25 Jun 2011

VIDEO SEK: BEGITU RENDAH TAHAP PERMAINAN POLITIK BN


Perbicaraan Datuk T atau pesta serang Anwar?

Adakah Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail akan mengambil langkah berani untuk mensabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim atas tuduhan membuat laporan polis palsu?

Atau, adakah memadai untuk peguam negara menutup kes ini di sini, selepas pendakwaraya mengambil kesempatan menghebahkan kononnya dua profesor sebuah kolej dari Amerika Syarikat memberitahu Polis DiRaja Malaysia bahawa orang dalam video itu adalah mirip Anwar.

Tidak ada peluang untuk peguam-peguam Anwar mempertikaikan laporan profesor dari Dartmouth College Hanover New Hampshire itu atau rekod akademik kolej itu sendiri kerana pertuduhan hanya membabitkan Datuk T.

Pendakwaan itu digunakan sepenuhnya oleh peguam negara, polis dan peguam Datuk T untuk mengitar semula tuduhan terhadap Anwar, kali ini di dalam sebuah mahkamah terbuka.

Pada masa sama mereka menutup ruang untuk Anwar mempertahankan diri seraya memeriksa laporan “pakar” dan bukti-bukti lain yang dikemukakan semalam.

Justeru persoalan yang amat relevan adalah: Adakah peguam negara sanggup untuk membawa pertuduhan terhadap Anwar sendiri demi mempertahankan hasil siasatan polis dan pakar yang digunakan oleh pendakwaraya untuk mengaibkan beliau?
Tak berani minta dibicarakan

Jika jawapan Gani adalah “ya”, maka ia akan membolehkan peguam Anwar menguji “bukti-bukti” pakar polis yang dimaksudkan mengenai video lucah itu serta memperinchi “semangat patriotik' gandingan Datuk T dalam menayangkan video lucah berkenaan

Sayang sekali, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik, Datuk Shuib Lazim dan Datuk Shahryl Eskay Abdullah tidak pula mengaku tidak bersalah dengan hujah mereka bertindak menayangkan video itu demi kepentingan negara dan bukan kerana mencari keuntungan diri.

Jika mereka berani meminta dibicarakan, maka sudah tentu ia memberi ruang kepada Anwar untuk dipanggil sebagai saksi dan peguam-peguam Anwar pula boleh memohon untuk menjadi pemerhati dengan hak menyoal balas “pakar-pakar” pendakwaraya.

Namun ini tidak berlaku. Gandingan Datuk T sebaliknya cepat-cepat mengaku salah, dan membayar denda ringan.

Sebaik sahaja keluar mahkamah, Datuk T dan peguam mereka melontarkan satu lagi pusingan tuduhan terhadap Anwar.

Satu aspek menarik mengenai kes mahkamah Datuk T adalah bagaimanakah peguambela mereka, Datuk Shafee Abdullah memperolehi laporan daripada profesor Amerika itu jika dokumen itu adalah sulit dan dipegang oleh polis?

Seperti yang dijangka, laporan itu dipergunakan sepenuhnya oleh Shafee untuk mendakwa kononnya kini ada pakar Amerika Syarikat mengesahkan bahawa orang dalam video itu 99.99 peratus adalah Anwar.

Yang menghairankan, ialah tidak ada pula butiran dalam laporan pakar itu yang memberikan peratusan sedemikian.

Satu carian di Internet pula mendapati Kolej Dartmouth yang menjadi rujukan Gani dan Shafee lebih terbilang sebagai kolej yang menawarkan kursus untuk ijazah pertama sahaja. Kewibawaannya dalam bidang penyelidekan ala-CSI ini perlu disahkan terlebih dahulu.

Selepas pendakwaraya menghebahkan laporan pakar Amerika itu di mahkamah terbuka, peguam Datuk T pula menyimpan dokumen itu untuk ditunjukkan kepada wartawan selepas perbicaraan.

Menyelamatkan Malaysia?

Rahim, Shuib dan Eskay kemudian “dilepaskan” dengan denda berjumlah RM5,500 kerana menayangkan video lucah. Namun menurut mereka, mereka sanggup “mengorbankan diri” dengan menerima hukuman itu demi menyelamatkan Malaysia.

JIka itu alasan mereka, sudah tentu, mereka sepatutnya mengaku tidak bersalah dan meminta dibicarakan untuk membersihkan nama mereka.

Denda beberapa ribu ringgit itu adalah harga murah untuk dibayar oleh Rahim dan dua rakannya bagi peluang mengaibkan Anwar, menjatuhkan musuh politik utama Umno dan sekali gus mencerahkan harapan Umno-BN pada pilihanraya umum akan datang.

Namun beberapa persoalan penting tidak diajukan kepada gandingan Datuk T, oleh pendakwaraya mahu pun polis. Antaranya;

Eskay mendakwa kejadian berlaku di hotel, kertas tuduhan mengatakan ia berlaku di sebuah pangsapuri. Eskay mengaku beliau berada dalam rakaman lucah itu dan camcorder yang mengandungi rakaman itu dirampas dari beliau oleh polis.
Justeru, bukankah Eskay mempunyai peranan yang jauh lebih berat dalam rakaman video itu? Kenapa dibataskan dakwaan terhadap Eskay hanya dalam peranan menayangkan video lucah dan bukan sebagai pihak yang mendalangi rakaman itu sendiri? Malah, mungkin membekalkan pelacur yang dimaksudkan?
Dan, ini persoalan yang sering ditanya oleh media arus perdana – apa jadi dengan isu jam Omega yang diserahkan oleh Eskay kepada polis? Tiba-tiba isu jam itu “dilenyapkan' daripada paparan orang ramai.
Umno tak terlibat?

Ini mungkin kes pertama di dunia di mana tiga orang didakwa menayangkan video lucah namun kertas pendakwaan memberi tumpuan yang begitu spesifik kepada aspek-aspek yang boleh mensabitkan Anwar sebagai pelakunya.

Segala pertuduhan terhadap Anwar itu, malangnya, tidak boleh dijawab oleh Ketua Pembangkang kerana bukan beliau yang menghadapi pendakwaan atau pertuduhan.

Jadi ini memberi ruang yang cukup bebas untuk pendakwaraya, peguam Datuk T “melanyak” beliau tanpa bimbang terhadap jawab balas Anwar di mahkamah.

Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaludin mendakwa pendakwaan Datuk Trio membuktikan Umno tidak terlibat dalam video lucah yang dikaitkan kepada Anwar.

Mungkin Khairy boleh menjelaskan bagaimana tiga individu yang mempunyai kepentingan dalam Umno dan kontrak-kontrak lumayan, boleh membuat tuduhan begitu keji yang kemudiannya disokong dan diulang oleh Pejabat Peguam Negara di dalam mahkamah terbuka?

Semua ini dibuat tanpa memberi peluang kepada Anwar untuk membela diri.

Rasanya Khairy tahu maksud pepatah “lontar batu sembunyi tangan” -MK

24 Jun 2011

DUN SARAWAK: PR MEWAKILI 45% RAKYAT

INILAH MASANYA UNTUK MENGGERAKKAN 45% ITU!

Ketua PKR Sarawak, Baru Bian, memasuki bangunan parlimen DUN buat kali pertamanya hari ini dengan membawa laungan-laungan yang baru dan segar. Dia telah memberitahu perkara ini kepada Sarawak Report dalam suatu wawacara eksklusif bahawa inilah masanya untuk menggerakkan sokongan peringkat akar umbi dan membentuk suatu bala sukarelawan dalam pakatan pembangkang pada pilihanraya umum akan datang.

Dalam rayuannya kepada pengundi yang 45% yang pernah kecewa dengan kekalahan pembangkang, tetapi sokongan mereka telah hanya mampu meraih bilangan kerusi yang sedikit, menurutnya lagi, Sarawak harus menyemai budaya sukarelawan bagi menentang rasuah politik wang dan pengundi-pengundi yang pasif.

Ketua PKR itu yang memasuki DUN buat kali pertamanya sebagai salah seorang dari 3 orang perwakilan pengundi luar bandar dan pedalaman yang telah berjaya memenangi kerusi daripada tawanan BN, telah juga mempastikan mengekalkan sokongan dari penyokong-penyokong bandar.

Para pembangkang, yang diwakili oleh DAP, telah berjaya memenangi hampir kesemua kerusi di kawasan bandar kerana komuniti bandarnya lebih peka kepada isu-isu politik semasa serta mempunyai jentera politik yang lebih berkesan. Walau bagaimana pun dengan kemenangan yang lebih banyak diraih oleh BN di kawasan luar bandar, maka Baru Bian telah menegaskan bahawa para aktivis bandar boleh membantu jentera pilihanraya PKR pada pilihanraya peringkat Persekutuan nanti. Kebanyakan kerusi di luar bandar telah menyumbangkan sokongan yang kuat kepada pembangkang, ada yang menang dengan majority tipis – dengan sokongan yang lebih kuat maka mereka akan tetap menang nanti.

Ketua PKR itu telah dengan berhati-hati berbual mengenai hubungan di kalangan parti-parti pembangkang dalam PKR, memandangkan pernah tercetus sedikit sengketa di kalangan mereka tidak lama dahulu. Baru Bian menyatakan dia boleh menerima ura-ura DAP yang ingin bergabung dengan SNAP, dan kini dia memfokuskan seruannya kepada kaum belia Sarawak untuk bersatu menentang rasuah dan menjernihkan lagi perjanjian 20 perkara. Sekiranya pembangkang dapat merebut kuasa, Baru berkeyakinan bahawa langkah pertama mereka adalah untuk mengembalikan khazanah kekayaan yang telah selama ini dirompak oleh pemimpin-pemimpin BN.

WAWANCARA DENGAN BARU BIAN



S – Berdasarkan keputusan pilihanraya yang lalu, apakah perkara-perkara yang positif bagi anda, dan apakah pengajaran kepada parti-parti pembangkang?

“Pertama, kita dapat perhatikan peningkatan positif pada undi-undi popular di pihak pembangkang, iaitu kira-kira 45%. Sebaliknya BN telah mengalami kemerosotan sokongan dari 63% pada pilihanraya terdahulu kepada hanya 55% kali ini. Kedua, kita mendapati penerimaan kumpulan-kumpulan etnik di Sarawak terhadap pembangkang semakin ketara. Kaum Cina di pekan-pekan dan bandar-bandar telah beralih sokongan kepada DAP. Ini sememangnya diharapkan, kerana kaum Cina merupakan golongan yang mudah mendapat apa jua maklumat terkini di sekeliling mereka. Sebaliknya PKR hanya mampu meraih tiga kerusi, suatu petanda yang amat baik dari kaum-kaum Orang Ulu (Ba’ Kelalan), Iban (Krian) dan Cina (Batu Lintang). Walaupun PKR gagal memenangi kerusi kaum Bidayuh, namun keputusan di kesemua kerusi yang dipertandingkan oleh calon-calon kami itu amatlah memberansangkan. Di Beting Maru, di mana PAS telah tewas dengan majority tipis, namun ianya menunjukkan terdapat peningkatan sokongan dari pengundi Melayu untuk PR.

Pengajaran yang diperolehi dari keputusan ini menunjukkan kaum Cina lebih bersedia untuk menerima perubahan. Ini dibuktikan dengan sokongan yang diberikan oleh kesemua kawasan majoritinya Cina, tanpa mengambilkira apakah parti yang bertanding. Misalnya, kawasan Batu Lintang dan Senadin, yang mengetengahkan calon PKR. PKR telah memenangi Batu Lintang dengan majority yang lebih besar berbanding dengan kejayaan DAP pada 2008 dahulu. Kita kalah di Senadin. DAP telah tewas di kedua-dua kerusi yang bukan pengundi Cina di Sri Aman dan Bukit Kota. Ini jelas menunjukkan bahawa pengundi bukan kaum Cina belum bersedia menerima DAP untuk mewakili mereka. Ini seharusnya menjadikan DAP perlu mengubah pandangan mereka untuk bersifat lebih pelbagai kaum; justeru itu mereka telah dengan cepat menyatakan hasrat mereka untuk bekerjasama dengan SNAP, dan dengan cepat juga mereka telah melantik seorang Pembantu Peribadi berketurunan Bidayuh kepada YB Chong sebagai langkah memulakan urusan di kalangan pengundi Bidayuh di Kuching.

