31 Disember 2014

HELIKOPTER PDRM TERHEMPAS DALAM MISI BANTUAN BANJIR DI KELANTAN


Helikopter PDRM Bantu Mangsa Banjir Terhempas Di Tanah Merah

Penduduk gempar lihat helikopter terhempas

Penduduk Kampung Rambai gempar apabila sebuah helikopter jenis Ecureuill AS 355F2 milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhempas pada kira-kira 6.30 petang, selepas berlegar-legar di ruang udara kampung itu.

Beberapa saksi yang ditemui Bernama berkata, helikopter itu dilihat terbang rendah dan berlegar-legar sebanyak dua pusingan, sebelum kedengaran seperti ada letupan sedikit, dan terus menjunam ke darat.

Anggota misi kemanusiaan dari Kuala Lumpur Mohd Zulhasnan Abdullah, yang ketika itu sedang mengagih-agihkan bekalan di kampung itu berkata, beliau dan pasukannya menyangkakan pada mulanya helikopter itu terbang rendah kerana mahu menurunkan bekalan makanan.

"Melihat keadaan itu (helikopter terbang rendah), orang kampung rasa seronok dan berkumpul untuk melihatnya.

"Tiba-tiba helikopter jadi tak seimbang dan jatuh menjunam betul-betul di depan mata kami. Bila melihat keadaan itu, kami dan orang kampung berpusu-pusu pergi sana dan kami membawa keluar empat orang - tiga lelaki dan seorang wanita," katanya ketika ditemui Bernama di kampung itu.

Mohd Zulhasnan berkata, beliau dan rakan-rakannya mendapati tiga orang lelaki cedera parah di bahagian kepala manakala seorang wanita hanya cedera ringan dan mengadu pening.

"Kami, dengan bantuan orang kampung, memasukkan dua orang mangsa lelaki pertama ke dalam kereta Perodua Alza, manakala dua lagi dimasukkan dalam Triton milik saya untuk dihantar ke Hospital Tanah Merah," katanya.

Terdahulu, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesahkan kejadian itu, dan memberitahu Bernama bahawa kesemua di dalam helikopter itu selamat dan sedang menjalani rawatan lanjut di Hospital Tanah Merah.

"Alhamdulillah dua juruterbang dan dua kru terselamat," katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, penduduk kampung Saifulizam Mohamad, 40, berkata, walaupun ketiga-tiga mangsa lelaki cedera parah, mereka masih dalam keadaan sedar.

Beliau berkata, selepas orang ramai berjaya mengeluarkan keempat-empat mangsa dari bangkai helikopter itu, ketiga-tiga lelaki itu dibaringkan di halaman rumah beliau, manakala wanita itu masih boleh berjalan sendiri.

"Sebab saya ada bertanya kepada lelaki itu, berapa orang di dalam helikopter, dan beliau menjawab empat. Saya cuba nak pastikan sama ada beliau masih sedar," katanya.

Sementara itu, seorang lagi saksi, Zaisa Mohd Zin, 31, berkata, beliau berasa pelik apabila melihat helikopter itu terbang rendah berhampiran kawasan rumahnya, menyebabkan beliau terasa ingin merakam kejadian itu.

"Tapi dalam saya cuba nak capai handphone, tiba-tiba terdengar bunyi dentuman, dan saya lari keluar, melihat helikopter itu sudah terhempas di darat.

"Tapi nasib baik kebetulan ada beberapa orang doktor yang sedang berada di kampung kami tengah membantu agih-agihkan makanan di madrasah berhampiran. Saya tengok mereka sempat memberi rawatan awal, termasuk memberi oksigen menggunakan topeng," katanya. - Bernama









Sebuah helikopter PDRM terhempas di kawasan perumahan di Tanah Merah, menyebabkan 3 pegawai PDRM dan seorang awam cedera. Mereka telah dikejarkan ke Hospital Tanah Merah.

KUALA LUMPUR, 31 Disember: Sebuah helikopter milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhempas, ketika menyertai misi menghantar bantuan kepada mangsa banjir di Kelantan.

Perkara itu disahkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar di laman sosial Twitternya.

“Saya sahkan Helicopter @PDRMsia terlibat kemalangan di Kpg Rambai, Tanah Merah, Kelantan. Alhamdulilah 2 juruterbang dan 2 Crew Selamat.

“Helicopter @PDRMsia dalam misi menghantar bekalan makanan kpd mangsa banjir di Kg Rambai, Tanah Merah. Alhamdulilah semua Selamat,” katanya.

Sementara itu, jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Kelantan memaklumkan, pihaknya telah menerima panggilan kecemasan pada jam 6.42 petang.

“Kejadian melibatkan sebuah helikopter PDRM yang terhempas di kawasan perumahan dan menyebabkan 3 pegawai PDRM dan seorang awam cedera.


“Kesemua mangsa telah dikeluarkan dan dibawa ke Hospital Tanah Merah,” katanya.

Read more: sumber



#bah2014: Helikopter Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang membawa bekalan makanan kepada mangsa banjir di Kampung Rambai,Tanah Merah telah mengalami kemalangan di kawasan perumahan Kursial,Tanah Merah Kelantan lewat pukul 6 petang tadi.

