04 Februari 2011

Hosni: Saya bosan jadi presiden, mahu undur tapi bimbang nasib Mesir

Hosni: Saya bosan jadi presiden, mahu undur tapi bimbang nasib Mesir

KAHERAH, 4 Feb — Hosni Mubarak berkata beliau sudah “bosan” kekal sebagai presiden Mesir dan memang mahu bersara dengan segera tetapi keadaan tidak mengizinkannya untuk berbuat demikian sekarang.

Oleh itu kata Hosni, 82, beliau bimbang negara dengan 80 juta penduduk itu akan huru-hara jika mengambil tindakan meletakkan jawatan sekarang.

Sementara kebangkitan rakyat masuk hari ke-11 dengan lebih 100 orang terbunuh dalam demonstrasi aman pula bertukar ganas sejak kelmarin, Hosni awal minggu ini memberitahu dunia bahawa beliau tidak akan mempertahankan jawatannya buat penggal keenam September ini.

Dalam temu bual pertama sejak pemberontakan antikerajaan, Hosni memberitahu ABC News, beliau “sudah bosan” dengan tampuk kuasa.

Sehubungan itu beliau memberi amaran bahawa parti Ikhwanul Muslimin akan mengisi vakum kuasa jika beliau meletakkan jawatan sekarang.

BBC pula melaporkan kata-kata itu adalah versi naratif yang digunakan oleh presiden itu masa-masa lalu untuk menjustifikasikan sebab mahu terus menerajui negara utara benua Afrika itu.

Hosni berada di tampuk pemerintahan sejak tiga dekad lalu dengan didakwa melakukan penindasan politik khususnya ke atas Ikhwanul Muslimin.

Beribu-ribu penunjuk perasaan terus berada di ibu negara Mesir dengan puak pro-Hosni pula melakukan serangan ke atas mereka.Tentera yang cuba untuk memisahkan kedua-dua kumpulan itu kelihatan gagal berbuat demikian.

Menteri Kesihatan Mesir Ahmed Samih Farid berkata, lapan orang terbunuh sejak kelmarin dan hampir 900 orang cedera dengan sembilan orang cedera parah.Seorang lagi dikatakan terbunuh di Dataran Abdel Monem Riyad Square, tengah Kaherah dan ramai lagi cedera.

Dalam temu bual itu dengan ABC, Hosni berkata, beliau juga ada memberitahu Presiden Barack Obama bahawa Amerika Syarikat tidak faham budaya Mesir dan “apa akan berlaku jika letak jawatan sekarang.”“Saya tidak berminat untuk bertanding lagi. Saya tidak berminat untuk menjadikan Gamal sebagai presiden selepas saya,” kata Hosni.
Gamal Mubarak adalah anak lelaki Hosni yang dilihat oleh rakyat Mesir dan diplomat Amerika Syarikat bahawa sedang dibimbing untuk menggantikan beliau.

Obama mahu Hosni melakukan proses peralihan kuasa dan ia harus dilakukan “sekarang.”

Dalam ucapan disiarkan menerusi televisyen kerajaan malam tadi (waktu Malaysia), Naib Presiden baru yang dilantik Hosni, Omar Suleiman sekali lagi meminta penunjuk perasaan meninggalkan demonstrasi.

“Saya meminta orang-orang muda negara ini, kami ucapkan terima kasih atas apa yang anda lakukan, anda ada sumber reformasi,” kata Omar.Kemudian beliau mengajak Ikhwanul Muslimin mengadakan dialog dengan kerajaan.Barisan pembangkang sudah pun menolak sebarang bentuk rundingan dengan Hosni.

Di Washington, jurucakap Obama mengutuk tindakan menyasarkan wartawan yang membuat liputan di Mesir.Kumpulan pro-Hosni dikatakan menyerbu hotel-hotel penginapan wartawan asing.

02 Februari 2011

MB - Pentadbiran telus tarik pelaburan asing

MB - Pentadbiran telus tarik pelaburan asing
Ditulis oleh AMIN A.

