23 April 2015

LANGKAWI KINI......ARAK, BEACHBOYS & SOCIAL ESCORTS?

"Believe it or Not".....?


OLEH: Warga Prihatin

KEROSAKAN YANG DIBANGGAKAN

Seorang warga yang baru pulang dari bertugas seminggu di Langkawi menceritakan tentang perubahan yang menyedihkan, khususnya di Pantai Cenang. Beliau pernah bermustautin di sana 30 tahun dahulu menceritakan rasa terkejut melihat perubahan yang amat luarjangka itu..

Dahulu masih boleh nampak pantai dan laut dari jalan raya. Sekarang ini untuk melihat pantai dari jalan terpaksa mengintai-intai dari celah-celah bangunan. Dahulu ada nelayan yang parking bot menangkap ikan dan sotong di situ. Kini tidak kelihatan lagi..

Hari ini, melangkahkan kaki ke situ dirasakan seolah-olah berada di sebuah tempat luar daripada Malaysia. Persis seperti Hawaii. Bukan hanya kerana lokasi tersebut telah menjadi tarikan kepada banyak pelancong dari luar negara, sehingga ia dipenuhi dengan warga manusia yang datang dari pelbagai negara, tetapi juga kerana budaya dan cara hidup di situ telah bertukar. Jauh berbeza daripada budaya asal rakyat Malaysia.

Pantai Cenang sangat berbeza jika dibandingkan dengan kawasan-kawasan lain Pulau Langkawi. Di sepanjang persisiran pantai, di sepanjang jalan, langsung tiada kelihatan imej-imej yang melambangkan tanah air kita. Pelbagai aktiviti-aktiviti 'permainan air' disediakan.

ARAK, BEACHBOYS & SOCIAL ESCORTS

Mereka yang menjaga aktiviti-aktiviti pantai ini kebiasaannya diberi gelaran 'beach boys'. Tidak sukar untuk mengenal mereka yang dipanggil 'beach boys' ini. Dengan mengenakan seluar 3 suku bercorak bunga-bungaan ala Hawaii dan biasanya tidak berbaju, mereka dengan bangganya menayangkan tubuh sasa mereka. Kulit sawo matang jadi gelap kerana berjemur di pantai saban hari.

Sekali pandang, memang kita akan menyangka yang mereka ini pasti bukan kelahiran Malaysia, jauh sekali nak dikatakan berbangsa Melayu dan beragama Islam. Lagak mereka lebih mirip kepada lelaki bangsa kulit hitam. Hanya apabila mereka bersuara barulah kita sedar rupa-rupanya mereka ialah anak kelahiran tempatan. Ini kerana apabila bercakap, jelas loghat utaranya.

Para pelancong perempuan di pantai pula tidak kurang hebatnya. Tidak kiralah pelancong dari luar Malaysia mahupun pelancong Malaysia sendiri. Pakaian mereka seolah-olah sudah tiada perasaan malu pada diri sendiri. Dengan bangga mereka berpakaian yang nisbah kulit terdedah lebih banyak daripada nisbah kain yang menutupi kulit. Kalau tidak kulitnya terdedah, bentuk badan pula yang dijadikan aset, dibalut ketat untuk dipertontonkan.

Di sepanjang jalan pula, Pantai Chenang sentiasa hidup tidak kira siang atau malam. Aktiviti seolah-olah berjalan sekitar 24 jam, jauh berbeza dengan tempat-tempat lain di Pulau Langkawi. Semuanya ada; dari tempat penginapan, tempat makan, tempat membeli-belah dan macam-macam lagi. Antara yang mudah dijumpai ialah tempat urut dan pub/bar yang banyak didirikan di sepanjang jalan, dari sekecil-kecil gerai sehinggalah yang sebesar-sebesar bangunan restoran mewah. Tawaran yang diberikan pula tidak usah ditanya.

