30 Julai 2011

SPR TIDAK DIPERCAYAI LAGI

SPR berdepan krisis kepercayaan?
Salhan K Ahmad


Timbalan pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, Datuk Wan Ahmad Wan Omar hanya mampu mendepa tangan dan mengangkat bahu ketika ditanya mengenai masalah birokrasi dalam membersihkan daftar pemilih.

Wan Ahmad memberi reaksi sedemikian ketika mengulas mengenai amalan sedia ada yang mewajibkan waris pengundi yang meninggal dunia supaya memaklumkan kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) apabila keadaan itu berlaku.

Jelasnya, JPN hanya dapat mengemaskini data berkenaan apabila mendapat laporan daripada waris berkenaan – yang membolehkan SPR mengemaskini data berhubung pengundi berkenaan.

"Tapi bawah sistem sedia ada, balai polis yang mengeluarkan permit mengkebumi jenazah tidak dirangkaikan dengan JPN.

"Kita tidak boleh hanya padamkan nama orang dalam daftar pemilih," katanya lagi yang mengundang keluhan daripada kira-kira 300 orang yang hadir di majlis forum anjuran Persatuan Promosi Hak Asasi Manusia (Proham) itu.

Bercakap dalam debat pusingan kedua bersama pengerusi BERSIH Datuk S Ambiga, Wan Ahmad turut menjelaskan bahawa SPR berusaha membersihkan sehingga 7,000 nama pengundi yang meninggal dunia daripada daftar pemilih setiap bulan.

Menjawab soalan berhubung cadangan supaya pemilih didaftarkan secara automatik sebaik mencapai usia layak mengundi pula, Wan Ahmad berkata cadangan berkenaan boleh dikemukakan kepada kerajaan.

"Tetapi dalam sistem sekarang, kerajaan perlu setuju dengan pindaan itu dahulu, barulah rang undang-undang itu boleh didrafkan oleh Peguam Negara.

"Kita mungkin fikir perkara itu betul tapi ada orang yang berfikiran berlainan," katanya lagi yang menambah rakyat juga perlu diberi hak untuk memilih sama ada mereka mahu mendaftar sebagai pemilih.

Jawapan itu nyata tidak memuaskan hati beberapa orang yang hadir sehingga ada yang mencabar Wan Ahmad supaya bertindak meletak jawatan atas dasar prinsip sekiranya cadangan mereka enggan diterima oleh kerajaan.

Wan Ahmad turut dicabar sekali lagi supaya mendedahkan cadangan pindaan yang dikemukakan olehnya kepada kerajaan sebelum ini agar dapat memulihkan persepsi yang timbul terhadap badan pengurus pilihan raya itu.

Pengerusi jawatankuasa hak asasi manusia Majlis Peguam, Andrew Khoo berkata, SPR perlu tegas dalam mengemukakan pindaan itu atas dasar prinsip.

Seorang lagi yang mengemukakan soalan, bekas hakim kanan Datuk KC Vohrah berkata, Peguam Negara tidak berhak untuk menentukan perkara yang betul atau salah bagi pihak SPR.

"Saya tidak faham mengapa Peguam Negara perlu draf undang-undang anda. Sepatutnya anda pergi kepada peguam negara dan pertahankan pendirian anda," kata Vohrah lagi yang merupakan bekas penasihat kanan di Jabatan Peguam Negara.

Terdahulu, moderator forum berkenaan, Tan Sri Ramon Navaratnam turut meminta hadirin supaya mengangkat tangan sekiranya mereka melihat SPR sebagai badan yang tidak bebas.

Hampir kesemua yang hadir di majlis berkenaan mengangkat tangan apabila ditanya sedemikian.

Wan Ahmad dalam penjelasannya kemudiannya sekadar berkata, permintaan itu terlalu besar dan para hadirin sepatutnya perlu lebih munasabah.

"Anda perlu munasabah kerana kita bekerja dalam sistem. Hakim juga boleh tekankan apa saja reformasi tapi kita perlu bekerja di dalam sistem," katanya lagi dalam forum yang turut disertai peguam veteran Datuk Mohd Shafee Abdullah.-MK

GUNAKAN KUASA RAKYAT....KERAJAAN PERLU BERTINDAK BETUL



MP Sg Siput: Putrajaya bebas kami kerana risau risiko politik

Oleh Clara Chooi July 29, 2011

Pemimpin PSM yang dibebaskan daripada tahanan Ordinan Darurat petang tadi. — Foto oleh Choo Choy May
KUALA LUMPUR, 29 Julai — Barisan Nasional (BN) tidak sanggup berhadapan dengan risiko politik dengan kemerosotan populariti dan sokongannya ekoran tindakan menahan enam pemimpin Parti Sosialis Malaysia (PSM) sejak awal bulan ini, kata Ahli Parlimen Sungai Siput Dr Michael Jeyakumar malam ini.
Sehubungan itu tegas beliau, keputusan pentadbiran Najib membebaskan keenam-enam mereka adalah langkah politik dan bukannya kerana tindakan profesional polis.

Dr Jeyakumar, 56, dan lima yang lain iaitu setiausaha bahagian PSM Sungai Siput, A.P.Letchumanan, 49, anggota jawatankuasa pusat, Choo Chon Kai, 33 dan M.Sukumaran, 50, timbalan pengerusi PSM, M. Sarasvathy, 58, dan pemimpin pemuda, R. Sarat Babu, 25, dibebaskan petang ini dalam satu tindakan mengejutkan banyak pihak.

“Mereka (BN) semakin kehilangan populariti dan sokongan rakyat memandangkan ia sangat tinggi kos dari segi politik bagi mereka untuk kekal menahan kami (di bawah Ordinan Darurat),” kata beliau kepada pemberita selepas berucap di hadapan penyokongnya di Dewan Perhimpunan Cina Selangor dan Kuala Lumpur di sini.

Justeru Dr Jeyakumar memberitahu, beliau tidak bersetuju dengan kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak petang tadi bahawa pembebasan mereka adalah selaras dengan undang-undang negara dan keputusan itu dibuat berdasarkan pemerhatian polis.

“Tidak, ia sudah tentu disebabkan tekanan daripada rakyat. Seleps lebih sebulan, tiada petanda sokongan awam kepada kami menurun, sebaliknya, ia mengalami peningkatan.

“Orang ramai berjalan, berpuasa di semua tempat. Ia menjadi satu keadaan (berisiko) yang terlalu besar bagi mereka,” kata beliau lagi.

Dr Jeyakumar menambah, Najib mengambil langkah bijak dengan membenarkan mereka dibebaskan sebelum keadaan bertambah buruk ke atas kerajaan.

“Ini bukan kerana polis sudah sedar ataupun menjadi jujur dan profesional. Tidak, mereka tidak,” katanya lagi.

Kata beliau, polis meletakkan keenam-enam mereka dalam tahanan untuk menakut-nakutkan rakyat Malaysia daripada menyuarakan pandangan mereka.

“Tetapi ia tidak menjadi. Orang ramai berani dan disebabkan mereka, saya bebas hari ini,” kata wakil rakyat penggal pertama ini.

Ketika ditanya mengenai tindakan susulan, Dr Jeyakumar berkata, beliau kemungkinan mempertimbangkan untuk mengambil tindakan ke atas pihak berkuasa berhubung tindakan menahan mereka secara tidak sah.

“Tetapi kami baru sahaja keluar dan kami kena duduk dan berbincang,” katanya lagi.

Petang tadi, Najib berkata kerajaan menerima baik keputusan polis membebaskan enam aktivis PSM termasuk Dr Jeyakumar, yang ditahan di bawah Ordinan Darurat selama 28 hari.

Perdana Menteri berkata keputusan itu dibuat berdasarkan pengamatan dan siasatan yang dilakukan oleh polis.

Bagaimanapun, beliau berkata terpulang kepada Peguam Negara untuk menentukan tindakan selanjutnya terhadap enam aktivis tersebut.

Mereka ditahan pada 2 Julai lepas di Seberang Prai, Pulau Pinang mengikut Seksyen 3 (1) Ordinan Darurat (Ketenteraman Awam dan Pencegahan).

Terdahulu, mereka ditahan bersama 24 yang lain dalam sebuah bas persiaran di Plaza Tol Sungai Dua, Kepala Batas pada 25 Jun dan didakwa di bawah Seksyen 122 Kanun Keseksaan kerana cuba melancarkan peperangan ke atas Yang di-Pertuan Agong.-TMI

Kesatuan piket bantah Putrajaya sambung kontrak Presiden KTMB


KUALA LUMPUR, 29 Julai — Kira-kira 300 anggota Kesatuan Pekerja-pekerja Keretapi Tanah Melayu Berhad (RUM) hari ini mengadakan piket secara aman membantah penyambungan kontrak Presiden KTMB Dr Aminuddin Adnan selama dua tahun mulai Isnin ini.
Mereka mula berkumpul kira-kira pukul 6 petang di pekarangan ibu pejabat KTMB di Jalan Hishamuddin di sini sebelum bersurai setengah jam kemudian.

Bernama Online memetik Presidennya Abdul Razak Md Hassan berkata piket itu diadakan untuk membantah penyambungan kontrak Aminuddin, yang didakwa bersikap negatif terhadap kesatuan sekaligus menimbulkan rasa kurang senang kepada anggota mereka.

“Saya bagi pihak Majlis Eksekutif kesatuan berasa terkilan atas penyambungan itu kerana ia akan menyebabkan pertikaian berterusan di antara kesatuan dan Presiden.

“Semenjak Dr Aminuddin menyertai KTMB, beliau mempunyai persepsi negatif terhadap kesatuan seterusnya menganggap kesatuan adalah musuh,” katanya.

Menurutnya seorang presiden perlu menjalinkan hubungan baik dengan kesatuan dan bukannya menjauhkan diri atau menjadikan kesatuan pekerja sebagai musuh.

28 Julai 2011

HARI NIE NAJIB MAI KEDAH SAPA NAK SAMBUT PULAK?

Najib PM Tidak Bermaruah, Peralatkan Pelatih PLKN Untuk Sambut Kedatangannya

Dah tak ada yang nak sambut Najib, budak-budak PLKN jadi mangsa

Najib dan rombongannya telah menaiki kereta api laju Express Rail Link, dari Putrajaya menuju ke stesen KL Sentral bagi mengedarkan bendera Jalur Gemilang menjelang sambutan hari kebangsaan pada 31 Ogos ini dan ketibaannya pada 2.10 petang dikatakan disambut 1,000 orang yang menunggu sejak 11 pagi.

Gambar diatas adalah sekeping gambar yang membuktikan Najib masih mempunyai sokongon yang kuat dari Rakyat Malaysia… tapi jika diperhatikan betul-betul yang menjadikannya ramai adalah Pelatih PLKN

Demi menggembirakan Najib, pelatih-pelatih PLKN telah diangkut dan dibariskan bagi menyambut ketibaannya disepanjang laluan untuk beliau merasmikan kempen Kibarkan Jalur Gemilang di KL Sentral..

OBJEKTIF

Program Khidmat Negara akan dilaksanakan bagi mencapai objektif yang telah digariskan seperti berikut:

1.Meningkatkan semangat patriotisme di kalangan generasi muda.
2.Memupuk perpaduan kaum serta integrasi nasional.
3.Membentuk perwatakan positif menerusi nilai-nilai murni.
4.Menyemarakkan semangat kesukarelaan.
5.Melahirkan generasi muda yang lebih cergas,cerdas dan penuh keyakinan diri.

Tak ada pun dikatakan Program Khidmat Negara akan dilatih untuk menyambut kenamaan..-darisungaiderhaka

Ulasan GB

Ia sudah menjadi satu tabiat UMNO BN... menggunakan pelatih PLKN, pelajar sekolah, penjawat awam... untuk beratur, berbaris.. nak tunjukkan huh betapa ramainya yang datang sokong atau sambut Najib.

Ia "auta" dan "temberang" lama UMNO. Kemudiaan disusuli dengan BERNAMA dan sekalian wartawan pencacai melaporkan ribu-ribu yang hadir (semua didarab 10, jika yang datang 300 maka ditulis 3,000).

Rakyat sudah masak "kelentong" kewartawanan darjat longkang ini.

Dan PM itu, memang tidak bermaruah kerana memaksa pelatih PLKN untuk menyambut kedatangannya.