ALOR SETAR: Kestabilan politik, pentadbiran yang telus dan sikap hemah dalam berbelanja merupakan kunci kejayaan kerajaan Pakatan Rakyat sehingga meningkatkan kepercayaan rakyat termasuk pelabur asing untuk menjana ekonomi di sini.

Menteri Besar Kedah, Dato' Seri Azizan Abdul Razak berkata dengan adanya pemimpin dan pegawai kerajaan yang baik segala wang rakyat dapat disalurkan dengan baik malah dapat berjimat cermat sehingga kerajaan negeri bebas daripada hutang.

"Sebab apa kita ada duit, sebab pemimpin yang ada termasuk pegawai kerajaan terdiri daripada orang yang baik-baik yang menjaga duit seperti menjaga duit sendiri.

"Perkara yang baik dulu, kita teruskan bukannya kita ubah semuanya supaya yang mendapat manfaat ialah rakyat kita sendiri.

"Begitu juga dengan kuasa yang ada, bukan untuk kita tetapi untuk memastikan rakyat hidup selesa dan aman damai,"katanya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Perasmian Pusat Komuniti Taman Sri Putera dan Jamuan Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kubang Rotan, 28 Januari lalu.

Dalam pada itu Ustaz Azizan menegaskan pentadbiran Kerajaan Negeri yang bersih dan amanah juga adalah faktor utama berlakunya peningkatan jumlah pelaburan asing ke Kedah kepada RM2 bilion pada tahun lalu dan bukan semata-mata usaha Kerajaan Pusat.

Sungguhpun mengakui pelabur yang hendak melabur di negara ini perlu melalui Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti), namun kestabilan politik di sesebuah negeri menjadi penanda aras yang penting bagi menjana ekonomi

Ustaz Azizan berkata, usaha menarik pelabur asing seharusnya diiktiraf sebagai usaha sama Kerajaan Negeri dan Pusat, bukannya mengambil 'kredit' sepenuhnya di atas peningkatan jumlah pelaburan di Kedah.

"Pelabur luar tidak sewenang-wenangnya melabur ke negeri Kedah sekiranya mereka tidak yakin dengan keupayaan Kerajaan Negeri mentadbir ekonomi.Sebenarnya imej Kerajaan Negeri pimpinan Pakatan Rakyat adalah faktor utama peningkatan kehadiran pelabur asing.

"Saya minta Kerajaan Pusat dan Miti tidak sewenang-wenangnya mengambil kredit di atas kejayaan yang dicapai dan perlu mengambil kira peranan Kerajaan Negeri yang memastikan kestabilan politik di negeri yang diperintah,"katanya.

Beliau dilihat membidas kenyataan Timbalan Menteri Miti, Dato' Mukhriz Mahathir yang mendakwa kemasukan pelaburan asing ke Kedah adalah 100 peratus hasil usaha Kerajaan Pusat.

Sejak tiga tahun pemerintahan Pakatan Rakyat, pelaburan asing meningkat di tiga buah negeri yang ditadbir iaitu di Pulau Pinang, Kedah dan Selangor

Wan Azizah ketuai misi selesai krisis PKR Sabah

Wan Azizah ketuai misi selesai krisis PKR Sabah
Oleh Clara Chooi

KUALA LUMPUR, 2 Feb — Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail terpaksa campur tangan untuk menyelesaikan krisis PKR Sabah dan akan melawat negeri itu Ahad ini.

Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail memberitahu The Malaysian Insider bahawa biro politik partinya telah memberi mandat kepada presiden parti itu untuk mengetuai misi damai tersebut.

Dr Wan Azizah (gambar), kata beliau, akan membentuk satu jawatankuasa terdiri daripada tiga pemimpin PKR Sabah dan beliau secara peribadi akan mengetuai delegasi ke Sabah 6 Februari ini.