Kini, empat mangsa yang cerdera terdiri daripada juruterbang dan krew sedang dirawat di Hospital Tanah Merah serta berada dalam keadaan selamat.

Perkara tersebut disahkan sendiri oleh Ketua Polis Negara melalui akaun twitternya.

SABAH: PEMBURU BABI TEMBAK DIRI SENDIRI SELEPAS TERTEMBAK ADIK SENDIRI



PASANGAN adik beradik yang ditemui mati ketika keluar memburu.

Tertembak adik ketika memburu

Sipitang: Seorang pengawal keselamatan bertindak membunuh diri selepas tersilap melepaskan tembakan menggunakan senjata bekakuk sehingga adiknya yang berusia 22 tahun terbunuh, manakala rakannya, 33, cedera ketika memburu babi di hutan Ulu Meligan, di sini, semalam.

Dalam kejadian 12 tengah hari itu, pengawal keselamatan terbabit dipercayai membunuh diri selepas menyesali tindakannya yang menyebabkan adik lelakinya terbunuh dan rakan lelakinya cedera.

Pemangku Ketua Polis Daerah Sipitang Asisten Superintenden Mohamad Zulkiflee Mohd Yaacob berkata, mangsa yang cedera kini dirawat di Hospital Sipitang.

"Siasatan awal mendapati mereka memburu babi di hutan berkenaan dan berpecah kepada dua kumpulan dengan pengawal keselamatan itu bergerak bersendirian manakala adik dan rakannya bergerak di laluan lain.

"Mereka berhenti rehat untuk makan sebelum terkena tembakan dilepaskan pengawal keselamatan itu yang kemudian turut ditemui mati dengan satu kesan tembakan di dada,” katanya.

hmetro.com.my

TERKINI ! BANJIR TERPELIK, TEKA TEKI MASIH BELUM TERJAWAB, ADAKAH PROJEK TNB JADI PUNCANYA??



Teka teki masih lagi belum terjawab - Husam

HARAKAHDAILY | 31 Disember 2014.


KUALA LUMPUR: "Banjir pergi dengan sebahagian penduduk kehilangan rumah sepenuhnya. Tentunya pula mereka kehilangan pakaian dan lainnya," tulis Datuk Husam Musa.

Menurut Naib Presiden PAS itu, sebahagian besar mereka dari Kuala Krai.

Beliau difahamkan sebahagian kuarters anggota polis yang baru siap di Bandar Kuala Krai masih lagi kosong.

Justeru, katanya Kementerian Dalam Negeri wajar mengizinkan mereka menginap di situ sementara rumah mereka dibina semula.

Menurut beliau lagi, Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr Hatta Ramli sudah membangkitkan cadangan itu.

"Teka teki masih lagi belum terjawab. Adakah TNB penyumbang terbesar banjir terpelik ini?" tanya Husam menerusi facebooknya pagi tadi.

Kalau sebelum ini beliau memanjangkan sebutan orang kampung mengenai Empangan Jajar, ada pihak yang membetulkan.

Baginya, orang kampung mungkin tersalah dalam menamakan tetapi syak mereka adalah pada empangan dalam pembinaan.

Beliau menambah, ada satu lagi empangan dalam pembinaan yang hampir siap iaitu Kenyir Dua.

Menurutnya, info mula muncul limpahan dari situ menjadi punca.

Justeru, beliau yang juga Adun Salor memohon TNB memberikan penjelasan segera.

Kerajaan negeri juga, ujar beliau patut menubuhkan jawatankuasa menyiasat.


"Insya Allah selepas ini saya cuba dapatkan imej satelit dari sebuah stesen satelit di China. TNB mesti berani untuk telus," tulis beliau selanjutnya. 

- HARAKAHDAILY 31/12/2014



ADAKAH PEMBALAKAN MELAMPAU JADI PENYUMBANG BANJIR BESAR ...FIKIRLAH SENDIRI


Kerajaan Kelantan salah pembalakan haram antara punca banjir buruk



KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan hari ini menyalahkan mereka yang melakukan pembersihan tanah dan pembalakan secara haram sebagai antara punca banjir buruk di negeri ini tahun ini.

Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob berkata, kerajaan negeri mengehadkan pembalakan kepada 5,960 hektar setahun, seperti ditetapkan oleh Lembaga Tanah Kebangsaan.

“Amalan pengurusan perhutanan kita juga menerima pengiktirafan MC&I SFM daripada badan dunia bebas manakala sebarang kawasan pembakalan baru diwajibkan menyediakan penilaian kesan alam sekitar (EIA), kata Ahmad dalam satu kenyataan media di sini.

“Pembalakan tidak terkawal mungkin disebabkan oleh pembersihan hutan secara haram oleh mereka yang tidak bertanggungjawab,” ujarnya.

Ahmad juga berjanji kerajaan negeri akan meningkatkan penguatkuasaan bagi membasmikan kegiatan haram ini.

Ketika lebih 100,000 orang rakyat Kelantan terpaksa dipindahkan akibat bencana banjir terburuk di negeri ini, ada pihak yang juga menyalahkan pembalakan tidak terkawal yang menggondol hutan sekitar Gua Musang.

