17 Januari 2012

HAKIM KANAN TIDAK BOLEH PENGARUH MAHKAMAH RENDAH


Hakim kanan tidak boleh mempengaruhi hakim mahkamah tinggi dan mahkamah rendah dalam membuat keputusan mereka dalam kes di mahkamah, kata Ketua Hakim Negara Tan Sri Arifin Zakaria.

Beliau berkata laporan polis boleh dibuat jika berlaku cubaan untuk campur tangan dalam urusan penghakiman.

"Hakim mahkamah rayuan dan Mahkamah Persekutuan tidak boleh mempengaruhi keputusan yang dibuat oleh seseorang majistret. Tidak seorang pun boleh berbuat demikian, malah Ketua Hakim Negara tidak boleh bercakap dengan majistret.

"Jika saya memberitahu majistret memutuskan ikut satu cara, ia adalah satu kesalahan," kata Arifin ketika menutup Persidangan Hakim-Hakim Malaysia di Hotel Marriot di Putrajaya, semalam.

"Tidak sesiapun boleh mengatasi undang-undang," katanya.

Ketua Hakim Negara berkata hakim mahkamah rayuan dan Mahkamah Persekutuan yang dilantik hakim pengurus menyelia aspek pentadbiran di Mahkamah Tinggi dan mahkamah rendah tidak boleh mencampuri urusan membuat keputusan oleh hakim mahkamah tinggi dan mahkamah rendah.

Arifin berkata amalan mengadakan hakim pengurus bagi menyelia pentadbiran di mahkamah rendah akan diteruskan.

"Ini kerana ia satu amalan baik. Hakim-hakim di mahkamah rayuan dan Mahkamah Persekutuan adalah hakim berpengalaman dan mereka akan menolong dan membimbing hakim bawahan," katanya.

Beliau berkata hakim pengurus dilantik memantau jumlah kes mahkamah ditetapkan untuk didengar dalam sehari dan berapa pula jumlah kes yang diselesaikan dalam menentukan lancarnya pentadbiran kehakiman.

Sistem mengadakan hakim pengurus ini diperkenalkan oleh bekas Ketua Hakim Negara Tun Zaki Azmi, yang menggantikan sistem sebelumnya di mana seorang hakim yang bertaraf kanan sama dikehendaki mengurus mahkamah.

Arifin berkata Persidangan Kedua Hakim-Hakim akan diadakan di pertengahan tahun ini untuk membolehkan Badan Kehakiman melihat setakat mana kemajuan dicapai.

Sementara itu Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Sharif berkata jumlah hakim duduk dalam panel hakim rayuan mendengar kes-kes jenayah dan sivil tidak akan ditambah- Bernama

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...