16 Januari 2015

DR. M TERUS MENYERANG NAJIB & 1MDB

Dr M: Di mana wang 1MDB?


Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad masih tidak berpuas hati dengan penjelasan firma pelaburan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bahawa dana sebanyak RM8.3 bilion yang dilaburkan di Kepulauan Cayman telah diperolehi semula.

Mahathir berkata, firma yang dicetuskan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak itu perlu menjelaskan bank yang menjadi tempat pelaburan dana tersebut.

"Penjelasan itu tidak mencerahkan apa-apa kepada kita.

"Saya hendak tahu bank mana yang menyimpan wang itu. Jumlahnya berbilion dolar; kamu mesti simpannya di mana-mana.

"Saya tidak tahu di mana wang itu berada – ia adalah sebahagian daripada ketelusan," kata beliau dalam wawancara dengan Sarawak Report yang disiarkan semalam.

1MDB membuat pengumuman mengenai pemerolehan semula dana tersebut selepas firma tersebut dilaporkan terlepas membuat bayaran balik pinjaman berjumlah RM2 bilion (AS$563 juta) yang berakhir pada hujung Disember lalu.

Kontroversi mengenai 1MDB tercetus bulan ini juga menyebabkan firma tersebut distruktur semula dengan pelantikan seorang ahli perbankan di Abu Dhabi Arul Kanda sebagai presiden.

Syarikat 1MDB itu, yang dimiliki sepenuhnya oleh Kementerian Kewangan, menerima kritikan hebat atas pelaburan RM8.3 bilion di di luar negara. -MK


Tun M balas kritikan Puad

Tun M kata beliau dipilih oleh Tun Hussein untuk menjadi Timbalan Perdana Menteri.


Bekas presiden UMNO, Tun Dr Mahathir Mohamad membalas kembali kritikan ahli majlis tertinggi, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi yang meminta UMNO untuk tidak memupuk atau mengamalkan politik dinasti.

Mohd Puad sebelum ini berkata, mantan perdana menteri itu silap sekiranya beliau merujuk bahawa kemasukan penyandang presiden parti, Datuk Seri Najib Razak hanya dilakukan selepas Tun Abdul Razak Hussein sudah meninggal dunia.

“Saya tidak berkata apa-apa mengenai Datuk Seri Najib, Saya hanya membuat kenyataan secara umum, Sekirayanya ada yang terasa, itu masalah mereka.

“Walaupun saya rasa pertalian keluarga tidak boleh dijadikan asas untuk menerima atau menolak, saya melarang anak-anak saya meneruskan keahlian mereka atau kedudukan dalam UMNO, melainkan mereka dilantik oleh ketua bukan yang ada pertalian dengan keluarga,” tulis Dr Mahathir dalam blognya, lewat malam tadi.


Beliau turut mengkritik kenyataan Mohd Puad yang bertanya sama ada Dr Mahathir terlupa ketika beliau dipilih oleh Tun Hussein Onn sebagai timbalannya dahulu, dan menyebabkan rasa tidak puas hati oleh timbalan-timbalan lain yang lebih senior daripada beliau.

“Saya dipilih oleh Tun Hussein, yang bukan di kalangan ahli keluarga, untuk menjadi Timbalan Perdana Menteri. Mereka yang memilih saya sebagai Naib Presiden UMNO adalah wakil dalam mesyuarat agung.

“Sudah tentu ada yang tidak puas hati dan marah, tapi tidak ada calon lain untuk undian mereka.

“Begitu juga ketika saya dilantik sebagai Presiden. Waktu itu saya dicabar tetapi saya menang walaupun dengan 43 undi,” tulis Dr Mahathir

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...