Selepas melawat mangsa banjir di Gua Musang, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak juga menyebut pembersihan hutan yang berleluasa sebagai faktor yang boleh memburukkan lagi banjir tahun ini. ~ANTARAPOS

BANTUAN BANJIR ORANG PARTI BUAL HAL....JAGALAH AMANAH ORANG BUKAN AMBIL KESEMPATAN



Utk yg telah menyumbang... Ini laporan kami... Bantuan telah disalurkan...



Raja Shamri wrote:- 

hari ni ada orang kuat PAS kelantan datang nak ambik barang dalam kuantiti yg banyak lepas tu arah sukarelawan suruh angkat barang sesuka hati ... semalam team pakai baju 1 malaysia juga ada datang dgn cara yg sama ...

Lepas tu arahkan sukarelawan itu dan ini ... seolah2 seperti kami semua ni kena patuh pada arahan mereka ... Waittt !! at least pikirlah sikit ... tanyalah sikit ... siapa yg incharge ... merendah diri ... bukan satu tempat je teruk bnyk tempat yg teruk ...

at first kami tak bagi mereka ambil barang2 tu ... ini amanah orang ramai untuk saya uruskan ...saya x nak barang2 ni x sampai pada sasaran dan hanya golongan tertentu yg dapat ... lepas bagi explanation baru masing2 nampak faham ...

Saya tak kira siapa ... PAS ke UMNO ke DAP ke PKR ke ... kalau tak betul saya tegur ... supaya perbaiki dan jadi lebih baik ... macam tu baru parti boleh jadi hebat ... negara akan jadi maju ...baru boleh kekal berkuasa ... tengok jepun dan korea ... bila orang tegur terus mintak maaf ... bukan macam orang kita ... bila orang tegur dia kata kita fitnah ...

Letak tepi soal politik ... kita tolong ramai yg kebulur disana ... ada nyawa yg perlu di selamatkan ...


Contohnya, bila orang sebut, marah atau tegur keburukan seorang dari lapan anak kita ... itu tidak bermakna kesemua satu keluarga itu teruk. Itu tak bermakna mak bapak tu jahat dan gagal. Mak bapak yg hebat bila seorang anak dia di tegur, atau di marahi atau buat silap maka mak bapak ini akan cuba perbaiki anak dia tu ... dengan cara ini keluarga ini akan jadi hebat ... mak bapak ini akan jadi parents yg sangat hebat !

Macam zaman saya kecik dulu, bila orang tegur anak jahat atau nakal maka mak bapak akan pukul anak tu ... bukan backup ... bila backup anak tu maka anak tu akan membesar jadi jahat dan tak terkawal.

Saya bukan penentang kerajaan ... saya bawak minyak diesel drive 4 jam dgn kaki palsu ke agensi kerajaan untuk hidupkan generator ... saya juga bukan ahli parti pembangkang sbb tu saya buat misi ni kat masjid walaupun pejabat parti pembangkang hanya beberapa depa je dari masjid ni ...

Kami rakyat malaysia yg sayangkan negara ini dan sangat sedih dengan tragedi banjir ini ...

Accept critics ... appologize ... then change ... we will be better and stronger !





30 Disember 2014

RAHSIA PUNCA LOKASI PESAWAT QZ8501 DITEMUI TERBONGKAR




JAKARTA – Rahsia bagaimana pasukan pencari dan penyelamat berjaya mengesan lokasi terakhir pesawat QZ8501 terbongkar apabila Ketua Polis Indonesia, Jeneral Sutarman Paidi Pawiro mendedahkan ia dijejak hanya dengan berdasarkan isyarat telefon bimbit.

Dalam sidang akhbar khas di ibu pejabat Mabes Polri atau Markas Besar Polis Republik Indonesia di sini hari ini, beliau menceritakan pasukan itu cuba mencari isyarat daripada telefon selular mangsa yang dapat dikesan menara Base Transciever Station (BTS).

BTS ialah stesen penerima isyarat selular darat yang biasanya terdapat di setiap ibu sawat menara telekomunikasi tempatan dan kemudian akan menghantar semula isyarat tersebut ke stesen lain yang berdekatan sama ada secara gelombang mikro atau gentian optik.

Terdapat lebih 23,000 menara BTS di semua 33 wilayah republik itu dengan paling banyak diuruskan firma milik pemerintah, Telkomsel iaitu 9,500 menara manakala baki ribuan BTS lain diurus oleh syarikat swasta tempatan iaitu Axiata XL, Indosat, HCPT dan Axis.

“Sejurus laporan pesawat AirAsia Indonesia itu hilang pagi Ahad, kami telah meminta semua waris menyenaraikan nombor telefon bimbit yang dibawa penumpang atau krew bagi memudahkan BTS mengesan gelombang isyarat selular mangsa,” kata Sutarman.

Pasukan pencari bekerjasama rapat dengan pasukan teknologi maklumat (IT) untuk menjejak koordinat isyarat telefon dan mereka bernasib baik kerana kebetulan ada mangsa didapati tidak mematikan telefon selular di dalam pesawat sebelum ia terhempas ke laut.

Berdasarkan analisis pakar IT, mereka cuba mengecilkan titik lokasi kapal terbang itu sebelum mengerahkan pesawat peninjau dan kapal tentera laut segera ke kawasan isyarat daripada telefon bimbit mangsa yang dikesan BTS dekat wilayah Kalimantan Tengah.