Bagi PKR, beberapa buah kerusi lagi mungkin dapat mereka menangi, misalnya Telang Usan dan Kakus jika ianya bukan kerana masalah-masalah yang kecil. Kami gagal melihat faktor-faktor yang menyumbang kepada kegagalan kami lebih banyak kerusi, yang dapat kami bahagikan kepada dua kategori utama; faktor luaran dan faktor dalaman. Contoh faktor-faktor luaran adalah ancaman, gangsterisma, janji-janji kosong untuk membawa pembangunan dan projek-projek, monopoli ke atas logistic pengangkutan awam, mengawal ketua-ketua masyarakat dan rasuah, dsb., mana kala faktor-faktor dalaman pula dilihat pada kelemahan jentera politik atau strukturnya, kelewatan melantik dan mengumumkan para calon, pemilihan yang salah ke atas PACA. Kurangnnya pengetahuan dan kebolehan PACA dan kekangan kewangan juga sama kritikalnya yang gagal kami ketahui.

S – Apakah tindakan PKR untuk memperbaiki prestasi di masa akan datang?

“Perkara pertama adalah untuk mendaftar lebih ramai lagi pengundi muda dan melatih mereka sebagai ahli parti. Dengan adanya pengundi muda yang lebih peka kepada politik semasa di negeri ini, maka PKR dipercayaai akan dapat menjadi sebuah parti yang mudah diterima, terutamanya di kalangan kaum Dayak dan Melayu/Melanau. Para pemimpin PKR tempatan sememangnya ‘hafal’ dan ‘arif’ tentang kes-kes NCR yang timbul masa kini. Kami perlu menubuhkan lebih banyak ranting di kampung-kampung sebagai tempat untuk memberikan perkhidmatan kepada orang ramai. Jentera-jentera parti harus dimantapkan lagi. Bagi meraih lebih banyak sokongan dari akar umbi lebih banyak sesi ceramah perlu diadakan. Pemimpin PKR di peringkat kebangsaan harus merestui perlantikan pemimpin di peringkat negeri. Pemilihan calon pula harus dibuat seawal mungkin bagi membolehkan mereka menemui bakal pengundi mereka. Pihak ranting dan kepimpinan peringkat negeri harus mencari jalan untuk menentukan keberterusan kewangan dan tidak bergantung sepenuhnya pada ibu pejabat parti. Namun pihak ibu pejabat harus juga komited untuk membiayai apa jua aktiviti negeri pada suatu-sutau masa yang tertentu dan diperlukan”.



S – Pada pendapat anda apakah perkara utama dalam manifesto yang boleh meraihkan sokongan nanti?

“PKR adalah sebuah parti yang masih baru berbanding dengan DAP dan PAS terutamanya di negeri Sarawak. Namun sokongan di kalangan etnik-etnik Sarawak amatlah menggalakkan, sebagai mana digambarkan pada kemenangan 3 buah kerusi dan juga kawasan-kawasan yang kami tandingi walaupun tewas. Maka kami harus memantapkan lagi kedudukan kami di hati para pengundi kami. Ya, kami harus menitik-beratkan intipati manifesto kami terutamanya pada pentadbiran kerajaan yang murni. Hasrat kami untuk membantu menangani isu-isu tanah yang menjejaskan komuniti bukan-orang asal. Menghormati 20 perkara di bawah Perjanjian Malaysia dan mempertingkatkan royalti-royalti petroleum merupakan sebahagian dari intipati manifesto kerana ianya berkisar pada kebanyakan penduduk Sarawak.

S – Apakah situasi hubungan PR dan hubungan dengan DAP – adakah DAP akan membantu anda dengan lebih berkesan lagi di kawasan-kawasan pedalaman nanti?

“PKR tidak mempunyai masalah bekerjasama dengan DAP demi masa depan persekutuan PR. Hanya pada peringkat awal sahaja kami mengalami sedikit perselisihan faham dengan DAP. Perkara ini dijangka kerana mereka berhasrat untuk bertanding di kesemua kawasan bermajoriti kaum Cina, memandangka kesemua kerusi itu berkemungkinan besar dapat mereka menangi, yang mana akhirnya didapati benar. Mereka tahu bahawa mereka akan melalui laluan sukar di kawasan Dayak/Melayu. Maka DAP boleh membantu PKR atau PAS di segi kewangan dan para pekerja semasa berkempen”.

S – Apakah kelemahan BN pada pilihanraya akan datang?



“BN tidak ada manifesto atau pandangan yang kabur untuk rakyat Sarawak. Mereka hanya mengamalkan politik wang dan rasuah. Janji-janji mereka terletak pada pembangunan dan projek, tetapi kebanyakannya tidak tertunai. Mereka mengamalkan taktik mengancam dan menyemai rasa takut di kalangan rakyat kebanyakannya. Apabila keadaan (pilihanraya) sudah reda, rakyat akan sedar bahawa BN tiada apa yang diberikan. Kebenaran akan terserlah. PR harus mendedahkan pembohongan-pembohongan ini dan juga kempen-kempen BN yang mengelirukan”.

S – Adakah perlunya PKR menggerakkan 45% pengundi ini, yang telah menyokong PR semasa pilihanraya negeri agar dapat meraih lebih banyak sokongan di masa akan datang?

“Menggerakkan sokongan 45% adalah sangat mustahak. Persoalannya, bagaimanakah caranya kita akan menggerakkan 45% ini untuk mendapatkan lebih banyak sokongan nanti? Budaya sukarela bukanlah sebahagian dari budaya di rantau ini. Kita terpaksa menjelaskan betapa perlunya kita menggerakkan orang-orang di peringkat bawahan agar boleh bersama-sama kita membawa perubahan yang kita inginkan. Kita harus melakukannya sepenuh hati dan jika sebaliknya, orang akan mengharapkan upah untuk apa sahaja yang mereka lakukan. Kita harus meyakinkan setiap orang bahawa kita melakukannya untuk kebaikan semua dan generasi selepas kita”.

S – Pada pendapat anda, apakah tindakan pertama PKR mengenai Sarawak sekiranya mereka dapat mengambil-alih kuasa dari kerajaan pusat?



“Pertamanya kita akan membawa pemimpin-pemimpin yang korup ke muka pengadilan, bermula dengan Ketua Menteri Taib Mahmud dan semua kroninya. Semua harta dan kemewahan yang telah mereka perolehi secara haram akan dikembalikan kepada rakyat Sarawak. Kemudian kita akan menaikkan royalty petroleum kepada 20% dan mengeluarkan peruntukan itu dengan segera untuk membiayai pembangunan di Sarawak. Dengan peruntukan dari kerajaan pusat, kita akan segerakan pembinaan jalan-jalanraya yang menghubungkan kawasan-kawasan pedalaman dengan pekan-pekan utama di Sarawak. Ini akan membuka kawasan lebih banyak tanah untuk tujuan pertanian untuk membawa pembangunan. Menilai semula perjanjian Malaysia 20 perkara”.

S – Apakah reaksi anda setelah mendengar pengumuman rasmi pihak SPRM bahawa mereka kini menyiasat Taib Mahmud?

“Saya amat mengalu-alukan berita bahawa SPRM kini mula menyiasat Taib Mahmud. Saya tidak percaya bahawa mereka berani dan sanggup mendakwa Taib, walaupun terdapat bukti-bukti kukuh mengenai kekayaan haram yang diperolehinya selama ini. Taib adalah terlalu penting bagi Najib, kerana dia telah membawa kemenangan BN Sarawak pada setiap kali pilihanraya, maka tiada mungkin mereka akan ‘menggigit tangan orang yang menyuapkan makanan ke mulut mereka’ selama ini. Jika SPRM pasti juga akan bertindak, kita akan anggap ianya suatu keajaiban”.

S – Apakah perasaan anda pada hari-hari menjelang menyertai DUN dan apakah keutamaan peranan anda?

“Saya rasa dihormati menjadi sebahagian dari ahli-ahli dalam DUN Sarawak, dengan harapan dapat menyumbangkan sesuatu untuk kebaikan negeri ini dan rakyatnya. Sebaliknya saya juga dapat merasakan beban tanggungjawab ini kerana BN adalah majority dan suara kami akan mudah ditenggelamkan. Namun saya akan berusaha mengejar penyelesaian ke atas isu-isu yang terdapat dalam manifesto kami. Antara lain, penubuhan Suruhanjaya Tanah, suatu landasan yang adil dan berkecuali untuk menyelesaikan persengketaan NCR. Jika diharuskan saya membentangkan private bill mengenai perkara ini, saya akan lakukan. Kedua, saya akan memantau projek-projek yang telah dijanjikan oleh BN pada kempen pilihanraya yang lalu dan mempastikan kesemuanya ditunaikan. Saya katakan secara amnya tanpa berat sebelah dan merangkumi semua kaum dan anutan agama”.-SR

Satu lagi projek Rent-Seeking? RM2b lagi setelah RM1.4b habis digunakan

Menurut laporan Business Times Singapura yang disiarkan pada 16 Jun 2011, CIMB Bank secara rasmi mengambil alih Asia Petroleum Hub Sdn Bhd, yang mempunyai hubungan rapat dengan UMNO. Ini kerana syarikat ini telah menghabiskan pinjaman RM1.4 bilion dari CIMB, namun gagal menyempurnakan projek Asia Petroleum Hub, malah merancang untuk mengumpul RM2.0 bilion lagi untuk mengisi lubang hitam perbelanjaan.

Asia Petroleum Hub ialah satu projek mega yang mengambil tempat di Wilayah Pembangunan Iskandar, selatan Johor (berdekatan dengan Tanjung Pelepas). Mengikut rancangan asal, projek bernilai RM1.4 bilion ini memiliki kemudahan pelabuhan pelbagai jenis - mampu mengendalikan kapal pelbagai skala, dengan bilangan 3,000 kapal setahun, dan 30 juta tan produk petroleum.

Dalam satu kenyataan pada Julai 2007 oleh Asia Petroleum Hub Sdn Bhd, projek ini pada asalnya dijangka siap pada tahun 2009. Namun demikian, penyempurnaan projek berkenaan belum mencecah 65% sehingga hari ini, dan RM1.4 bilion telah habis digunakan.

Kos pembangunan Asia Petroleum Hub secara keseluruhannya bergantung kepada kemudahan yang ditawarkan CIMB. Business Times memetik sumber dalaman bahawa CIMB menawarkan bridge loan selama tiga tahun, bernilai RM1.4 bilion kepada Asia Petroleum Hub Sdn Bhd pada tahun 2006.

Lebihan kos sekurang-kurangnya RM2 bilion

Sebagaimana yang diketahui, Asia Petroleum Hub Sdn Bhd telah mengeluarkan RM840 juta pada tahun 2009 untuk membayar kos perbelanjaan projek tersebut. Tetapi, kos projek tersebut terus melonjak, mengakibatkan kosnya melebihi anggaran RM1.4 bilion sebelumnya.

Menurut sumber, sehingga penghujung tahun 2010, tunggakan perbelanjaan modal (accumulate capital expenditure) termasuk faedah pinjaman telah melebihi RM1.4 bilion, namun projeknya hanya siap sehingga 64%. Oleh sebab modal yang dikumpulkan gagal untuk menampung perbelanjaan, maka Asia Petroleum Hub Sdn Bhd merancang untuk mencari pelabur agar RM2.0 bilion disuntik lagi untuk mengisi "lubang hitam" yang tidak berpenghujung. Dengan kata lain, projek yang pada asalnya dianggarkan RM1.4 bilion kini telah mengalami lebihan kos sekurang-kurangnya 142% (atau bersamaan RM2.0 bilion)!

Pada dasarnya, adalah sesuatu yang lumrah apabila berlaku lebihan kos dalam projek pembangunan kerajaan, terutamanya GLCs atau mereka yang merentir (rent-seeking) kerana hubungan yang rapat dengan UMNO atau BN - adalah "pakar" dalam hal "lebihan kos".

