31 Oktober 2010

Aik..!! Nampaknya ada pemimpin GLC Kedah dah jadi Kaduk Naik Junjung

Aik..!! Nampaknya ada pemimpin GLC Kedah dah jadi Kaduk Naik Junjung

Pemimpin-pemimpin GLC - Tindak tanduk Saudara Memberi Kesan Secara Langsung Kepada Kerajaan Kenapa saya memilih membuat komen secara terbuka di blog? Apa sudah tak ada cara lain???? Ada, tapi lama-lama ada yang tak makan teguran lagi... lupa diri. Ada pimpinan GLC yang dilantik selepas Mac 2008 semacam terlupa dia berada di sana kerana penat lelah Pak Leman, Sudin, Leha, Mat Piah, Usop, Useng, Awang dan ramai lagi yang telah pergi, sejak puluhan tahun dalam PAS. Parti diperkasakan hingga menang, walaupun diri daif-sedaifnya. Bila menang, dia hanya senyum puas mengharapkan balasan baik dari Allah di akhirat. Dia serahkan amanah memakmurkan negeri dan rakyat kepada pemimpin. Pemimpin yang menggalas amanah ahli parti dan rakyatpun kena mencari tenaga yang ada kemahiran untuk mentadbir negeri, termasuk pakar-pakar untuk memajukan GLC, selain pegawai-pegawai yang sedia ada.
.
Harapan orang ramai ialah kita melaksanakan keadilan, menentang kezaliman, membenteras penyelewengan, menolak kerakusan, menggantikan budaya mandom dengan sikap cergas, mendorong pembangunan rakyat, membantu - bukan menindas, menolong - bukan mencantas, jujur dan ikhlas. Baik sewaktu berurusan dengan pejabat dan agensi kerajaan, maupun berurusan dengan GLC - semuanya memberi kesan kepada prestasi kerajaan. Orang politiklah yang menerima kesan daripada sikap pegawai di jabatan atau GLC- kalau tak baik, buruklah ia.
.
Jika ada yang rakyat tak puas, mereka akan mengadu kepada pemimpin politik yang mereka lantik, yang mereka angkat ke posisi itu dan mereka kenal. Macam-macam cara rakyat menyampaikan hasrat. Orang seperti saya dan kawan-kawan di pejabat MB, ADUN-ADUN dan exco-excolah yang jadi perantara...lubuk mencurah masalah, aduan dan komplen. Mendengar dan menasihat adalah tugas saya... sudahnya saya harus sampaikan kepada pihak yang ditegur dengan pelbagai cara..ada yang direct, ada indirect, ada lembut ada keras. Ini semua untuk memastikan kepercayaan rakyat kepada parti yang membentuk kerajaan tidak hilang dan lupus. Kepercayaan inilah resepi menang dan mengekalkan kemenangan. Bukan wang atau projek, tapi kepercayaan. Bila orang mula tidak percaya, bahasa kecewa mereka tidak mudah terhenti.
.
Tapi ada orang tak suka dengan teguran. Ada pemimpin GLC yang ditegur, membalas melalui perantara - sampai ke telinga saya - "Habaq kat dia jangan dok kacau GLC, dia jaga politik sudahlah... dia tu Setiausaha Politik, bukan jaga GLC pun, kerja dia tak ada kena mengena dengan kita!" Lebih kurang begitu mafhumnya pimpinan GLC itu. Tidak cukup dengan itu, gara-gara tidak dapat menerima teguran, dia mengadu kepada kawan lamanya yang mengenali saya supaya kawannya itu berjumpa bos saya dan meminta saya diberhentikan - alasannya - saya tidak membela pegawai sepertinya bila menerima aduan orang ramai.
.
Apa yang menyebabkan dia ditegur, dan bagaimana saya menegur? Berat tangan menulis, berat lagi amanah digalas. Siapa saja yang berurusan dengan pimpinan GLC itu akan berakhir dengan masalah. Sejak dua tahun lebih, belum ada satupun projek 'dibawah tangannya' yang beroperasi dengan sempurna. Ada satu projek berakhir dengan aduan salah laku...orang datang mengadu siap dengan dokumen dan gambar. Kalau saya tak selesaikan, mereka akan mengadu kepada pihak berkuasa. Mereka tidak menuduh dia menyeleweng, tapi rakan kongsi yang dipilihnya mungkin salah urus, tidak jujur kepadanya yang tiada pengalaman dalam urusan itu. Ada juga yang datang mengadu dia suka mencantas hasil usaha orang untuk jadikan hasil usahanya, gara-gara dia tak pandai memulakan usaha. Apa saja yang lintas didepannya, dia akan 'sebat'. Bila orang asal itu terpinggir, projek itu juga terhenti. Sebab itulah, syarikat yang dipimpinnya tidak produktif sejak dua tahun lalu. Pembantu-pembantunya juga tiada pengalaman, dan ada orang dakwa belagak dan sombong, tapi kerja tak jalan.
.
Sayapun memanggilnya meminta penjelasan. Mohon diselesaikan dengan baik, adakan perbincangan, jangan ada yang teraniaya, biar orang selesa berurusan dengan kita, saya minta dia jawab fakta kes yang dibentangkan. Katanya kepada saya... 'depa tu yang tak betoi, bapak **** pun saya tak heran, biarlah depa pi mengadu, saya akan lawan.
.
Tup-tup lepas itu, dia pula mendakwa kakitangannya membocorkan rahsia syarikat kepada saya. Buat pertuduhan dan domestic enquiry kepada kakitangannya sendiri. Saya termenung sendiri. Inikah gaya pengurusan sebuah syarikat yang diamanahkan oleh rakyat? Patutlah projek tak jalan, asyik cari gadoh dan menyalahkan orang.
.
Lepas kes itu, siapa saja yang datang berurusan dengannya, dia akan bercerita pasal saya. 'Mengganggu kerjanya' katanya. Kenapa ada anggapan itu dalam kepalanya? Apakah saya tidak boleh bersuara untuk memastikan tiada kesan negatif kepada politik yang terhasil dari kelembapan GLC? Kenapa mereka tak fokuskan supaya tirai 2010 ini ditutup dengan satu projek berjalan dengan baik. Tak perlulah menyalahkan orang itu dan orang ini. Amanah sudah ditangan, jangan cari gaduh dengan sesiapapun. Moga gaji yang diterima adalah hasil usaha waktu kita mengepalai syarikat, bukan mengharapkan projek lama dari zaman lampau! Buktikan sesuatu! Rakyat menunggu!
.
Ada pimpinan GLC yang sejak awal lagi memulakan kerjayanya di syarikat itu, masih mengamalkan sikap seperti yang diasuh oleh pimpinan politik zaman lampau (sebelum Mac 2008). Dia buat macam orang tak tahu apa dia buat! Polisi sifar rasuah, belanja berhemah dan 'bawa pulang duit halal' macam tak masuk ke kepala. Polisi itu macam untuk orang politik saja, pegawai tak ada kena mengena! Jangan ada sikap ini pada pegawai yang dilantik selepas Mac 2008 sudahlah!
.
Bersambung...............

Muhammad Sanusi Md Nor
SETPOL MB Kedah
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...