“Pada mulanya, kami bimbang kerana pasukan pencari gagal menemui sebarang puing atau serpihan bangkai pesawat QZ8501 di lokasi dinyatakan BTS, namun selepas menunggu seketika, baharulah timbul bukti dari dasar laut di Selat Karimata,” kata Sutarman.

Pesawat malang AirAsia Indonesia tersebut dalam penerbangan dari Surabaya ke Singapura dengan membawa seramai 155 penumpang dan tujuh krew dilaporkan hilang pada pagi Ahad lalu di perairan Laut Jawa dekat Pulau Belitung di tenggara Sumatera. –Agensi





Pasukan SAR membawa penemuan barang dan serpihan dalam operasi pencarian pesawat AirAsia AK 8501, di Posko Utama Carian Pesawat Lanud Iskandar, Pangkalan Bun, Kalimantan Tengah, Selasa (30/12/2014). Pelbagai barangan dan jenazah sudah berjaya diangkat oleh pasukan SAR dari laut.

Antarabangsa Puji SAR Indonesia sebagai Pasukan Terbaik di Asia


KOMPAS.com - Dunia antarabangsa memuji kemampuan pasukan SAR Indonesia yang mampu mencari AirAsia QZ8501 dengan cepat, dan dianggap sebagai salah satu pasukan SAR terbaik di di Asia.

"Indonesia telah berpengalaman menghadapi bencana, sehingga mereka mempunyai kemampuan yang sangat bagus dalam hal penyiasatan pelbagai insiden," ujar Greg Waldron, editor majalah penerbangan FlightGlobal, sebagaimana dikutip dari Wall Street Journal, Selasa (30/12/2014).

Dari catatan dia, pasukan SAR Indonesia telah mampu menangani dengan baik pelbagai kemalangan pesawat seperti tenggelamnya kapal ferry dan beberapa kemalangan pesawat, walaupun menghadapi keadaan geografi yang cukup sukar.

Waldron berkata pasukan SAR Indonesia sebenarnya mampu mencari pesawat di lokasi terakhir pesawat tersebut melakukan komunikasi. Namun, kerana keadaan cuaca yang buruk, hal itu urung dilakukan.

Penyiasat Indonesia (KNKT) juga telah mempunyai hubungan yang erat dengan pelbagai agensi antarabangsa dalam meneliti pelbagai insiden kemalangan pesawat. Lembaga itu salah satunya adalah National Transportation Safety Board (NTSB) Amerika Syarikat.

Sementara itu, Mark Martin dari perunding penerbangan bebas Martin Consulting menuturkan bahawa Indonesia sebenarnya mempunyai kapal laut tanpa awak yang mampu mengesan kehadiran benda di bawah laut. "Jika ada pesawat yang tenggelam di laut, saya yakin, pihak Indonesia boleh dengan cepat menjejakinya dan proses pencarian akan berjaya," kata dia.

Martin juga menyarankan agar kru pesawat juga dilatih untuk memahami keadaan perairan yang ada dalam laluan penerbangan di Indonesia, dan mempunyai keupayaan navigasi standard ketika dalam keadaan darurat.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Toni Fernandes malam ini juga mengapresiasi pasukan SAR yang dengan cepat mampu mencari kedudukan jatuh pesawat. "Kami sangat berterima kasih kepada Basarnas yang dengan cepat mencari mangsa. Pada masa ini fokus kami adalah bagaimana mengevakuasinya," tutur Fernandes.

SEMPATI DARI THAILAND BANTUAN UNTUK RAKYAT KELANTAN MELALUI MB


YAB Menteri Besar Kelantan menerima sumbangan bekalan untuk di agihkan kepada mangsa-mangsa banjir di Kelantan daripada Gabenor Narathiwat sekejap tadi di Balai Islam Lundang.

Bantuan daripada Gabenor Narathiwat untuk rakyat Kelantan.

Terima kasih, jiran, di atas keprihatinan anda.

Bantuan datang mencurah-curah dan luar biasa ke Kelantan di atas musibah yang melanda.





LAGI GAMBAR-GAMBAR


BANTUAN AIR BERSIH

TERKINI: 21 KORBAN BANJIR DAN 10 MASIH HILANG!!

21 korban banjir, 10 masih hilang

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesahkan sehingga kini, jumlah angka korban banjir adalah 21 orang.

Manakala sepuluh orang lagi masih hilang di seluruh negara.

Kelantan, menurutnya, mencatatkan angka tertinggi iaitu 14 kematian dan empat masih hilang.

Terengganu mencatat empat kematian dan lima masih belum ditemui.

Di Pahang pula, tiga maut dan seorang masih hilang.


Pautan kekal imej terbenam


Mangsa di K'tan, Pahang terus meningkat



Jumlah mangsa di Kelantan dan Pahang terus meningkat tengah hari ini, manakala di Perak, Terenganu dan Johor menunjukan penurunan.

Di KELANTAN mangsa yang dipindahkan meningkat kepada 158,476 orang berbanding 142,582 orang pagi tadi.

Menurut jurucakap Majlis Keselamatan Negara (MKN) Kelantan, jumlah tersebut melibatkan 39,328 keluarga yang di tempatkan di 317 pusat pemindahan.

Daerah Kota Baharu masih menempatkan mangsa paling ramai iaitu 43,558 orang di 63 pusat pemindahan.

