30 Mac 2015

APAKAH PUNCANYA GST TERPAKSA DILAKSANAKAN...BACALAH

ADAKAH BN GAGAL BERTINDAK SELAMA INI ATAU AHL-AHLI AKEDEMIK  TELAH DIMANDULKAN?


Menjelang GST, Malaysia diseru keluar perangkap gaji rendah


Malaysia masih memberi keutamaan industri pembuatan dalam usaha mengekalkan kos rendah, dan ini sedikit sebanyak menyebabkan kadar gaji hampir kekal sejak beberapa dekad. – Gambar fail AFP, 30 Mac, 2015.

Di saat rakyat bersedia berhadapan perbelanjaan lebih tinggi dengan penguatkuasaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) Rabu ini, mereka bakal merasakan kesan kepada dasar ekonomi Malaysia yang sekian lama mengenakan kadar gaji rendah dan industri tempatan tidak kompetitif.

Gaji rendah tidak membantu kerajaan meningkatkan pendapatannya, kerana hanya 1.7 juta daripada 12 juta tenaga kerja rakyat Malaysia membayar cukai pendapatan, dan Putrajaya mencari jalan menambah pendapatan dengan cukai penggunaan lebih meluas.

Namun gaji rendah adalah warisan dasar perindustrian Malaysia, menjadikan negara hab pembuatan berkos rendah dan bernilai rendah.

Walaupun ia membantu mengubah ekonomi pada awal 1990an, para pakar kini memberi amaran dasar perindustrian baharu diperlukan, kerana terdapat kebimbangan usaha kerajaan mencapai status negara maju dalam tempoh lima tahun tidak memperbaiki pendapatan kebanyakan rakyat.

Gesaan reformasi sektor pembuatan adalah kunci menyelesaikan masalah gaji rendah, kata Pengarah Eksekutif Institut Rakyat, Yin Shao Loong (gambar, kanan).

Sektor itu menetapkan penanda aras, dibantu sektor minyak, gas dan utiliti, disusuli sektor perkhidmatan, katanya.

"Sektor pembuatan menikmati nisbah jualan yang tinggi bagi setiap pekerja, manakala industri perkhidmatan seperti peruncitan, makanan, dan pentadbiran cenderung mendapatkan jumlah lebih rendah.

"Tetapi jika gaji sektor pembuatan rendah disebabkan penurunan nilai jualan, maka gaji perkhidmatan menyusul," kata Yin.

Masalahnya, kata ahli ekonomi terkemuka Tan Sri Kamal Salih (gambar, kiri), adalah sektor perkilangan kebanyakannya terlibat dalam pemasangan bernilai rendah dan memerlukan sedikit kemahiran, justeru gaji rendah.

"Sebagai contoh, kita menghasilkan komponen yang dihantar ke China yang seterusnya menggunakan komponen itu untuk menghasilkan produk siap yang kemudian dieksport ke Amerika Syarikat."

Dan kerana ia bergantung kepada pekerja asing dari negara miskin yang menerima upah rendah bagi mengekalkan kos rendah, industri ini tidak berupaya menawarkan gaji lebih tinggi menarik rakyat Malaysia.

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) baru-baru ini mendedahkan 75% daripada 14 juta pencarum masih berpendapatan kurang RM2,000 sebulan dan kira-kira 15% memperoleh di antara RM2,000 dan RM5,000 sebulan. Pencarum yang berpendapatan melebihi RM5,000 adalah dalam 10%.

Faktor utama ialah mereka bermula dengan gaji rendah tetapi nasib pekerja makan gaji secara perbandingannya tidak bertambah baik.

Terperangkap dalam gaji rendah

Gesaan menggerakkan industri Malaysia dalam rantaian lebih bernilai tinggi bukanlah baharum dan sesuatu yang perlu dilakukan pentadbiran Najib.

Pakar ditemuramah The Malaysian Insider berkata, kesedaran tidak sepadan dengan dasar yang cukup agresif untuk mengemudi industri daripada model bernilai rendah menjadi pengeluar bernilai tinggi.

Kerajaan juga menolak bergantung kepada sektor perkhidmatan, seperti dinyatakan dalam Pelan Transformasi Ekonomi, mengambil alih daripada pembaharuan sektor pembuatan.

Pada masa sama, agensi kerajaan, kata Kamal, masih meneruskan dasar menggalakkan industri berkemahiran rendah datang ke Malaysia membuka kedai.

"Anda lihat agensi membuka lebih banyak taman perindustrian untuk membawa masuk lebih banyak syarikat asing. Terdapat sedikit desakan dalam industri tempatan untuk melabur semula ke dalam program peningkatan kemahiran, teknikal dan penyelidikan.