Terlalu besar untuk gagal

Di bawah kerangka merentir ini, "kos yang tinggi" ini biasanya diselindungi dengan pelbagai projek pembangunan, disalurkan ke dalam poket parti politik, institusi, korporat dan individu tertentu, melalui pelbagai cara. Ia adalah hasil daripada politik naungan (Political Patronage) yang diamalkan kerajaan UMNO-BN - menggunakan kerajaan atau institusi kewangan yang dikuasai kerajaan sebagai tiangnya untuk menyokong kepentingan ekonomi kroni.

Disebabkan sokongan kerajaan di sebalik tabir, maka perentir (rent-seeker) ini bersikap untuk membazir sewenang-wenangnya. Terlalu besar untuk gagal (Too big to fail) - kerana mereka percaya bahawa kerajaan akan menghulurkan tangan agar projek itu diselamatkan pada akhirnya. Dan sikap inilah yang menyebabkan kegagalan banyak projek mega pada akhirnya.

Projek Asia Petroleum Hub adalah permainan rent-seeking yang tebal dengan politik naungan, berlegar-legar di keliling mereka yang mempunyai hubungan rapat dengan UMNO.

Rent-Seeking dan politik naungan

Pemilik projek ini, iaitu Asia Petroleum Hub Sdn Bhd pada asalnya adalah syarikat yang dimiliki KIC Oil & Gas Group of Companies (KIC) dan Trek Perintis Sdn Bhd (yang dikawal UMNO). KIC memegang 90% saham, dan 10% selebihnya dipegang Trek Perintis.

KIC adalah terminal service provider di Malaysia, diasaskan oleh Abdul Rashid Mohd Isa Al-Qadiry dan Faidzan Hassan Al-Qadiry, yang kini merupakan pemegang saham terbesar. Trek Perintis pula adalah syarikat proksi UMNO yang dikuasai Abdul Azim Zabidi, Bendahari UMNO ketika zaman Abdullah Ahmad Badawi menerajui UMNO. Azim dilantik pada zaman Abdullah untuk mengurus harta di bawah UMNO.

Abdullah Ahmad Badawi menjadi Penaung Amanah Al-Wariseen, tabung amanah yang digerakkan Kumpulan KIC. Pada masa yang sama, Reezal Merican Naina Merican, Ketua Penerangan Pemuda UMNO, juga bekas Setiausaha Politik Abdullah, adalah nama yang muncul dalam lembaga pengarah tabung amanah tersebut.

Rombakan struktur saham

Namun, menurut laporan New Straits Times pada 14 September 2007, selepas satu rombakan struktur saham, pegangan saham KIC dalam Asia Petroleum Hub Sdn Bhd berkurang dari 90% kepada 40%, dan saham pegangan Trek Perintis telah bertambah dari 10% kepada 20%.

Pada masa yang sama, dua syarikat iaitu Seaport Terminal Sdn Bhd dan Teori Selatan Sdn Bhd bangkit untuk menjadi pemegang saham Asia Petroleum Hub, masing-masing memegang 35% dan 5% saham. Seaport Terminal Sdn Bhd dimiliki Syed Mokhtar Al-Bukhary (gambar kiri), usahawan terkenal yang sering dikaitkan dengan UMNO, sementara Teori Selatan pula adalah sebuah syarikat persendirian yang dikawal oleh Tunku Ibrahim Ismail (Sultan Johor sekarang) yang pada ketika itu Tunku Mahkota.

Pendek kata, Kumpulan KIC telah mengagihkan 50% saham pegangannya dalam Asia Petroleum Hub Sdn Bhd kepada istana Johor, UMNO dan Syed Mokhtar yang berhubungan rapat dengan UMNO.

Hubungan kontaktor dengan UMNO

Di samping itu, maklumat menunjukkan bahawa kontraktor yang menerima projek ini tidak kurang datang dari mereka yang berhubungan rapat dengan UMNO. Senarai kontraktor seperti berikut, ZAQ Construction Sdn Bhd, Mott MacDonald Sdn Bhd, Nam Fatt Corporation Bhd, Kencana Petroleum Bhd, Muhibbah Engineering Bhd dan Qi-PMC Sdn Bhd.

Asia Petroleum Hub Sdn Bhd adalah kontraktor utama projek ini, dan ZAQ Construction Sdn Bhd adalah Managing Contractor, bertanggungjawab untuk melantik dan mengagihkan projek kepada sub-kontraktor. Bos dan Pengarah ZAQ Construction ialah Zainal Rafique, adik beradik kepada Zamani Rafique, iaitu seorang lagi Pengarah. Seorang lagi adik-beradik mereka, Zulkifly Rafique adalah pengasas firma guaman Zul Rafique & Partners - antara orang rapat Perdana Menteri Najib Razak. Najib merombak semula harta parti dan memasukkannya di bawah Temasek Padu, dan melantik Zulkifly untuk menjaga syarikat ini.

Qi-PMC Sdn Bhd dan ZAQ Construction mempunyai struktur pegangan saham yang sama, dan Zamani sebagai Pengarah ZAQ Construction, juga salah seorang pengarah Qi-PMC. Apa yang menarik, Zulhasnan Rafique, Menteri Wilayah Persekutuan ketika zaman Abdullah menyandang jawatan PM, adalah adik beradik Zulkifly. Zulhasnan juga dilihat sebagai orang rapat Abdullah Ahmad Badawi (gambar kanan).

Nam Fatt Corporation Bhd, Kencana Petroleum Bhd dan Muhibbah Engineering Bhd adalah sub-kontraktor dalam projek ini. Antaranya, Kencana Petroleum adalah syarikat tersenarai yang dimiliki Mokhzani Mahathir, anak kepada mantan PM Mahathir Mohamad.

Sub-kontraktor menjadi mangsa

Jika dilihat kepada perkembangan akhir projek Asia Petroleum Hub, tidak kurang sub-kontaktor yang menjadi mangsa kepada skandal kewangan projek ini. Antaranya, Muhibbah Engineering Bhd memaklumkan kepada Reuters baru-baru ini, bahawa hutang setinggi RM370.8 juta masih belum dibayar kepada syarikatnya, sehingga akhir tahun 2010.

Selain itu, Nam Fatt Corporation Bhd juga menyaman ZAQ Construction melalui tribunal dan menuntut agar ZAQ membayar hutangnya. Sebagaimana yang diketahui, ZAQ memberi dua kontrak kepada Nam Fatt Corporation Bhd, yang jumlahnya bernilai RM550.3 juta. Menurut kenyataan Nam Fatt Corp. Bhd, ZAQ belum menjelaskan hutang sejumlah kira-kira RM39 juta sehingga akhir tahun 2010, dan Nam Fatt menuntut pampasan RM65.86 juta daripada ZAQ Construction.

RM1.4 bilion hilang entah ke mana?

Menurut jumlah hutang yang didakwa dua sub-kontraktor di atas, projek Asia Petroleum Hub ini sekurang-kurangnya memikul hutang RM400 juta (tidak termasuk pampasan kerugian kontaktor). Mengapa satu projek yang mendapat pinjaman RM1.4 bilion dari CIMB gagal menjelaskan hutang RM400 juta?

Kini, adalah menjadi satu tanda soal, sama ada RM1.4 bilion yang pada asalnya digunakan untuk menampung kos pembinaan - dihabiskan kerana lonjakan kos, atau disalurkan ke dalam poket rent-seeker?

Apa yang pasti, projek yang belum diselesaikan (dijangka hanya selesai 64%) ini memerlukan lebih banyak dana untuk diteruskan. Menurut laporan media, pelaburan RM2.0 bilion diperlukan lagi untuk memenuhi keperluan kos pembinaan. Namun demikian, persoalan pokoknya, adakah RM2.0 bilion ini mampu menutup lubang hitam yang tiada penghujungnya?-MR

Rally Bersih sudah 'international' pula

Rally anjuran Bersih akan secara serentak juga diadakan di negara-negara lain pada 9hb Julai ini. Malaysian Insider melapurkan yang rally tersebut akan di adakan di Osaka, Seoul, Melbourne, Sydney, New York, Los Angeles dan California.

Rakyat Malaysia yang menetap di negara-negara tersebut telah bersetuju untuk bersama-sama mengadakan rally tersebut dan kebanyakan dari mereka itu telah tampil secara sukarela untuk bersama-sama menganjurkan rally tersebut pada hari yang sama.di tempat dan bandar mereka tinggal.

Di bandar-bandar tersebut tidak ada pula mereka dicegah dan tidak pula rakyat di sana merungut kerana menjejaskan perniagaan mereka. Di sini berbagai-bagai macam alasan yang dibuat untuk mengelakan rally ini di adakan termasuk lah alasan yang rally itu akan menjejaskan perniagaan di tempat rally itu di adakan.

Malahan ada pihak yang berbohong yang rally anjuran Bersih pada tahun 2007 dahulu telah menjejaskan perniagaan peniaga-peniaga selama 6 bulan. Bagaimana peniagaan boleh terjejas selama 6 bulan itu tidaklah saya tahu bagaimana ianya jadi begitu. Alasan yang lain termasuklah ianya akan menjejaskan pelaburan asing negara.

Di Thailand rakyatnya telah berdemonstrasi selama hampir 6 bulan tetapi Thailand tetap merupakan negara yang paling banyak pelabur-pelabur asing datang untuk melabur; jauh lebih tinggi dari negara kita yang jarang-jarang rakyatnya berdemonstrasi. Pada tahun-tahun yang akhir-akhir ini Malaysia hanya mampu untuk menyaingi negara Myanmar sahaja dari segi penglibatan pelabur asing.

Saya bukan penggalak demonstrasi jalanan, tetapi saya tidak dapat menerima alasan-alasan yang diberikan tadi kerana ianya menampakan sangat yang kita diberikan alasan-alasan yang hanya kanak-kanak sahaja yang mungkin mempercayainya.

Bersih telah memberikan jaminan yang rally itu merupakan rally yang aman dan jika berlaku perkara yang tidak di ingini ianya bukan datangnya dari pihak Bersih. Malahan Bersih telah meminta semua pihak termasuk parti-parti dalam BN untuk menyertainya untuk mendesak pihak berwajib yang mengendalikan pilihanraya melaksanakan PRU dengan lebih adil dan telus. Jika pilihanraya dilakukan dengan adil ianya akan menjadikan negara kita lebih diyakini oleh rakyat negara dan masyarakat antarabangsa kerana mandat yang di dapati itu adalah mandat yang legitimate.

Yang menyangkutkan Bersih dalam isu ini hanyalah permit dari pihak Polis. Yang lainnya Bersih telah memberikan tujuan dan matlamat rally ini di adakan dan Bersih juga meminta parti-parti dalam BN untuk bersama. Bagi saya BN patut menuruti apa yang dilakukan oleh Bersih kerana kita mesti bersedia untuk menjadi pembangkang dalam keadaan sekarang ini.

Jika tidak di adakan sistem yang adil maka BN sendiri akan menghadapi masalah jika komponen ini di letakan oleh rakyat untuk mengambil ‘role’ sebagai pembangkang selepas PRU ini. Seandainya BN menjadi pembangkang maka sistem yang tidak adil ini akan diguna pakai oleh parti alternatif apabila mendapat mandat rakyat. Justru apa yang ingin dilihat oleh Bersih ini ialah untuk menjaga setiap pihak tidak akan tertekan dengan sistem pilihanraya yang tidak adil.

Bersih sebagaimana yang saya tulis dalam posting-posting yang lalu mempunyai tujuan yang betul. Itu sebabnya Bersih telah memohon untuk mendapatkan permit dari pihak Polis untuk menunjukan manifestasi rakyat sebenarnya. Tetapi pihak berkuasa merasakan yang tuntutan Bersih ini akan memberikan lonjakan yang kuat terhadap pembangkang kerana pengalaman yang di alami hasil dari rally Bersih pada tahun 2007 yang lalu.

Tuduhan terhadap Bersih memihak kepada pembangkang itu nampaknya dimainkan dengan sepenuhnya oleh pihak yang berkuasa, sedangkan Ambiga sendiri telah memberi amaran kepada Anwar Ibrahim supaya tidak masuk campur dalam urusan rally ini. Bersih telah menyatakan dengan jelas yang semua pihak dijemput termasuk BN untuk menjayakan rally ini.

