28 Mac 2013

Balu-balu wira negara bersyukur, RM20,000 S’ngor ringankan beban



Balu wira negara bersyukur, RM20,000 S’ngor ringankan beban

SHAH ALAM 28 MAC: Empat balu wira negara yang terkorban dalam operasi pencerobohan di Lahad Datu, Sabah menerima sumbangan RM20,000 seorang daripada Kerajaan Selangor hari ini.

Mereka yang dibawakan khas ke bangunan Pejabat Setiausaha Selangor (SUK) bagi menerima bantuan itu bersyukur dan berterima kasih kepada Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim.

Turut serta, balu kepada Asisten Supritendan (ASP) Zulkifli Mamat, Noor Aziah Noor, 28, yang terlebih dahulu menerima bantuan sama pada 15 Mac lalu.

Marlinah Utan, 38, balu kepada Sarjan Salam Togiran yang meninggal dunia pada 2 Mac lalu memanjat kesyukuran di atas keprihatin Kerajaan Selangor dengan nasib beliau dan empat anaknya.

“Terima kasih kepada Kerajaan Selangor, khasnya Menteri Besar, kerana sudi memberi bantuan kepada kami untuk meneruskan kehidupan seharian.

“Dengan bantuan ini, saya akan menggunakan untuk tampung persekolahan anak-anak dan perbelanjaan seharian kami,” kata surirumah itu pada majlis Penyampaian Sumbangan Kerajaan Negeri Selangor kepada Waris Wira Negara (Ops Daulat Lahad Datu).

Sementara itu, Noor Aziah mengucapkan terima kasih dan berharap bantuan itu akan digunakan sebaik mungkin.

“Dengan duit ini saya akan teruskan kehidupan kami anak beranak. Saya bersyukur kerana Menteri Besar prihatin dengan kami yang baru kehilangan ketua keluarga,” kata Noor Aziah yang bertugas sebagai guru.

“Apa pun kehidupan mendatang mesti diteruskan dengan membesarkan anak-anak dan saya sendiri akan mula mengajar selepas cuti sekolah,” katanya yang turut membawa kedua-dua anaknya.

Seterusnya, balu kepada mendiang ASP Michael Padel, Jabah Mingku, 34, yang tidak mampu menahan sebak menitiskan air mata ketika berkongsi perasaannya kehilangan suami tercinta.

“Perasaan sedih masih lagi kami rasai. Paling menyedihkan apabila anak setiap malam minta untuk memeluk bapanya. Tuhan sahaja tahu perasaan saya.

“Saya rasa terharu dengan bantuan dan sokongan moral diberikan Menteri Besar. Kami bukan sahaja perlukan wang, tetapi sokongan,” katanya.

Seorang lagi yang turut menerima bantuan tersebut melalui warisnya adalah Siti Badorah Mahalil, balu kepada Sarjan Abdul Azis Sarikon.
Hadir sama, Presiden dan Naib Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Tian Chua; Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah, wakil angkatan tentera, Exco-exco Selangor dan keluarga wira negara.

Dalam pada itu, Khalid menegaskan Selangor menyatakan sokongan penuh kepada anggota keselamatan negara.

“Kita tetap teguh mendokong pasukan keselamatan sama ada polis atau tentera. Kta berdoa moga mereka kekal selamat dan bersemangat mempertahankan negara dan rakyat daripada ancaman penceroboh.

“Wang ini adalah dari tabung bantuan RM10 juta untuk dilaburkan kepada pihak yang memerlukan bagi kepentingan terutamanya untuk persekolahan anak-anak,” kata Menteri Besar.

Sebelum ini, Kerajaan Selangor turut memberi bantuan sama kepada balu Sarjan Sabaruddin Daud, Nurul Nisa Abu Bakar.
– NS

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...