Tujuh lagi daerah iaitu Pasir Mas menempatkan 9,960 mangsa di 35 pusat, Tumpat (26,602 orang di 32 pusat), Tanah Merah (19,440 di 24 pusat), Kuala Krai (23,500 di 103 pusat), Gua Musang (13,327 di 24 pusat), Machang (8,289 di 34 pusat) dan Pasir Putih 192 di dua pusat), katanya.

Di PAHANG keadaan banjir belum menunjukkan tanda untuk pulih apabila terus mencatatkan pertambahan mangsa kepada 49,978 orang berbanding 49,369 orang pagi tadi di 261 pusat pemindahan dalam lapan daerah.

Jurucakap Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang berkata, daerah Temerloh masih menempatkan mangsa pemindahan paling ramai iaitu 19,875 orang di 62 pusat pemindahan.

Tujuh lagi daerah ialah Pekan sebanyak 9,960 mangsa di 39 pusat, Jerantut (6,025 orang di 59 pusat), Maran (4,351 di 32 pusat), Kuantan (3,797 di 17 pusat), Lipis (2,930 di 27 pusat), Bera (2,854 di 19 pusat) dan Rompin 186 di enam pusat).

Di PERAK, keadaan banjir menunjukkan penurunan apabila jumlah mangsa yang dipindahkan di daerah Kuala Kangsar berkurangan, menjadikan keseluruhan mangsa di negeri ini seramai 7,664 orang berbanding 7,735 orang pagi tadi.

Menurut jurucakap Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Perak, setakat ini mangsa banjir di Kuala Kangsar ialah seramai 2,050 orang daripada 539 keluarga di 22 pusat pemindahan.

Jumlah mangsa di kawasan Perak Tengah pula seramai 4,515 orang daripada 1,203 keluarga di 19 pusat.

Di Hulu Perak, sebanyak dua pusat pemindahan baharu dibuka, menjadikan 14 pusat pemindahan dibuka dengan menempatkan 799 mangsa daripada 215 keluarga.

Di Kerian mangsa di dua pusat pemindahan kekal 300 orang daripada 90 keluarga.

Di TERENGGANU, jumlah mangsa menurun kepada 25,775 orang berbanding 30,652 orang pagi tadi.

Ini berikutan lebih ramai mangsa meninggalkan pusat pemindahan setelah keadaan reda.

Mengikut statistik portal Majlis Keselamatan Negara (MKN) Terengganu, kini terdapat 15,918 manga di Kemaman, Dungun (9,507), Hulu Terengganu (74) dan Kuala Terengganu (276).

Di JOHOR, 153 orang melibatkan 43 keluarga masih ditempatkan di pusat pemindahan berbanding 171 orang pagi tadi di Muar, Batu Pahat, Ayer Hitam, Segamat dan Kluang.

- Bernama

Blogger China Ramal Pesawat AirAsia Akan Hilang 13 Hari Sebelum Kejadian



TINDAKAN seorang blogger misteri di China meramalkan sebuah pesawat AirAsia akan ghaib - 13 hari sebelum QZ8501 dilaporkan hilang pada Ahad menjadi viral dikalangan netizen.

Dalam ramalan tersebut blogger terbabit dilaporkan memberi amaran kepada syarikat penerbangan bahawa sebuah pesawat lagi sedang menjadi sasaran oleh kumpulan bayangan yang digelarnya 'Tangan Hitam' (Black Hand).

Menurut laporan DailyMail Online, blogger terbabit turut mendakwa 'Tangan Hitam' merupakan kumpulan yang bertanggungjawab terhadap dua insiden melibatkan Penerbangan Malaysia (MAS) iaitu MH370 dan MH17 sebelum ini.

Pesawat QZ8501 milik AirAsia Indonesia yang membawa 162 penumpang dilaporkan hilang dari radar ketika dalam perjalanan dari Surabaya ke Singapura pada pagi Ahad dan kejadian itu merupakan yang ketiga melibatkan syarikat penerbangan dari Malaysia.

Sejak pesawat itu hilang, netizen kembali mempersoalkan ramalan berkenaan manakala terdapat kumpulan lain mendakwa ia telah disunting semula bagi dijadikan viral.

Dalam satu komen pada 15 Disember yang telah diterjemahkan dipetik berkata, penulis blog berkenaan telah memberi amaran' "Tangan Hitam telah merampas dan menembak jatuh MH370 dan MH17."




"Ini sudah cukup untuk membunuh syarikat penerbangan keenam terbesar: Penerbangan Malaysia (MAS).

"Kini, Tangan Hitam menyasar untuk merosakkan AirAsia, kerana ia juga milik Malaysia.

"Memandangkan bertapa kuatnya Tangan Hitam itu, saya mencadangkan semua rakyat China supaya mengelak daripada menggunakan AirAsia, supaya anda tidak hilang seperti MH370. ~SUMBER

PENDUDUK KAMPUNG BERGADUH KERANA BANTUAN MAKANAN


Mangsa banjir terpaksa tadah air hujan untuk minum.....


Lepas zohor saya di kunjungi sekumpulan NGO dari KL yang sangat hebat ... mereka turun rumah dari KL pukul 4.00 pagi tadi bersama barang2 bantuan untu membantu misi kita ... TAHNIAH untuk Azila dan family ...so kebetulan masa tu saya nak pecut ke Kampung Tualang dan kampung2 pedalaman kuala krai maka saya bawak mereka terus bersama saya ...