BN mengambilnya sebagai rally yang ditakuti mereka akan memihak kepada pembangkang. Malahan dengan reaksi negatif pihak berkuasa itu dengan otomatiknya rally ini dianggap sebagai urusan pihak pembangkang. Itulah sebabnya blog ini telah menyatakan acapkali yang advantage yang diperolehi oleh pembangkang itu diberikan sendiri oleh pihak parti yang berkuasa.

Reaksi negatif yang ditunjukan oleh BN itu secara terus dan direct telah menambahkan sokongan ramai terhadap Bersih samada rally itu benar-benar akan berlaku atau mampu digagalkan oleh pihak yang berkuasa.

Dengan peranan yang sama-sama dimainkan oleh rakyat Malaysia diluar negara untuk menganjurkan rally di negara-negara permastautin mereka itu akan memberikan ‘advantage’ kepada pihak pembangkang. Dengan keadaan ini ianya memberikan tekanan yang begitu kuat kepada pihak yang memerintah kerana penganjuran rally yang sama oleh Bersih untuk rakyat Malaysia di sana akan menjadi tumpuan masyarakat antarabangsa pula.

Apabila perkara ini berlaku saya bersama dengan pandangan yang tidak kurang banyaknya dari mereka yang menyalahkan pihak ketiga seperti Perkasa dan kenyataan pemimpin-pemimpin yang berkuasa yang terlalu lancang menempelak pihak NGO seperti Bersih ini. Berjaya menyalahkan Bersih bukan bermakna kita telah berjaya matlamat membenamkan pemikiran rakyat. Yang ingin dilihat oleh rakyat yang ramai ialah kebijaksanaan atau pun ‘wisdom’ impinan yang berkuasa memberikan reaksi kepada rancangan Bersih menganjurkan rally ini.

Apabila ditolak dan dicampur ramai berpendapat pembangkang telah mendapat lonjakan sokongan secara percuma hasil dari lonjak dan tari pihak ketiga seperti Perkasa dan lain-lain. Kata-kata ‘kerana lonjak koyak ketayap di kepala’ itu sudah menjadi kenyataan. Kita tidak akan mampu untuk mengawal perasaan orang ramai kerana mereka adalah manusia yang mempunyai pemikiran yang berbeza dalam satu-satu isu.

Kita tidak boleh mengawal pemikiran manusia seperti kita mengawal kambing yang boleh direbankan mengikut kehendak hati kita sahaja. Oleh kerana sebegitu lama diyakini kita telah begitu ketagih dengan sokongan membuta tuli tanpa soal dari rakyat. Apabila kita dipersoalkan oleh mereka yang selama ini menyokong tanpa soal, kita menjadi mengelabah dan tidak ada yang bersikap ‘magnanimous’ termasuk Menteri Dalam Negeri sendiri.

Inilah jadinya jika kita lawan api dengan api. Sepatutnya kita lawan api dengan air yang sejuk untuk memadamkan kepanasan api tadi. Pihak kita yang sedang berkuasa hanya pandai mengugut kerana itulah senjata yang digunakan sejak dulu hingga sekarang. Tetapi saya tahu pandangan saya ini akan dibidas oleh mereka yang malas berfikir atau yang tidak tahu untuk berfikir. Tetapi itu tidak mengapa bagi saya.

Bidaslah sekendak hati. Kebenaran akan zahir juga akhirnya. -ASPAN

22 Jun 2011

Demi Rakyat: PKR sasar pikat sokongan pengundi kelas pekerja


KUALA LUMPUR, 22 Jun — Kempen terbaru Demi Rakyat dilancarkan PKR meletakkan sasaran untuk memikat penduduk kawasan bandar dan separa bandar, merangkumi 60 peratus pengundi di kerusi-kerusi ditandinginya — yang mengharapkan persekitaran kuasa beli yang tinggi dan kehidupan selesa.

Sementara upah sebenar tidak mengalami perubahan sejak kebelakangan ini, kerajaan Barisan Nasional (BN) juga ada mengakui bahawa ia perlu menangani “perangkap pendapatan pertengahan” dan sedang berusaha untuk mengatasi kadar inflasi, direkodkan paling tinggi dalam dua tahun ini pada Mac lalu.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak akan melancarkan Kedai Rakyat di Kelana Rakyat petang ini untuk menggambarkan ciri-ciri korporat Malaysia dan pentadbirannya prihatin dengan kepentingan rakyat.

Bagaimanapun Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli (gambar) berkata, kempen Demi Rakyat akan menyasarkan golongan yang menggunakan Internet dan mereka yang berusia 25 hingga 45 tahun dengan pendapatan RM3,000 sebulan ataupun kurang.

“Golongan ini pesimistik mengenai ekonomi. Mereka tidak percaya bahawa akan berupaya untuk membeli sebuah rumah sebagaimana dilakukan oleh ibu bapa mereka.

“Dari Perlis hingga Johor, mesej daripada golongan pekerja adalah sama, tidak kira kaum — mereka mahukan peluang-peluang ekonomi dan mobiliti sosial,” kata beliau kepada The Malaysian Insider.

PKR percaya bahawa usaha terbaru mereka itu boleh memikat komuniti ‘online’ yang semakin meningkat khususnya di kawasan-kawasan bandar dan separa bandar di mana hampir 79 kerusi yang ditandinginya terletak.

Sementara harga komputer peribadi menurun dan keterdapatan telefon pintar pula semakin meningkat, halangan akses kepada Internet mengecil dan celik komputer mengalami peningkatan — keadaan yang dapat disaksikan dengan kewujudan 9.5 juta akaun Facebook di kalangan rakyat Malaysia.

“Kami mahu berada di peringkat ada kelebihan itu. Sebab itu, sekarang Demi Rakyat menggunakan YouTube untuk menunjukkan video,” kata Rafizi sambil menekankan bahawa kumpulan-kumpulan ini merupakan pembentuk fikiran.

Tambah beliau, partinya perlu bergerak melangkaui imej reformasi yang dibawa sejak lebih satu dekad lalu.

“Mereka tahu bahawa situasi sudah semakin buruk tetapi mereka bertanya sama ada PKR ada jawapan kepada soalan itu,” kata Rafizi.

Upah sebenar dilaporkan telah mengalami perubahan secara dramatik sejak krisis Asia 1997.

PKR bersama DAP dan PAS telah mempamerkan prestasi terbaik pada pilihan raya umum 2008 dan kemudiannya membentuk perikatan yang dikenali sebagai Pakatan Rakyat.-TMI

NGO Eropah mahu aset Taib di Jerman dibekukan

Lagi NGO yang berpangkalan di Eropah terus mengenakan tekanan kepada pihak berkuasa untuk membekukan aset-aset milik Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud.

Dalam kenyataan media hari ini, NGO Switzerland Dana Bruno Manser berkata pihaknya telah menulis kepada canselor Jerman meminta campurtangannya.Surat itu dibuat dengan kerjasama dua lagi NGO lain iaitu - Persatuan Penduduk Terancam dan Rettet den Regenwald.

“Kami minta kerajaan Jerman menjelaskan hubungan perniagaan antara Deutsche Bank dengan Taib dan minta supaya semua aset Taib (pertama dari kiri) di Jerman dibekukan.

"Kami amat prihatin kerana sebagai sebuah institusi perbankan utama di Jerman, Deutsche Bank bekerjasama dengan seorang perasuah.

"Kami berpendapat kerjasama ini tidak boleh memberikan kepentingan kepada kerajaan Jerman, yang secara antarabangsa memupuk cara menangani rasuah,” tulis NGO itu.

Sambil merujuk Taib sebagai 'pencuri' utama di Asia Tenggara, Dana Bruno Manser mendakwa Deutsche Bank menjalankan urusniaga bagi kedua-dua kerajaan negeri sarawak dan juga syarikat yang berkaitan dengan keluarga Taib.-MK

21 Jun 2011

Cekal hati seorang wanita melawan 'RASUAH'

Wawancara wartawan Amaluddin Zhafir dengan Jumilah Abdul Malik


Seorang wanita bertudung yang tampak cekal pada wajahnya, tegap pada lenggok jalannya, datang datang ke sesi wawancara bersama Roketkini tepat pada masa, seperti dijanjikan, dengan membawa bersama anak tunggalnya.

Detik itu lah saya terpanggil dengan sifat profesionalisme yang ada dalam diri Jumilah Abdul Malik, 48, kelahiran Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

Agak janggal bagi saya, sebagai ibu tunggal yang mempunyai kelulusan sebagai juru ukur bahan berdaftar yang bebas, beliau memilih untuk memandu teksi sebagai salah satu kerjaya.

Ya, berkelulusan ijazah Quantity Surveyor dari London South Bank University, seorang profesional bebas dari sektor swasta memilih untuk membawa teksi sebagai memenuhi masa lapang.

Oleh kerana itu lah wawancara ini diadakan, untuk menyelami pandangan seorang wanita Melayu yang berani bedepan dengan sesuatu yang jarang dilakukan orang.

Biasanya juru ukur bahan meninjau dan menilai kos projek pembangunan. Di negara kita yang masih bergelumang dengan masalah penyelewengan dan salah guna kuasa, Jumilah menjadi seperti seorang profesional yang memegang “kunci” rasuah.

Rasuah sebagai kerjaya?

Tentunya tidak. Jumilah tidak memilih rasuah sebagai kerjayanya, dan beliau gigih melawan perbuatan keji itu.

“Awak jangan pelik tau, saya pernah bertanggungjawab menjaga lebih setengah billion ringgit punya projek di Putrajaya,” jawabnya ramah bila saya menyoal tentang bagaimana beliau menetapkan pendirian melawan rasuah.

Tambahnya, memang tekanan bekerja sebagai juru ukur bebas sangat tinggi, tetapi diharunginya juga walau pun selalu ‘diganggu’ dengan permohonan untuk rasuah oleh kontraktor.

Pada 2005, beliau pulang ke Malaysia untuk bekerja sepenuh masa di pelbagai syarikat swasta sebagai juru ukur bahan sehingga 2007 apabila lulus peperiksaan dan diangkat sebagai Juru Ukur Bahan bertauliah – yang mana menandatangani dan meluluskan sesuatu projek itu berada di dalam tangan beliau.

Melalui tugas ini lah beliau mempunyai kuasa melawan rasuah.

“Tetapi yang paling parah ialah bila pelanggan bersekongkol dengan kontraktor… Ini lah rasuah paling teruk. Sebab sepatutnya pelanggan baik dengan kita supaya dapat selamatkan duit, tapi sebenarnya banyak kes pelanggan bekerjasama dengan kontraktor,” kata Jumilah, sambil tangannya membelai rambut puteri tunggalnya, Safiah Sakinah, 9 tahun.

Bagaimana pun, beliau optimis untuk membanteras rasuah kerana beliau percaya kejujuran adalah kunci menentang rasuah.

Tambah Jumilah yang baru datang dari mengambil anaknya di sebuah sekolah Cina, cara untuk menyelesaikan masalah rasuah ini ialah dengan “membuang” perasuah-perasuah.

“Senang,” katanya tersenyum, “buang saja mereka ini melalui SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia,) tetapi dalam skop politik hari ini, tidak ada cara lain kecuali kita ubah lah kerajaan sedia ada dengan Pakatan Rakyat. Boleh kan?”

Selain itu tambahnya, berlaku jujur adalah sifat penting untuk mengubah gejala rasuah.

“I love my job, I love my position, but as a human being, it’s very tough,” katanya berslanga pelat London.

Semangat perjuangan


Tanpa berselindung Jumilah mengakui beliau adalah ahli seumur hidup PAS dan sentiasa memerhati perjalanan politik negara.

“I’m very keen on politics,” jawabnya dalam bahasa Inggeris, “Saya tak mahu cakap lebih-lebih tetapi semua parti dalam Pakatan Rakyat saya sokong.” jelasnya mudah bila saya cuba bersilat agar Jumilah mendedah sedikit sebanyak pandangan politiknya.

Beliau bangga kerana tidak ada masalah rasuah di dalam kepimpinan Pakatan Rakyat.

“Hadi Awang, Nik Aziz, Lim Guan Eng, Anwar Ibrahim, kita tengok ada tak dia orang ni terlibat dengan rasuah? Tak ada kan?” katanya lagi.

