17 Januari 2012

Mahfuz: Pas Berhak Pecat Hasan Sebagai Exco Tanpa Tunggu Rayuan


SHAH ALAM, 16 JAN : Isu pemecatan Datuk Dr Hasan Ali daripada Pas tidak ada kena mengena dengan tindakan parti itu menggugurkan beliau sebagai Exco Kerajaan Negeri Selangor, kata Naib Presiden Pas Mahfuz Omar.

Beliau menegaskan parti berhak mengarahkan Hasan digugurkan sebagai Exco Agama, Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam tanpa menunggu bekas Pesuruhjaya Pas Selangor itu merayu pemecatan dari parti kepada Majlis Syura.

"Pengganti kepada Exco itu berlaku tidak semestinya apabila seseorang itu dipecat (dari parti) baru hendak diganti, tidak. Isu pengganti ini bukan soal apabila ia dipecat atau tidak kerana seseorang yang tidak dipecat pun parti boleh buat keputusan untuk menggantikan orang lain.

"Sebab jawatan dalam Exco itu bukan sesuatu yang berkekalan pada seseorang," katanya memberitahu Antarapos.com.

Hasan diberi sehingga 7 Febuari untuk berbuat demikian. Namun pada sidang media hari ini mengesahkan beliau tidak akan berbuat demikian kerana parti sudah pun mengambil tindakan-tindakan susulan seperti pemecatan sebagai Exco Selangor .

Jawatankuasa Pusat Pas Ahad lalu mengumumkan pemecatan Hasan daripada parti itu dengan serta merta kerana menganggap tindakan-tindakannya merugikan parti komponen Pakatan Rakyat itu.

Hasan, yang juga Bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, dipecat sehari selepas Parti Keadilan Rakyat menuntut tindakan dikenakan terhadapnya kerana membidas tunjuk perasaan anjuran parti itu untuk menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim Isnin lalu.

Belum pun Hasan mengumumkan sama ada beliau akan merayu terhadap keputusan itu , Pas mengusulkan kepada kerajaan negeri untuk memecat Hasan sebagai Ahli Exco.

Pesuruhjaya Pas Selangor Dr Rani Osman diuar-uarkan akan mengganti Hasan sebagai Exco kerajaa negeri Rabu ini.

Dalam pada itu Mahfuz menganggap tindakan Hasan menuduh parti itu dicemari dengan parasit dalaman sebagai dakwaan biasa daripada orang yang memusuhi Pas.

Beliau berkata tuduhan Hasan itu harus dilihat daripada konteks seorang yang telah meninggalkan perjuangan Pas dan kini menyerang parti itu.

"Itu terpulanglah apa dia (Hasan) hendak kata kerana dia pun bukan lagi ahli jawatankuasa pusat dan kita tidak boleh halang apa dia nak kata. Saya pun tidak tahu Pas dikuasai oleh golongan-golongan parasit itu termasuk Tok Guru Nik Aziz merupakan parasit?

"Itu terpulanglah kepada beliau yang selama ini dikatakan menghormati golongan ulamak tetapi sekarang Hasan seolah-olah menyalahkan Nik Aziz sebagai parasit. Jadi orang boleh nilailah, saya tidak mahu komen," tambahnya lagi.

Pada sidang medianya Hasan berkata beliau akan mendedahkan identiti parasit yang dimaksudkan dalam siri ceramah-ceramah di seluruh negara yang bakal dianjurkan.

Hasan mendakwa kumpulan parasit itu tidak suka isu larangan menjual arak dan murtad yang beliau perjuangkan di negeri ini.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...