15 Januari 2012

HASAN ALI : TIDAK AKAN RAYU PEMECATAN BELIAU

Hasan Ali tak akan rayu pemecatan dari PAS

Lapuran dibawah TG Nik Aziz nasihat agar Hasan jaga mulut

Bekas Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Hasan Mohamed Ali tidak akan mengemukakan rayuan berhubung pemecatannya biarpun ada di kalangan penyokongnya meminta beliau untuk berbuat demikian.

Beliau berkata demikian pada Program Bicara Memurnikan Akidah Ummah, anjuran Sekretariat Selamatkan Akidah (HIMPUN) di Taman Bolton, Kuala Lumpur dan disiarkan akhbar Sinar Harian hari ini.

Hasan dipetik berkata, beliau tidak kesal dengan pendirian tersebut selepas merasakan perjuangan di dalam PAS dikhianati khususnya oleh sekumpulan ‘parasit’ yang lebih rela menghargai dan meraikan perjuangan orang lain.

“Saya tak boleh, jiwa saya tak boleh. Saya tidak nampak kenapa harus kekal dalam parti,” katanya.

Pada sesi dialog itu, Hasan dilaporkan meluahkan kekecewaan apabila perjuangannya mempertahankan akidah umat Islam di Selangor ditentang.

“Saya tidak boleh melakukannya ketika dalam parti, kerana rakan dalam parti dan kumpulan ‘parasit’ ini tidak suka isu arak dan murtad di Selangor diperjuangkan kerana hendak meraikan rakan lain yang bersekongkol dalam parti.

“Saya sanggup digugur dalam exco dan meninggalkan segala keistimewaan. Walaupun saya cukup selesa dengan kedudukan sebagai exco, saya tinggalkan demi menyelamatkan diri, anak-anak, keluarga dan umat Islam,” katanya lagi dipetik Sinar Harian.


Nik Aziz nasihat Hasan Ali 'jaga mulut'

Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menasihatkan bekas pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Hasan Ali yang dipecat sebagai anggota parti baru-baru ini supaya "jaga mulut" daripada terus mengkritik dasar-dasar parti Islam itu.

Mursyidul Am PAS itu berkata, tindakan Hasan yang menyebabkannya dipecat genap seminggu lalu kerana kecenderungannya mengeluarkan kenyataan yang "tidak cerdik", lebih-lebih lagi apabila bercakap secara terbuka kepada media milik Umno.

"Nasihat saya (pada Hasan), jaga mulut. Jaga mulut. (Sepatutnya) kalau ada masalah apa tak betul dengan parti, kita sebut dalam mesyuarat. Ini cakap dalam surat khabar.

"Lebih-lebih lagi surat khabar Umno pula. Lepas itu dibesar-besarkan. Tak cerdik kita bila kita cakap bom bang bom bang kepada orang ramai. Nak kata bodoh tak boleh. Tak cerdiklah," katanya.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...