Dan mungkin dengan sebab itu juga beliau akan jatuh dari kerusi PM dengan tidak bermaruah juga. Agakan GB sahaja.

Siapakah pembawa dalil kiamat yang nyata?

Pihak kerajaan tidak boleh duduk diam tanpa berkata-kata yang tidak digemari ramai. Asri Zainul Abidin, bekas Mufti Perlis pula sekarang dituduh sebagai seorang Wahabi dan beliau sangat hampir untuk dituduh sebagai pengganas. Apa sahaja yang terkeluar dari mulut pihak kita semuanya menyakitkan pihak yang lain. Dalam nafas yang sama mereka mengingatkan tentang perpaduan Islam dan entah apa yang lain.

Semua manusia dalam Malaysia ini merbahaya kepada kerajaan. Berjalan secara aman beramai-ramai untuk berhimpun secara aman dikatakan oleh pemerintah sebagai perhimpunan haram yang mengganas dan kononnya rakyat Malaysia hendak meniru apa yang berlaku di Timur Tengah.

Apabila rakyat menyokong bersih yang di ketuai oleh Ambiga mereka menuduh yang kita sebagai tidak patriotik dengan menyokong pimpinan bukan Islam. Penyokong Bersih itu di anggap sebagai perusuh tetapi disebaliknya polislah yang merusuh mereka. Pihak pemerintah begitu ‘paranoid’ dengan apa sahaja yang dilakukan dan diungkapkan oleh pihak lain.

Dengan apa yang dilakukan terhadap Asri ini, satu lagi bukti jelas pihak kerajaan akan lakukan apa sahaja untuk menunduk sesiapa yang bercakap benar. Di dalam sistem pemerintahan kita yang benar akan selalu gagal dan yang bathil tidak akan menghadapi kesusahan. Malahan pemerintah seolah-olah merupakan pihak pembawa dalil hari kiamat yang paling jelas.

Dalil-dalil kiamat memang sudah nyata berada di hadapan kita. Dalil kiamat itu selalunya bertentangan dengan nilai dan moral biasa. DAN pemimpin-pemimpin kita nampaknya menjadi pembawa dalil yang tegar.

Apa sahaja yang baik itu salah baginya. Yang bathil bermaharaja lela, yang hak dan benar sentiasa diejek dan dihina. Yang salah nampak benar dan yang benar dikatakan salah.. Kalau dahulunya kita hanya nampak dalil yang biasa sahaja seperti buah di luar musim, lelaki menyerupai perempuan dan perempuan pula menyerupai lelaki, kini dalil yang lebihnya sedang timbul dengan jelas sekali.

Ianya termasuk pengaruh perempuan yang sangat besar dalam masyarakat. Wanita di takuti oleh lelaki dan wanita bermaharajalela. Yang kaya bertambah kaya dengan cara bathil dan mereka dilindungi dengan undang-undang yang ketat.

Semua manusia yang mahu kebenaran akan menjadi bahan kritikan dan dihina. Yang berkuasa akan menggunakan kuasa secara bebas dan tidak adil semata-mata kerana kuasa yang ada.

Orang yang hina dan melakukan kesalahan dan noda akan menjadi idaman orang ramai. Agama akan diberikan intepritasi yang terbalik. Yang melakukan sesuatu dengan tujuan yang baik akan dihina dan diperkosa oleh pihak yang berkuasa.

Yang berilmu (ulamak) tidak akan mendapat tempat lagi. Itu sebabnya dalam kes Asri ini ianya merupakan satu dalil jelas menuju kearah kiamat itu tadi. Yang mendapat tempat ialah mereka yang memperjuangan perkara yang menyekutukan tuhan seperti tidak akan terjamin rezeki jika tidak mengikuti pihak berkuasa yang tidak adil itu.

Yang belum kita lihat dengan mata kepala kita hanyalah satu elemen dalil sahaja lagi…iaitu mata hari belum lagi terbit dari barat. Dalil-dalil yang lain semuanya sudah ada dan kebanyakan dalil itu dilakukan oleh kalangan kita sendiri.

Jika mata hari sudah mula terbit dari barat maka segala niat yang baik tidak akan menjadi kenyataan dan diterima tuhan lagi. Oleh itu jika kita mahu melakukan yang baik dan tidak mahu menjadi salah seorang dari pembawa dalil itu tadi elok melakukan sesuatu sebelum matahari terbit dari barat. Biar lambat asalkan selamat.

Tuhan berjanji jika masih ada umatNya yang masih berzikir kapadaNya walaupun seorang dunia ini belum lagi akan kiamat. Jika kita ingin menjadi penyelamat elok kita jangan terbabit dengan pembawa-pembawa dalil itu dan sebaliknya kita keluar dari kumpulan itu.

Semoga kita adalah di kalangan yang tidak bersama dengan pembawa dalil itu tadi, supaya dunia tidak dan belum lagi kiamat. Kita berbuatlah kebaikan sebelum matahari terbit dari barat kerana kita lakukan kebaikan selepas matahari terbit dari barat segala kebaikan ubudiah kita tidak lagi diterima tuhan kerana sudah terlambat.-Aspanaliasnet

27 Julai 2011

KESALAHAN TERLAMPAU POLIS, -HAKIM ARAH BAYAR PAMPASAN

Berapakah jumlah pampasan 'wanita ketuk ketampi bogel' terima?
RABU, 27 JULAI 2011 15:16 DITULIS OLEH INSYIRAH ZAIN

Jumlah pampasan yang diterima oleh wanita berusia 28 tahun yang dipaksa 'ketuk ketampi' dalam keadaan telanjang sambil dirakam oleh pihak polis di balai polis Petaling Jaya lebih enam tahun lepas terus menjadi tanda tanya.

Mangsa, Hemy Hamisa Abu Hasan Saari dalam saman pemulanya ke atas kerajaan Barisan Nasional, menuntut RM10 juta sambil menyifatkan polis yang terbabit 'adalah tidak adil' kerana menyebarkan rakaman terlampau secara terbuka sehingga mengaibkannya.

Bagaimanapun, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Datuk Lau Bee Lan hari ini mengarahkan mereka yang terbabit termasuk kerajaan Barisan Nasional BN membayar sejumlah pampasan yang enggan didedah pada pengetahuan umum.

Hemy yang kini sudah mendirikan rumah tangga dan mempunyai tiga orang anak tidak hadir di mahkamah hari ini.

Beliau diwakili oleh peguam Datuk Baljit Singh Sidhu dan Hazizah Kasim manakala kerajaan diwakili oleh Nor Mastura Ayob.

Pada tahun 2005, negara digemparkan dengan tersebarnya rakaman terlampau polis terbabit sehingga sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja terpaksa ditubuhkan dan dipengerusikan oleh bekas Ketua Hakim Negara Tun Dzaiddin Abdullah.

Ekoran insiden mengaibkan itu, peraturan melarang tahanan yang bogelkan membuat ketuk ketampi dan mencangkung diluluskan kerana dianggap menghina rakyat, mencabuli hak asasi manusia serta bertentangan dengan syara'.

Pun begitu, pihak berkuasa sehingga hari ini dilaporkan masih meneruskan amalan 'ketuk ketampi' sambil berbogel bagi mencari dadah atau barangan lain yang disembunyikan di bahagian tertentu tubuh seseorang.

http://www.penangdaily.com/index.php/Nasional/berapakah-jumpah-pampasan-wanita-ketuk-ketampi-bogel-terima.html

MEDIA BARU AKAN KUASAI RAKYAT

Kira-kira 98 peratus daripada 26 juta penduduk negara ini akan beralih kepada sumber media baru dan laman sosial seperti blog, Facebook serta Twitter sebelum November tahun ini.
Pensyarah Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya, Profesor Madya Dr Abu Hassan Hasbullah berkata, jumlah itu tidak mustahil dicapai kerana saluran media baru merupakan landasan paling berpengaruh yang berupaya melakukan perubahan sosial di negara ini.

"Perkara itu bukan mitos tetapi realiti. Saluran media baru berjaya mencetuskan revolusi sosial di Mesir, Tunisia, Amenia dan Ukraine. Kini media mempunyai kuasa sepenuhnya malah ia begitu kompleks dan boleh menyebarkan maklumat kepada sesiapa saja setiap saat. Perkara itu turut diakui kebanyakan ahli falsafah," katanya.

Menurut beliau, peralihan tersebut turut didorong oleh beberapa faktor seperti rakyat mahukan ruang untuk berkongsi pendapat dan terlibat dalam sesuatu perkara kerana dunia sekarang bersifat terbuka.

"Kita perlu menerima perubahan ini. Kita sudah memasuki era perundingan... media moden mesti mengamalkan kepelbagaian. Stesen radio sudah melalui proses perubahan ini. Pelbagai topik turut dibincangkan oleh penyampai radio. Mereka akan berinteraksi secara interaktif bersama pendengar menerusi telefon," jelasnya.

"Oleh itu, kita perlu menerima Internet sebagai peradaban manusia yang positif. Kita perlu berkongsi emosi, karakter, teknologi sains dan menerima kehadiran media baru. Saya yakin anda merujuk kepada Internet kerana ia dapat menjimatkan masa, ruang dan kos.

"Orang pertama yang menyebarkan maklumat akan dapat menguasai dunia. Saya pasti media konvensional tidak dapat mengatasinya kerana perlu melalui proses cetakan dan edaran," katanya.

DIAMLAH, kata pengguna internet pada NAJIB


Diamlah, kata pengguna internet pada Najib
Hazlan Zakaria

Warga internet melepaskan kekecewaan berhubung kenyataan dan beberapa tindakan kerajaan akhir-akhir ini dengan menulis komen "diam lah" di halaman Facebook Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Mereka memulakan sindiran itu selepas tengah malam semalam setelah Najib memuatkan pautan ke artikel dalam blog terbarunya yang menyentuh soal tanggungjawab pemimpin dan keamanan negara.

Malah, ada yang menampal perkataan sama dengan tulisan yang besar di dinding (wall) halaman Facebook itu.

Perkataan “diam lah” turut dicatatakan di ruangan komen untuk masukan (posting) yang ditulis.

Warga internet yang pro-kerajaan bagaimanapun cuba berhujah bagi menangani tindakan itu dengan hamburan kata-kata kemarahan kepada penyokong Pakatan Rakyat. Bagaimanapun, tindakan itu gagal menangani tenaga lawannya yang jumlah jauh lebih ramai.

Sehingga berita ini ditulis, masukan menggesa perdana menteri supaya diam belum reda. Masukan terakhir dengan tulisan dengan blok besar baru dimuatkan hanya kira-kira lima minit lalu.


http://www.malaysiakini.com/news/171122

SPR : SURUHANJAYA ATAU JKKP -DOLAK DALIH TAK MASUK AKAL

SPR: Kami tiada kuasa, hanya Putrajaya boleh tunai tuntutan Bersih 2.0


Wan Ahmad Wan Omar (kiri) menjawab soalan hadirin pada Wacana Apa Selepas 9 Julai anjuran Kumpulan Media Karangkraf hari ini. — Foto oleh Choo Choy May
SHAH ALAM, 26 Julai — Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) meminta Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) mengemukakan lapan tuntutan berkaitan pembaharuan sistem pilihan raya kepada Putrajaya, bukannya kepada agensi itu.
Menurut Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar, lapan tuntutan itu boleh dilaksanakan di bawah kuasa kerajaan pemerintah.

Jelas beliau, SPR tidak mempunyai sebarang kuasa untuk melaksanakan lapan tuntutan itu kerana ia terikat dengan undang-undang dan peraturan yang ditetapkan.

Lapan tuntutan Bersih 2.0 adalah agar SPR membersihkan daftar undi, mereformasikan undi pos, gunakan dakwat kekal, akses media yang bebas dan adil, tempoh kempen minimum 21 hari, diperkukuhkan institusi awam, hentikan rasuah dan hentikan politik kotor.

“SPR ditubuhkan di bawah Perlembagaan Persekutuan sebagai badan mengurus pilihan raya, kita bukan badan penguatkuasaan ... kita tiada kuasa.

“Kita disokong beberapa akta lain seperti Akta Polis, Akta Hasutan, Akta Penerbitan dan Mesin Cetak, Akta Rahsia Rasmi dan beberapa akta lain yang mana apabila kita mengadakan pilihan raya kita bukan hanya dikawal oleh peraturan sendiri tapi turut dikawal undang-undang lain ... jadi janganlah salahkan kita,” kata Wan Ahmad pada program bertajuk “Apa Selepas 9 Julai” anjuran Kumpulan Media Karangkraf.

