dengan peringkat pertama yang berkaitan dengan persekitaran perniagaan makro Pos Malaysia.

Satu panel penilaian bebas yang terdiri daripada lima ahli profesional dari sektor awam dan swasta yang mempunyai pengalaman pos dan korporat yang meluas akan menilai kesemua cadangan para pembida tanpa mendedahkan identiti mereka.

Para pembida itu akan dipertimbangkan berasaskan strategi dan pelan perniagaan masing-maasing yang diikuti dengan harga tawaran.

Nama para pembida yang telah disenarai pendek akan didedahkan kepada penal berkenaan selepas proses penyenaraian pendek selesai.

Para pembida yang disenarai pendek itu kemudiannya akan dijemput mengemukakan strategi dan pelan perniagaan masing-masing yang telah disemak semula serta tawaran akhir masing-masing, kata Khazanah.

Syarikat pembida itu mestilah milik 51 peratus dan dikawal oleh rakyat Malaysia, dengan mempunyai profil yang menepati matlamat kepelbagaian di segi hak pemilikan di bawah konsep "1 Malaysia" yang termasuk penyertaan Bumiputera.

"Mereka juga perlu memiliki keupayaan keusahawanan dan pengurusan dengan rekod prestasi yang terbukti," kata Khazanah.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...