Saya cuba menggeleng-geleng kepala tetapi tak mampu. Yang mampu cuma menganggukkan kepala. Tanda setuju.

“Ok, sekarang kita tengok dekat Barisan Nasional pula, ada tak yang terlibat dengan rasuah?”

Belum pun saya memberi apa-apa jawapan, Jumilah terus membawa saya melihat dari sudut peranan media.

Media pukau rakyat

Beliau akui apa yang dilakukan oleh BN selama ini memang berkesan terutamanya kepada mereka di pedalaman.

“Orang-orang kampung, mereka punya sumber apa kalau bukan TV dan radio?”

Malah beliau mengakui beberapa kalangan rakan-rakannya dari latar belakang pendidikan yang sama dengannya juga terpengaruh dengan TV.

Memetik kisah perbualan beliau dengan seorang rakannya yang berkerja di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Jumilah tersenyum lagi kerana menurutnya, rakannya itu takut dengan idea Pakatan mengambil alih pentadbiran negara kerana “orang Cina akan mengambil tanah orang Melayu”.

“Awak nampak? Betapa mereka ini berpelajaran pun, tetapi masih terpengaruh dengan TV.

“Dia takut Pakatan akan gadai negara dekat orang Cina… Dia kerja DBKL dekat dengan syarikat itu, dan saya tanya dia balik, ‘zaman pemerintahan siapa yang paling tinggi rasuahnya?’ Dia tahu tapi masih takut lagi dengan orang Cina…

“Itu peranan media,” katanya.
Kenapa teksi?

Sebenarnya, akui Jumilah, beliau memilih untuk memandu teksi adalah kerana beliau mahukan pendedahan luar, meluaskan pengalaman hidup, selain sedikit sebanyak menampung kehidupan jika tiada tawaran kerja.

“Saya pilih teksi sebab masa untuk kerja sangat fleksibel, dan dapat penuhkan masa saya untuk bekerja.

“Kalau saya tak bekerja, boleh sewel saya,” katanya ketawa.

Bagaimana pun, beliau menolak faktor tekanan ekonomi dan politik adalah punca beliau memilih kerjaya kedua tersebut.

Kata Jumilah, ketika mula-mula memilih untuk bekerja sebagai pemandu teksi, bekas suaminya memang agak terkejut tetapi hujahnya, kalau memilih perniagaan lain, contohnya kedai runcit, kena buka selalu, tak sama seperti teksi.

“Kalau saya tak mahu bawa teksi, saya simpan saja kereta,” katanya.

Anak, bahasa, agama dan masa depan


Berbalik kepada puterinya, Safiah, yang sedang bersekolah di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Chiao Hwa, Jumilah akui dengan tuntutan zaman dan kerana itu lah beliau dan bekas suaminya memilih sekolah itu.

“Itu untuk persiapan dia, suatu hari nanti contohnya kalau China, Singapura sekarang sedang meningkat ekonomi, mungkin boleh berurusan di sana,” katanya.

Mengakui tidak ada faktor politik dalam memilih pendidikan anaknya, beliau menambah:

“Saya cuma nak dia belajar bahasa Cina… Saya nak dia belajar buat sesuatu yang tak merugikan masa. “Ianya sebahagian daripada perjalanan hidup saja.”

Memetik surah al-Baqarah, beliau membacakan kepada saya ayat ke-20 surah tersebut dalam bahasa Malaysia.

Kilat itu pula hampir-hampir menyambar (menghilangkan) penglihatan mereka; tiap-tiap kali kilat itu menerangi mereka (dengan pancarannya), mereka berjalan dalam cahayanya. Dan apabila gelap menyelubungi mereka, berhentilah mereka (menunggu dengan bingungnya). Dan sekiranya Allah menghendaki, nescaya dihilangkanNya pendengaran dan penglihatan mereka; sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

Selepas tamat surah tersebut, beliau menambah bahawa pengajian agama untuk anaknya adalah sangat penting dan oleh itu beliau mengajar Safiah terjemahan al-Quran dalam bahasa Inggeris dan bahasa Malaysia.

Bagaimana pun, Jumilah akui apa-apa pun boleh berlaku dan baginya kehidupan di dunia tidak lama.

“Tak apa lah, bagi saya hidup tak lama… Hidup sekali, mati dua kali,” katanya menutup perbualan kami pada petang itu.

"Perwakilan orang asli diperlakukan macam burung tekukur..."

Meskipun ia bukan sesuatu yang terlalu asing, apabila ucapan dari kaum asli diselitkan ke dalam aturcara konvensyen PKR, namun ia tetap mencuit hati apabila Fatimah anak perempuan Bahsen, berketurunan Semai tampil untuk memberi ucapan 10 minitnya di depan kira-kira 4,000 penyokong PKR dalam Konvensyen Pilihan Raya, semalam.

Bermula dengan mendakwa dirinya "berdebar", kerana "fisrt time" (kali pertama berucap), Fatimah (gambar kiri) yang berusia 37 tahun telah mencungkil gelakan dari bawah pentas. Ucapan ringkasnya kemudian dicelah dengan sorakan dan tepukan yang tidak berhenti-henti.

Fatimah mempersoalkan, "Saya sangat sangat terasa terkilan dan terharu. Satu, kami (orang asli) di Malaysia ini, dianggap sebagai bangsa 'lain-lain'! Adakah orang asli datang dari mana? Saya ingin bertanya kepada semua, orang asli datang dari mana? Mengapa orang asli dikategorikan ke dalam bangsa lain-lain?"

Fatimah seterusnya berkata, sudahlah tanah orang asli diceroboh, malah dikategorikan sebagai bangsa lain-lain pula dalam ruang kaum. Beliau menyeru agar PKR mendekati masyarakat orang asli jikalau ingin menang dalam PRU ke-13, sambil memberi amaran, "Jangan semasa pilihan raya saja mencari orang asli di pelusuk mana sahaja, tetapi bila pilihan raya sudah habis, orang asli pun disimpan ke tepi!"
Diperlakukan bagai burung tekukur

Fatimah kemudian menceritakan pengalaman dirinya yang pernah dilantik sebagai Ketua Wanita UMNO peringkat bawahan, semasa zaman Abdullah Ahmad Badawi menyandang jawatan Perdana Menteri. "...semasa pergi mesyuarat, perwakilan orang asli macam mana? Duduk di kerusi, diberi makan, lepas tu jadi macam burung apa?"

"Ok, pandai, macam burung tekukur," Fatimah sekali lagi mengelakkan hadirin apabila meniru gerak-geri burung tekukur mengangguk. Beliau berkata, orang asli diajar agar tidak menyokong parti pembangkang, sebaliknya diberitahu bahawa "UMNO-lah yang membela masyarakat orang asli".

Beliau sekali lagi mencetuskan sorakan, "Tetapi orang asli sekarang sudah sedar! Bukan jadi katak di bawah tempurung lagi! Orang asli sekarang nak duduk di atas sofa!"

Fatimah mengulangi amarannya kepada PKR agar tidak lupa masalah orang asli jikalau menang dalam pilihan raya, "Jika dipulaukan orang asli, orang asli akan juga pulaukan parti-parti sebegini!"

Sebelum mengundur diri, beliau sempat menyindir slogan 1 Malaysia yang dilaungkan Perdana Menteri Najib Razak, dengan menyatakan permintaan orang asli. "Tanah orang asli harus diwartakan! Itu yang orang asli nak. Dia bukan nak bangunan-bangunan yang besar. Dia cuba nak tanah. Itupun bukan tanah satu Malaysia..."

Suaranya terus ditenggelami sorakan, sebelum beliau menegaskan sekali lagi, "Jangan mengongkong orang asli!... Orang asli nak kemajuan semua macam masyarakat lain!-MR

IBRAHIM ALI TERLALU MELAMPAU

Apabila kita mengalabah, sah Bersih telah berjaya mendapat sambutan ramai.


Ibrahim Ali sudah bertindak terlalu jauh dan melampaui batas sebagai seorang yang hidup di dalam sebuah negara demokrasi. Perkasa dipergunakan olehnya untuk memperjuangkan kehendak dan kepuasan peribadi beliau dengan membakar semangat rakyat untuk berfikiran ganas dan ini merupakan tindakan yang tidak bertanggungjawab terhadap bukan sahaja kepada rakyat malahan kepada diri beliau sendiri.

Ibrahim Ali dengan Perkasanya telah bertindak untuk memaksa Bersih membatalkan rally yang dirancangnya pada 9hb Julai yang akan datang dan beliau bertindak seolah-olah beliaulah yang berjuang untuk negara sedangkan hakikatnya Ibrahim tidak lebih dan tidak kurang dari seorang yang berjuang untuk kepentingan peribadi beliau sahaja.

Ibrahim telah menakutkan orang ramai dengan mengingatkan jika ada apa-apa yang berlaku orang-orang Cina terpaksa membeli stok makanan dan sebagainya dan kata-kata ini sengaja dilakukan beliau untuk memanaskan keadaan dan akhirnya keadaan itu akan memberikan keuntungan kepada peribadi beliau di atas rasa takut rakyat.

Bersih tidak pernah bercakap tentang pergaduhan. Mereka hanya bercakap tentang isu kebersihan dan ketelusan pelaksanaan PRU di negara ini dan ingin menggunakan rally ini untuk menunjukan manifestasi rakyat yang tidak berpuas hati tentang perlaksanaan PRU selama ini.

Ibrahim dan Perkasa mengambil kesempatan untuk menonjolkan diri dengan menggertak dan menakutkan orang ramai yang rally itu mungkin akan menimbulkan haru- biru di dalam negara.

Dengan kenyataan beliau di Dewan Sultan Sulaiman Kg Baru hari ini, beliau sepatutnya di ambil tindakan oleh Kementerian Dalam Negeri kerana kenyataan menakut-nakutkan rakyat ini merupakan kenyataan yang terlalu tidak bertanggungjawab. Kenyataan beliau ini sudah membuktikan yang Perkasa dan Presidennya itulah yang cuba membina rasa gelisah di antara kaum dan ini tidak boleh di ambil enteng lagi oleh pihak yang berkuasa.

Apa yang di inginkan Ibrahim ialah beliau dipandang sebagai juara dalam ‘mainstream politics’. Maka saya cadangkan supaya Ibrahim Ali ditahan di bawah ISA. Dengann cara itu beliau akan mendapat apa yang beliau inginkan….iaitu untuk dipandang sebagai hero. Kenyataan Ibrahim akhir-akhir ini amat merbahayakan negara dan beliau patut di letak di dalam tahanan.

Ibrahim boleh membuat apa sahaja untuk dipandang sebagai hero tetapi janganlah sampai ‘at the expense of national security’. Ibrahim Ali bertindak untuk memperbodohkan rakyat dengan melakukan tindakan supaya beliau masih dipandang oleh masyarakat sedangkan beliau sendiri tahu apa yang beliau inginkan. Apa yang dilakukan oleh Bersih itu bukan penting bagi beliau. Yang penting beliau mesti menyibuk dan mendapat perhatian ramai….tidak lebih dan tidak kurang.

Kalau kita tidak bersetuju dengan demonstrasi jalanan kenapa pula kita hendak melawannya dengan demonstrasi jalanan dan terus pula untuk menjadikannya sebagai satu peperangan yang boleh menjahanamkan kesetabilan politik negara. Bersih perlu membuat pengakuan yang rally itu hanyalah satu rally yang mana seperti yang dirancang. Jangan menari dengan rentak yang dimainkan oleh Perkasa kerana tindakan itu hanya memperbodohkan diri kita sendiri.

Beliau (Ibrahim Ali) telah melantik diri beliau sendiri sebagai General peperangan. Peperangan apa tu? Siapa yang hendak berperang? Bagaimana beliau hendak mengetuai peperangan sedangkan beliau lah yang mendahului mengangkat bendera putih jika kalah dalam pertempuran. Hanya beliau berharap boleh mengangkat bendera merah jika memenangi peperangan itu dan di nampakan sebagai hero yang perkasa.

Berbagai-bagai pandangan yang telah saya terima melalui email saya berhubung dengan rally yang akan dianjurkan oleh Bersih ini. Ada yang menyokong dan ada yang memberikan pandangan yang berbeza. Tetapi setelah di tolak dan dicampur rakyat ramai memberikan perhatian yang baik terhadap rally anjuran Bersih.

Walaupun mereka ramai yang tidak dapat bersama mereka tetap memberikan sokongan moral dan mengharapkan apa yang dikehendaki oleh Bersih untuk melihat perlaksanaan pilihanraya yang bakal di adakan itu akan berjalan secara demokrasi yang sebenarnya.

Saya telah menulis tentang isu ini yang terang-terang saya katakan yang Bersih telah pun berjaya mendapat sokongan ramai samada rally itu berjaya diadakan atau mampu di kekang oleh pihak yang berkuasa. Perasaan rakyat tidak boleh di kekang oleh Polis atau badan-badan penguatkuasa yang penuh kuasa.-ASPAN ALIAS

Masa untuk bincang sudah lalu, Bersih beritahu SPR

Masa untuk bincang sudah lalu, Bersih beritahu SPR


KUALA LUMPUR, 21 Jun — Bersih 2.0 menyambut baik kesediaan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk mengadakan perbincangan mengenai pembaharuan pilihan raya tetapi menegaskan sudah terlambat untuk berbincang lagi ekoran penyalahgunaan yang jelas dan ketidakinginan kerajaan untuk memperbaiki sistem sedia ada.

“Kami mengucapkan terima kasih kepada SPR atas pelawaan (mereka) tetapi masa untuk berbincang dan bercakap sudah berlalu,” kata Pengerusi Bersih 2.0 Datuk Ambiga Sreenevasan (gambar) dalam satu kenyataannya malam tadi.

“Ini ekoran laporan-laporan terbaru mengenai penyalahgunaan yang ketara ketika pilihan raya negeri Sarawak dan menjelang pilihan raya umum (ke-13),” kata beliau.

Bekas presiden Majlis Peguam itu memberitahu SPR ada mengesyorkan beberapa pendekatan dalam pembaharuan dalam pelaksanaan undi pos, tetapi idea-idea itu tidak jauh ke mana pun.

Ambiga juga memberitahu The Malaysian Insider, idea-idea itu mesti dibentangkan di Parlimen untuk dikuatkuasakan.

Justeru beliau menggesa agar SPR demi kepentingan awam mendedahkan idea-idea pembaharuan yang mereka syorkan kepada pentadbrian Najib, tetapi telah diketepikan.

Ambiga juga mengecam suruhanjaya itu yang mendakwa bahawa Bersih 2.0 bukan sebuah badan yang bebas, sedangkan pada masa yang sama ia juga tidak menggambarkan bahawa SPR seharusnya bertindak sebagai agensi yang tidak memihak mana-mana pihak.

“Tidak kisah dari mana syor-syor pembaharuan ini datang, sama ada kerajaan, pembangkang, NGO atau mana-mana warganegara. Mereka seharusnya mempertimbangkan kesemua syor berdasarkan merit,” katanya.

Semalam, Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata pihaknya bersedia untuk mengadakan pertemuan dengan Bersih 2.0 dengan syarat Himpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai ini tidak diadakan.

“Kita bincang tetapi dengan syarat begitulah, tetapi jika nak mengadakan demonstrasi dan jumpa kita hanya sebagai “rubber stamp” atau alasan sahaja, tidak ada maknalah.

“Pada saya, demonstrasi itu tidak menyelesaikan sebarang masalah. Pindaan undang-undang tidak akan terjadi dengan sendirinya kerana demonstrasi, atau permohonan mereka akan diterima, tidak mungkin,” katanya.

Aziz meminta Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) yang bercadang mengadakan demonstrasi jalanan haram pada 9 Julai supaya tidak menjadikan SPR sebagai kambing hitam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai tindakan kumpulan pengacau itu yang tetap berdegil untuk mengadakan perhimpunan haram pada 9 Julai ini, walaupun dikecam pelbagai pihak.

Kumpulan itu menuntut lapan perkara untuk memastikan pilihan raya telus dan bersih tanpa sebarang penyelewengan, iaitu membersihkan senarai undi, reformasi kepada undi pos, guna dakwat kekal, tempoh kempen minimum 21 hari, akses media yang bebas dan adil, kukuhkan institusi awam, hentikan rasuah dan hentikan politik kotor.

Aziz berkata jika benar kumpulan itu memperjuangkan demokrasi, ia boleh terus berbincang dengan SPR dan mengemukakan permohonan dengan cara baik.

“Ini bukan caranya, jangan guna SPR sebagai kambing hitam. Ini kata SPR tidak demokrasi, tidak bersih, membantu dan menyokong kerajaan. Tetapi buktinya (keputusan) pilihan raya umum dan pilihan raya kecil tidak begitu.

“Jika pengundi suka pembangkang, menang pembangkang, banyak buktinya. Jadi, apa sebenarnya tujuannya? Saya fikir kami berlaku adil dan saksama,” katanya.

TIBA-TIBA DIALOG LANGKAWI SESUAI KAT KL PULA!

TIBA-TIBA DIALOG LANGKAWI SESUAI KAT KL PULA!

Apa hal bila Tun Mahathir baru sedar LID (Langkawi International Dialogue) sesuai dilakukan di Kluala Lumpur?
Seganke buat di Langkawi yang masih diperintah Pakatan Rakyat. Pelik gak guna nama Langkawi tapi buat beribu kilometer dari Langkawi.

KUALA LUMPUR: Keputusan untuk memindahkan Dialog Antarabangsa Langkawi (LID) 2011 ke Putrajaya dari Langkawi adalah langkah yang baik untuk mempamerkan pembangunan infrastruktur dan inovasi dalam pembinaan Malaysia, kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini.

Beliau berkata lokasi persidangan yang berdekatan dengan Kuala Lumpur, akan memberikan platform yang baik untuk mempamerkan pembangunan negara selain pembangunan Putrajaya sendiri.

"Di Langkawi mereka hanya berbincang tetapi mereka tidak boleh menunjukkan apa-apa kecuali pelancongan, tetapi di sini (Putrajaya) boleh nampak," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat dengan Perdana Menteri Lesotho, Pakalitha Mosisili, yang melawat ibu pejabat IRIS Corporation, di sini hari ini.

Ini adalah kali pertama, LID, yang diilhamkan oleh Dr Mahathir, diadakan di luar Langkawi. Dialog itu, seperti tahun lalu dijangka akan sekali lagi menerajui usaha Malaysia untuk berganding bahu dengan negara-negara membangun bagi menggalakkan pembangunan berasaskan konsep "makmurkan jiran anda" di mana pembangunan dicapai menerusi kerjasama pintar. Sementara itu, Mosisili berkata LID adalah satu platform untuk bertukar-tukar pandangan antara negara-negara peserta."Ia adalah wadah tumpuan bagi idea-idea baharu untuk memperbaiki kehidupan," katanya.

Mosisili turut melawat pejabat IRIS di mana beliau diberi taklimat tentang teknologi IRIS dalam sistem pengenalan, perladangan, penyahgaraman dan perumahan.

Beliau juga menyatakan minatnya untuk membawa teknologi syarikat itu ke negaranya, dan berkata teknologi berkenaan boleh memberi penyelesaian kepada masalah perumahan dan kebuluran negara itu. - BERNAMA

20 Jun 2011

Mengapa 9 Julai Penting Buat Malaysia

Melayu, Cina dan India semua ayuh!

Kebebasan bersuara telah ditutup sebenarnya di Malaysia. Walaupun ia tampak terbuka tetapi SKMM akan mencantas satu-satu penulis blog atau sesiapa sahaja yang mampu menggoncang kerajaan zalim. Terdapat banyak nama-nama yang saya nampak di dalam fail mereka, ketika sesi soal siasat dahulu di Cyberjaya.

Saya Muhammad Nur Hanief bin Abdul Jalil kembali bersuara dalam blog ini sepenuhnya selepas bekerja di Singapura untuk mendapatkan duit dan membeli komputer baru. Mungkin ada penulis blog yang terus menyepi selepas diserbu, apa pun nasihat saya anda harus bangkit dan jangan putus asa. Mesti lahir dengan idea baru setiap hari dan yang paling penting buktikan yang anda mampu berdiri di atas kaki anda sendiri.

Kerajaan zalim mahu rakyat berkaraoke, menari dan berhibur sakan. Tetapi mereka tidak mahu anda mengambil tahu tentang hal politik. Mereka takut hilang kuasa jika rakyat ambil tahu isu semasa. Telah banyak kepincangan yang berlaku, namun semuanya ditutup dan dirahsiakan daripada pengetahuan umum. Kita tak kisah jika kehidupan makin selesa walaupun mungkin berada di bawah pemerintahan kuku besi. Tetapi negara ini dilihat makin teruk dan makin berahsia-rahsia mengenai isu-isu besar pula.

Kita tidak setuju dengan dakwaan akhbar yang mengatakan rakyat semakin selesa dan berpendapatan tinggi, ekonomi rancak dan sebagainya. Tinjauan saya di Singapura, menunjukkan rakyat di sana makin berjimat selepas pilihanraya. Pendatang asing bertambah bertandang untuk cari kerja dan di Malaysia lebih ramai bilangannya. Mari, ayuh semua kita buktikan perkara yang sebenar dengan berhimpun dan tunjukkan pada media kerajaan zalim bahawa rakyat mahukan kerajaan baru. Jadi, pada 9 Julai ini kuasa rakyat akan kembali ke jalanraya, rugi besar jika anda tidak turut serta sebelum anda yang cintakan perubahan diserbu SKMM.

Baru-baru ini ada beberapa godaman yang telah menggugat laman-laman web kerajaan. Pada saya, ini semua mainan SKMM sendiri. Apakah rentetan daripada sketsa yang ditonjolkan dengan beria-ia ini? Kita sama-sama nantikan. Hahaha! Tetapi, tahukah anda bahawa SKMM ini bekerja rapat dengan syarikat TM? Syarikat tersebut berada di bawah kawalan rapi SKMM. Saya dan bapa saya sendiri diberitahu begitu ketika berada di bangunan SKMM Cyberjaya selepas sesi soal-siasat.

Negara ini diperintah oleh orang yang zalim. Berat sebelah. Sampai hari ini pembangkang tidak dapat masuk TV. Tahukah anda di Singapura pembangkang boleh masuk TV? Bebas mengajak itu dan ini. Mungkin kita boleh simpulkan di sini bahawa negara yang memiliki kebebasan bersuara dan perlaksanaan undang-undang tanpa pilih bulu akan memajukan negara itu sendiri walaupun tanpa sumber alam yang banyak?

Ini negara kita, bukan milik kerajaan zalim. Saya ke Singapura, bukan negara saya. Memang mewah dapat matawang dua kali ganda lebih besar dan hidup dengan kemudahan asas yang sangat canggih serta teratur. Tetapi apa maknanya, jika kita yang masih muda ini, tidak mahu tolong membebaskan negara ini daripada cengkaman kerajaan korup. Kita perlu tanya diri kita, mengapa negara kita mundur ketinggalan jauh, sedangkan negara kita memiliki sumber alam yang sangat banyak? Takkan miskin rakyat ini, jika orang atas itu adil.

Saya yakin, semua orang Malaysia akan bangga dengan kerakyatan mereka jika kerajaan baru diangkat untuk berkuasa. Bila orang tanya, "Where are you from?". Kita tentu rasa bangga untuk menyatakan kita dari Malaysia. Sebuah negara yang kaya dengan sumber alam dengan pemerintahan kerajaan baru yang hebat. Bukan lagi kerajaan lapuk yang beri rakyat banyak masalah.

Kita imbau kembali sejarah silam, di mana rakyat bersatu berhimpun ramai-ramai menentang penjajah. Tetapi hari ini penjajah sudah balik. Tinggal penjajah tempatan atau pun Zionis tempatan. Inilah yang menjadikan negara ini pincang dan rakyatnya pula sering berhimpun menentang kerajaannya sendiri. Apakah fenomena ini, masih kabur lagi buat kita semua? Kenali musuh kita. Takkan bangkit rakyat menentang kerajaannya sendiri, jika kerajaannya adil dan saksama.