Justeru tegas beliau, SPR tidak mempunyai kuasa menguatkuasakan dan menolak tanggungjawab meminda undang-undang pilihan raya kepada Jabatan Peguam Negara.

“SPR bukan badan yang buat undang-undang, apa yang kita boleh lakukan adalah cadangkan undang-undang ini kepada Peguam Negara ... Peguam Negara yang akan buat draf undang-undang sebelum bawa ia ke Parlimen untuk dibahaskan.

“Proses buat undang-undang daripada SPR kepada Peguam Negara, Peguam Negara kepada Parlimen ... kalau nak tukar sistem pilihan raya, ia melibatkan dasar kerajaan dan hanya pemerintah sedia ada yang boleh lakukan.

“Kalau anda (Pakatan Rakyat) memerintah juga sama, jangan aggap SPR sebagai musuh,” katanya di hadapan kira-kira 300 orang.

Turut menjadi panel wacana kali ini ialah Pengerusi Bersih 2.0 Datuk Ambiga Sreenevesan dan penganalisis politik dari Universiti Kebangsaan Malaysia Prof Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin.

Bagaimanapun jawapan yang diberikan Wan Ahmad dijawab secara tegas oleh Ambiga sambil berkata SPR mempunyai kuasa untuk melaksanakan tuntutan yang dikemukakan.

“Saya tidak bersetuju SPR kata tiada kuasa, undang-undang pilihan raya di bawah SPR, apa maksud kata tiada kuasa? Tiada kuasa ... tanggungjawab SPR untuk melaksanakan penguatkuasaan.

“Siapa yang boleh pastikan pilihan raya bebas dan adil? Siapa yang perlu bertanggungjawab?” katanya yang mendapat tepukan gemuruh orang ramai.

Sepanjang program itu diadakan, Wan Ahmad dicemuh hadirin kerana kecewa dengan jawapan yang diberikan.

Bagaimanapun cemuhan yang dilemparkan terhadap Wan Ahmad ditenangkan moderator Wan Saiful Wan Jan.

Sepanjang program berjalan Wan Ahmad lebih bersikap defensif selain memberikan alasan-alasan remeh yang mendapat respons negatif daripada orang ramai.

Beliau juga menegaskan SPR hanya bertindak di bawah peruntukan yang disediakan dan pilihan raya diadakan secara adil.

“SPR tidak lari daripada peraturan kerana keputusan pilihan raya boleh dicabar jika pilihan raya yang diadakan tidak mengikut undang-undang.

“Apabila kita laksanakan pilihan raya, kita ikut peraturan dan undang-undang, sebab kalau ada pihak yang tidak berpuas hati (dengan keputusan pilihan raya) ia boleh dicabar di mahkamah dan orang yang failkan petisyen boleh beri apa sahaja alasan,” katanya.

Tegas Wan Ahmad, SPR ditubuhkan untuk bertanggungjawab kepada seluruh rakyat bukan sekumpulan yang tertentu.

“SPR bukan sebuah parti politik, SPR hanya badan menguruskan pilihan raya,” katanya.

Beliau juga menegaskan, sistem pilihan raya sedia ada tidak membenarkan warga asing untuk didaftarkan sebagai pengundi yang sah.

“Sesiapa yang mahu mendaftar sebagai pengundi perlu ada MyKad, kalau bukan warganegara sistem akan tolak ... ia termasuk pemegang kad pengenalan warna merah,” katanya.

Wan Ahmad juga dilihat cuba memerli Pakatan Rakyat apabila mengatakan parti perikatan itu bertindak terlalu agresif berbanding parti komponen Barisan Nasional (BN).

“SPR mempertahankan diri sebab SPR ditembak dari pelbagai sudut, BN tidak hentam SPR berbeza dengan PAS, PKR dan DAP.

“Beza pendekatan yang mereka (BN) gunakan adalah mereka mengkritik kita secara depan-depan tapi pembangkang mencanangkan kepada media dan secara terbuka menghentam SPR,” katanya.

Beliau juga menambah pihaknya sentiasa terbuka untuk mendengar apa-apa cadangan yang dibuat sama ada dari Bersih 2.0 atau Pakatan Rakyat untuk penambahbaikan sistem pilihan raya.

Pada 9 Julai lalu Bersih 2.0 telah mengadakan Himpunan Bersih 2.0 sebagai langkah menuntut SPR melaksanakan lapan tuntutan yang dikemukakan.

Bersih 2.0 yang terdiri daripada 62 badan bukan kerajaan (NGO) turut disokong Pakatan Rakyat.

Ribuan rakyat telah menyertai Himpunan Bersih 2.0 yang menyaksikan lebih 1,600 orang telah ditahan.-tmi

26 Julai 2011

Kursus Ahli Politik 2

“Matsamankati nak ajar aku? Pirrraahhh!!! “
Ada juga yang cakap kat aku macam tu masa mula-mula aku bukak gelanggang. Tengok muka aku pun depa dah menyampah. Tambah pulak bila tengok aku pakai baju Pagoda dengan jeans bundle…lagi la depa tak percaya.
Aku kena jelaskan dulu. Mana ada cikgu sekolah rendah dan menengah yang ada PhD? Tapi anak murid depa ramai yang dapat PhD.

Mana ada tukang tilik yang berjaya? Depa masih dengan burung bayan depa…tapi yang mendapat khdimat nasihat depa dah boleh bukak pejabat FLOM.
Orang-orang yang sudah ‘berjaya’ ini tidak akan mengajar kita. Depa akan terus cari duit untuk depa sendiri.

Macam tu jugak dengan “Ahli Politik.” Bila depa dah dapat title “Pemimpin Rakyat”, hangpa ingat depa nak ajar hangpa ka? Pirrrahh!!. Kalau boleh, depa pancung hangpa sebab hangpa akan jadi saingan kat depa. Nak ajar macam mana nak berjaya? Jauh sekali.
Itu pasai aku nak bantu sapa-sapa yang nak jadi “Ahli Politik” yang berjaya.

Pertama sekali: Personaliti.
Yang ni hangpa kena cipta personaliti.
Nombor satu, hangpa kena skema. Pakai baju batik, ataupun paling kurang pakai baju lengan panjang. Jangan pakai baju Pagoda atau T-Shirt.

Untuk menjadi “Ahli Politik”, hangpa kena skema sikit. Rambut kena sikat kemas dan pakai Brylcreem. Tak boleh pakai jeans, walaupun Levis 501 hangpa tu berharga RM120.00. Hangpa boleh pi bundle, beli slacks second-hand..jenis Padini ka..tak kisah la berapa harga pun. Balik bubuh kanji dan seterika balik bagi ada “side”. Kasut kena pakai kasut kulit. Kasut Johnson dari kulit babi pun tak pa. Tapi jangan sekali-kali pakai Adidas atau Nike.

Itu kalau nak kemajlis-majlis rasmi PKR. Kalau nak pi kemajlis-majlis Pas, kena pakai sekurang-kurangnya baju Raihan dan kopiah putih. Satu yang baguih, Pas tak kisah dengan selipar, sebab nak masuk markas kena buka kasut. Kalau nak ke majlis DAP, boleh pakai T-Shirt putih. Seluar depa tak kisah sangat..tapi aku heran jugak…pasai apa orang Cina tak suka Jeans.
Bila sampai kemajlis-majlis PKR atau Pas, pertama sekali hangpa kena cari bangku yang ada kusyen. Bangku plastic untuk orang biasa ataupun ahli politik.Kalau duduk, selalunya membongkok sikit sebab perut kempis.

Bangku yang ada kusyen untuk “Pemimpin Masyarakat.” Selalunya bangku untuk buffet atau yang ada kat restoran tu. Yang ni kalau duduk, belakang masih tegak..tapi tak boleh membongkok sebab perut dah ada isi.
Untuk “Pemimpin Rakyat”, yang tu disediakan sofa. Kalau duduk terus tersandar. Nak bongkok tak boleh, nak tegak sakit pinggang sebab perut dah besar.
Tapi jangan risau, “Ahli-ahli Politik” dah faham sebab depa pun akan jadi macam tu bila depa sampai ketahap itu.

Kemudian kena jaga Keperibadian
.
Ini mustahak kalau nak berjaya.Jangan cuba nak tunjuk alim atau pun jujur. Orang alim dan jujur tak boleh berjaya. Kalau nak tunjuk alim, pi jadi guru ugama. Tok Imam pun la ni kene gedebe.
Kalau nak jadi “Ahli Politik” yang berjaya kena jadi macam Berahim Ali. Kena tunjuk terror macam Bung Mokhtar. Ataupun kena tunjuk ranggi macam Azmin.
Bila nak bercakap kena tengok audiens. Kalau tengok yang depan tu jenih Boomers, datang pakai pentelun, cakap pun kena ikut pemikiran depa. Kalau yang depan tu datang pakai baju batik dengan slacks, cakap kena skema sikit. In other words, you have to please the audience or play to the gallery.

Ingat…dalam politik, semuanya terbalik. “Pemimpin Rakyat” adalah wakil rakyat. Kena ikut cakap rakyat…bukan rakyat ikut cakap hangpa.
Cakap benda yang depa tak tau. Kalau ceramah kat kampong, kita cerita pasai bandar. Kalau ceramah kat bandar, kita cerita tentang kesusahan orang kampong. Baru nampak kita terror. Jangan cakap macam pensyarah universiti. Itu pasai orang yang ada kelulusan tinggi tak berjaya dalam politik..sebab depa tak tau teknik berceramah.

Last sekali tentang Kelulusan.

Kalau hangpa ada kelulusan tinggi…jangan masuk politik. Lebih baik hangpa jadi Pengurus bank ka, pengurus kilang ka..tak kisah la kerja apa pun. Tapi kalau hangpa tak dak kelulusan, tercicir dari sekolah, tapi pandai kelentong…hangpa adalah orang yang paling diperlukan dalam politik.
Tak percaya…hangpa tengok yang jadi Menteri la ni. Hangpa tengok yang jadi EXCO, yang jadi Ahli Majlis. Yang buat kerja semua jurutera, Perancang Bandar..boleh dikatakan professional…tapi yang bagi arahan sapa?
Macam mana nak mula?

First…hangpa kena join parti politik. Kalau hangpa nak jadi bebas…toksah mimpi nak naik. Sebab bebas ni pengacau.
Jangan cakap pasai ideology hangpa. Hangpa kena fahami ideology parti…walaupun parti itu tak ada ideology. Hangpa kena fahami dasar parti..walaupun ramai yang dok dalam parti tu tak tau apa dasar parti.

Dengan lain perkataan…jangan tunjuk pandai. Hangpa kena tunjuk bodoh bila masuk dalam parti…tapi tunjuk pandai bila berdepan dengan orang ramai.
Bila mula-mula jadi ahli parti politik, masa tu hangpa akan mendapat gelaran “ahli politik”.
“Ahli Politik” adalah orang yang tak tau apa-apa tentang politik. Orang putih kata “gumshoe”. Tapi bila dah masuk politik dan bergelar “Ahli politik”, pintu peluang terbuka luas.

Pertama sekali…ada chance masuk suratkhabar. Jadi doctor, jadi engineer, jadi arkitek…mana ada chance masuk suratkhabar. Kalau hangpa nak menjadi “Ahli politik” yang berjaya, kena selalu buat sesuatu supaya selalu masuk suratkhabar. Sekurang-kurangnya buat kenyataan media. Tak kisah la apa pun…janji buat kenyataan media ataupun buat repot polis supaya menunjukkan kepada rakyat bahawa kita ni prihatin terhadap isu-isu semasa.
Bila rakyat dah mula kenal kita, masa tu kita akan dijemput kemajlis-majlis. Dan bila pi majlis tu…kena salam dengan semua orang. Lepas tu kena duduk depan. Kalau ada pentas…pastikan hangpa cari jalan supaya boleh dapat duduk diatas pentas.

Bila dah boleh duduk atas pentas, masa tu darjat kita akan naik setakuk. Bila orang nak berucap, depa akan sebut nama kita…siap dengan gelaran dan jawatan sekali!!. Yang paling best bila orang memanggil kita dengan pendahuluan..”Yang dihormati…atau Yang Berbahagia..” Yang tu naik lagi setakuk.

