24 April 2015

TERPANAS: PEMUDA UMNO DIDAKWA MAHU JATUHKAN NAJIB


Laman pro-Umno dakwa ada bukti pimpinan Pemuda jatuhkan Najib



Laman MYKMU.net turut mencabar supaya laporan polis dibuat sekiranya lima pemimpin Pemuda iaitu Naib Ketua Pemuda Umno Khairul Azwan Harun bersama exco Pemuda Arman Azha Abu Hanifah, Syamsul Baharin Putra Ahmad Shibi, Sheikh Ahmad Nafiq Sheikh A Rahman dan Penolong Setiausaha Pemuda Barisan Nasional Datuk Mohamed Shafri Abd Aziz menafikan tuduhan itu.

Sebuah laman portal pro-Umno mendakwa memiliki bukti penglibatan lima pimpinan sayap Pemuda parti tersebut yang merancang menjatuhkan Presiden Datuk Seri Najib Razak, menggesa supaya perkara itu disiasat.

Laman MYKMU.net itu sebelum ini mendedahkan, Naib Ketua Pemuda Umno Khairul Azwan Harun bersama exco Pemuda Arman Azha Abu Hanifah, Syamsul Baharin Putra Ahmad Shibi, Sheikh Ahmad Nafiq Sheikh A Rahman dan Penolong Setiausaha Pemuda Barisan Nasional Datuk Mohamed Shafri Abd Aziz menghasut ketua Pemuda Umno Johor agar menentang kepimpinan Najib.

Bagaimanapun, perkara itu dinafikan seorang exco Pemuda Ibdillah Ishak dan Ketua Pemuda Johor Hahasrin Hashim semalam.


Mengulas penafian itu, pengarang MYKMU.net, menggunakan nama pena KuntaKinte Malaysia menulis di laman itu: "Sebenarnya MYKMU melihat salinan laporan yang akan dihantar kepada Perdana Menteri dan mempunyai sumber yang boleh dipercayai untuk mengesahkan laporan tersebut."



Laman tersebut juga mencabar supaya laporan polis dibuat sekiranya kelima-lima pemimpin Pemuda tersebut menafikan tuduhan itu.

"Mungkin jalan terbaik untuk lima sekawan ini membersihkan nama mereka ialah dengan membuat laporan polis agar satu siasatan yang jelas dapat dijalankan," kata MYKMU.

Laman tersebut juga menggesa supaya Lembaga Disiplin parti bertindak menyiasat kebenaran tuduhan yang dibuat ke atas pemimpin Pemuda itu.

"Dakwaan sekumpulan lima pemimpin Pemuda UMNO berkomplot untuk menjatuhkan presiden dengan menghasut pemimpin Pemuda bahagian, terutama dari negeri Johor, wajar mendapat perhatian dan tindakan susulan dari Lembaga Displin," kata laman itu.

Dalam pendedahan yang dibuat laman itu semalam, Khairul Azwan dikatakan memiliki sokongan daripada Pemuda Umno Sri Gading, Simpang Renggam dan Pulai terhadap idea menjatuhkan Najib tersebut.

Najib ketika ini berdepan dengan cabaran paling getir, terutamanya selepas bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad lantang mengkritiknya dalam banyak perkara dan skandal semasa pentadbirannya.

Dr Mahathir Mohamad membangkitkan antaranya isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB), pembunuhan warga Mongolia Altantunya Shaariibuu, kemewahan keluarga Najib dan pelbagai kritikan membabitkan cara Najib mentadbir.

Walaupun sudah bersara daripada politik, pemerhati melihat Dr Mahathir masih mempunyai pengaruh kuat dalam Umno khususnya di peringkat akar umbi.

- DIPETIK DARI TMI

1 ulasan:

Unknown berkata...
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pentadbir blog.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...