Pendapatan atau gaji semua rakyat hari ini semakin kecil. Jika wujud undang-undang gaji minima bagi setiap sektor, sudah tentu negara ini akan memiliki ramai penganggur akibat syarikat-syarikat yang ada tidak mampu untuk membayar gaji mengikut standard sebenar.

Tanya diri anda, apakah gaji anda cukup? Mengapakah anda perlu buat 2-3 side business? Mengapa anda perlu bekerja di negara luar yang lebih maju? Mengapa gaji menteri mencecah puluhan ribu? Tanya diri anda, untuk siapakah makanan yang berbelas ringgit di lapangan terbang dan tempat-tempat ternama. Tanya diri anda, mampukah anda melancong luar dari Asia Tenggara? Jika tidak, negara ini bukan negara berpendapatan tinggi. Ayuh beli tiket, bagi yang berada di luar negara. Tinggalkan dolar sebentar, tinggalkan EURO sebentar, tinggalkan matawang tinggi itu sebentar. Pulanglah dan berjuanglah untuk masadepan negara kita. Bagi yang ada dalam negara, mari turun bersama. Kerana apabila Barisan Nasional menjadi pembangkang, mereka pasti akan memilih jalanraya juga.-HANIEF

p/s: Bukankah mereka akan berhimpun juga seperti beruk-beruk di jalanraya? Kali ini tiada lagi Zainuddin Maidin dengan AlJazeera. Kita ada Rais Yatim (I've changed my mode).

PELANCARAN HIMPUNAN BERSIH 2.0

Bersih 2.0: Pilihan raya adil, bersih juga baik buat BN
Oleh Syed Mu’az Syed Putra

Persekitaran ketika majlis pelancaran Himpunan Bersih 2.0 di Kuala Lumpur malam tadi. — Foto oleh Jack Ooi

KUALA LUMPUR, 20 Jun — Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) Datuk Ambiga Sreenevasan berkata sistem pilihan raya yang adil dan bersih baik kepada semua parti politik termasuk Barisan Nasional (BN).
Pada pelancaran Himpunan Bersih 2.0 di sini malam tadi, Ambiga sekali lagi memberi jaminan perhimpunan itu akan diadakan secara aman.

Beliau juga berkata cadangan mengadakan Himpunan Bersih 2.0 ekoran mendapati pilihan raya negeri Sarawak pada April lalu dicemari dengan penyelewengan dan ketidakadilan.

“Hanya tinggal dua minggu sebelum Himpunan Bersih 2.0 yang akan diadakan pada 9 Julai ini... Himpunan Bersih 2.0 ini akan ditangani secara aman dan bertanggungjawab.

“Baru-baru ini kita telah lihat bukti bahawa pilihan raya negeri Sarawak telah dijalankan dengan tidak adil dan ia adalah sebab utama mengapa kami mengambil keputusan mengadakan perhimpunan ini,” katanya pada majlis pelancaran.

Tambah Ambiga, pihaknya masih membuka pintu kepada BN untuk sama-sama menyertai Himpunan Bersih 2.0 bulan depan bagi menuntut pilihan raya adil dan bersih.

“Bersih adalah gabungan NGO, kami tidak disokong oleh mana-mana parti politik, tapi kami telah hantar surat jemputan kepada semua parti politik (untuk sertai Himpunan Bersih 2.0) tapi hanya Pakatan Rakyat yang bersetuju.

“Himpunan Bersih 2.0 dijalankan hanya oleh NGO kerana kami menuntut pilihan raya yang adil dan bersih untuk semua parti politik... jika pilihan raya adil dan bersih dapat dijalankan, ia juga baik kepada BN, juga adil kepada BN dan bagus kepada BN.

“Oleh itu jemputan untuk sama-sama menyertai himpunan Bersih 2.0 masih terbuka, kami jemput untuk turun ke jalanan bersama rakyak,” katanya.

Dalam ucapan itu, beliau juga menegaskan lapan tuntutan yang dibuat adalah munasabah dan perlu dilaksanakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Apa tuntutan Bersih? Apa masalah dengan tuntutan ini? Kami hendak taraf demokrasi dinaikkan... apa salah tuntutan Himpunan Bersih 2.0 ini? Tiada siapa yang boleh katakan bahawa tuntutan ini tidak munasabah.

“Apa yang kami lakukan ini dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan dan polis tidak boleh nafikan hak kita kerana kebebasan bersuara terjamin dalam Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Lapan tuntutan Bersih adalah agar SPR membersihkan senarai undi, mereformasikan undi pos, gunakan dakwat kekal, akses media yang bebas dan adil, tempoh kempen minimumu 21 hari, diperkukuhkan institusi awam, hentikan rasuah dan hentikan politik kotor.

Pada hari Himpunan Bersih 2.0, Perkasa dan Pemuda Umno juga mengadakan perhimpunan balas.

Bersih bersama Pakatan Rakyat dan aktivis parti bersedia menggerakan Himpunan Bersih 2.0 menuntut pilihan raya adil dan bebas sebagai kesinambungan himpunan yang kali pertama diadakan pada November 2007.

PAS telah berjanji akan menggerakkan 300,000 peserta untuk menyokong perhimpunan itu untuk mendesak SPR mengadakan pilihan raya adil dan bebas pada pilihan raya umum ke-13 tidak lama lagi.

Himpunan Bersih 2.0 akan berkumpul di tiga lokasi berbeza iaitu pusat membeli-belah Sogo, Masjid Kampung Baru dan bangunan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mulai pukul 2 petang sebelum berarak ke Istana Negara.

Menurut Ambiga, pihaknya bersedia bekerjasama dengan polis bagi menjayakan Himpunan Bersih 2.0.

“Bersih ingin meyakinkan pihak polis dan pihak-pihak lain bahawa Himpunan Bersih 2.0 adalah satu gerakan yang aman.

“Bersih ingin bekerjasama dengan pihak polis untuk menjayakan keinginan rakyat dalam melaksanakan hak perlembagaan untuk perhimpunan aman,” katanya.

19 Jun 2011

KWSP HAK PEMEGANG AKUAN BUKAN HAK PM

Syarat baru ‘pelik’ Bank Negara gugat firma Abu Dhabi beli RHB
TERKINI Oleh Jahabar Sadiq

KUALA LUMPUR, 19 Jun — Beberapa syarat baru dikenakan Bank Negara didakwa mengancam urusan penjualan 25 peratus pegangan bernilai RM5.9 bilion dalam RHB Capital Bhd oleh dua firma Abu Dhabi, termasuk keperluan bahawa pemegang baru mesti menyokong kemungkinan penggabungannya dengan sebuah lagi bank Malaysia.

Kedua-dua syarat yang mengejutkan itu memerlukan Abu Dhabi Commercial Bank (ADCB) dan pemegang saham baru RHB dana pelaburan Abu Dhabi, Aabar Investments agar bertolak ansur jika harga jualan lebih rendah daripada harga penggabungan RM10.80 sesaham yang telah dipersetujui kedua-dua syarikat dan penggabungan tidak seharusnya terlalu menyimpang daripada harga pasaran agar ia tidak melemahkan urusan penggabungan kedua-dua entiti terbabit.

The Malaysian Insider difahamkan selepas urusan itu dimeterai Jumaat lalu, Bank Negara telah menghantar siri e-mel yang keras kandungannya kepada ADCB, memaklumkan pihak berkenaan mengenai syarat-syarat dikenakan oleh bank pusat yang akan dimasukkan ke dalam kenyataan media, yang menurut beberapa pihak dalam industri bank, ia satu bentuk tindakan agresif dan campur tangan luar biasa dalam urusan sedemikian.

Bank terbesar di Malaysia — CIMB Group Holdings Bhd dan Malayan Banking Bhd (Maybank) — telah memperoleh kebenaran untuk bersaing bagi mengambil alih peminjam keempat terbesar RHB Capital.

Penggabungan itu kemungkinan akan melahirkan bank terbesar di rantau Asia Tenggara.

CIMB diketuai oleh Datuk Seri Nazir Razak, dilihat pesaing utama dalam usaha mengambil alih RHB Capital.

Satu sumber industri bank berkata persekitaran seharusnya bertindak sebagai pasaran bebas agar tidak merugikan mana-mana pihak.

"Mengapa perlu ada syarat-syarat yang pelik," kata sumber itu kepada The Malaysian Insider.

"Bank Negara seharusnya juga membenarkan pemegang saham baru untuk memutuskan jika mereka mahu menyokong satu penggabungan atau tidak," kata sumber itu sambil menambah, pihaknya tidak memerlukan urusan-urusan tidak munasabah dalam bisnes ini.

Kata sumber itu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kemungkinan akan berhadapan dengan kecaman memandangkan pentadbirannya sebelum ini melaungkan dasar mahu mengadakan perkhidmatan kewangan bebas dengan penyeliaan minimum daripada pihak kerajaan.

Najib, yang juga Menteri Kewangan, menyaksikan penjualan pegangan ADCB kepada Aabar Jumaat lalu bersama Putera Mahkota Abu Dhabi, Jeneral Sheikh Mohammed Zayed Al-Nahyan, yang mengadakan lawatan satu hari ke Kuala Lumpur.

Bagaimanapun sumber-sumber berkata, Bank Negara telah mengenakan syarat-syarat itu kerana ia tidak mahu bank-bank yang bersaing lemah dari segi kewangan ekoran penggabungan itu, yang merupakan terbesar di negara ini jika pemegang utama RHB Capital, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memutuskan untuk menjual 44 peratus saham miliknya.

Bank Negara khuatir dengan harga RM10.80 sesaham yang dibeli oleh Aabar Investments, yang dinilai 2.25 kali lebih tinggi berbanding nilai harga buku (PB) meskipun difahamkan bahawa ADCB menerima bidaan antara 2.0 dan 2.4 kali PB semasa ia mengadakan tender terbuka.

Bagaimanapun industri bank menyebut bahawa jual beli itu berlaku ketika ledakan pasaran, sedangkan CIMB membeli Southern Bank pada kadar 2.2 lebih tinggi lima tahun lalu ketika industri perbankan lemah.

"Kita bercakap mengenai satu jumlah wang yang besar di sini, tetapi jika sama ada CIMB atau Maybank tidak boleh membeli RHB, maka mereka tidak terlibat (dalam urusan pengambilalihan).

"Ini yang dikatakan pasaran bebas," kata satu lagi sumber industri yang rapat dengan urusan itu kepada The Malaysian Insider.

The Malaysian Insider difahamkan, pegawai-pegawai KWSP akan meminta Putrajaya memastikan proses bidaan adalah adil dan telus dan dijalankan tanpa campur tangan.

Pegawai-pegawai kanan KWSP tahu bahawa mereka akan dikecam oleh ahli-ahli politik pembangkang dan pemegang saham jika mereka tidak mendapat harga terbaik bagi penggabungan.

Lebih 12 juta pekerja tempatan, rakyat Malaysia dan warga asing, mempunyai akaun dalam KWSP, dana simpanan masa tua yang selalunya dikecam kerana memberi dividen rendah meskipun pelaburannya meningkat.

"KWSP tidak boleh berkompromi dalam hal ini dan dipaksa menjual dalam harga yang rendah disebabkan ia melibatkan dua pelabur Malaysia iaitu Khazanah Nasional Berhad di pihak CIMB dan pemegang saham utama Maybank, Permodalan Nasional Berhad," kata satu sumber pelaburan kepada The Malaysian Insider.

Menurut penganalisis, pengambilalihan RHB Capital kemungkinan berdasarkan 2 hingga 2.5 kali nilai PB atau antara RM9.70 dan RM12 sesham.

Berdasarkan pegangan RHB dalam lingkungan 2.2 bilion saham, mana-mana pelabur yang ingin membelinya perlu membayar sehingga RM26.3 bilion

Tengku Razaleigh - kepimpinan politik BN “talam dua muka” dan “cakap angin”

Ku Li: Gugur pemusatan kuasa di tangan PM, Peguam Negara
Oleh G Manimaran

KUALA LUMPUR, 19 Jun — Ahli politik veteran Tengku Razaleigh Hamzah menggesa agar pemusatan kuasa di pejabat Perdana Menteri dan Peguam Negara dikaji balik agar kepentingan rakyat jelata tidak terus terhakis sebagaimana disaksikan sejak tiga dekad lalu.

Dalam pandangan yang lantang terbaru ini, Ahli Parlimen Gua Musang (gambar) itu berkata, cabaran pada hari ini ialah meneliti kembali pemusatan kuasa di tangan individu tertentu termasuk perdana menteri dan mengembalikan persekitaran politik yang “imbang dan periksa” demi rakyat menikmati amalan demokrasi yang tulen.

“Kita sebagai rakyat Malaysia perlu mendapatkan balik hak-hak kita dalam (negara) demokrasi, bahawa kuasa dan jawatan adalah satu amanah dan tanggungjawab, bukan untuk kepentingan peribadi ataupun sebagai satu peluang untuk memperkayakan diri.

“Kita, sebagai rakyat yang aktif dalam politik dan bertanggungjawab, perlu menekankan semula konsep obligasi sosial dan tanggungjawab awal ke atas mereka yang mahukan jawatan politik. Kuasa ada tugas, bukan satu jawatan,” kata beliau ketika berucap pada majlis Perak Lectures anjuran Perak Academy di Taiping malam tadi.

Bekas menteri kewangan itu berkata, kerajaan juga perlu memikirkan semula dasar-dasar ekonomi negara ini khususnya dalam memfokus objektif nasional yang sangat memerlukan tindakan segera.

“Dasar ekonomi bukan hanya mengenai penjanaan kekayaan tetapi juga memerlukan satu dimensi moral yang mengambil kira kebaikan kesemua rakyat sebagai satu keutamaan berbanding keuntungan (semata-mata),” kata beliau dalam ucapannya yang secara panjang lebar menyentuh perubahan dalam keutamaan negara sejak tiga hingga empat dekad lalu berbanding teras mesej disampaikan ketika perisytiharan kemerdekaan oleh Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj di Stadium Merdeka pada 1957.

“Falsafah yang menjadi panduan ialah tanggungjawab (pemegang) jawatan awam. Jawatan awam dilihat sebagai satu tugas, bukan satu peluang (mencari kepentingan diri).

“Jawatan awam juga sebahagian daripada komitmen politik untuk mewujudkan satu Malaysia yang adil, saksama, kohesi dan seimbang,” kata beliau sambil menambah, elemen-elemen itu disepadukan oleh keperluan tanggungjawab turun-temurun bagi mereka yang akan menggantikan kepimpinan pada masa-masa mendatang.

Justeru kata Tengku Razaleigh, salah satu kerugian besar dalam dunia pemegangan jawatan awam dan politik di Malaysia pada hari ini ialah kehilangan tanggungjawab turun-temurun ini atau yang bersifat generasi.

Katanya, setiap tindakan dan pendekatan kelihatan dikelilingi oleh sikap tamak dan keinginan mahu menjadi bilionair, yang turut membawa kepada piramid kroni dalam parti-parti politik pemimpin yang memerintah dan sekutu-sekutu dalam bisnes.

“Ia kombinasi hierarki kroni politik dan kroni bisnes yang membawa kepada pemusatan kuasa dalam kepimpinan politik semasa dan di pejabat Perdana Menteri,” kata Ketua Umno Gua Musang ini, yang pernah menyaingi Tun Dr Mahathir Mohamad bagi jawatan presiden Umno pada 1987.

Dr Mahathir yang memegang jawatan perdana menteri selama 22 tahun sejak 1981 digantikan oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi pada Oktober 2003 dan kemudian oleh Datuk Seri Najib Razak sejak April 2009.

Sehubungan itu kata Tengku Razaleigh, pemusatan kuasa di tangan satu individu telah membawa kepada manipulasi sistem politik iaitu institusi-institusi kuasa termasuk media.

Banyak media sama ada akhbar atau stesen televisyen dimiliki oleh parti-parti politik teras dalam Barisan Nasional (BN) khususnya Umno.

Dakwaan sebelum ini menyebut bidang kehakiman turut hilang kebebasan ketika era kepimpinan Dr Mahathir, tetapi perdana menteri keempat itu menafikan perkara tersebut banyak kali.

“Sebagai pertukaran kepada pemusatan kuasa, sikap tamak dan kepentingan peribadi digalakkan menerusi (kepimpinan melalui) teladan dan dalam topeng kesetiaan kaum yang sewajarnya menerima ganjaran,” katanya.

Bertolak daripada itu, Tengku Razaleigh berkata, persekitaran ini wujud di semua parti dalam struktur kuasa yang ada sekarang.

“Situasi ini adalah sesuatu yang sangat bahaya dan sukar untuk dipatahkan sebab pemusatan kuasa sudah wujud sejak tiga dekad lalu,” kata pemimpin kelahiran Kelantan ini.

Tengku Razaleigh juga menarik perhatian bahawa persekitaran itu juga membawa gaya kepimpinan politik “talam dua muka” dan “cakap angin” — seolah-olah mempamerkan kepimpinan ‘cakap tak serupa bikin’.

Malah menurutnya, sikap sedemikian membawa politik yang menggalakkan pendekatan atau amalan mengaburkan maklumat.

“Tema yang ketara ialah polisi menggunakan (elemen) perkauman dan agama di satu pihak dan bercakap mengenai perpaduan di pihak lain dengan menjadikan rakyat sebagai tebusan dalam usaha kekalkan status quo kuasa.

“Akibatnya, kebimbangan mengenai perkauman dan agama mencengkam setiap aspek kehidupan, dalam politik, ekonomi, pendidikan dan pekerjaan, sedangkan realiti semasa tiada kaitan dengan agama atau kaum,” kata beliau. -TMI

AMK TIDAK SEGARANG DULU

Kebanyakan AMK cabang PKR tidak mampu bergerak malah ada yang tiada kemampuan membentuk AJK diperingkat cabang padahal ahli-ahli yang berumur 35 tahun kebawah biasanya melebihi 50% keahlian disetiap Cabang. Ini mungkin kesilapan percaturan juga tidak mengambil peduli oleh AJK Cabang padahal berlaku dalam negeri-negeri yang PR memerintah. sekiranya kelemahan ini tidak diatasi dengan segera adalah amat merugikan bukan hanya pemimpin-pemimimpin AMK yang bercakap kosong sahaja.

Anwar: Tiada tempat untuk yang 'merengek' di AMK

Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim mencabar Angkatan Muda Keadilan (AMK) untuk berada di barisan hadapan bagi memimpin perubahan (Islah) pada masa akan datang khususnya menjelang pilihan raya umum ke-13.

Beliau juga menggesa AMK terus bekerja sedaya upaya dengan menyusun jentera serta turun ke akar umbi untuk berdepan dengan BN dengan penuh yakin pada pilihan raya umum itu.

"Kita perlu berubah, (pemimpin yang) tak yakin duduk di barisan belakang, (pemimpin yang) yakin duduk di barisan hadapan.

"Orang (yang yakin) di barisan hadapan, pimpinan (AMK yang) kurang yakin, tolak ke belakang," tegasnya.

Menurutnya, syarat tersebut turut diaplikasi kepada pemimpin AMK di semua peringkat termasuk di peringkat pusat atau negeri.

Oleh itu, Anwar menggesa ketua AMK Shamsul Iskandar Md Akin - yang juga hadir dalam himpunan itu - mengkaji kepemimpinan AMK di semua peringkat yang mempunyai tahap keyakinan tinggi untuk diketengahkan ke hadapan.

"Angkatan Muda Keadilan, yang (mempunyai) keyakinan, kita akan ketengahkan. Yang kurang yakin, susun di barisan belakang," katanya yang mendapat tepukan dan sorakan lebih seribu anggota AMK di Shah Alam malam tadi.

"Buat sekarang, (kamu semua) beritahu Shamsul Iskandar, (buat) sekarang," katanya sambil diiringi ketawa dan ajukan anggota AMK perkataan "sekarang" beberapa kali.

Anwar membuat cabaran demikian sekalipun beliau sedar bahawa Shamsul Iskandar mampu untuk bertindak seperti yang dicadangkannya.
Erti perjuangan

Bercakap dalam majlis Rapat Anak Muda 13.0 di Dewan Jubli Perak di Shah Alam, Anwar menasihatkan AMK dan ahli-ahlinya untuk memperkuatkan parti ketika berdepan BN pada pilihan raya umum kelak.

Malah, beliau juga menegur anggota AMK yang didakwanya "merengek atau mengeluh" kerana tidak bersetuju dengan beliau atau dengan ketua cabang tertentu dalam sesuatu perkara.

Dengan tidak menyebut identiti anggota itu, beliau menyifatkan tindakan tersebut seperti orang "yang tidak mengenali erti pejuangan".

"Jangan bertelagah sesama kita kerana setiap tenaga diperlukan walaupun tidak bersetuju dengan saya... (Kalau) ada agenda tersendiri sukar untuk dipertahankan.

"Parti ini adalah jamaah dan kita bertungkus lumus (struggle) sebagai sebuah pasukan. Ini agenda kita... Ada masa kita bersaingan dalam parti, ada masa kita bertempur dengan dalam gelanggang.

"Sekarang adalah masa untuk kita bertempur dalam gelanggang untuk melawan Umno dan BN," tegasnya.

Dengan nada yang serius Anwar berkata AMK harus sedia melalui "pahit getir' dalam perjuangan walaupun ada yang di tahan, di penjara atau di hadap ke mahkamah.

Bagaimanapun, beliau meminta anggota AMK terus yakin bahawa rakyat bersama dengan perjuangan Pakatan Rakyat bagi menumbangkan Umno dan BN sungguhpun berdepan pelbagai fitnah dan hasutan.

Cetusan dhamir

Beliau turut mengingatkan anak muda dalam sayap parti agar sentiasa mengikut kata hati atau cetusan dhamir dalam usaha untuk membela nasib dan masa depan rakyat.

Anwar yang juga ketua pembangkang berkata dengan mengikut cetusan dhamir tersebut menyebabkan mereka "tidak terpukau dan terpedaya" bagi meneruskan agenda perubahan.

Sehubungan itu, beliau menggesa agar AMK menggilap semula "jeritan dhamir itu menjadi satu jeritan suci" demi survival negara dan mengembalikan hak yang terjamin dalam perlembagaan sebagai seorang muslim atau rakyat.

Mengulas perhimpunan BERSIH 2.0 yang akan berlangsung pada 9 Julai ini, Anwar yang juga ahli parlimen Permatang Pauh mengajak semua pihak untuk menyertai perhimpunan itu.

Dengan nada menyindir, Anwar berkata perhimpunan itu tidak sama seperti "jerit-jerit Pemuda Umno" - yang juga bercadang untuk berhimpun pada tarikh yang sama.

"Kita berjuang kerana prinsip, bukan hanya (mencari) keasyikan semata-mata," katanya.

Anwar turut menasihatkan anggota AMK berperanan di peringkat akar umbi dengan memperbanyakkan program demi memastikan Pakatan Rakyat menguasai Putrajaya dan menjadikan Umno sebagai pembangkang.

Terima cabaran

Sementara itu, Shamsul Iskandar menyahut cabaran yang dibuat oleh Anwar yang juga bekas timbalan perdana menteri supaya segera membuat perubahan demi menyediakan pemimpin AMK di barisan hadapan.

"Saya terima cabaran Datuk Seri Anwar Ibrahim. Dan saya tahu isyarat dari saudara sekelian kepada saya untuk membuat perubahan.

"Kita akan periksa (anggota dari) negeri mana yang tidak datang hari ini... Kita akan periksa cabang mana yang tidak datang.

"Saya ada senarai lengkap (bermula) dari Perlis sampai ke Sabah. Tapi dari cabang mana, yang ini kita akan teliti," katanya.

Dalam pilihan raya umum akan datang, Shamsul berkata beliau berjanji akan mencadangkan kepada kepimpinan PKR Pusat bagi memastikan anggota AMK dipilih menjadi calon dalam pilihan raya umum.

Oleh itu, beliau mahu anggota AMK bekerja bersungguh-sungguh demi untuk memastikan bahawa negara dipimpin dari kalangan generasi anak muda pada masa akan datang.-mk
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...