Bila orang dah panggil kita siap dengan title…masa tu kita dah ada harga. Apa yang kita buat, kena ada nilai harga…tak boleh bagi free.
Kalau ada perempuan minta tolong kat kita suruh cari peguam sebab nak tuntut nafkah batin, kita mesti tolong. Tapi jangan lupa bisik kat dia…”jangan lupa undi aku!”
Kalau kita nak bertanding jawatan dalam parti…kena pastikan orang yang kita tolong tu masuk dalam parti dan jadi pengikut kita. Hangpa tolong bayar yuran dia pun tak pa.

Dan jangan lupa buat janji. Hangpa kena bagi tau, kalau menang nanti apa yang hangpa nak bagi. Hangpa kena cerita apa yang hangpa nak buat bila menang. Jangan risau sama ada hangpa mampu buat ataupun tidak. Dah menang nanti…kita boleh cari macam-macam alasan.

Dalam masa yang sama…jangan lupa bersedekah banyak-banyak. Kalau ada majlis kat masjid, jangan lupa bagi derma, tapi pastikan depa sebut nama kita. Kalau ada majlis-majlis makan malam, kena beli tiket yang paling mahal, dan pastikan kita duduk meja depan.
“Whoit!!! Mana cari duit?”

Inilah masalah utama mengapa ramai yang tak berjaya menjadi “Pemimpin Rakyat”. Ramai yang berkelulusan tinggi, tapi tak tau cari duit.
Don’t worry, dalam sessi ketiga nanti..aku bagi tau.

Guna blogger Israel, tonjol sikap sebenar Najib – Nik Nazmi

(Oleh: Nabihah Hamid)

KUALA LUMPUR: Pengarah Komunikasi KEADILAN, Nik Nazmi Nik Ahmad menyifatkan dakwaan terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang mengupah blogger Amerika pro-Israel, mencerminkan sikap sebenarnya terhadap Islam.
Beliau mengulas laporan Free Malaysia Today semalam mendakwa Najib dan Ketua Menteri Sarawak , Tan Sri Abdul Taib Mahmud menggunakan blogger berkenaan bagi memperbaiki imej masing-masing.
“Jika benar dakwaan tersebut, ini jelas menunjuk sikap sebenar Najib dan Umno yang tidak mementingkan Islam tapi berkepentingan politik,” kata Nik Nazmi ketika dihubungi Keadilandaily.
“Saya minta Najib perjelaskan kerana selama ini mereka lantang dalam perjuangan mempertahankan Islam. Menuduh Pakatan mengunakan agen asing, Yahudi tapi dia (sendiri) yang menggunakan blogger pro-Israel,” katanya.
Sementara itu, Nik Nazmi yang juga Adun Seri Setia mempersoalkan sikap membisu Utusan Malaysia dan Pertubuhan Pribumi Perkasa dalam hal itu.
“Jelas sebelum ini Utusan Malaysia dan Perkasa yang pernah memfitnah Pakatan Rakyat sebagai anti-islam tapi bila isu upah blogger pro-israel ini timbul, mereka diam membisu,” kata Nik Nazmi.
Semalam, sebuah protal Free Malaysia Today melaporkan bahawa Najib dan Taib mengupah sekumpulan blogger Amerika pro-Israel yang dikesan menjalankan kempen memfitnah Islam.
Salah seorang blogger tersebut, Kaleb Howe, sebelum ini pernah membangkitkan kata-kata bersifat kebudak-budakkan di halaman sosial twitter, 23 April tahun lepas dengan memburukkan Islam.
Howe dan pasukannya telah terlibat dalam beberapa kempen yang dilihat sebagai anti-Islam di Twitter mereka, termasuk mempersenda Nabi Muhammad.
Beliau juga dikaitkan dengan Josh Trevino, blogger sayap kanan Amerika di belakang ‘Red State’, blog ‘New Ledger’ dan sebuah syarikat Perhubungan awam bernama Strategik Rogue Services.
Perkhidmatan Rogue didakwa telah bekerja dengan Barisan Nasional (BN) sejak zaman bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=17508

ISU WAHABI DENGAN TERORISME, PEMIMPIN UMNO BERTELAGAH

Lagi pemimpin Umno tak setuju kaitkan Wahabi dengan terorisme

KUALA LUMPUR, 26 Julai — Tindakan melabel kumpulan atau individu tertentu termasuk bekas mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin, yang didakwa mengamalkan Wahabi, dengan aktiviti terorisme hanya akan memecahbelahkan umat Islam negara ini, kata Datuk Saifuddin Abdullah.

Justeru tegas ahli Majilis Tertinggi Umno ini, beliau (gambar) tidak bersetuju dengan tindakan melabelkan orang tertentu sebagai pengamal Wahabi dan kemudian merumuskan mereka sebagai pengganas.

“Saya tidak setuju langkah melabelkan orang tertentu sebagai Wahabi selanjutnya menyebabkan dia dilabelkan sebagai teroris (pengganas).

“Langkah melabelkan ini hanya memecahkanbelahkan umat Islam...dalam Islam ada adab berbeza pendapat, tapi janganlah kerana berbeza pendapat sehingga terbawa-bawa dengan melabelkan seseorang itu sebagai Wahabi atau teroris,” kata beliau yang juga Timbalan Menteri Pengajian Tinggi kepada The Malaysian Insider.

Ia dilihat sebagai pandangan susulan mempertahankan Asri daripada label sedemikian.

Dalam pandangan yang disiarkan menerusi blognya, Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin melahirkan pendirian agar Asri dan mana-mana pihak yang dikaitkan dengan amalan Wahabi atau pengganas diberi peluang membela diri bagi menjelaskan kedudukan mereka.

Khairy menegaskan sebarang maklumat yang telah dibentangkan pada mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) hendaklah diteliti dan dihalusi secara adil dan amatlah tidak wajar sekiranya pihak yang berkenaan bersifat melulu dengan terus menjatuhkan ketetapan atau hukum tanpa usul periksa dan tidak memberikan peluang membela diri.

“Pada masa yang sama, saya ingin menegaskan bahawa daripada pengamatan serta pengalaman saya bertukar pendapat dengan beliau, saya dapati Dr Asri adalah seorang tokoh cendiakawan Islam yang begitu menonjol dengan pemikiran beliau yang bukan sahaja terbuka, moderat bahkan progresif di dalam usaha memajukan ummah serta usaha-usaha dakwah,” kata Khairy.

Laporan media menyebut pihak berkuasa telah mengadakan satu mesyuarat khas bagi membincangkan isu fahaman Wahabi dan aktiviti terorisme semalam.

Difahamkan mesyuarat yang dihadiri para mufti dan agensi agama telah menyenaraikan beberapa nama pemimpin popular negara termasuk tokoh agama muda yang menyertai Umno tahun lalu.

Antara nama itu ialah Asri, yang pernah dikaitkan dengan fahaman Wahabi.

Isu mengaitkan Asri dengan fahaman Wahabi dan pengganas Jemaah Islamiah (JI) muncul awal tahun lalu.

Ketika itu nama Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, bekas menteri besar Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim dan Mufti Perlis Dr Juanda Jaya juga muncul.

Nama tokoh-tokoh itu dilaporkan dibangkitkan pada satu taklimat keselamatan negara berhubung JI di Bukit Aman ketika itu.

Tambah Saifuddin, beliau berharap mana-mana pihak tidak lagi mengaitkan individu tertentu dengan fahaman Wahabi dan aktiviti terorisme kerana ia adalah strategi Barat untuk menentang Islam.

“Kita perlu faham bahawa Wahabi adalah fahaman agama yang diamalkan di Mekah dan Madinah. Adakah bermakna umat Islam Malaysia tidak boleh menunaikan Haji?

“Strategi mengaitkan Islam dengan terorisme adalah strategi Barat, kita menentang terorisme tapi kita tidak perlu menggunakan strategi seperti Barat,” katanya yang juga Ahli Parlimen Temerloh.

Isu Wahabi sekali lagi muncul April lalu apabila seorang pegawai kanan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengesyaki Imam Besar Masjidil Haram Sheikh Dr Abdul Rahman Ibn Abdul Aziz As-Sudais, yang berada di Malaysia, cuba menyuntik fahaman Wahabi di kalangan umat Islam negara ini dengan menggunakan platform “kerajaan dengan kerajaan.”

Saifuddin dalam satu jawapan di Dewan Rakyat pada Jun 2010 pernah menyebut bahawa “saya tidak fikir kita sesuai untuk melabelkan organisasi atau individu tertentu dengan Wahabi dan kerana itu dia ada kaitan dengan terrorism.”

“Ini dengan izin, ‘over stretching the argument’. Oleh sebab itu, saya melihat tidak ada alasan kukuh untuk melibatkan empat orang itu sebagai Wahabi kah, atau terorisme kah,” kata beliau merujuk kepada Asri, Hadi, Juanda dan Shahidan.-tmi

25 Julai 2011

MEMALUKAN KERAJAAN : Majlis Perundingan Media(MPM) GAGAL

Berita Malam

Wakil media arus perdana menyuarakan bantahan keras ke atas cadangan kerajaan untuk menubuhkan Majlis Perundingan Media (MPM) dalam mesyuarat rundingan pertama yang diadakan hari ini.

Seorang daripadanya, Nuraina Samad berkata beliau serta beberapa orang pengarang lain membantah cadangan berkenaan kerana ia dilihat sebagai satu lagi bentuk kawalan ke atas akhbar.


"Mereka kata ianya majlis perundingan tapi sebenarnya majlis ini hanyalah satu lagi bentuk kawalan," kata editor pengurusan dan penulis blog terkenal itu.

Sedangkan media hari ini sudah bergelut dengan dengan soal kredibiliti dan undang-undang sedia ada seperti Akta Penerbitan dan Mesin Cetak, katanya ketika ditemui Malaysiakini selepas mesyuarat tersebut.

Beliau turut mempertikaikan mengapa pegawai kanan perdana menteri perlu hadir di majlis berkenaan sedangkan wakil media dalam talian tidak hadir.

Turut disuarakan dalam mesyuarat berkenaan ialah kegelisahan daripada pengarang akhbar yang bimbang sekiranya cadangan penubuhan majlis berkenaan akan terus menjejaskan persepsi pembaca, katanya.


"Bagaimana majlis ini akan dapat membantu jualan akhbar?" soalnya.

Mesyuarat sulung itu dihadiri antara lainnya pengerusi Bernama Datuk Abdul Rahman Sulaiman, pengarang Kumpulan Berita Harian, Datuk Meor Kamarul Shahid serta wakil pengarang dari akhbar berbahasa Cina -- Kumpulan Sin Chew.

Lapor balik pada kerajaan

Mesyuarat yang dipengerusikan oleh ketua setiausaha kementerian berkenaan, Datuk Seri Kamaruddin Siaraf itu sepatutnya membariskan sekurang-kurangnya 80 orang pengarang kanan daripada organisasi media cetak dan elektronik, mengikut kertas cadangan yang dikemukakan kepada wakil media sebelum ini.

Kamaruddin juga mengakui, pertemuan yang diadakan hari ini merupakan satu "kegagalan" namun beliau gembira kerana pengarang berkenaan tetap menyuarakan pendapat mereka.

Jelasnya, kerajaan bercadang untuk menjalankan perbincangan secara berperingkat-peringkat dan mesyuarat hari ini melibatkan sebahagian besar pengamal media cetak.

"Selepas ini baru kita panggil media baru, tapi dengan media cetak pun sudah gagal... Saya lapor balik kepada kerajaanlah.

"Ini hanya untuk dapatkan maklum balas tapi saya mahu yakinkan bahawa majlis ini bukan untuk mengawal tapi hanya majlis rundingan. Ia tiada kuasa eksekutif," katanya lagi ketika ditemui Malaysiakini di majlis sama.

Jelasnya, idea untuk menubuhkan majlis media telah dibincangkan sejak tahun 1970-an namun sehingga kini tidak berhasil.

"Sebab itulah kita berharap dengan adanya mesyuarat ini, ia akan membuka jalan kepada penubuhan satu majlis media. Kita cuma mahu menolong, lain tak ada.

"Apa yang kita mahu, supaya (media) ada badan pengawal sendiri... Tapi buat masa ini ianya agak sukar. Tiada orang yang mengambil langkah pemula, jadi kita mahu ada perbincangan dahulu," katanya lagi.-mk

SPR U-TURN -AKUI UJUDNYA PENGUNDI HANTU!!

