Kerajaan Selangor Siasat Tanah Milik Raja Ropiah
YAB Dato’ Menteri Besar Selangor memandang serius laporan susulan pendedahan oleh Deepak Jaikishan bahawa usaha sedang giat dilakukan untuk menjual lebih 200 ekar tanah milik Awan Megah Sdn Bhd bernilai RM130 juta kepada Bakti Wira Development Sdn Bhd, sebuah syarikat pelaburan hartanah yang dimiliki sepenuhnya oleh Boustead Holdings Berhad, milik Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).
Dato’ Menteri Besar yang kini berada di luar negara telah mengarahkan Pengarah Tanah dan Galian Selangor untuk memantau sebarang bentuk transaksi yang melibatkan hartanah-hartanah ini. Semakan awal yang dilakukan, tanah-tanah di Bukit Raja tersebut telah diberimilik kepada Pesuruhjaya Tanah Persekutuan melalui proses pengambilan tanah pada tahun 1980an bertujuan sebagai Tapak Kem 9 Briged.
Kerajaan Selangor juga akan menyiasat bagaimana tanah tersebut dikatakan telah diberikan kepada syarikat Awan Megah Sdn Bhd yang mana pengarahnya adalah Ketua Wanita Umno Selangor, Senator Datuk Raja Ropiah Raja Abdullah.
Kerajaan Selangor sangat hairan bagaimana tanah yang telah digazetkan untuk kem tentera boleh diurusniaga secara komersil melainkan dengan arahan dan campurtangan pihak yang benar-benar berkuasa.
Kerajaan negeri juga akan meneliti samada benar telah berlaku proses jual beli tanah tersebut kepada Raja Ropiah pada harga RM7 kaki persegi atau RM72 juta yang akhirnya Raja Ropiah juga didakwa telah menjual sebahagian daripada tanah di Bukit Raja itu kepada syarikat lain dengan harga RM16 kaki persegi bagi mendapat untung atas angin. Kita akan melihat semula dokumen-dokumen yang berkaitan.
Sekiranya kita dapati berlaku perlanggaran prosedur dan urusniaga yang menyalahi peraturan sebelum 2008, kita tidak akan teragak-agak untuk menghentikan sebarang urusniaga yang melibatkan tanah tersebut sama ada urusan pindah milik atau penjualan yang sedang dirancang.
Semakan juga akan dilakukan terhadap semua permohonan pembangunan yang bercanggah dengan matlamat pengambilan tanah tersebut yang dilakukan seawal tahun 1980an.
Kerajaan negeri berpandangan bahawa semua urusniaga ini perlu dipandang serius kerana melibatkan dana awam yang datangnya dari wang pencen anggota tentera.
Kerajaan Selangor tidak akan membenarkan niat UMNO untuk menyalahgunakan dana awam ini bagi menyelamatkan pemimpin-pemimpin mereka yang menyalahguna kuasa demi kepentingan politik dan peribadi.
Nampaknya UMNO tidak serik dengan aib yang mereka hadapi setelah kehilangan dana awam RM250 juta menerusi projek NFC yang melibatkan pemimpin tertinggi mereka. Kini wujud pula pengkhianatan yang melibatkan bukan sahaja dana awam tetapi hartanah yang dikhususkan untuk Angkatan Tentera, juga oleh pimpinan kanan dan pemimpin wanita UMNO Selangor.
Selama ini Raja Ropiah cuba menonjolkan watak seorang pemimpin yang membela hak rakyat dengan sering hadir setiap kali ibu tunggal mengadakan perhimpunan menuntut hak dari kerajaan Selangor setelah dilantik sebagai Senator menggantikan Datuk Seri Shahrizat Jalil yang pelantikannya tidak disambung semula. Rupa-rupanya beliau tidak jauh beza dengan mentornya.
Deepak mungkin mempunyai agendanya tersendiri tetapi apa yang lebih penting bagi rakyat Malaysia khususnya rakyat Selangor, pendedahan Deepak telah membuktikan bahawa kerajaan Barisan Nasional di bawah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan barisan kabinetnya terlalu kotor dan bergelumang dengan skandal dan salah guna kuasa pada setiap peringkat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan