02 April 2014

PENJELASAN A SAMAD SAID TENTANG BAYARAN 2 LUKISAN


Bukan salah MB lukisan saya tak dibayar – A Samad Said


KUALA LUMPUR 2 APRIL: Datuk A Samad Said mengakui dua lukisannya belum dibayar seorang exco Kerajan Selangor tetapi meminta hal itu tidak dikaitkan dengan Menteri Besar mahupun pentadbirannya.

Beliau membuat kenyataan itu bagi membetulkan pendedahan yang dibuat Uthaya Sangkar SB yang menerajui Kavyan, sebuah organisasi sastera, seni dan budaya pada pelancaran novel Sungai Mengalir Lesu , malam tadi.

“Ia tiada kena mengena dengan MB dan orang lain. Ia cuma mengenai janji seorang exco, kalau tak silap – kepada saya. Itu yang saya mahu betulkan,” katanya yang mesra dengan panggilan Pak Samad.

Beliau berkata demikian pada pelancaran semula novel itu di Dewan Cina Selangor Kuala Lumpur, malam tadi. Selain Uthaya, ahli panel lain ialah Senator Dr Syed Husin Ali.

Novel terbitan 1961 dan dihasilkan semula Wira Bukit Sdn Bhd dengan kerjasama Gabungan Bertindak Malaysia (GBM) bagi memenuhi permintaan ramai.

Pak Samad banyak menghasilkan karya sastera berkualiti tinggi khususnya novel antaranya Salina, Hujan Pagi, Daerah Zeni dan banyak lagi.

Terdahulu, Uthaya dalam pembentangannya mendakwa kerajaan Selangor berhutang bayaran dua lukisan yang dibeli seorang exco negeri berkenaan.

Pak Samad berkata, dua karyanya itu dibeli untuk dihadiah kepada Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pada satu majlis penganugerahan kepadanya, tahun lalu.

“Waktu itu, memang ada seorang exco Selangor yang mengambil dua lukisan saya untuk dihadiahkan kepada MB dan Anwar.

“Saya beritahu, ini sumber rezeki saya dan kalau diambil, haraplah dibayar. Dia tanya berapa? Saya kata, harganya walaupun tak cantik RM8,000 setiap satu, makanya RM16,000,” katanya.

Beliau berkata, exco itu berjanji bayaran itu akan ‘diurus’ tetapi mengakui sehingga kini ia belum berbayar tetapi Pak Samad tidak pernah mengungkitnya, malah tidak mendedahkan identiti exco berkenaan.

Pak Samad juga menyifatkan Kerajaan Selangor sebagai pemurah kerana memberikanya anugerah, malah berkali-kali menyatakan kasih sayangnya kepada Pakatan Rakyat dan menyampah dengan Barisan Nasional.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...