Pengundi hantu: Pengakuan SPR bukti dakwaan Pakatan benar, kata PAS
Oleh Syed Mu’az Syed Putra July 25, 2011
KUALA LUMPUR, 25 Julai — Dewan Pemuda PAS pusat mendakwa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah membuat pusingan-U apabila secara rasmi mengakui wujudnya pengundi hantu dalam daftar pilihan raya.

Exco Dewan Pemuda PAS pusat, Suhaizan Kaiat berkata pengakuan Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar membuktikan segala dakwaan Pakatan Rakyat dan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) selama ini adalah benar.

Bersih 2.0 dalam tuntutannya juga meminta agar SPR membersihkan daftar undi bersama tujuh tuntutan lain termasuk mereformasikan undi pos, gunakan dakwat kekal, akses media yang bebas dan adil, tempoh kempen minimum 21 hari, diperkukuhkan institusi awam, hentikan rasuah dan hentikan politik kotor.

Wan Ahmad semalam dilaporkan berkata, pihaknya tidak pernah menafikan kewujudan “klon” dalam daftar pemilih.

Sehubungan itu, jelas beliau, SPR sentiasa menggesa pengundi agar tampil memeriksa pendaftaran mereka selain mengharapkan kerjasama parti politik untuk membersihkan daftar semasa.

Beliau menjawab persolaan yang ditimbulkan oleh Suhaizan sebelum itu berhubung dakwaan pendaftaran berganda di Baling dan Kuala Nerang.

“Setelah 16 hari Himpunan Bersih 2.0 akhirnya SPR mengaku bahawa terdapat klon kepada kad pengenalan pengundi yang terdapat dalam daftar pemilih sah yang dikeluarkan SPR dan secara tidak langsung Wan Ahmad telah mengaku bahawa pengundi hantu benar-benar wujud.

“Ini merupakan kenyataan pusingan-U SPR mengenai pengundi hantu yang selama ini tidak pernah diakui, malah menuduh Pakatan Rakyat mengada-adakan cerita untuk melunturkan keyakinan rakyat kepada SPR,” kata Suhaizan yang juga Pengerusi Pemulihan Demokrasi dan Mobilisasi Dewan Pemuda PAS pusat.

Jelas beliau, pengakuan Wan Ahmad itu, yang disiarkan satu akhbar tempatan semalam, berkisar pada pendedahan dibuat mengenai seorang wanita yang memiliki dua hak mengundi dan seorang lelaki yang mempunyai dua identiti.

“Mariam Binti Su memiliki dua kad pengenalan berbeza iaitu 720616025472 dan 720610025738 tetapi mempunyai satu nombor kad pengenalan lama yang sama iaitu A2278510 dan dia memiliki dua hak mengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Ketil dan Parlimen Baling,” katanya.

Dia merupakan pemilih berdaftar di lokaliti 016/32/10/003 iaitu Kampung Jawa, Kuala Ketil.

Kata Suhaizan, seorang lagi pemilih bernama Murugan a/l Subramaniam pula dilahirkan pada 02 Oktober 1973 dan memiliki nombor kad pengenalan lama A2909056. Dua identiti Murugan a/l Subramaniam memiliki tarikh lahir, nombor kad pengenalan lama, jantina, lokaliti, daerah mengundi, DUN, Parlimen dan negeri yang sama.

“Hanya empat digit terakhir kad pengenalan iaitu 5201 dan 5877 yang membezakan identiti Murugan Subramaniam. Nombor kad pengenalan pertama Murugan Subramaniam adalah 731002025877 dan kad pengenalan kedua adalah 731002025201,” katanya.

Tegas Suhaizan, dua insiden itu membuktikan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan SPR telah melakukan kesalahan yang besar dan bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

“Kes Mariam Su dan Murugan Subramaniam telah membuktikan dua kesalahan besar yang dilakukan oleh JPN dan SPR iaitu pertamanya JPN telah mengeluarkan satu kad pengenalan lama dimiliki oleh dua identiti, keduanya SPR telah membenarkan seorang pemilih memiliki hak mengundi lebih daripada sekali.

“Prosedur Operasi Standard (SOP) kedua-dua jabatan ini perlu dikaji semula, sistem komputer JPN dan SPR telah menggunakan SOP yang salah,” katanya.

Selama ini SPR telah menafikan sekeras-kerasnya dakwaan wujudnya pengundi hantu yang kerap kali dibangkitkan Pakatan Rakyat.

Sebelum ini dalam beberapa siri pilihan raya kecil Pakatan Rakyat turut membangkitkan isu pengundi hantu namun dinafikan kewujudannya oleh SPR.

Selain itu Pakatan Rakyat juga mendakwa Barisan Nasional (BN) mendaftarkan warga asing sebagai rakyat negara ini melalui operasi “MyDaftar.”

Operasi itu dikatakan mahu menjadikan warga asing sebagai pengundi yang sah bagi memenangkan BN pada pilihan raya umum ke-13.

Kejadian itu dikatakan berlaku di Selangor, Kelantan dan negeri-negeri lain namun dinafikan SPR.

Dalam pada itu Suhaizan juga mengkritik proses pembatalan data bertindan yang didakwa memerlukan proses rumit.

Ini kerana Peraturan-peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihan Raya) 1981 menyatakan daftar yang sedia berkuat kuasa menjadi keterangan prima facie bagi menentukan sama ada seseorang berhak mengundi.

Sehubungan itu, Suhaizan berkata, jika pilihan raya diadakan pada waktu terdekat, ia akan menggunakan daftar pemilih yang diragui.

“Mana-mana parti yang menang dalam pilihan raya ke-13 tetapi mempunyai data-data pemilih yang meragukan mungkin boleh dibatalkan kemenangannya. Ini merupakan sesuatu yang serius bakal akan berlaku.

“Oleh itu Pemuda PAS mendesak agar ditubuhkan suatu suruhanjaya diraja mengkaji sistem perjalanan pilihan raya dalam negara kita yang dilihat bermasalah,” katanya yang juga Ketua Dewan Pemuda PAS Johor.-tmi

AHLI POLITIK tak boleh PAKAI....

Kursus Ahli Politik

Oleh: MSK

Dua tiga minggu ini, aku selalu dipanggil untuk memberikan kuliah politik. Tak tau pasai apa, tiba-tiba saja aku jadi popular. Dan tajuk kuliah yang aku berikan ialah “Bagaimana mahu menjadi politikus yang berjaya”. Nasib baik Fazilah Kamsah tak ajar topik ni.
Selalunya, kalau nak menjadi “Ahli” dalam satu-satu bidang itu, mesti ada penuh ilmu, baru boleh jadi “ahli”. “Ahli agama” perlu ada pengetahuan yang mendalam tentang agama. Sebab itu aku tak cakap pasai agama. Sat lagi orang tanya kat aku, “Apa kelulusan hang? Kalau tak tau…pi tanya ustaz.” Maksudnya, kalau tak ada kelulusan dalam agama…jangan cakap pasai agama.
Aku nak cakap pasai ekonomi, aku bukan ada kelulusan tentang ekonomi. Sat lagi orang tanya aku dapat ijazah dari mana?

Tapi dalam politik ni spesel sikit. Orang yang ada kelulusan dalam sains politik tak jadi ahli politik..tapi jadi pensyarah dan tak mau masuk parti politik…apatah lagi dipanggil ahli politik. Sebaliknya, yang tak ada kelulusan dalam sains politik, cukup bangga bercakap tentang politik.
Dan yang lebih menarik, orang yang bangga dengan gelaran “ahli politik” tak juga berjaya dalam politik!!
Habis siapa yang berjaya?

Pertama sekali, kalau nak jadi ahli politik yang berjaya…jangan sekali-kali menggunakan perkataan “ahli politik.” Tak ada class. “Ahli politik” adalah untuk orang yang gagal dalam politik ataupun yang baru menceburi politik. Inilah keistimewaan politik. Yang tak tau apa-apa dipanggil “Ahli”.

Orang yang paling berjaya dalam politik, tak kira la dia diktator ka, Machiavelli ka, Mahazalim ka…tidak akan menggunakan title “ahli politik”, sebaliknya menggunakan title “Negarawan”. Ini title yang paling class dalam politik.

Bawah sikit dari dari “Negarawan” ialah “Pemimpin Negara”. Tak kisah la hang balun sejuta atau lima ratus juta…tapi hangpa akan tetap dihormati sebagai pemimpin ulung. Tapi jangan sekali-kali menggunakan perkataan “Pemimpin politik”.!!

Mereka yang kurang berjaya menjadi pemimpin politik agung, akan menggunakan title, “Pemimpin Rakyat”. Yang lagi kurang berjaya…akan menggunakan title “Pemimpin Masyarakat”. Jangan sekali-kali menggunakan title politikus!! Sebab orang tak percaya kepada politikus. Ha..ha..ha.
Dan untuk mereka yang belum berjaya…hangpa kena gunakan title yang boleh menarik perhatian. Ustaz ka..Tuan Haji ka…Dan kalau tak ada gelaran…boleh pakai Dr. ka..jangan sekali-kali menggunakan perkataan “Ahli Politik”, walaupun perkataan “Ahli” itu menunjukkan seseorang itu fasih selok belok politik. La ni sapa-sapa pun boleh pakai title Dr.

Habis sapa yang boleh menggunakan perkataan “Ahli Politik”? Sapa-sapa pun boleh menggunakan perkataan “Ahli Politik”… terutama mereka yang tak tau tentang politik. Posmen, Tukang jaga gate keretapi, jual bundle, atau penjual super-gel pun boleh jadi “Ahli Politik”.
Pasai apa orang suka jadi “Ahli Politik”?

Ramai orang menghantar anak-anak depa pi belajar ekonomi…perabih duit puluh ribu untuk mendapat ijazah dan bergelar “Ahli Ekonomi”.
Ada yang perabih duit ratus ribu untuk mendapat ijazah perubatan supaya dapat gelaran “Ahli Perubatan.”

Tapi nak jadi “ahli politik” tak payah dapat ijazah…tak perlu keluar duit ratus ribu!! Dan pulangan yang diperolehi apabila kita berjaya menjadi “Politikus” adalah lumayan dan menghairahkan. Lebih lumayan dari jadi doktor. Tak percaya pi tanya Khir Toyo.

“Ahli Politik” adalah untuk mereka yang gantung bendera, tampal poster, tukang bentang tikar. Cakap pasai skandal, pasai rasuah, pasai penyelewengan cukup terror. Tapi “Dewan Persidangan” depa ialah kedai kopi atau kat markas. Yang ni tak dapat apa-apa…silap-silap duit kita keluar.
Apabila seseorang “Ahli Politik” itu mencapai taraf “Pemimpin Masyarakat”, masa tu hangpa dah boleh hidup mewah. Untuk mencapai taraf “Pemimpin Masyarakat”, yang ni kena jadi Ketua Kampung ka…Ahli Majlis ka…paling rendah jadi JKKK. Masa tu boleh dapat kontrek Kelas F. Cukup la kalau nak tukar kapcai kepada Proton Saga. Masa tu “Dewan Persidangan” ialah di Coffee House atau Restoran.

Bila naik setakuk lagi menjadi “Pemimpin Rakyat”, masa tu boleh pakai Merc atau Camry. Tapi nak jadi “Pemimpin Rakyat” kena jadi ADUN atau Ahli Parlimen dulu. Kalau nasib baik sikit…ADUN boleh jadi EXCO. Yang ni dah boleh pakai derebar. Masa ni…kita tak cakap la projek Kelas F. Kita kena cakap pasai FDI…Pasai MIDA. Kalau masuk pun…fuiyo!! Boleh tanggung empat bini.
Kalau naik setakuk lagi dan jadi Menteri…yang ni dah boleh dipanggil “Pemimpin Negara”. Masa tu kita nak kemana pun, dah boleh minta polis trafik escort kita. Kita nak hadir ke majlis-majlis pun, orang akan arak kita dengan kompang dan bunga manggar.

Itu cuma “pulangan” yang kita perolehi. Macam mana pula “ganjaran” yang akan kita perolehi kalau berjaya menjadi “Politikus” yang berjaya? Whoooo banyak.
Kita tak perlu bayar road tax. Kita tak perlu takut kena saman.