Kami sebenarnya tak makan apa2 lagi dari pagi masa tu ... tak terlintas nak makan dan tak rasa nak makan ... urusetia ada bekalkan nasik 5 bungkus tapi sampai lokasi mangsa, kami bagi semua nasik untuk kami tu ... tak sampai hati dan tak sanggup lagi dah nak makan ... mereka dah 6 hari tak dapat apa2 bekalan ...

Tersadai di ma'had tahfiz jauhhhh di pedalaman ...

Pusat tahfiz tu bukan pusat perpindahan banjir berdaftar dan semalam mereka bagi tahu mereka diserang dengan parang oleh orang kampung sebelah yang jauhhhh di lagi ke pedalam kerana yg satu lagi tu dapat tahu mereka di ma'ahad tahfiz tu mewah dengan makanan walhal mereka hanya minum air hujan dan tak dapat apa2 bantuan pun ...

Dalam hati saya bila keadaan terdesak kemarahan dan nafsu akan menguasai ...
So sempatlah bagi tazkirah sikit pesanan dan nasihat agar sentiasa redha, solat jgn tinggal dan beroa ... jangan bergaduh ...

Nasib baik ada bawak jugak bekal makanan ... esok kami datang dengan lori ya ...
InsyaAllah ...


SIAPA  DIA  Raja Shamri.....Beliau begitu aktif membantu mangsa-mangsa banjir.....di sini page beliau  >>>> RAJA SHAMRI

Saya dan Dr Hadi tak sangka akan jadi macam ni ... sekarang seluruh negeri kelantan macam refer kat kami untuk edarkan barang2 bantuan mahupun untuk serahkan barang2 ...

Ya Allahhhh ... takutnyaaaaaa ... rasa macam tak termampu nak buat ...

Kalau tuan2 pergi sendiri ke lokasi banjir ni ... tuan2 akan tahu sendiri kebanyakan tempat tu 6 bulanpun belum tentu boleh jadi seperti biasa.

Ada tadi terjumpa seorang mangsa berjalan2 sorang2 dengan lumpur penuh badan ... saya tanya nak kemana ni ? Dia kata tak tahu ... rumah dia dah takde ...

So kerja kita ni bukan seronok2 ... bukan nak dapatkan nama atau penghargaan sesiapa ... Hanya satu je ... ATAS DASAR KEMANUSIAAN ...

Kepada anak-anak atau saudara mara mangsa yg berada di luar kelantan ambillah masa untuk pulang bercuti sekejap sehari dua lagi sama2 rasai derita dan sama2 plan untuk bantu ya ...

It's so terrible !



ANTARA SUKARELAWAN2 YANG TERLIBAT.....



#banjirkelantan
#banjirkualakrai

ULAMA FACEBOOK DIHENTAM WEB PRO BN, APA YANG TAK KENA?


Laman web pro-BN bidas Dr Asri


Laman web pro-BN, mykmu.net membidas bekas Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang didakwanya memilih untuk menyebarkan prasangka buruk yang boleh memecah belah rakyat ketika berlaku musibah banjir.

Ia mendakwa Asri seolah-olah cuba ‘menambah api’ terhadap berita palsu mengenai tersebarnya kampit beras yang bercetak wajah MP Machang Ahmad Jazlan Yaakub serta bantuan beras lambat kerana mahu wajah MP itu dicetak terlebih dahulu.



Katanya, ketika tersebar berita palsu bahawa kerajaan menghalang NGO menyampaikan bantuan banjir kerana mahu meletakkan logo BN, Mohd Asri didakwanya bukan sahaja tidak membantu membetulkan tanggapan tetapi cuba menambah api lagi.

Sebelum ini, terdapat dakwaan bahawa Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) menyekat bantuan untuk mangsa banjir di Kuala Krai, tetapi pengarahnya telah menafikannya dan sebaliknya mengalu-alukan sumbangan serta bantuan untuk mangsa banjir.

Lawanweb itu berkata, sebagai ulama, Asri seharusnya mengurangkan kebimbangan dan perpecahan rakyat, tetapi ia mendakwa Asri pula yang memecah-belah masyarakat.

“Ulama dahulu tidak memberi pandangan jika tiada maklumat jelas dan pasti. Ulama hari ini sibuk berfacebook mahu jadi popular.

Sementara itu, Asri dalam facebook berkata, sekiranya berlaku perkara yang menyekat bantuan disampaikan kepada mangsa banjir, ia hendaklah dihentikan segera.

"Bukan masanya bermain politik kepartian di waktu ini, kasihanilah rakyat, berganding bahu dengan ikhlas untuk membantu sesama kita,” tulis Asri di facebook.

Menurut mykmu.net lagi, sungguhpun ayat pertama Asri berlapik  mengharapkan berita tersebut tidak benar, "namun para kedua jelas mahu memainkan emosi pembaca dan mewujudkan keadaan kemungkinan perkara tersebut ada berlaku".
Tulisan Asri di facebook turut mendapat 16,000 ‘like’ dan dikongsi 1,500 pengguna. ~mk

29 Disember 2014

GAMBAR-GAMBAR KESAN BANJIR SEPERTI DILANDA TSUNAMI


Ini bukan Acheh yang dilanda tsunami, ini Kg Manjor,  Kuala Krai salah satu Daerah yang teruk dilanda banjir.

