13 Oktober 2010

ASAL JANGAN AZMIN...

Asal Bukan Azmin

Akhirnya Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim membuat pengumuman rasmi menawarkan diri untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden Keadilan. Pada tahun 2007, tatkala Azmin Ali begitu galak mengumpul pencalonan untuk mencabar Syed Husin Ali, Tan Sri Khalid telah mempertimbangkan untuk bertanding. Beberapa Bahagian yang saya hubungi ketika itu bersedia mencalonkan Tan Sri Khalid. Apabila Syed Husin bersedia untuk terus berkhidmat, Tan Sri Khalid lega.

Ternyata pertimbangan Tan Sri Khalid bukan kerana mengejar jawatan, tetapi semata-mata demi kepentingan perjuangan. Jika betul mahu mengejar jawatan, 2007 adalah pemilihan paling sesuai kerana nama beliau yang masih panas.

Saya percaya Tan Sri Khalid adalah pilihan terbaik. Beliau pernah berkhidmat sebagai Bendahari Agung parti dan berjaya menyelesaikan semua hutang tertunggak parti. Beliau juga berjaya meningkatkan kedudukan kewangan parti kepada tahap yang selayaknya untuk parti politik peringkat nasional. Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Agung dan Ketua Perunding pembahagian kerusi untuk Pilihanraya Umum 2008.

Sebagai Pengerusi Keadilan Selangor, beliau menubuhkan pejabat perhubungan di Shah Alam sejak awal memegang jawatan meskipun Bahagian Kuala Selangor mempunyai pejabat sendiri. Ketika Azmin menjadi Pengerusi Selangor, beliau tidak ada daya usaha menubuhkan pejabat di Shah Alam, sekadar menumpang pejabat Gombak. Parti ialah di mana Azmin Ali berada.

Menjelang pilihanraya umum 2008, Anwar Ibrahim memilih Tan Sri Khalid sebagai calon Menteri Besar meskipun Tan Sri Khalid tidak ada pengalaman sebagai wakil rakyat. Azmin yang merupakan satu-satunya ADUN daripada Keadilan di Selangor (1999-2004), tidak mendapat kepercayaan Anwar untuk menjadi calon Menteri Besar.

Justeru bagi rakyat Selangor, pemilihan kali ini adalah amat penting kerana Azmin jika menang sebagai Timbalan Presiden akan menggunakan kedudukan itu untuk merebut jawatan Menteri Besar, sesuatu yang gagal beliau lakukan dengan taktik merajuk dan ugut baru-baru ini. Beliau hanya berjaya merebut jawatan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Selangor.

Sekiranya Tan Sri Khalid tidak menjadi Menteri Besar, kepercayaan rakyat terhadap kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor akan terjejas.

Jika pada 2008 Anwar Ibrahim tidak percaya kepada Azmin untuk menjadi Menteri Besar, bagaimana pula sekarang Azmin hendak cuba merebut jawatan itu?

Saya percaya Zaid Ibrahim akan menarik diri daripada pertandingan Timbalan Presiden, sebagaimana ikrar beliau pada peringkat awal. Beliau “hanya akan bertanding jawatan itu sekiranya Tan Sri Khalid tidak bertanding”. Zaid masih boleh menawarkan khidmat di jawatan Naib Presiden, Setiausaha Agung mahupun Bendahari Agung.

Ura-ura pada malam ini, saudara Mustafa Kamil Ayub bersedia menarik diri dan mempertahankan jawatan Naib Presiden. Pada hemat saya tidak ada masalah untuk beliau menarik diri dan memberikan sokongan kepada Tan Sri Khalid. Saya amat berharap ini menjadi kenyataan.

Saya percaya pertandingan ini akan menjadi satu lawan satu antara cara lama “politik dapur, merajuk dan ugut” Azmin Ali menentang arus pembaharuan yang ditonjolkan oleh Tan Sri Khalid.

Selamat berjuang dan selamat berjaya!

Sumber Ahmad Zaki Yamani

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...