Kita boleh melancung keluar negara tanpa mengeluarkan duit. Cuma buat laporan bahawa percutian kita itu adalah atas urusan rasmi. Yang ni aku boleh panggil Rosie untuk bagi kursus khas.
Lepas tu….kita boleh minta title yang ada class sikit. Datuk ka…Tan Sri ka. Kalau dapat Datuk Seri, lagi best. Masa tu…orang salam dengan kita…depa cium tangan.
Bukan itu saja!! Kalau hangpa lagi terror…boleh dapat Ijazah Kehormat. Orang lain belajar tengah mati, habih duit ratus ribu..kita senang-senang saja dapat gelaran Doktor. Hangpa tak mau ka?
Sebelum mati…hangpa apstikan hangpa mendapat gelaran yang lagi tinggi. Wira Negara ka…Wira Dunia Ketiga ka…Bapa Pembangunan ka…sebagai insuran.
Insuran apa? Supaya bila mati nanti…hangpa akan mendapat Pengkebumian Negara. Spesel whooo…boleh dikebumikan di Makam Pahlawan!! Nak masuk syurga atau neraka tu aku tak boleh gerenti la.
So…sapa-sapa nak jadi “Pemimpin Politik”…boleh ikuti kursus aku seterusnya. Tak perlu SPM 8A atau pun Empat Senawi. Sapa-sapa pun boleh jadi “Pemimpin Politik”.

Tak perlu bayar yuran pengajian puluh ribu semester. Tak perlu pinjam PTPTN. Dan aku juga tak harap hangpa akan bagi apa-apa…sebab aku tau, bila hangpa dah berjaya…aku tak diperlukan lagi.

bersambung….

PSM: 'Kuasa Rakyat' akan bebaskan PSM6

Setelah hilang kepercayaan terhadap sistem keadilan di Malaysia, PSM percaya hanya kuasa rakyat akan menyaksikan rakan-rakan mereka, yang masih ditahan di bawah Ordinan Darurat (EO), mendapatkan kembali kebebasan mereka.

"Kami percaya rakyat akan merupakan satu-satunya kuasa yang
sah untuk membebaskan rakyat kita daripada belenggu sistem yang korup ini," kata setiausaha agung S Arutchelvan (kiri) dalam satu kenyataan.

Enam aktivis PSM, termasuk ahli parlimen Sungai Siput, Dr D Jeyakumar, yang ditahan sejak 24 Jun, masih dalam tahanan di bawah Ordinan Darurat, yang seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), membolehkan penahanan tanpa bicara.

Mereka yang kini dikenali sebagai PSM6 - pada mulanya ditahan bersama 24 orang lain atas dakwaan mahu 'melancarkan perang terhadap Agong', berdasarkan bahan-bahan berhaluan kiri yang ditemui bersama mereka semasa siri jelajah ke seluruh negara.

Apabila mereka dibebaskan daripada pertuduhan itu, Jeyakumar dan lima yang lain, bagaimanapun ditangkap semula di bawah Seksyen 3 (1) EO atas dakwaan mengancam 'ketenteraman awam'.

Arutchelvan berkata memanfaatkan sokongan ramai adalah perlu apabila "undang-undang tidak adil", mahkamah tidak mampu menegakkan keadilan" dan kerajaan menggunakan semua yang ada untuk terus berkuasa.

"Akhirnya keadilan akan terserlah dan pembebasan akan
datang untuk PSM6," katanya sambil menambah pihaknya percaya majoriti orang-orang baik di dalam dan luar negara ini, akan membantu pembebasan rakan-rakannya itu.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada orang ramai di atas sokongan mereka dalam mengekalkan tekanan untuk pembebasan PSM6 melalui protes, nyalaan lilin, surat dan sumbangan.

Arutchelvan juga menghargai sokongan dan perpaduan yang ditunjukkan oleh masyarakat antarabangsa ketika gesaan supaya PSM6 dibebaskan, terus meningkat dan semakin kuat.

Kerajaan BN diperingatkan, cara mereka mengendalikan isu Bersih 2.0

Perbetulkan cara kendali Bersih 2.0

KOTA BHARU, 24 Julai: Kerajaan BN diperingatkan, cara mereka mengendalikan isu Bersih 2.0 dengan terus mengejar para pimpinan Pakatan dan aktivis tidak betul.

"Bahkan mereka mesti berlapang dada dengan mengkaji segala tuntutan dan perjuangan Bersih," kata Ketua Pemuda PAS Kelantan, Abdul Latiff Abdul Rahman dalam satu kenyataannya.

Beliau mengulas tindakan kerajaan BN melalui polis yang terus menerus mengejar pemimpin Pakatan dengan cara mengeluarkan waran tangkap dan sebagainya.

Tindakan begini akan menyebabkan momentum rakyat akan terus meningkat untuk mendapatkan pilihan raya yang bersih dan adil di negara ini.

Dalam kenyataannya, Pemuda PAWS Negeri Kelantan merasakan belum terlambat untuk mengambil kesempatan merakamkan setinggi-tinggi tahniah atas sokongan anak muda terhadap tuntutan Bersih.

Semua lapisan anak muda tanpa mengira bangsa dan agama nampaknya terlalu prihatin dengan transformasi yang diperlukan bagi memastikan pilihanraya berlangsung dengan adil, telus dan bersih.

Tiada rusuhan, tiada harta awam yang dirosakkan dan tidak ada unsur-unsur yang mengancam keselamatan negera kerana mereka hanya berhimpun untuk menuntut pilihanraya yang bersih dan adil.

Bagi mereka, peniaga yang mendakwa mengalami kerugian adalah kerana mereka akur dengan arahan pihak keselamatan dengan menutup premis perniagaan mereka walhal kalau mereka terus berniaga keuntungan berlipat ganda yang akan mereka perolehi kerana akan menerima pelanggan tambahan selain pelanggan biasa.

Bermula dengan Himpunan Bersih 2.0 yang menyaksikan hampir 90 peratus anak muda yang menyertai himpunan tersebut dan diteruskan dengan gerakan pasca Bersih, kata Abdul Latif dalam kenyataannya.

Ia telah dijalankan melalui blog dan facebook yang menyaksikan terbinanya pages tuntutan-tuntutan supaya kerajaan khususnya SPR bertanggungjawab serta menunaikan tuntutan Bersih.

Bahkan, katanya, ada tuntutan supaya Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri meletakkan jawatan kerana melayani peserta Bersih dengan layanan yang "cukup istimewa" sehingga ada yang cedera bahkan ada yang meninggal dunia.

"Tuntutan Bersih yang telah mendapat liputan percuma melalui media yang dikuasai UMNO walaupun dengan pelbagai momokan dan penyertaan NGO nyamuk yang membuat laporan polis di seluruh negara sebenarnya lebih mudah difahami oleh rakyat marhaen," katanya.

"Dewan Pemuda Pas Negeri Kelantan yakin rakyat dan pengundi tertanya-tanya apakah tindakan pihak berkuasa selanjutnya khususnya dalam melayani tuntutan Bersih atau terus mendapat momokan kononnya mengancam keselamatan negara," tambah kenyataan itu.

Sehubungan itu, katanya, Pemuda PAS Kelantan akan terus memastikan anak-anak muda memainkan peranan sewajarnya dalam terus menggerakkan momentum ini samada dengan memberi penjelasan dan penerangan ke seluruh negeri bahawa tuntutan ini adalah murni dan suci bersih bagi menyelamatkan negara yang tercinta.

Dalam pada itu, mereka juga sekali lagi mendesak agar semua tahanan dibebaskan bahkan segala pendakwaan juga mestilah digugurkan dalam masa yang sama memberi kebebasan kepada semua media untuk mengetengahkan isu-isu yang menjadi hak rakyat bukan seperti apa yang menimpa majalah Economist.

"Bagi Pemuda PAS Kelantan momentum kebangkitan anak muda ini akan berterusan khususnya jika tiada apa-apa perkembangan positif pihak berkuasa terhadap tuntutan transformasi perjalanan pilihanraya.
"Dewan Pemuda PAS Kelantan yakin Bersih 3.0 akan terlaksana kerana ianya sudah mendapat lampu hijau Al-Mursyidul Am Pas Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat atau PRU13 adalah Bersih 3.0 kerana anak muda @ pengundi muda akan membersihkan kerajaan yang kotor dan membersihkan kepincangan SPR," katanya -HARAKAHDAILY

DAH NAK MATI, BARU NAK BERUBAH..MALAYSIAKU

Menunggu perubahan yang tak kunjung tiba - AMANAH terpaksa menggerak langkah

Pelancaran Angkatan Amanah Merdeka (AMANAH) semalam merupakan satu pengisytiharan bagi kita melakukan perubahan kepada susur galur perjalanan kearah mencapai masyarakat dan rakyat yang berpadu, satu-satunya perjuangan yang diusahakan oleh pimpinan kita yang terdahulu khususnya perjuangan YTM Tunku Abdul Rahman dan sahabat-sahabat pemimpin seperti Tun Tan Cheng Lok, Tun Sambanthan dan yang lain-lain yang bersama-sama membentuk Persekutuan Malaysia dari Sabah dan Sarawak.

Bagi sesiapa yang mengamati matlamat AMANAH ianya merupakan perjuangan dan usaha untuk membina hanya satu matlamat iaitu perpaduan di antara semua kaum yang telah berpecah belah kerana dipecah belahkan oleh pemimpin-pemimpin politik yang terdesak untuk mendapat sokongan. Jika kita telek dan kaji dengan serius sebenarnya perjuangan pemimpin kita terdahulu hanyalah satu, iaitu perpaduan kaum yang hakiki.

Jika perpaduan kaum yang hakiki itu tercapai maka mudah bagi siapa yang memimpin untuk membina negara dalam semua bidang, samada politik, ekonomi, sosial dan apa-apa yang diperlukan untuk kehidupan rakyat berbilang kaum. Semuanya ini telah hampir tercapai tetapi sejak hampir 3 dekad dahulu apabila kita dipimpin oleh pemimpin-pemimpin yang tidak mempunyai nilai sebagai pemimpin yang sesuai dengan keadaan negara kita, maka keadaan beransur-ansur mengalami perpecahan mengikut sentimen perkauman yang menebal.

Kemerdekaan dicapai dengan perpaduan di antara semua kaum. Jika tidak ada perpaduan kemerdekaan berkemungkinan tidak akan tercapai. Tetapi dengan ketelusan dan kejujuran bapa-kemerdekaan kita bersama rakan-rakan seperjuangan dari semua kaum kita telah berjaya membina dengan kukuh asas yang terpenting sebelum negara mengisytiharkan kemerdekaan itu.

Ini sahaja sepatutnya di sedari oleh semua pihak yang perpaduan di antara kaum itu merupakan perkara terpenting dan usaha yang pertama untuk dijayakan sebelum apa-apa perancangan boleh di laksanakan. Kita boleh menggubal apa sahaja dasar yang molek-molek, tetapi jika perpaduan di antara kaum itu tidak wujud segala dasar tidak akan mencapai kejayaan.

Walaupun dasar itu hanya untuk kepentingan pembangunan bagi hanya satu bangsa ianya tidak juga akan berjaya tanpa persetujuan dan restu kaum-kaum yang lain di negara ini. Contohnya DEB yang digubal untuk kepentingan Bumiputra bagi membolehkan kaum Bumiputra berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dahulu pun hanya di lancarkan dengan persetujuan kaum-kaum yang lain di dalam negara kita.

Itulah sebabnya BN telah mencapai kejayaan untuk mendapatkan sokongan bulat dari semua rakyat berbilang kaum. DAN itu pun sebabnya kehadziran wakil-wakil pembangkang di dalam dewan-dewan lagislatif kita boleh di kira sebagai ‘insignificant’. Walaupun dasar itu ialah khas untuk Bumiputra tetapi pimpinan besar kita telah berjaya mendapatkan sokongan dari pimpinan kaum-kaum lain dan mereka bersama-sama memberikan sokongan terhadap dasar yang murni itu.

Semua kaum bersetuju merapatkan jurang berbezaan ekonomi di antara kaum itu akan membawa negara kearah huru-hara dan kepincangan yang akan merugikan negara keseluruhannya pada masa depan. Semuanya ini merupakan ‘wisdom’ yang ketara yang ada kepada pemimpin kita khususnya kapada YTM Tunku Abdul Rahman, Tun Razak dan Tun Husein. Nama-nama ini merupakan pemimpin-pemimpin yang berkorban dengan jiwa dan raga mereka tanpa memikirkan kekayaan dan harta yang menimbun untuk keluarga dan sanak saudara mereka.

