17 Januari 2015

KEDAH FA TAK PUAS HATI....FAM GUNA UNDANG-UNDANG RIMBA? HA...HA...



#Kedah Kecewa Keputusan #FAM


ALOR SETAR: Persatuan Bola Sepak Negeri Kedah (KFA) amat kecewa dengan keputusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam isu status pemain Harimau Muda, Gary Steven Robbat.

Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang juga Presiden KFA berkata persatuan negeri hanya mempertahankan peraturan dibuat FAM iaitu pemain Harimau Muda perlu kembali ke negeri terlebih dahulu.

"Kita amat kecewa dengan keputusan FAM kerana kita hanya mempertahankan peraturan yang dibuat sendiri oleh persatuan bola sepak negara yang menghendaki pemain Harimau Muda yang tamat kontrak supaya kembali ke negeri masing-masing," katanya di sini.


Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima sumbangan bantuan bencana banjir sebanyak RM300,000 daripada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) yang disampaikan oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, yang juga pengerusi MAIWP.

Mukhriz berkata keputusan FAM mengisytiharkan Gary yang berasal daripada Kulim sebagai ejen bebas selepas tempoh penggantungan tiga bulannya tamat seolah-olah menidakkan tugas KFA di dalam menggilap potensi pemain Harimau Muda itu.

FAM yang bermesyuarat hari ini menggantung Gary selama tiga bulan berkuatkuasa hari ini dan mengenakan denda sebanyak RM50,000, selain mengumumkan pemain itu sebagai milik Harimau Muda C di bawah FAM dan bukan Kedah.

"Keputusan FAM itu seolah-seolah menunjukkan kita tidak ada jasa langsung di dalam karier Gary," katanya sambil menambah, potensi Gary digilap di Kedah terlebih dahulu sebelum beliau diterima masuk ke sekolah sukan di luar negeri ini.

Beliau juga berkata, keputusan FAM mengenai isu Gary itu meninggalkan kesan yang mendalam terhadap negeri-negeri yang memiliki pemain dengan pasukan kebangsaan sama ada mereka perlu melepaskan mereka untuk tugas-tugas kebangsaan.

Apa yang perlu selepas ini katanya, pemain-pemain negeri yang dikehendaki berkhidmat dengan pasukan kebangsaan diikat dengan perjanjian yang ketat denganFAM bagi memastikan pemain itu kembali ke negeri asal selepas tamat khidmat mereka dengan pasukan kebangsaan.

"Mereka (pemain-pemain negeri) perlu mempunyai perjanjian," katanya tentang kedudukan dua pemain Kedah, Farhan Roslan dan Shazwan Tajuddin yang dipanggil oleh FAM untuk menjalani latihan dengan pasukan kebangsaan.

Mukhriz juga menyuarakan kebimbangannya terhadap peningkatan mendadak gaji pemain-pemain setiap tahun yang akan membebankan persatuan negeri yang tidak mempunyai sumber dana yang besar seperti Kedah dan mahukan perkara itu dikawal.

Katanya, terdapat kemungkinan bola sepak di negara hanya dikuasai oleh beberapa negeri yang kaya dan mempunyai pelbagai sumber kewangan. - BERNAMA

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...