Saifuddin berkata, keputusan itu tidak bermakna parti telah menolak atau menerima resolusi yang dikemukakan 18 daripada 25 cabang Selasa lalu mendesak penolakan Pajudin Noordin sebagai ketua PKR Sabah yang baru.

“Kami ada menerima resolusi tetapi biro politik merasakan kita harus memberikan presiden parti masa untuk menyelesaikan masalah di Sabah,” katanya.

“Jadi, Datuk Seri akan membentuk jawatankuasa khas terdiri daripada pemimpin-pemimpin Sabah dan beliau akan secara peribadi terbang ke Sabah untuk mengadakan pertemuan dengan kesemua pemimpin negeri,” kata beliau ketika dihubungi.

Seramai 18 pemimpin cabang PKR Sabah telah menyerahkan resolusi kepada parti bulan lalu meminta Pajudin digantikan dengan orang lain dan Dr Wan Azizah bertindak sebagai pemimpin sementara.

“Kami tidak menolak permintaan mereka sama sekali. Kami mempertimbangkan dan akan datang dengan beberapa opsyen.

“Bagaimanapun situasi di Sabah sangat sensitif kerana kita berurusan dengan beberapa puak, jadi kita perlu membincangkan perkara ini dengan mendalam sebelum membuat sebarang keputusan,” kata Saifuddin.

Resolusi itu ditandatangani oleh cabang Kota Belud, Sepanggar, Kota Kinabalu, Penampang, Putatan, Kimanis, Papar, Beaufort, Keningau, Pensiangan, Tenom, Libaran, Sandakan, Kinabatangan, Semporna, Kalabakan, Tawau dan Silam.

Mereka menyerahkan memorandum kepada Naib Presiden Fuziah Salleh yang membentangkan pada mesyuarat biro politik 26 Januari lalu.

Pajudin didakwa menjadi proksi Ansari Abdullah, yang mengetuai salah satu puak menentang kepimpinan ketua PKR negeri Ahmad Thamrin Jaini.

Pelantikan Pajudin diumumkan awal bulan lalu dalam satu rombakan susulan pemilihan pusat tahun lalu menggantikan Thamrin.

Sebelum ini PKR Sabah juga berhadapan dengan masalah termasuk keputusan bekas naib presiden Datuk Jeffrey Kitingan dan kira-kira 27 yang lain keluar PKR untuk menubuhkan badan bukan kerajaan Barisan Bersatu Borneo (UBF).

31 Januari 2011

PR SYOK SENDIRI...DI TENANG

Kekalahan PR Di Tenang. Loceng Amaran Berbunyi

Keputusan rasmi mengesahkan Barisan Nasional (BN) berjaya mengekalkan kerusi DUN Tenang, Johor pada pilihan raya kecil hari ini, yang terganggu disebabkan hujan lebat dan banjir.

Calon BN Mohd Azahar Ibrahim memperoleh 6,699 undi manakala calon PAS Normala Sudirman mendapat 2,992 undi.

Majoriti diperoleh BN 3,707 undi.

Sebelum ini BN meletakkan sasaran untuk mencapai majoriti 5,000 yang pernah diperoleh pada 2004.

Pada pilihan raya umum Mac 2008, calon BN menewaskan PAS dengan kelebihan 2,492 undi.

Muhasabah Awal

1) Hujan yang begitu lebat turun mungkin menjadi faktor penguni-pengundi tidak dapat menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi. Ini diakui sendiri oleh Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Datuk Wan Ahmad Wan Omar yang berkata jumlah peratusan itu lebih rendah daripada pilihan raya umum 2008 iaitu 73.52 peratus.

2) PR tidak menduga lantas tidak bersedia dengan kaedah-kaedah untuk mengangkut pengundi apabila berlaku keadaan banjir sedemikian. Sekadar mengharapkan bot pertahanan awam dan polis, ia seperti menempa kekalahan awal.