Tetapi pemimpin selepas era itu tidak berjaya untuk menandingi kesabaran dan pengorbanan mereka , kerana selepas itu pemimpin sudah mula mengendung sekali nafsu untuk membina kekayaan mereka di samping membangunkan negara. Apabila pemimpin sudah ada kepentingan peribadi bermulalah kehilangan kepada nilai dan kualiti kepimpinan kita.

Jika pemimpin seperti Tunku, Razak dan Husein bersara dengan tiada apa-apa kekayaan yang dihimpunkannya pimpinan selepas itu lain pula keadaannya. Pemimpin selepas itu tidak lagi mahu menaiki penerbangan komersial tetapi terbang antara dunia dengan jet-jet eksekutif dan mewarisi kekayaan yang berbillion untuk anak-anak dan menantu mereka.

Di sinilah bermulanya kejatuhan nilai dan moral kepimpinan dan mengasuh rakyat untuk menjadi rakyat yang materialistik dan membiarkan harta kekayaan di kumpulkan dengan apa cara sekalipun waimma dengan rasuah dan salah guna kuasa yang tidak terkawal. Hasilnya kita sedang sama merasakannya sekarang. Politik tidak lagi mampu untuk membina perpaduan rakyat dan pengagihan kekayaan secara ‘equitable’ tetapi telah meruntuhkan segala institusi penting negara kita sehingga memusnahkan segala sistem unggul yang dibina oleh bapa kemerdekaan dan pimpinan kita yang terdahulu.

Rakyat berpecah belah, perhubungan di antara kaum merupakan zaman yang paling rendah, imej negara pada pandangan masyarakat antarabangsa kita merudum dan pelabur-pelabur asing lebih selesa untuk melabur di negara-negara jiran kita. Negara kita ketinggalan di belakang negara Indonesia, Thailand, serta Vietnam. Semuanya berada di dalam keadaan carca marba dan laungan pimpina kita dengan program transformasi politik dan ekonomi itu hanya tinggal sebagai laungan kosong semata-mata. Masalah yang kita sedang hadapi tidak kebah-kebah sehingga hari ini.

Sekarang ini ramai di antara pemimpin telah di letakan di tempat yang tidak sesuai dengan kemampuan masing-masing kerana ketandusan kepimpinan. Pemimpin utama kita tidak dapat penghormatan masyarakat antarabangsa kerana di zaman teknoloji tanpa sempadan ini semua apa yang berlaku di negara kita di ikuti oleh semua pemimpin dan masyarakat antarabangsa.

Keadaan ini semakin hari kian bertambah ketara. Perbalahan di antara kaum semakin meruncing. Keadaan ini telah diperhatikan oleh pihak yang dikatakan sebagai ‘the silent majority’ yang selama ini tidak bertindak apa-apa kerana mengharapkan keadaan akan bertambah baik dengan kecerdasan kepimpinan dan kesejukan jiwa pemimpin yang dipertanggungjawabkan. Tetapi keadaan tidak juga bertambah baik malahan bertambah merbahaya. Kumpulan ini tidak lagi rela melihat perpecahan dan perbalahan ini yang akan membawa keruntuhan kepada semua yang telah di asaskan oleh pemimpin kemerdekaan kita.

Justru tertubuhlah apa yang di namakan AMANAH (Angkatan Amanah Merdeka) dengan matlamat membawa kembali rakyat berbilang kaum untuk bersatu seperti yang pernah kita alami dahulu. Amanah mahu bertindak dan melakukan apa yang telah dipandu dan diperjuangkan oleh YTM Tunku Abdul Rahman, Bapa Kemerdekaan kita dan rakan-rakan pemimpin berbilang kaum yang telah membawa kepada pencapaian kemerdekaan dahulu.

Inilah yang akan diperjuangkan oleh Angkatan Amanah Kemerdekaan (AMANAH), badan NGO yang di lancarkan oleh Tengku Razaleigh Hamzah semalam bersama-sama dengan pemimpin-pemimpin yang mewakili berbilang kaum di negara ini. AMANAH akan melaksanakan matlamat dan tujuan ini dengan meminta semua kaum yang selama ini berdiam diri untuk keluar menunjukan kemahuan kita yang tidak mahu lagi melihat perpecahan ini berterusan.

Sebagai sebuah pertubuhan yang ‘non-political’ AMANAH akan menjelajah ke seluruh negara untuk mengingati kembali amanah kemerdekaan yang telah di tinggalkan oleh pimpinan terdahulu kepada kita semua. Ini negara kita dan ini hak kita untuk hidup tanpa menggunakan isu-isu rasis yang tidak menguntungkan mana-mana pihak malahan membawa kerugian kepada kita semua.

Kita perlu ingat kita telah merdeka dan kita mesti hidup dalam keadaan merdeka, yang tidak terkongkong dengan isu perkauman yang sempit. Kita mempunyai jiran-jiran yang berbilang kaum. Kita tidak rela berperang dengan jiran-jiran kita. Kita hendak hidup dalam harmonis dalam parameter slogan Muhibbah yang pernah menjadi slogan hidup rakyat berbilang kaum.

Dalam ucapan Tengku Razaleigh semalam, beliau telah mengingatkan kembali kata-kata Tunku Abdul Rahman Putra yang sangat mudah tetapi bertenaga sebagai seorang pemimpin yang penuh dengan ‘magnanimity’ dan ‘finesse’ beliau yang tinggi.

Di antara kata-kata YTM Tunku ialah “kalau kita hendak bersatu dalam satu keluarga yang besar, dan hidup di bawah satu bumbung bernama Malaysia kita mesti jujur di antara satu dengan yang lain – Melayu, Cina, India, Dayak, Kadazan, Siam dan yang lain – Muslim, Buddha, Hindu Christian dan lain-lain. Kalau kita jujur kita tidak boleh berkata-kata yang akan menyakitkan di antara satu dan yang lain. Kita tidak boleh melakukan perkara yang akan menyentuh perasaan satu dengan lain. Sebagai ahli keluarga yang besar kita mesti membantu di antara satu dengan yang lain. Yang kaya mesti membantu yang miskin dan yang berjaya mesti membantu yang tidak berkesempatan. Barulah kita menjadi rakyat dan negara yang bersatu. Maka kita akan di hormati oleh dunia…”

Elemen ini lah yang menjadikan kita bersatu dahulu dan dengan kehilangan elemen-elemen bernilai ini lah juga sebabnya kenapa kita sudah sampai keperingkat merbahaya di dalam perhubungan ‘intra-kaum’ dan ‘inter-kaum’ di negara ini.

AMANAH lah yang telah menawarkan untuk mengisi ‘vacuum’ yang terlalu luas sekarang ini AMANAH akan membawa seramai mana rakyat berbilang kaum untuk menujukan bukti yang kita serius untuk memberitahu rakyat yang perpaduan semua pihak itu amat penting jika kita mahu melihat negara kita menjadi sebuah negara yang kukuh dalam semua bidang dan dihormati oleh semua pihak di dalam masyarakat antarabangsa.

Seperkara yang hakiki, pihak AMANAH tidak akan memaksa sesiapa untuk menyertainya kerana badan ini yakin yang apa yang kita harapkan selama ini akan secara lojiknya mampu dicapai jika mendapat sambutan dari setiap peringkat rakyat yang cintakan negara.

Penyertaan beramai-ramai itu akan menjadi kaedah yang paling sesuai secara relatifnya bagi melaksanakan amanah merdeka yang kita warisi kini. Kita mesti merobohkan jurang yang memisahkan kita sesama kita yang di cipta dan digalakan oleh pemimpin setengah pihak yang sedang berusaha untuk membina sikap ‘communalistic’ di antara kita.

Kita masih belum terlambat untuk memperbaiki keadaan buruk ini. Bak kata Tengku Razaleigh kita tidak boleh lagi tertunggu-tunggu , maka kita terpaksa melakukan langkah awalnya sekarang.

It’s better late than never.-Aspanaliasnet

24 Julai 2011

IDEAS : Kenapa Hendak Membazir Kalau Boleh Guna Dakwat Kekal?


SHAH ALAM 24 JULAI : Jika ada yang lebih mudah dan murah mengapa perlu memperuntukkan kos yang tinggi walaupun kesannya boleh dipertikai.

Itu persoalan yang dibangkitkan oleh Ketua Eksekutif Institut Demokrasi dan Urusan Ekonomi (IDEAS), Wan Saiful Wan Jan ekoran tindakan kerajaan bersetuju memberi peruntukan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi tujuan mewujudkan sistem biometrik dalam pilihan raya di negara ini.

" Ada cara yang lebih mudah untuk menyelesaikan masalah tetapi kita pula mencari jalan yang rumit dan amat mahal.

" Saya pun tidak faham kenapa bila kita ada yang lebih murah dan lebuh mudah iaitu pakai dakwat kekal, yang jauh lebih murah daripada biometrik, kita hendak guna teknologi yang harganya berkali ganda dan kesannya masih boleh dipertikaikan,"katanya kepada Tv Selangor.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak semalam mengumumkan bahawa kerajaan akan memperuntukkan sejumlah dana bagi membiayai sistem biometrik yang mungkin dilaksanakan pada pilihan raya umum ke-13.

Namun seperti mahu menyindir tuntutan rakyat dan gagasan pembangkang yang mendokong perjuangan Bersih 2.0 menuntut pilihan raya adil dan bersih dilaksanakan di negara ini, Najib mendakwa Malaysia terpaksa mendahului negara maju dalam menyediakan sistem ini untuk kepuasan rakyat.

"Kalau nak buat penambahbaikan kita akan buat. Kita akan buat yang terbaik(menggunakan biometrik bagi memastikan pilihan raya yang adil dan bersih)walaupun negara-negara maju pun tak buat," Najib dipetik sebagai berkata.

Malah Najib juga mendakwa bahawa Pakatan Rakyat sengaja membangkitkan isu pilihan raya yang bersih di negara ini ekoran kekalahan parti itu dalam beberapa pilihan raya kecil mutakhir ini di tangan kerajaan.

"Di peringkat nasional, kita (Barisan Nasional-BN) ada masa dapat undi banyak ada masa undi sikit. Tetapi majoriti masih di tangan kita. Kalau kita boleh jamin kita boleh menang, takdelah menteri kalah (pilihan raya) dan ada negeri kalah," katanya lagi.

Hakikatnya menurut Wan Saiful, tuntutan untuk sebuah pilihan raya yang adil bukanlah satu perkara baru. Malah ia adalah tuntutan tidak berkesudahan rakyat yang terus dinafikan sehingga ke hari ini.

" Saya rasa ada manfaat jelas kepada kerajaan kalau mereka mendakwa isu ini baru ditimbulkan supaya kita terlupa bahawa isu ini telah lama ditimbulkan pada awal 90-an dan mungkin awal daripada itu. Malah ketika Umno dibubarkan dulu pun, ia berpunca daripada sistem pengundian,"tegas Wan Saiful.

" Tapi saya boleh faham sekiranya saya berada di dalam kasut ahli-ahli politik di sebelah pemerintah sekarang, pasti yang saya hendak buat ialah mendakwa ini perkara yang sengaja ditimbulkan oleh pembangkang. Saya akan kata pembangkang cuba mengeksploitasi perkara yang ditimbulkan,"katanya lagi.

Kenyataan Najib itu senada dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang selama ini bermati-matian mendakwa mereka sebagai badan bebas dan telus dalam menjalankan tanggungjawab walaupun terdapat bukti berlakunya masalah seperti pengundi hantu, rasuah berleluasa dan sebagainya.

Tambah menghairankan, apabila sebuah agensi yang mendakwa mereka menjalankan amanah dengan baik menolak apabila rakyat memberi cadangan penambahbaikan seperti yang diutarakan oleh gabungan 62 badan bukan kerajaan dalam Bersih.