Bayangkan betapa besar dan kuatnya air yg membadai kampung ini. Lihat pada kesan hancur inipun sudah dapat kita bayangkan saat air menggila yg menerjah dinding rumah pada malam gelap tersebut.

Kematian mangsa? Masih misteri.


Tiga Jajahan atau daerah yang teruk dari segi kerosakan harta-benda iaitu Kuala Krai, Gua Musang dan Pasir Mas.

Dilaporkan sehingga hari ini di Kelantan sahaja , 9 terbunuh kerana lemas dan 4 masih hilang apa yang dimaklumkan oleh pihak Polis.





SOP BANTUAN BANJIR MKN DIKRITIK


PAS kritik SOP bantuan banjir MKN


Kerajaan perlu melihat secara holistik dan tidak perlu timbul mangsa perlu berdaftar atau tidak.



KUALA LUMPUR: Majlis Keselamatan Negara (MKN) dicadangkan tidak mengikut prosedur operasi standard (SOP) ketika memberi bantuan kepada mangsa banjir dalam keadaan semasa ini.

Naib Presiden PAS Salahudin Ayub mengulas dakwaan mengatakan ada mangsa banjir yang perlu mendaftarkan diri mereka dengan MKN untuk mendapatkan bantuan banjir.

“Saya ingin nyatakan dalam keadaan banjir biasa SOP itu mungkin boleh diikut dan itu tak boleh nafikan. Namun banjir kali ini, saya rasa MKN tak boleh guna ‘standard’ itu.

“Ini kerana air naik terlalu cepat. Jadi kalau ada mangsa banjir yang tidak sempat berdaftar atau dua, tiga, empat hari berada di atas bumbung, lari ke hutan atau bukit, adakah kita nak pakai SOP itu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PAS di sini.

Katanya, kerajaan perlu melihat secara holistik dan tidak perlu timbul mangsa perlu berdaftar atau tidak.

Beliau berkata, MKN perlu mendapatkan maklumat daripada pihak berkuasa tempatan dan pemimpin akar-umbi seperti penghulu atau ketua kampung dalam menilai kemusnahan yang ditanggung oleh mangsa.

“Itu bukan penyelesaian tahap banjir sebegini. Harap perkara ini diambil perhatian,” ujarnya. ~FMT



Mangsa banjir kini mencecah 225,731 orang


Banjir di Kelantan masih belum berkurangan apabila mangsa banjir di negeri paling terjejas teruk akibat bencana itu meningkat kepada 151,072 orang berbanding 134,139 malam tadi, kata Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Kelantan Nik Omar Nik Abdul Rahman.

Beliau berkata, mangsa banjir daripada 36,128 keluarga ditempatkan di 309 pusat pemindahan melibatkan lapan daerah.

Jajahan Kota Baharu masih mencatatkan angka tertinggi mangsa banjir iaitu 44,061 orang, Tumpat (30,569), Pasir Mas (23,568), Kuala Krai (23,500), Gua Musang (17,327), Machang (8,289), Tanah Merah (3,546) dan Pasir Puteh (192).

Mangsa banjir turut bertambah di Pahang dan Perak pagi ini, dengan Pahang catat 33,225 orang berbanding 31,095 malam tadi sementara Perak 7,813 orang berbanding 7,539 malam tadi

Bagaimanapun, jumlah mangsa banjir di Terengganu dan Johor turun pagi ini, dengan Terengganu catat 33,292 orang berbanding 36,210 malam tadi, dan Johor 328 orang berbanding 332 malam tadi.

Jabatan Meteorologi semalam turut mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora kategori kedua melanda perairan Kelantan, Terengganu, Pahang dan timur Johor yang dijangka berterusan sehingga hari ini.

Angin kencang Timur Laut itu berkelajuan 50-60 kilometer sejam dengan ombak mencapai ketinggian 4.5 meter berbahaya kepada semua aktiviti pantai dan perkapalan.

Menurut kenyataan itu, kawasan pantai di Kelantan, Terengganu dan Pahang juga terdedah kepada kenaikan paras air laut sehingga hari ini.

Jumlah mangsa banjir di enam negeri terjejas, Kelantan, Pahang, Terengganu, Perak, Johor dan Selangor pagi ini adalah 225,731 orang.

Di Pahang, jumlah mangsa terus meningkat kepada 33,225 orang berbanding 31,095 mangsa semalam.

Menurut Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang, setakat 9 pagi ini, Temerloh kekal menjadi daerah mangsa banjir paling ramai iaitu 12,012 orang yang ditempatkan di 71 pusat pemindahan.

Enam daerah lain ialah Kuantan membabitkan 3,046 mangsa yang ditempatkan di 17 pusat pemindahan, Pekan (4,873 mangsa di 17 pusat pemindahan), Maran (3,479 mangsa di 33 pusat pemindahan), Jerantut (6,025 mangsa di 59 pusat pemindahan), Bera (1,491 mangsa di 14 pusat pemindahan) dan Lipis (2,299 mangsa di 31 pusat pemindahan).

Sehingga kini Lebuhraya Pantai Timur (LPT) bagi laluan kedua-dua arah Kuantan-Kuala Lumpur dan jalan lama masih ditutup kepada lalu lintas.