Dengan status pulau bebas cukai, sudah pasti arak dan bir boleh dijamu dengan harga yang murah. Pub/bar pula adalah secara terbuka, siapa-siapa pun boleh masuk secara 'walk in' begitu saja, samada non-muslim atau muslim kelihatan seolah-olah tiada halangan.

Tidak kurang menyedihkan ialah industri pelayanan ‘perempuan’ di pusat hiburan, di hotel dan tempat-tempat peranginan. ‘Social escort’ atau ‘pemandu pelancung’ adalah satu kerjaya yang ‘menghalalkan’ industri pelacuran secara terhormat. Itulah karear tidak berakhlak yang pernah diceburi oleh Sufiah, ‘pelajar pintar’ permata negara kita di London satu ketika dahulu.

Kasihan sekali apabila ramai ibubapa dan nenek tua yang tidak tahu hal sebenar. Dengan selamba boleh memberitahu anak perempuannya kerja PEMANDU PELANCUNG. Kita yang tahu apa sebenarnya peranan 'sosial escort' ini hanya mampu merintih sedih mengenang nasib anak bangsa.

APA PERANAN UMAT, ULAMAK DAN UMARAK?

Senario yang berlaku di Pantai Chenang itu dianggap seperti biasa sahaja oleh kebanyakan masyarakat kita. Seolah-olah tiada apa yang pelik atau berlainan daripada norma cara hidup masyarakat kita, khasnya Melayu yang majoritinya beragama Islam. Senario di sana seperti satu kerosakan berskala besar yang sedang memamah nilai-nilai agama serta budaya anak-anak kita.

Tiada siapakah yang sedar bahawa senario itu sudah menjadi satu evolusi yang akhirnya akan mengubah jati diri anak-anak kita? Ada siapa-siapa yang kisah??!!

Hakikatnya, kebanyakkan daripada kita telah selesa dengan perubahan yang dicorakkan ke atas cara hidup, budaya dan jati diri anak-anak kita. Lama-kelamaan mula timbul keseronokan lalu tanpa disedari akan memakan diri dan generasi kita sendiri. Inilah kelemahan kita. Ini tempat kita, budaya kita, cara hidup kita, agama kita sendiri... namun dengan mudah kita biarkan semuanya ditukar hanya dengan alasan kononnya untuk menarik orang luar datang.

Pernahkah kita terfikir UNTUK APA orang luar datang jika hanya untuk melihat tempat dengan budaya yang lebih kurang sama dengan negara mereka sendiri? Perlukah mengembara beribu-ribu batu dari negara asal hanya untuk sampai ke sebuah tempat yang tidak jauh berbeza daripada negara mereka?

Anihnya kita pula seronok sangat ubah identiti diri kita, tempat kita, cara hidup kita, kononnya untuk ambil hati mereka supaya tertarik untuk datang. Bukankah itu fasik namanya? Sudahlah fasik, ditambah pula perubahan yang dilakukan itu hanya menambah kerosakan. Malah, kita berbangga pula apabila disamakan dengan mereka. Benarlah sabda nabi yang mengatakan di akhir zaman ini, umat Islam akan berbondong-bondong mengikut musuh mereka ke arah kerosakan.

“Kamu semua akan mengikut jejak langkah umat-umat sebelum kamu sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta sehingga kalau mereka masuk ke lubang biawak sekalipun kamu tetap akan mengikut mereka. Kami bertanya adakah mereka itu Yahudi dan Nasrani? Sabda Nabi S.A.W: Siapa lagi kalau bukan mereka?” (Dari Abu Said al-Kudri RH – Hadis Riwayat Muslim No.2669)

Apa yang berlaku di Pantai Chenang adalah satu manifestasi yang membuktikan bahawa kita adalah masyarakat yang terlalu ambil mudah terhadap semuanya. Untuk wang, apa pun boleh. Kita sanggup biarkan sahaja budaya kita dicemari oleh elemen-elemen maksiat yang akhirnya 100% menukar cara hidup masyarakat ke arah kemusnahan.