"Sebaliknya, apabila syarikat membuat keuntungan, mereka pergi dan membeli hartanah di luar negara," kata Kamal, yang merupakan profesor adjung Fakulti Pengajian Ekonomi dan Pembangunan di Universiti Malaya.

Ini bertentangan dengan kuasa perindustrian baharu seperti Korea Selatan, Jepun dan Jerman yang mengembangkan dasar sektor pembuatan mereka, kata Yin.

"Mereka memupuk industri tempatan dan memilikinya. Kadang-kala mereka bekerjasama dengan syarikat asing yang mempunyai teknologi strategik.

"Bagaimanapun, terlalu bergantung kepada firma-firma asing tidak akan memberi firma tempatan ruang untuk berkembang. Ini adalah sebahagian daripada masalah Malaysia.

"Kita bergantung terlalu banyak pada FDI (pelaburan asing langsung) untuk menolak sektor perkilangan dengan teknologi dan R&D yang kita tidak miliki atau lakukan.

"Oleh itu, kita hanya akan berakhir dengan membuat barangan untuk orang lain."

Insentif kecil

Menurut Yin, insentif tetap sama dan disasarkan menarik pelaburan, bukan menggalakkan syarikat melaksana dan mempertingkatkan prestasi mereka.

"Para pelabur mendapat penangguhan cukai yang lama, air, elektrik, minyak yang murah serta pasaran buruh yang ditindas," katanya, merujuk subsidi kerajaan ke atas utiliti.

"Selain keperluan pemilikan tempatan sebanyak 30%, mereka tidak akan memindahkan teknologi, mencapai sasaran pengeluaran, meningkatkan skala industri mereka kepada nilai tambah yang lebih tinggi (produk)."

Kamal memberi contoh projek Mass Rapid-Transit (MRT) bernilai RM42 bilion di mana peluang hilang dalam menggalakkan pertumbuhan syarikat tempatan.

"Kita mempunyai syarikat yang boleh mengeluarkan kereta dan enjin bagi mereka, dan juga rel. Tetapi sebaliknya kita memutuskan untuk mengimport enjin dan kereta. "

Dasar perindustrian baharu, menurut Kamal perlu menterbalikkan proses ini.

Daripada menggalakkan lebih banyak firma asing masuk ke Malaysia untuk menubuhkan pusat pemasangan berkos rendah, syarikat tempatan perlu diketengahkan melabur lebih banyak wang ke dalam R&D bagi menghasilkan produk yang mempunyai nilai lebih tinggi, kata Kamal.

"Daripada membeli hartanah di luar negara, mereka perlu digalakkan melabur dalam R&D yang lebih berisiko tetapi lebih baik dalam jangka masa panjang."

Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), N Gopal Krishnam (gambar, kanan) mendakwa, syarikat sering memberi penekanan terlalu banyak kepada pekerja dan bukannya menaik taraf mesin.

"Secara umumnya, kebanyakan mesin di kilang-kilang kita sudah berusia dan membeli mesin terpakai pada permulaannya. Mereka tidak sanggup berhabis untuk menaik taraf mesin.

"Mana-mana kilang, pekerja sebenarnya menyumbang kira-kira 20% kadar pengeluaran.

"Namun, Bank Dunia melaporkan kadar pengeluaran di Malaysia meningkat sebanyak 6.7% daripada 10 tahun yang lalu. Tetapi gaji hanya meningkat sebanyak 2.1%," kata Gopal.

Yin percaya satu lagi cara adalah dengan memberi subsidi, sama ada dalam bentuk utiliti atau tanah, kepada syarikat yang memenuhi sasaran pengeluaran tertentu.

Kaedah ini digunakan di Korea Selatan, di mana subsidi hanya diberi kepada syarikat yang mengeluarkan produk cukup baik untuk dieksport ke pasaran dunia.

Namun insentif perindustrian hanya sebahagian daripada penyelesaian, kata Yin, yang menambah sistem pendidikan Malaysia juga perlu dipertingkatkan bagi menghasilkan pekerja berkemahiran tinggi yang boleh mengeluarkan produk lebih bernilai.

Keluar daripada rantaian bernilai rendah dan bergerak ke depan menuntut pekerja mahir dan ini juga bermakna gaji lebih baik dan pendapatan bagi rakyat Malaysia.

Kesalahan tidak seharusnya diletakkan kepada industri semata-mata, yang turut dikaitkan dengan model kos rendah, kata Yin.

"Pembuat dasarlah yang sebenarnya gagal dalam membawa industri yang mampan. Sebahagiannya kekurangan visi dan keberanian. "

- See more at: SUMBER

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...