3) Peratusan mengundi kaum Cina di bandar adalah rendah. Di satu ketika melalui twitter seorang anggota parlimen Serdang Teo menulis "Amaran! Peratusan keluar mengundi di kawasan Cina cuma 20 peratus; Felda sudah 50 peratus. Tolong bantu panggil orang yang kamu kenal di Labis." Selain hujan, ada faktor lain kaum Cina tidak keluar mengundi, dimana ditemui sekeping cek yang dikoyakkan bernilai RM3,000 dipercayai perbuatan membeli undi (atau jangan kelaur mengundi) dari kaum Cina giat berlaku.

4) Masyarakat FELDA sepertimana yang GB pernah ulas sebelum ini, menerima ugutan, sehinggakan PAS dilaporkan tidak dibenarkan berkempen di beberapa lokasi di ladang FELDA. UMNO BN menggunakan taktik yang sama di Galas. Semalam GB menyatakan:

Ingat Galas! UMNO bawa taktik Galas ke Labis. Di Galas, orang asli yang diumpan dan diugut, tetapi di Labis, warga FELDA yang menerima umpanan dan ugutan tersebut.

4) PKR Bermasalah. Tidak dinafikan ramai pemimpin PKR yang turun membantu bertungkus lumus, namun PKR masih bermasalah. Faktor Anwar, faktor kesan pemilihan 2010 menjejaskan reputasi PKR sehinggakan masyarakat kaum bukan-Melayu (Cina & India) dikatakan enggan keluar mengundi. 2 pemimpin PKR keluar parti di masa kempen PRK Tenang, Pengasas PKR, Ng Lum Yong dan MP Gobala.

5) PAS sendiri bermasalah. Pertama, kurang mesra dengan pengundi Melayu. Hanya menemui mereka semasa pilihanraya. Kedua, ada jurang komunikasi diantara pengundi dengan parti. Dakwah belum berjejak ke akar umbi.

6) Kempen menyerang calon BN. Ia tidak berapa tersusun dan tidak tepat. Masyarakat melihat seperti PAS tidak mengkotakan janji iaitu tidak akan melakukan serangan peribadi. Ia tidak dijelaskan di peringkat awal sidang media sehinggakan satu ketika GB terpaksa membetulkan persepsi bahawa yang kita serang bukan peribadi tetapi kompetensi calon yang diketengahkan.

Akibat dari strategi yang kurang tepat, pihak lawan bertindak balas dengan dua serangan peribadi di saat akhir, satu berkenaan sijil cuti sakit suami calon siap dengan ugutadari TPM, kedua serangan sijil kelulusan SPM calon PAS yang tak berkesempatan untuk dijawab.

7) Media PR masih tidak tersusun, tidak prolifik dan tidak pro-aktif. Maklumat tidak mantap. Banyak yang keterlaluan optimisnya. Seperti kenyataan Timbalan Presiden PAS: "PAS yakin menang atau kurang majoriti BN" - apa asasnya? Bahan kempen juga tidak mencukupi untuk mengimbangi media massa arus perdana yang menyerang secara agresif. Serangan dan ucapan para pemimpin UMNO BN banyak yang tidak ditangkis.

Ada lagi beberapa sebab lain yang tidak wajar untuk GB tuliskan di sini. Akan dikemukakan jika diminta oleh parti iaitu dari perspektif seorang blogger kecil seperti GB.

Apa-apa pun kita mengucapkan terima kasih dan syabas kepada petugas yang bertungkus-lumus tanpa mengira siapa mereka, PAS, PKR, DAP, blogger, kumpulan atau individu, yang berusaha di sepanjang tempoh kempen PRK Tenang. Semuga Allah membalas segala jasa mereka yang terlibat.

GB yakin jika kita berani mengakui kelemahan dan kemudian mencari jalan mengatasinya, kita akan berjaya di dalam PRK Merlimau nanti.

"Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah (pula) kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi (derajatnya), jika kamu orang-orang yang beriman." (Ali 'Imran: 139)

"Jika kamu mendapat luka, maka sesungguhnya mereka itu pun mendapat luka yang serupa. Dan masa (kejayaan dan kehancuran) itu, Kami pergilirkan di antara manusia (agar mereka mendapat pelajaran); dan supaya Allah membezakan orang-orang yang beriman (dengan orang-orang yang ingkar) dan supaya sebahagian kamu dijadikan-Nya sebagai syuhada. Dan Allah tidak menyukai orang-orang yang zalim, dan agar Allah membersihkan orang-orang yang beriman (dari dosa mereka) dan membinasakan orang-orang yang ingkar." (Ali 'Imran: 140-141)

30 Januari 2011

Langkah Gobalakrishnan bukan satu kehilangan, kata Tian Chua

LABIS, 29 Jan — Keputusan Ahli Parlimen Padang Serai, N. Gobalakrishnan keluar dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan menjadi wakil rakyat bebas sudah dijangkakan, kata naib presiden PKR Tian Chua.

Menyifatkan Gobalakrishnan sebagai anggota yang tidak menjalankan kerja, katanya, bekas naib presiden itu cuba “melarikan diri” daripada dikecam kerana mengkritik kepimpinan parti secara terbuka.

“Kami sudah merancang untuk menggantung dia daripada parti kerana mengkritik. Orang seperti dia bukan satu kehilangan bagi parti,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Tian Chua (pictures) berkata, ketika parti itu tergesa-gesa membuat persiapan menghadapi pilihan raya umum 2008, mereka mendapat ramai calon yang tidak cukup kompeten dan Gobalakrishnan adalah salah seorang daripada mereka.

Pada sidang akhbar di Kulim, Kedah, pagi ini, Gobalakrishnan, 50, mengumumkan melepaskan semua jawatannya dalam parti itu dan kini menjadi Ahli Parlimen bebas berkuat kuasa serta merta.

Dalam pada itu Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, PKR ibarat “Parti Kian Runtuh” apabila seorang demi seorang pemimpin pengasas parti itu keluar dan meninggalkannya.

Menurut beliau, kebanjiran keluar pemimpin parti itu daripada PKR membuktikan kepercayaan kepimpinan dan masyarakat terhadap parti itu semakin menurun.

“PKR itu adalah Parti Kian Runtuh, semua pemimpin utama yang mengasaskannya telah keluar. Itu petanda perjuangan PKR tidak didukung bukan sahaja oleh pemimpinnya tetapi juga rakyat,” katanya di sini hari ini.

Beliau berharap pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang dapat mengambil pengajaran daripada keruntuhan PKR, kerana PAS bersekongkol dengan PKR di bawah bendera pakatan pembangkang.

Timbalan Perdana Menteri berkata beliau menjangkakan lebih ramai pemimpin PKR akan meninggal parti pembangkang itu tidak lama lagi.

Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu Zulkifli Noordin berkata beliau menjangka beberapa lagi wakil rakyat dan kepimpinan kanan PKR akan keluar daripada parti itu.

Beliau berkata tindakan Gobalakrishnan membuktikan bahawa jangkaan beliau sebelum ini adalah tepat.

“Perisytiharan yang dibuat oleh Gobalakrishnan tadi sudah lama teman (saya) jangka, malah teman sudah pun membuat kenyataan sebelum ini bahawa beberapa orang wakil rakyat dan kepimpinan kanan PKR akan mengambil tindakan keluar, cuma masa dan cara sahaja yang berbeza.

“Teman (saya) tahu ada beberapa orang lagi anggota Parlimen (termasuk Anggota Dewan Undangan Negeri), kepimpinan kanan parti yang akan mengambil langkah yang sama tidak lama lagi.

“Masing-masing menunggu masa dan ketika yang sesuai untuk bertindak sedemikian,” katanya dalam blog beliau www.zul4kulim.blogspot.com di sini hari ini. — Bernama
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...