Sebaliknya SPR melabelkan pembangkang dan Bersih 2.0 mempunyai agenda tertentu di sebalik tuntutan yang dibuat.-tvs

Pakatan Rakyat: Merangkak Dalam Lumpur

Hebat sungguh gagasan yang telah digarapkan oleh tiga buah parti politik PKR, PAS dan DAP melalui gabungannya yang dikenali sebagai Barisan Alternatif yang kemudiannya ditukar kepada PAKATAN RAKYAT. Dibentuk menjelang pilihan raya umum tahun 1999, Pakatan Rakyat menggariskan beberapa matlamat dasar antaranya memberikan komitmen pembentukan pemerintahan yang telus dan berintegriti dalam pentadbiran. Menzahirkan pemerintahan yang adil lagi berwibawa. Tahniah..!! Hebat sekali wacana minda pemikir-pemikir bangsawan pimpinan Pakatan Rakyat yang bersidang untuk menggarapkan wawasan tersebut.

Setelah diberi nafas baru selepas pembebasan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (sekarang Ketua Umum), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang didapati tidak bersalah daripada tuduhan jenayah pada 2 September 2004, Pakatan Rakyat menjadi semakin gagah dan bersemangat.

Pilihan raya umum Mac 2008 menyaksikan kebangkitan mendadak Pakatan Rakyat apabila gabungan tiga parti itu telah berjaya menafikan majoriti 2/3 suara Barisan Nasional di Dewan Rakyat. Malahan Pakatan Rakyat telah berjaya membentuk kerajaan negeri di Selangor, Perak (kemudiannya dicerobohi oleh UMNO), Pulau Pinang dan Kedah, manakala Kelantan terus mengekalkan pentadbiran kerajaan PAS. Pakatan Rakyat juga telah berjaya dengan cemerlangnya di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Selesai pilihan raya umum 2008 maka ramailah pemimpin Pakatan Rakyat, Keadilan khasnya yang dulunya lantang bersuara mengkritik cara pemerintahan/pentadbiran kerajaan Barisan Nasional telah bertukar daripada menjadi Wakil Rakyat kepada 'Wakil Kerajaan'. Suara mereka tidak lagi sehebat semasa mereka belum bergelar YB. Kelibat mereka tidak lagi mudah dilihat dibandingkan semasa mereka belum duduk di Dewan Undangan Negeri atau Dewan Rakyat. (Mungkin mereka benar-benar sibuk menguruskan agenda negeri dan negara.

Selang beberapa minggu selepas pembentukkan kerajaan negeri di negeri-negeri yang dikuasai oleh Pakatan Rakyat, Selangor khasnya, maka semakin ramai pemimpin Pakatan Rakyat peringkat pertengahan di daerah-daerah yang semakin sukar untuk ditemui. Mereka menjadi semakin "sibuk" lantaran dilantik menjadi Ahli Majlis Mesyuarat Majlis-Majlis Daerah/Perbandaran/Bandaraya.

Pemimpin-pemimpin ini yang dulunya bertindak sebagai "Wakil Rakyat" yang menyampaikan suara rakyat, yang sanggup berhujan dan berpanas bersama rakyat, yang menentang dengan lantang, keras dan bersemangat isu-isu berkaitan penindasan terhadap rakyat telah bertukar wajah. Suara mereka menjadi semakin lunak tetapi meloyakan. Mereka lebih kerap berbincang tetapi tidak lagi dengan rakyat dijalanan, desa atau kampung. Mereka berdiskusi di dewan-dewan besar dengan hidangan mewah. Mereka bermesyuarat tidak lagi di restoran-restoran atau balairaya tetapi di Dewan Majlis Perbandaran, Dewan Undangan Negeri dan Dewan Negara atau setidak-tidaknya di lobi-lobi hotel 5 Bintang. Kemeja T menjadikan badan mereka gatal dan melekit. Mereka 'terpaksa' berkemeja panjang dengan kot berjenama.

Mereka bukan ahli korporat tetapi gaya mereka menggalahkan CEO konglomerat. Mereka semakin kekok dan tidak selesa dengan Proton Wira, Dutsun 130Y apatah lagi kacil 850. Mereka telah maju dan mula berjalan laju. Justera berjalan terlalu laju, mereka terlupa memandang dan menghulur jabat kepada rakyat yang dahulunya sahabat. Mungkin mereka tergesa untuk urusan rakyat. Teruskan. Semoga urusan dapat diselesai dan masalah terurai.

Pakatan Rakyat Lalai

Sebelum Mac 2008 mereka menjelajah serata desa dan kampong bertemu Pak Long dan Mak Long, kakak, adik dan abang demi menyampaikan hasrat murni untuk membantu. Mereka berikrar dengan seribu janji. Mereka menabur seribu harapan. Mereka membisikkan sejuta impian. Semuanya sampai kerana mereka berkehendak dan bersungguh untuk menyampaikan. Maka ketahuilah sekalian rakyat di kampung, desa dan lurah. Pakatan Rakyat ingin memerintah. Pakatan Rakyat ingin memerintah dengan adil, telus lagi bijaksana. Hebat gerak kerjanya. Warga desa, kampung dan lurah gembira. Gembira diberi harapan baru. Gembira menunggu sinar Malaysia Baru. Mereka gembira bukan kerana mereka dapat. Mereka gembira bukan kerana mereka merasainya. TETAPI..!! Mereka gembira kerana mereka tahu. Mereka tahu kerana mereka diberitahu. Mereka diberitahu kerana ada pemimpin yang sampai kepada mereka untuk memberitahu.

Sekarang pemimpin-pemimpin itu telah "terlalu" sibuk. Busy. Banyak urusan. Banyak mesyuarat. Banyak majlis rasmi. Banyak temujanji. Banyak mengkaji. Banyak... Banyak.. Banyak... Sehingga mereka tiada masa lagi untuk memberitahu kepada Pak Long dan Mak Long, kakak, adik dan abang segala hasrat murni mereka untuk membantu. Maka sekalian rakyat di desa, kampung dan lurahpun tidaklah tahu. Rakyat tidak tahu apakah janji terlaksana. Rakyat tidak tahu apakah harapan akan bercahaya. Rakyat tidak tahu apa yang sebenarnya berlaku.

Lantaran tidak tahu, rakyat terpaksa mencari untuk tahu. Mereka tidak lagi mencari rakyat. Rakyat terpaksa mencari mereka. Tidak mudah. Tidak mudah untuk rakyat bertemu mereka. Mereka sibuk. Mereka berjalan laju. Mereka kerap bermesyuarat.

Justeru terlalu sukar untuk bertemu. Rakyat mencari jalan pintas. Rakyat lebih mudah bertemu kedai yang menjual Utusan Malaysia, Berita Harian, The Star dan Straits Times. Rakyat lebih mudah dan terhibur dengan alunan lunak bicara dusta daripada TV3, RTM dan koloninya. Ya!! di situ ada khabar beritanya. Di situ mereka dibisikkan dengan seribu cerita. Enak dan lucu. Benar dan tahyol. Semua dikunyah lumat, dihadam dan ditelan. Mereka telan semua termasuk keladak dan hampasnya.
MALAYSIA'S Economy To Shrink

Pakatan Rakyat masih bersenda dengan blog dan web. Blog dan web ramai pengunjungnya. Beribu, malahan puluhan ribu setiap hari. Bangganya Pakatan Rakyat dengan beratus blogger yang menitipkan bicara manis halwa minda setiap pembaca. Mereka lupa. Mereka alpa. Mereka terlepas pandang. Siapa sebenarnya pengunjung blog dan laman web. Pak Long dan Mak Long, kakak, adik dan abang di desa, kampung dan lurah yang dulunya dikunjungi, mereka tidak tercapai nikmat berinternet. Bukan mereka rabun, tidak juga pekak. Mereka terbatas capaiannya. Hidangan yang ada dan mudah dihadam hanya akhbar-akhbar hamprak yang penuh dengan sampah perencat minda.
Pakatan Rakyat, bangunlah. Sedarlah bahawa komunikasi kalian terbatas. Jasa dan budi kalian mungkin rakyat nikmati tetapi tidak dirasai. Mereka tidak terkesan akan janji-janji yang tertunai (kalau ianya ditunaikan).

Berbeda dengan UMNO/BN, titi yang mereka buat, jambatan yang mereka war-warkan. Baja yang mereka beri, ladang yang mereka umumkan. Pensil yang mereka beri, sekolah yang mereka momokkan. Mereka punyai segala sumber komunikasi yang sasarannya mengena tepat kepada targetnya. Mereka ingin mengulit rakyat di desa, kampung dan lurah, dan target mereka tepat. Utusan Malaysia, TV3 dan sekutunya membantu sasaran mereka. Malahan, tidak cukup dengan itu, RM200 yang mereka beri, undi yang mereka nikmati.


Bangkitlah Pakatan Rakyat, Keadilan khasnya. Sedarlah kita masih lagi merangkak dalam lumpur. Jangan ditunggu penggumuman pembubaran DUN dan Parlimen atau kematian wakil rakyat baru kalian terhegih-hegih mencari Pak Long dan Mak Long, kakak, adik dan abang di kampong dan desa. Ketika itu, masanya sudah terlewat.

Salaam Takzim
Sofi. Kerajaan Rakyat

GEMPAR: DIPLOMAT KESATUAN EROPAH(EU) AKAN PANTAU PRU13

Diplomat: EU timbang hantar badan pemantau, SPR tidak wibawa

KUALA LUMPUR, 24 Julai — Meskipun Putrajaya terus mempertahankan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), diplomat-diplomat Kesatuan Eropah (EU) sedang mempertimbangkan cadangan untuk menghantar kumpulan pemerhati ke Malaysia ketika pilihan raya umum ke-13 selepas mendapati agensi pengendali pilihan raya itu bukan sebuah badan yang berwibawa.
Pendirian itu dibuat susulan satu taklimat diberikan oleh suruhanjaya itu baru-baru ini.

Pilihan raya umum ke-13 disebut-sebut akan diadakan dalam waktu terdekat.

Beberapa diplomat memberitahu The Malaysian Insider, taklimat Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof beberapa minggu sebelum perhimpunan Bersih 2.0 tidak meyakinkan mereka tentang kedudukannya sebagai sebuah badan berkecuali dengan terus mengatakan mereka sebahagian daripada kerajaan.

“Mereka tidak berwibawa. Abdul Aziz asyik mengulangi ‘kami’ dan ‘kita’ dalam kerajaan ketika taklimat,” kata seorang diplomat EU kepada The Malaysian Insider.

Abdul Aziz merupakan bekas ketua setiausaha Kementerian Dalam Negeri sebelum dilantik mengetuai SPR bermula 31 Disember 2008 selepas kontraknya berakhir.

Seorang diplomat dari satu lagi negara EU mengesahkan taklimat itu dan rumusan yang mereka putuskan.

Malaysia mengadakan pilihan raya umum ke-12 pada Mac 2008.

“(Langkah) itu sensitif tetapi kami sedang memikirkan untuk mengesyorkan pasukan pemerhati agar boleh memantau pilihan raya umum akan datang,” kata beliau dengan merujuk kepada misi pemantau Komanwel yang datang ketika pilihan raya umum 1990.

Pilihan raya umum 1990 merupakan yang pertama sejak krisis Umno 1986/1987 dan turut membawa kepada penubuhan Parti Melayu Semangat 46 (S46) pimpinan Tengku Razaleigh Hamzah dan kewujudan perikatan pembangkang.

Kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak menjemput pasukan pemantau sejak itu dan enggan mendedahkan kepada umum laporan misi itu.

Terdapat beberapa badan pemantau pilihan raya tempatan tetapi menerima kerjasama yang kecil daripada SPR.

Seorang diplomat berkata mereka juga telah mengadakan pertemuan dengan pemimpin-pemimpin Bersih 2.0 untuk mendapatkan taklimat mengenai lapan tuntutan mereka.

“Kami ada satu taklimat yang diberikan oleh pengerusi Bersih 2.0 Datuk Ambiga Sreenevasan mengenai perjuangan mereka,” katanya tetapi enggan memberi butiran spesifik mengenai hasil pertemuan itu.

Bersih 2.0 mengadakan perhimpunan pada 9 Julai lalu berkaitan lapan tuntutan pembaharuan sistem pilihan raya.

Walaupun dihalang dan disekat pihak berkuasa termasuk memutuskan Bersih 2.0 sebagai sebuah pertubuhan haram, penganjur mendakwa telah berjaya menghimpunkan 50,000 orang. Tetapi polis menafikan jumlah itu dengan berkata hanya 6,000 orang hadir. -tmi
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...