Janganlah marah bila anak-anak sendiri mula memperagakan bikini yang mencolok mata. Jangan marah-marah bila tengok anak berpeleseran dengan minah Mat Salleh, atau berkepit dengan Mat Salleh di kiri kanan mereka. Jangan bising-bising bila terserempak dengan anak sendiri balik ke rumah pagi-pagi buta dalam keadaan mabuk, dengan baju berbau busuk tertumpah arak yang ditonggang sepanjang malam.

Buat apa bising-bising bila selama ini kita tidak pernah pun pedulikan kerosakan yang berlaku di sekeliling kita. Untuk apa lagi merawat kerosakan bila kita tidak pernah anggap ia satu kerosakan selama ini, hanya kerana anak-anak kita, saudara-mara kita tidak pernah terjebak? Bila sudah terkena batang hidung sendiri baru mahu bertindak. Masa itu menyesal pun tiada guna. Anak sendiri sudah jauh hanyut dan “nasi sudah jadi bubur”.

Mana perginya peranan pihak berkuatkuasa? Pernahkah sesiapa buat kajian sejauh mana anak-anak muslim kita yang masuk pub/bar itu telah menonggang arak? Sejauh mana berlakunya zina pada sosial escort, juga bagi anak-anak yang berpeleseran di pantai, bergaul bebas antara lelaki dan perempuan tanpa batas, dan dengan pakaian yang macam telanjang?

Bila tiada siapa yang kisah untuk menegur dan menghalang perbuatan seumpama ini, rasanya dapat dibayangkan apa aktiviti-aktiviti susulan yang berlaku di sebalik itu. Apabila sudah biasa mabuk, bercampur gaul tanpa batas, aurat pula terlondeh sana sini, pasti zina menghampiri mereka. Tapi biasalah.. inilah cara hidup di pantai yang sepatutnya. Baru ‘happening’ bukan?

KESIMPULAN

Membiarkan kerosakan berleluasa sudah boleh dikira sebagai satu kesalahan, tetapi jika sehingga berbangga dengan kerosakan yang berleluasa itu, masih bolehkah lagi kita mengaku diri kita seorang muslim? Maka tidak dinafikan lagi, apa yang nabi sabdakan telah menjadi kenyataan.

Ini semua berlaku bukan secara sekelip mata. Ternyata strategi musuh Islam ialah dengan menyuntik elemen kerosakan itu sedikit demi sedikit. Apabila dilihat umat Islam sendiri sudah lali dan serasi dengan kerosakan itu, maka akan ditambah dos kerosakan itu lagi dan lagi. Lama-kelamaan kerosakan yang sudah jadi sebesar gajah pun masyarakat kita masih lali dan akhirnya berasimilasilah kita dengan kerosakan itu.

Marilah kita sama-sama bangkit memperbetulkan keadaan ini. Setiap dari diri kita adalah bertanggungjawab untuk mengubah masaalah ini. Samada secara individu, masyarakat, pihak berkuasa, kesemuanya mesti menjalankan peranan masing-masing. (QS:6/137, QS:9/24,28)

Itu semua hanya sedikit pemerhatian di Pantai Cenang untuk kita renungkan. Belum lagi cerita soal kosert liar, pesta dadah dan seks di kelab dan apartment, kisah zina di hotel mewah, hotel bajet, rumah sewa dan celah kebun.

Inilah harga sebuah pembangunan dan kemodenan. Nasib anak cucu dan maruah agama bangsa inilah gadaian untuk hasil pendapatan dari pelancungan yang kita taja dan berbangga dengannya.

QS: 3. Ali 'Imran 104. "Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang ma'ruf dan mencegah dari yang mungkar; merekalah orang-orang yang beruntung".

WARGA PRIHATIN

1 ulasan:

Malaysiabaru berkata...

Baru tahu ker

Lima 13 dah boleh nampak... Gro Mongolia dan kazaksetan di angkut pkai saga jer oleh bapak ayam cina.... In 5 years Langkawi cina punya okey!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...