Orang ramai yang menuju ke Kuantan dari Kuala Lumpur diminta menggunakan jalan alternatif melalui Seremban-Kuala Pilah-Serting-Muadzam Shah-Kuantan dan sebaliknya.

Di Perak jumlah mangsa terus meingkat kepada 7,813 mangsa berbanding 7,539 mangsa malam tadi.

Menurut jurucakap Majlis Keselamatan Negara (MKN) Perak, semua mereka ditempatkan di 54 pusat pemindahan iaitu 22 di Kuala Kangsar, Perak Tengah (20), Hulu Perak (11) dan Kerian (satu).

Di Perak Tengah, bilangan mangsa banjir setakat ini adalah sebanyak 4,220 orang.

Kuala Kangsar yang merangkumi kawasan Sungai Siput mencatat jumlah mangsa banjir sebanyak 2,565 manakala di Hulu Perak sebanyak 738 dan Kerian (290) mangsa.

Di Terengganu, jumlah mangsa banjir menurun kepada 33,260 orang berbanding 36,210 malam tadi.

Di Kemaman masih tinggal 22,214 mangsa manakala hampir 3,000 mangsa dibenarkan pulang ke rumah masing-masing apabila keadaan air beransur surut.

Di Dungun masih terdapat 10,138 mangsa, Kuala Terengganu (759) orang dan Hulu Terengganu (149) mangsa.

Jumlah pusat pemindahan di Terengganu juga menurun daripada 88 malam tadi kepada 79 pagi ini, iaitu Dungun 34, Hulu Terengganu (empat), Kemaman (35) dan Kuala Terengganu (enam).

Sementara Johor mencatatkan sedikit penurunan mangsa banjir iaitu empat orang, dengan seramai 328 mangsa direkodkan pagi ini berbanding 332 mangsa malam tadi.

Menurut Pusat Kawalan Operasi Bencana Negeri Johor, sembilan pusat pemindahan menempatkan 85 keluarga masih dibuka iaitu di satu di Muar, Batu Pahat (dua) dan masing-masing tiga di Segamat dan Kluang.

Jalan Kampung Asli Sedohok di Kahang, Kluang masih belum boleh dilalui, menurut pusat kawalan terbabit.

Sementara di Selangor, hujan lebat berterusan pada Sabtu lepas menyebabkan beberapa kampung di Klang, antaranya Kampung Budiman, Meru dan Kampung Sementa, Kapar mengalami banjir kilat melibatkan 33 mangsa.

Semua mangsa daripada sembilan keluarga itu ditempatkan di pusat penempatan sementara Sekolah Kebangsaan Sungai Binjai lapor The Malaysian Insider

PIYA PEMAIN BOLASEPAK NEGARA LUPA PASAL BOLA KERANA BANJIR BESAR LANDA KELANTAN!!!

Saya langsung tidak berfikir mengenai bola sekarang - Piya

"Saya saksikan sendiri dua mangsa banjir tenggelam di depan rumah saya beberapa hari lalu. Saya cuba nak bantu tetapi arus air terlalu kuat. Saya cuma dapat lihat mereka terkapai-kapai hanyut.

Situasi banjir ini sangat kritikal. Rumah lama saya berdekatan hotel Grand Riverview musnah sama sekali. Ahli keluarga saya di merata-rata tempat, ada di pusat pemindahan banjir dan ada yang tinggal bersama saya.

Rakan-rakan saya turut merana. Seorang daripada mereka kehilangan lima kereta dalam tragedi ini. Seluruh Kota Bharu tenggelam. Ia tidak hujan di sini, tetapi hujan lebat serta limpahan air dari Gua Musang dan Kuala Krai menyebabkan air turut melimpah di bandar Kota Bharu. Begitu teruk sehingga kita tidak boleh memandu di bandar.

Walaupun kita dah biasa dengan musim tengkujuh di hujung tahun, apa yang berlaku sekarang amat luarbiasa dan sangat kritikal. Saya tidak pernah mengalami situasi begini sepanjang 32 tahun tinggal di Kelantan.

Saya langsung tidak berfikir mengenai bola sekarang. Stadium kita tenggelam. Air di hospital Kota Bharu pada paras pinggang. Pesakit kritikal dipindahkan dengan bot dan helikopter.

Ramai yang cuba menyelamatkan diri, pergi ke kawasan tinggi. Rakan saya beritahu, paras air di Gua Musang telah surut, tetapi jika hujan turun berterusan, situasi akan menjadi lebih buruk.

Saya berharap Kelantan akan menerima bantuan segera daripada semua pihak yang berkenaan. Saya berdoa dan memohon simpati daripada Allah SWT. Mungkin ini ujian daripadaNya dan ujian ini benar-benar satu ujian yang berat.

Saya berharap orangramai akan bersatu untuk Kelantan. Kita mesti yakin keadaan akan jadi lebih baik. Saya minta semua rakan senegeri saya, rakyat Kelantan supaya tabah dan bersabar.”

Mohd Badhri Mohd Radzi
Ketua Pasukan Kelantan
Pemain bolasepak Kebangsaan

Temuramah bersama Nicolas Anil, Malay Mail






DIBAWAH KESAN BANJIR BESAR DI KUALA KRAI





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...